Followers

Monday, June 8, 2009

Sabah & Sarawak: Mangsa tragedi pesawat terhempas dikenang

KOTA KINABALU: Walaupun sudah 33 tahun berlalu, tragedi 11 mangsa termasuk empat anggota Kabinet Sabah terkorban dalam nahas pesawat Nomad buatan Australia milik Sabah Air terhempas ke dalam laut di Sembulan, di sini, tidak luput dari ingatan terutama keluarga mangsa.

Nahas ngeri jam 3.50 petang tanggal 6 Jun 1976 atau lebih dikenali sebagai `Double Six' itu mengorbankan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens; Menteri Kewangan negeri, Datuk Salleh Sulong; Menteri Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Peter Mojuntin; Menteri Perhubungan dan Kerja Raya negeri, Datuk Chong Thian Vun dan Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Darius Binion.

Turut terkorban ialah Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sabah, Syed Hussin Wafa; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Wahid Andu; Setiausaha Sulit kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Ishak Atan; Pengawal Peribadi Stephens, Korporal Mohammad Said; juruterbang, Kapten Ghandi J Nathan dan anak Stephens, Johari.

Seperti tradisi tahun sebelumnya, majlis memperingati mangsa nahas diadakan di Tugu Peringatan Double Six Sembulan kelmarin.

Selain ahli keluarga, hadir sama memberi penghormatan dengan meletak kalungan bunga ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Edward Yong Oui Fah dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Illiyas Ibrahim.

Warga Britain, Dr Richard Dingley, 78, dan isterinya, Sylvia, 76, mempunyai sebab tersendiri untuk menghadiri upacara bermakna itu.

"Ketika itu, saya berkhidmat dengan pasukan St John Ambulans. Saya ingat lagi... semuanya terkejut dan tidak tahu apa patut dilakukan ketika mendapat berita itu.

"Kami mengenali keluarga beberapa mangsa dan mayat mangsa dibawa ke dewan masyarakat selepas nahas itu. Saya dan isteri hanya mampu mencuba untuk mententeramkan mereka," katanya.

Sabah & Sarawak: Perancis minat labur, wujud komuniti di Sabah

KOTA KINABALU: Perancis berminat menjalin kerjasama lebih erat dan melabur di Sabah, selain berhasrat mewujudkan komuniti warga negara itu seiring operasi Akademi Laut di Teluk Sepanggar kelak.

Duta Perancis ke Malaysia, Marc Barety, berkata sejarah hubungan baik di antara Malaysia dan negaranya membolehkan lebih banyak bidang diterokai demi manfaat kedua-dua pihak.

"Saya yakin rakyat Perancis boleh menyesuaikan diri dengan cepat dengan suasana kehidupan di Sabah.

"Hubungan Perancis-Malaysia semakin berkembang. Saya beri jaminan warga Perancis akan datang membawa keluarga mereka menetap di sini sebaik Akademi Perkapalan bagi melatih rakyat tempatan dalam bidang kapal selam di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sepangga beroperasi tahun depan.

"Malah, ada syarikat Perancis turut berminat meninjau peluang perniagaan di sini," katanya selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, di kediaman rasminya di Sri Gaya, kelmarin.

Ia adalah lawatan sulung Barety ke Sabah sejak mula bertugas di Malaysia, lapan bulan lalu.

Sementara itu, Musa menyambut baik hasrat Perancis ingin menerokai industri tempatan di Sabah.

"Sudah pasti ia akan memanfaatkan kedua-dua pihak kerana banyak yang boleh ditawarkan Sabah, terutama dalam sektor pelancongan dan hospitaliti.

"Saya harap Sabah dan Perancis dapat mengenal pasti bidang yang boleh menjadi titik permulaan ke arah kerjasama itu," katanya.

Beliau berkata, Sabah mempunyai tarikan tersendiri di bidang perniagaan berikutan kestabilan politiknya dan faktor pengurusan ekonomi yang baik.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi tumpuan terhadap usaha membangunkan kawasan luar bandar dan membasmi kemiskinan menerusi pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Sabah & Sarawak: Nelayan kecil dakwa dipinggir

Permohonan tingkat kemudahan tangkap ikan ahli Pengasah tak dilayan

KOTA KINABALU: Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah) yang dianggotai 15,000 nelayan Bumiputera, kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang didakwa meminggirkan persatuan itu sehingga ahlinya gagal menerima kemudahan untuk meningkatkan sosioekonomi kerana terpaksa mengekalkan operasi secara tradisi.

Pengerusinya, Madrah Talih, mendakwa jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerajaan negeri dalam bidang perikanan tidak memberi pertimbangan terhadap permohonan persatuan itu untuk meningkatkan infrastruktur penangkapan ikan dan pelbagai kemudahan diperlukan ahlinya di seluruh negeri.

"Majoriti ahli kami adalah nelayan kecil hidup miskin yang memerlukan kemudahan seperti subsidi sampan, pukat, petrol dan penyediaan jeti pendaratan ikan yang sempurna.

"Malangnya, permohonan kami tidak mendapat perhatian kerajaan negeri sehingga kami berasa Pengasah dianaktirikan.

"Kerajaan negeri juga tidak meluluskan permohonan kami menjadi pembekal subsidi diesel (e-diesel) dan petrol (e-petrol) kepada nelayan di seluruh negeri hingga ramai anggota kami gagal memanfaatkan kemudahan itu.

"Ini tidak adil kepada nelayan terutama nelayan kecil Bumiputera yang beroperasi di pesisir pantai menggunakan sampan," katanya selepas perasmian mesyuarat agung tahunan Pengasah yang disempurnakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Abdul Rahim Ismail, kelmarin.

Madrah berkata, nelayan kecil sepatutnya dibantu bagi memastikan mereka bebas daripada status Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) yang disasarkan kerajaan negeri.

Katanya, Pengasah menyokong kenyataan Abdul Rahim bahawa perniagaan diesel dan petrol layak ditadbir urus Pengasah berikutan kelemahan Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) mengurusnya sehingga ramai nelayan tidak mendapat kemudahan itu, terutama nelayan kecil Bumiputera hidup miskin yang beroperasi di pesisir pantai.

"Walaupun e-diesel dan e-petrol diperkenalkan pada 1 Jun 2006, ramai nelayan belum menikmatinya selain kekerapan kehabisan bekalan minyak.

"Mungkin ada pihak tertentu menyeleweng kemudahan itu dengan menjualnya kepada pihak industri dan ini perlu disiasat segera kerana tindakan mereka merugikan nelayan kecil.

"Kami memberi jaminan, ahli yang menjual semula diesel dan petrol kepada pihak industri akan dikenakan tindakan termasuk menghantar senarai nama mereka kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun, sehingga kini tiada yang dikesan berbuat demikian," katanya.

Madrah berkata, nelayan kecil pesisir pantai turut berdepan masalah kekurangan tangkapan akibat tindakan pemilik kapal pukat tunda beroperasi di pesisir pantai dan kegiatan pengeboman ikan yang merosakkan terumbu karang sehingga kekurangan ikan.

"Kami harap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mempergiatkan operasi memburu kapal pukat tunda yang beroperasi di pesisir pantai bagi memastikan nelayan kecil tidak kehilangan sumber pendapatan," katanya.

H1N1: 6 kes baru disahkan di Nicaragua

MANAGUA: Nicaragua semalam mengesahkan enam lagi kes Influenza A (H1N1)di negara itu, meningkat kepada 26 orang setakat ini.

Jirannya, Argentina juga mengesahkan 13 kes H1N1 di negara berkenaan, sekali gus menyaksikan virus itu kini merebak ke benua Amerika Latin.

Pegawai kesihatan Uruguay pula melaporkan tiga kes terbaru H1N1, menjadikan semua 25 kes manakala pihak berkuasa Peru mengesahkan 12 kes terbaru, menjadikan 61 setakat semalam.

Menteri Kesihatan Nicaragua, Guillermo Gonzalez, berkata pihaknya semakin serius memantau mereka yang mempunyai simptom H1N1 sejak kes pertama dilaporkan tujuh hari lalu. - AFP

Sunday, June 7, 2009

Gempa bumi kuat di utara Mid-Atlantic Ridge

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Ritcher dikesan di Utara Mid-Atlantic Ridge pada jam 4.33 pagi.

Gempa bumi itu berpusat di garisan lintang 23.9 Utara dan garisan bujur 46.1 Barat iaitu 3,200 kilometer (KM) dari tenggara New York, Amerika Syarikat dan 15,044 KM dari timur laut Pulau Langkawi.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, gempa bumi tersebut tidak memberi ancaman tsunami kepada Malaysia. - Bernama

H1N1: Penumpang pesawat AirAsia X D7 2723 digesa lapor diri

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan, hari ini, menggesa semua penumpang pesawat AirAsia X D7 2723 yang tiba di Kuala Lumpur dari Melbourne, Australia, Jumaat lalu supaya menghubungi kementerian itu berikutan pengesanan kes ketujuh yang positif Influenza A (H1N1) di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata penumpang tersebut khasnya yang berada di tiga baris dari kerusi bernombor 31A (dari arah hadapan, belakang, kiri dan kanan) diminta menghubungi kementerian itu di talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 dari jam 8 pagi hingga 9 malam.

Semalam, Malaysia mengesahkan kes ketujuh positif H1N1 membabitkan seorang pelajar perempuan warga Australia yang datang ke Malaysia bersama-sama ibunya untuk menziarah saudara mara mereka di negara ini.

Mereka tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dari Melbourne pada jam 7 pagi dengan menaiki penerbangan itu yang membawa 258 penumpang dan pelajar terbabit duduk di kerusi bernombor 31A.

"Sehingga semalam, tiada kes baru dilaporkan. Jumlah kes yang disahkan Influenza A (H1N1) masih kekal tujuh kes import. Kelima-lima kes yang dilaporkan pada 4, 5 dan 6 Jun masih dalam rawatan dan telah beransur pulih serta berkeadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehingga kini, katanya, 153 orang kontak sedang dikenakan kuarantin di rumah dan kesemuanya dalam keadaan sihat tanpa gejala jangkitan Influenza A (H1N1).

Dr Ismail turut menggesa pelajar Malaysia di luar negara yang sedang bercuti musim panas supaya menangguhkan perjalanan pulang ke tanah air jika mereka mempunyai tanda-tanda penyakit itu.

Katanya, bagi mereka yang sudah pulang dan mempunyai tanda-tanda jangkitan, haruslah segera mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berdekatan.

Beliau berkata, setakat ini, sejumlah 20 notifikasi kes yang mempunyai tanda jangkitan selepas kembali dari luar negara sudah diterima di seluruh negara dan dimasukkan ke empat hospital rujukan Influenza A (H1N1) bagi tujuan rawatan dan penyiasatan.

"Daripada 20 kes itu, 16 adalah negatif terhadap Influenza A(H1N1) dan empat masih menunggu keputusan," katanya. - Bernama

Pelajar warga Australia disah positif H1N1

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan warga Australia berusia 15 tahun yang datang ke Malaysia bersama ibunya untuk menziarahi saudara mereka di sini disahkan positif Influenza A (H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataannya berkata, kes ketujuh sehingga jam 5 petang semalam itu, dikesan apabila pelajar perempuan terbabit didapati mempunyai suhu badan yang tinggi ketika saringan demam menggunakan alat pengimbas di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT)

"Mereka tiba di LCCT daripada Melbourne pada jam 7 pagi, 5 Jun lalu melalui penerbangan AirAsia X D7 2723 dan daripada pemeriksaan lanjut pasukan perubatan bertugas, pesakit memberitahu mengalami demam, batuk dan sakit tekak sehari sebelum ketibaan di sini.

"Pesakit dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 8.15 pagi dan dimasukkan ke wad khas pada jam 9.50 pagi. Beliau disahkan menghidap jangkitan H1N1 dan diberi rawatan antiviral kini dalam keadaan stabil," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, setakat ini, ibu pesakit tidak menunjukkan tanda jangkitan dan kini dikuarantin.

"Kami dimaklumkan pesawat AirAsia X D7 2723 membawa 258 penumpang dan pesakit duduk di kerusi 31A. Oleh itu, kementerian meminta semua penumpang pesawat terbabit terutama yang duduk di tiga baris hadapan, belakang, kiri dan kanan menghubungi kementerian melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 antara jam 8 pagi hingga 9 malam," katanya.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan kes keenam membabitkan pelajar berusia 28 tahun yang menaiki penerbangan Malaysia MH091 dari New York dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7 pagi Rabu lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, sehingga jam 8 pagi semalam, jumlah terkumpul kes H1N1 yang dilaporkan ke WHO adalah 22,092 kes dengan 125 kematian daripada 69 negara iaitu pertambahan sebanyak 2,274 kes dan 8 kematian dari hari sebelumnya.

H1N1: 5 lagi kes disahkan di China

BEIJING: Pihak berkuasa kesihatan China hari ini mengesahkan lima lagi kes Influenza A (H1N1) di negara itu menjadikan semua 72 orang setakat ini.

Kes penghidap terbaru itu membabitkan mereka yang baru pulang dari melawat Amerika Syarikat dan Kanada, baru-baru ini.

Penghidap terbaru itu kini tinggal di Beijing dan Wilayah Hubei, Guangdong dan Sichuan.

Pihak berkuasa setakat ini sudah mengkuarantin 15 orang yang mempunyai hubungan rapat dengan dua wanita di Beijing yang disahkan positif H1N1 dan kedua-duanya baru balik dari Amerika Syarikat beberapa hari lalu. - AFP

Program nuklear Iran untuk keamanan

TEHRAN: Iran semalam menjelaskan satu laporan daripada pihak pemerhati bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan program nuklear di Iran adalah untuk tujuan keamanan, bukannya untuk menghasilkan bom atom seperti didakwa Barat.

Laporan Jumaat lalu menyebut, Iran sudah meningkatkan penggunaan uranium untuk program nuklearnya sehingga 5,000 unit dan menyukarkan pihak penyiasat PBB untuk memantau program nuklear Tehran itu.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menyebut, Iran sudah meningkatkan kadar penyeluaran uranium berkadar rendah (LEU)untuk tambahan stok bekalannnya daripada 500 kilogram (kg) kepada 1,339 kg dalam tempoh enam bulan lalu.

Bagaimanapun, Duta Iran ke IAEA, Ali Ashgar Soltanieh menafikan perkara itu dan laporan itu tidak memberikan bukti Tehran menukar program nuklearnya untuk membuat senjata.

"Malah, adalah jelas dokumen yang didapati IAEA ini membuktikan program nuklear kami hanya untuk membawa kebaikan dan keamanan negara kami," katanya dalam satu progran tv, semalam.

Beliau berkata, Iran tidak akan menghentikan program nuklearnya atau menghentikan kerjsamanya dengan IAEA.

Tehran sebelum ini menjelaskan program nuklearnya hanya untuk menghasilkan tenaga elektrik, bukan untuk tujuan pertahanan dan ketenteraan. - Reuters

Mayat pertama pesawat Air France ditemui

BRAZIL/PARIS: Anggota penyelamat Brazil menemui mayat pertama mangsa nahas pesawat Air France di Lautan Atlantik, dengan kumpulan penyiasat berkata bacaan kelajuan yang salah kemungkinan punca nahas itu.

Kapal tentera laut menemui dua mayat lelaki dan serpihan bangkai pesawat, termasuk kerusi biru pesawat yang nombor sirinya sama dengan pesawat Air France penerbangan 477.

Pada poket kerusi itu terdapat kad kesihatan, sebuah beg bimbit dengan tiket Ari France di dalamnya.

"Pagi ini jam 8.14 pagi (waktu tempatan Brazil) kami mengesahkan anggota penyelamat menemui mayat dan beberapa sisa pesawat Air France," kata jurucakap tentera, Jorge Amaral kepada wartawan di utara bandar Recife.

Pesawat tentera udara dan laut Brazil melakukan operasi mencari dan menyelamat di Atlantik sehingga menjangkau 1,100 kilometer di utara pantai Brazil sejak pesaawat Airbus A330-200 milik Air France hilang Isnin lalu, mengorbankan semua 228 penumpang dan anak kapalnya.

Nahas pesawat dari Rio de Janeiro ke Paris itu adalah bencana paling buruk di dunia sejak 2001 dan paling buruk membabitkan sejarah syarikat penerbangan Air France sejak 75 tahun.

Apa yang dikhuatiri, mayat mangsa dipercayai tenggelam di dasar laut atau dibaham jerung.

Teori menyatakan nahas berlaku akibat sensor kelajuannya tidak berfungsi, menyebabkan juruterbang mengaktifkan semula kelajuan yang salah ketika pesawat dikatakan melalui zon ribut petir ketika itu.

Pihak penyiasat nahas itu semalam berkata Airbus mengesan bacaaan kelajuan pesawat A330 tidak berfungsi dengan baik dan meminta semua pelanggannya menukar alat itu. - Reuters

Saturday, June 6, 2009

H1N1: Remaja mengandung korban pertama di Dominica

SANTO DOMINGO: Korban pertama Influenza A (HIN1) disahkan di Republik Dominica, membabitkan seorang remaja yang sedang mengandung, semalam.

Setiausaha Kesihatan Awam Bautista, Rojas Gomez mengumumkan, remaja itu adalah antara enam orang yang berdaftar kerana menghidap virus H1N1.

"Remaja itu meninggal dunia di pusat rawatan di Santo Domingo kerana H1N1," kata Rojas.

Pihak berkuasa kesihatan negara itu juga mengesahkan setakat ini 44 kes HIN1 dilaporkan.

Minggu lalu, kerajaan Dominica menafikan dakwaan pegawai Russia bahawa negara di pulau Caribbean itu tidak melaporkan jumlah sebenar mereka yang disahkan menghidap virus berkenaan.

Ini kerana warga Russia dilaporkan ramai yang menghidap virus H1N1 selepas melawat kepulauan berkenaan tetapi Dominica melaporkan hanya dua pesakit disahkan H1N1.

Sebelum ini, beberapa kes H1N1 di benua Amerika Selatan, termasuk di Peru dikaitkan dengan Dominica selepas mangsa pulang daripada berkunjung ke negara itu. - AFP

H1N1: Kes ketujuh hari ini babit pelancong Australia

KUALA LUMPUR: Malaysia mengesahkan satu lagi ke Influenza A(H1N1) hari ini membabitkan pelancong Austalia berusia 15 tahun, menjadikan tujuh kes setakat ini.

Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Hasan Abdul Rahman, berkata kanak-kanak perempuan yang tiba di Kuala Lumpur bersama ibunya itu kini dirawat di hospital selepas dikesan di pusat saringan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Bagaimanapun, emak kanak-kanak itu tidak menunjukkan sebarang simptom tetapi dikuarantin sebagai tindakan pencegahan.

Sabah & Sarawak: Pengasah mahu kemuka isu e-diesel kepada PM

KOTA KINABALU: Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah) akan membawa isu keengganan kerajaan Sabah menyokong cadangan persatuan itu mengurus tadbir perniagaan pembekal dan peruncit subsidi diesel (e-diesel) dan petrol (e-petrol) nelayan di seluruh negeri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak lama lagi demi kepentingan 15,000 nelayan kecil Bumiputera.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Pengerusi Pengasah, Madrah Talih, kelmarin.

"Ketika ini perniagaan itu diurus Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) iaitu agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri," katanya pada siang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Pengasah di sini, kelmarin.

Hadir sama Pendaftar Persatuan Nelayan Malaysia, Sa'adom Abdul Wahab.

Abdul Rahim berkata, perniagaan e-diesel dan e-petrol sepatutnya boleh ditadbir urus Pengasah berikutan kelemahan Ko-Nelayan mengurusnya sehingga ramai nelayan tidak mendapat kemudahan itu terutama nelayan kecil Bumiputera hidup miskin yang beroperasi di pesisir pantai.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis, berkata isu itu pernah dibahasnya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sembilan bulan lalu dan tidak mendapat persetujuan kerajaan negeri.

"Sepatutnya Pengasah diberi peluang mengurus penyaluran subsidi itu kerana mereka lebih mengenali dan memahami nasib nelayan berbanding Ko-Nelayan.

"Ketika subsidi e-diesel dan e-petrol diperkenalkan pada 1 Jun 2006 mungkin mereka tidak mampu mengurusnya dan diserahkan kepada Ko-Nelayan tetapi kini keadaan sudah berubah dan Pengasah boleh menjadi pembekal dan peruncit bahan bakar itu.

"Saya menyokong usaha persatuan itu untuk membawa isu berkenaan kepada Perdana Menteri, namun sebelum itu ia perlu dibincangkan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan agensi berkaitan penyaluran subsidi berkenaan seperti LKIM," katanya.

Abdul Rahim memberi contoh, penyaluran e-diesel dan e-petrol berjalan lancar di Semenanjung kerana ditadbir urus Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) sehingga ramai nelayan hidup kaya berbanding di Sabah yang hidup miskin.

Beliau turut mengumumkan, LKIM Sabah menerima peruntukan RM20 juta tahun ini untuk menjayakan pelbagai projek meliputi infrastruktur perikanan, dana nelayan dan transformasi perikanan.

Terdahulu, Jamrah menyuarakan ketidakpuasan hati persatuan mewakili 15,000 nelayan kecil di seluruh Sabah itu kerana kegagalan mereka menikmati e-diesel dan e-petrol yang ditadbir urus Ko-Nelayan.

"Kami hairan kenapa kerajaan negeri tidak menyokong usaha Pengasah sedangkan ia untuk kebaikan nelayan terutama nelayan kecil Bumiputera," katanya.

Sabah & Sarawak: Saliran jejas usaha tanam padi dua kali setahun

TAMPARULI: Pesawah di Kampung Rongolis, kira-kira 40 km dari sini, merayu Jabatan Pengairan Saliran (JPS) membaiki segera sistem saliran bagi membolehkan mereka mengusahakan tanaman padi dua kali setahun seperti dirancang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penanam Padi Kampung Rongolis, Gubod Sedau, berkata kelewatan JPS melaksanakan pembaikan sistem saliran sawah di kampung itu membantutkan rancangan petani melaksanakan penanaman padi dua kali setahun.

"Mengikut perancangan, kira-kira 35.2 hektar daripada 48 hektar sawah di Kampung Rongolis boleh diusahakan dengan tanaman padi dua kali setahun dan dijadual mula dilaksanakan bulan depan.

"Bagaimanapun, pelaksanaan itu tertakluk kepada keadaan kemudahan terutama sistem saliran yang membolehkan sawah memperoleh bekalan air cukup," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Rancangan penanaman padi dua kali setahun itu membabitkan 57 petani yang sebelum ini mengusahakan tanaman padi secara komersial.

Gubod berkata, selain sukar mendapatkan bekalan air untuk sawah, petani kampung itu tidak banyak menghadapi masalah mengusahakan sawah mereka dengan tanaman padi dua kali setahun.

Sehubungan itu, katanya, jika masalah sistem saliran dapat ditangani segera oleh JPS, rancangan menanam padi dua kali setahun di kampung itu berupaya dilaksanakan, sekali gus mencapai sasaran pengeluaran hasil padi 10 metrik tan sehektar setiap musim tuaian.

Beliau berkata, penanaman padi dua kali setahun itu menggunakan kaedah pembahagian kawasan mengikut blok sawah kampung bagi memastikan keberkesanannya.

Katanya, petani mempersetujui empat blok sawah diwujudkan iaitu blok Pinotoki, blok Pinogayo, blok Morugi dan blok Sawah merangkumi kawasan seluas 48 hektar.

Gubod berkata, usaha itu mendapat kerjasama dan pemantauan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tuaran serta Jabatan Pertanian Tuaran.

Sabah & Sarawak: Pusat maklumat PTPTN dapat sambutan

KOTA KINABALU: Pusat maklumat Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang diwujudkan di ibu negeri pada Oktober lalu menerima purata 15 hingga 20 pengunjung sehari, kebanyakannya pelajar dan ibu bapa yang mahu mendapatkan maklumat mengenai pinjaman PTPTN.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Hou Kok Chung, berkata pusat maklumat itu turut menerima kira-kira 25 pertanyaan sehari mengenai pinjaman PTPTN menerusi telefon daripada pelajar dan ibu bapa di seluruh negeri.

Katanya, langkah PTPTN mewujudkan pusat itu berjaya mengatasi kerumitan mengenai pinjaman PTPTN dialami pelajar dan ibu bapa di Sabah yang sebelum ini terpaksa mengajukan masalah di ibu pejabat PTPTN di ibu negara.

"Penubuhan pusat maklumat ini adalah antara hasil dialog Kementerian Pengajian Tinggi dengan pihak pengurusan institusi pengajian tinggi (IPTS) di Sabah tahun lalu.

"Saya berterima kasih kepada PTPTN kerana mengambil kira maklum balas IPTS negeri ini. Sejak beroperasi, seramai 650 orang kebanyakannya pelajar dan ibu bapa telah mengunjungi pusat berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan Sektor Pengurusan IPTS, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi dengan pegawai pengurusan IPTS Zon Sabah, di sini, kelmarin.

Hou berkata, penubuhan pusat maklumat itu antara langkah drastik dilaksanakan kementerian dalam usaha menambah baik sistem penyampaiannya supaya lebih lancar dan cekap.

"Usaha menambah baik sistem penyampaian kementerian akan diteruskan berdasarkan maklum balas IPTS dan orang ramai mengenai pelbagai perkara yang memerlukan peningkatan.

"Kementerian sentiasa bersedia mendengar maklum balas yang diberikan tidak kira sama ada sedap didengar atau sebaliknya, namun biarlah yang berbentuk membina," katanya.

Mengenai maklum balas berhubung dasar membabitkan IPTS yang dibangkitkan IPTS di Sabah pada sesi dialog tahun lalu, Hou berkata, pihaknya akan merumuskan tindakan pada seminar IPTS kebangsaan akhir tahun ini.

Katanya, rumusan itu akan dibuat serentak dengan maklum balas menerusi sesi dialog zon lain di seluruh negara.

"Kini cuma tinggal dialog IPTS Zon Selatan pada 2 Julai ini," katanya.

Beliau berkata, perjumpaan dengan IPTS Zon Sabah kali ini bertujuan mengemas kini maklumat IPTS mengenai pindaan Akta IPTS 1996 yang diluluskan Parlimen baru-baru ini.

Turut diterangkan, katanya, ialah maklumat mengenai Audit dan Pemeriksaan IPTS bagi tahun ini, pengurusan aduan IPTS dan Sistem Penilaian Kendiri terhadap IPTS.

Sabah & Sarawak: Tiga terpilih Tokoh Guru Sabah

KENINGAU: Tiga warga pendidik dipilih sebagai Tokoh Guru Sabah 2009 sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri ke-38 di sini, semalam.

Bekas Ketua Nazir Sabah, Aminah Musally, 59, Bekas Pegawai Pelajaran Lahad Datu, Zainal Abdin Laja, 59 dan Allahyarham Datuk Shuhaibun Yussof dipilih berdasarkan ketokohan serta kredibiliti masing-masing sepanjang bertugas sebagai guru dan menjawat pelbagai jawatan penting dalam perkhidmatan sebelum bersara.

Aminah yang berasal dari Beaufort, menyifatkan penghargaan itu sebagai pencapaian tertingginya selepas menunaikan tanggungjawab dalam perkhidmatan pendidikan.

"Kita mesti berbangga dengan kerjaya sebagai guru dan ikhlas dalam berbakti terhadap bangsa, agama dan negara.

"Saya mungkin bersara daripada perkhidmatan tetapi tetap menabur bakti," katanya.

Beliau ditemui selepas menerima anugerah daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Zainal Abdin berkata, keikhlasan dalam tugas adalah perkara utama untuk membolehkan pendidik menyerap rasa tanggungjawab terhadap kerjaya itu.

"Saya masih dipanggil `cikgu' walaupun sudah bersara dan bagi saya, itu adalah pencapaian tersendiri yang wajar dibanggakan," katanya.

Datin Ripah Julang, 63, yang hadir mewakili arwah suaminya, terharu dengan pengiktirafan itu.

"Bagi pihak keluarga, saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan dan penghormatan ini akan kami kenang selama-lamanya," katanya.

Shuhaibun meninggal dunia pada 25 Mac lalu selepas bersara daripada perkhidmatan pada Disember 1989.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh.

Sabah & Sarawak: Dana RM400 juta untuk bina rumah mesra rakyat

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM400 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk pembinaan projek perumahan rakyat demi keselesaan penduduk negeri ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin berkata projek perumahan yang dibina Jabatan Perumahan Negara (JPN) itu meliputi Projek Perumahan Rakyat (PPR), Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) dan Rumah Mesra Rakyat.

"Kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk memajukan projek pembinaan rumah dengan menyalurkan peruntukan besar membantu mencapai sasaran semua rakyat negeri ini memiliki kediaman sendiri.

''Projek seumpama ini juga memanfaatkan penduduk Sabah khususnya mereka yang berpendapatan rendah," katanya kepada media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-pertua Negeri Sabah Tun Ahmad Shah Abdullah di Istana Negeri, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah PPR, Jabatan Perumahan Negara, Wan Hussin Wan Hassan dan Pengarah Bahagian Penilaian dan Penyelarasan Jabatan Landskap Negara, Nurshukhah Daud.

Lajim berkata, JPN kini sedang membina beberapa projek perumahan kos rendah untuk menampung permintaan rakyat khususnya di bandar raya ini, Sandakan dan Tawau.

"JPN memberi keutamaan kepada projek perumahan di kawasan bandar kerana menyedari permintaan yang tinggi terutama daripada golongan yang berpendapatan rendah dan mempunyai keluarga ramai.

“Projek perumahan di negeri ini semakin penting berikutan populasi penduduk yang kian meningkat” katanya.

Lajim juga berkata, JPN sentiasa berusaha memberi keutamaan kepada Sabah untuk mengembangkan lagi projek perumahan bagi memastikan rakyat mampu memiliki kediaman yang serba lengkap dan selesa.

“Kini dengan sewa hanya RM124 sebulan, golongan berpendapatan rendah mampu mendiami rumah yang selesa dengan menginap di pangsapuri yang berkonsepkan mesra rakyat mempunyai tiga bilik” katanya.

Friday, June 5, 2009

Seorang lagi pelajar hidap H1N1

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia yang pulang dari New York, Amerika Syarikat (AS) Isnin lalu disahkan positif Influenza A (H1N1), menjadikannya kes import keenam sehingga kini.

Pelajar berusia 28 tahun itu adalah penumpang penerbangan MH091 dari New York, pesawat sama dinaiki mangsa ketiga, juga seorang pelajar.

Beliau disahkan positif H1N1 pada jam 3 petang tadi dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Tiga kes baru H1N1 dilaporkan stabil

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa ketiga-ketiga pesakit baru yang disahkan Influenza A(H1N1) semalam, masih di rawat dan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sehingga kini kes sah Influenza A(H1N1)import di negara ini masih kekal seramai lima orang.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan tiga lagi kes jangkitan virus influenza A(H1N1).

Kes pertama H1N1 yang dilaporkan semalam membabitkan seorang penuntut berusia 23 tahun yang baru balik dari Amerika Syarikat menaiki pesawat Malaysia Airlines MH091 pada Isnin lalu.

Penuntut berkenaan tidak mengalami demam semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tetapi mula demam dan batuk dua hari kemudian.

Dua lagi pesakit adalah warganegara Jerman yang juga penumpang pesawat AirAsia AK702 dari Singapura ke Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Mereka yang masing-masing berusia 30 dan 32 tahun bertolak dari Jerman untuk melancong di Singapura dan kemudian berkunjung ke negara ini semalam dan menunjukkan tanda-tanda demam selepas tiba di Kuala Lumpur.

Penuntut berkenaan telah menerima rawatan antiviral di Hospital Tuanku Jaafar Seremban manakala dua lagi pesakit lelaki warganegara Jerman menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sementara itu, Dr Mohd Ismail berkata kini seramai 71 daripada 276 penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines MH091 dikesan berada di Malaysia manakala 20 daripada 78 penumpang dan anak kapal pesawat AK702 juga berjaya dikesan.

"Mereka akan diletakkan di bawah kuarantin rumah sehingga Isnin ini bagi MH091 dan 10 Jun bagi pesawat AK702," katanya.

Seramai 63 kontak sedang di bawah kuarantin rumah dan semua mereka dilaporkan dalam keadaan sihat tanpa gejala jangkitan Influenza A(H1N1).

Mereka yang dikuarantin itu, dua daripadanya ialah kontak kes Hong Kong yang tamat hari ini, selain 35 adalah kontak kepada kes ketiga dan 26 adalah kontak kes keempat dan kelima, katanya.

"Pengesanan penumpang-penumpang lain sedang diteruskan,' katanya

Kementerian Kesihatan memohon kerja sama semua penumpang dan anak kapal terbabit untuk menghubungi KKM (Kementerian Kesihatan) melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 untuk nasihat kesihatan termasuk keperluan kuarantin rumah.

Beliau juga memaklumkan sehingga 12 tengah malam tadi, sejumah 22 notifikasi kes yang mempunyai tanda jangkitan influenza sekembali melawat negara yang terbabit dengan wabak itu diterima dari seluruh negara termasuk dua kes yang disahkan sebelum ini.

Katanya, daripada 22 kes itu, dua telah disahkan positif terhadap wabak itu, 12 adalah negatif dan lapan masih menunggu keputusan.

Sehingga kini, jumlah terkumpul kes yang disiasat kerana mendapat simptom jangkitan Influenza selepas melawat negara yang terbabit ialah sebanyak 433 kes. - Bernama

rahsia diri kamu

Januari (Garnet)
Batu Garnet yang berwarna merah sesuai dengan perwatakan kamu yang sememangnya berani. Namun ada ketikanya kamu menjadi seorang yang misteri dan tidak terbuka untuk meluahkan apa yang terpendam.

Februari (Amethyst)
Kamu yang lahir dalam bulan ini cukup menyenangkan. Sikap kamu yang lucu buat orang sekeliling kamu melupakan masalah mereka seketika. Sesuai dengan batu permata Amethyst yang sememangnya dikatakan boleh menghilangkan tekanan, begitu juga dengan kamu.

Mac (Aquamarine)
Kamu mempunyai keyakinan yang tinggi. Tiada benda dalam dunia yang kamu rasakan mustahil. Personaliti kamu juga sentiasa bersinar dan membuatkan diri kamu porpular di kalangan rakan-rakan kamu.

April (Berlian)
Kamu seorang yang berani, namun ada seketikanya kamu akan berasa gementar dengan situasi yang kamu hadapi. Namun keyakinan terhadap diri kamu sendiri membantu kamu untuk terus melangkah maju ke hadapan sama seperti berlian yang sentiasa bergemerlapan.

Mei (Emerald)
Batu Emerald mewakili kamu yang lahir dalam bulan ini. Kamu seorang yang cool dan sentiasa rasional ketika membuat sesuatu keputusan. Mungkin kerana itu kamu sering dijadikan bahan rujukan oleh teman-teman.

Jun (Muntiara)
Happy go lucky adalah sikap kamu yang disenangi oleh rakan-rakan sekeliling kamu. Bagi kamu tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan dan kamu selalu berfikiran positif dalam segala hal.

Julai (Rubi)
Kamu adalah penyokong setia kawan-kawan kamu. Tidak kira ketika senang ataupun susah, tangan kamu sentiasa terbuka untuk kawan-kawan kamu. Sikap kamu yang sentiasa menyokong membuatkan diri mereka rasa dihargai.

Ogos (Peridot)
Kamu mempunyai perwatakan yang lembut. Kamu juga baik hati dan sering menolong orang yang dalam kesusahan. Pasti ramai yang ingin berkawan dengan kamu kerana kamu bukan sahaja baik hati tetapi juga bermurah.

September (Sapphire)
Kamu boleh menjasi seorang yang ceria dan boleh juga menjadi seorang yang serius. Ini membuat kadang-kala ada yang takut untuk dekat dengan kamu. Walau bagaimanapun jauh di sudut hati kamu, kamu seorang yang baik hati dan tak lokek untuk menghulurkan salam persahabatan dan pertolongan.

Oktober (Opal)
Ceria dan bijak, itulah diri kamu. Keceriaan kamu mencerminkan diri kamu yang sentiasa berfikiran positif. Namun ada seketikanya kamu menjadi seorang yang tegas dalam membuat sesuatu keputusan. Paling penting keputusan itu untuk kepentingan bersama.

November (Topaz)
Kreatif sungguh kamu ini. Bukan sahaja pemikiran yang kreatif, malah kamu juga boleh membuat kraftangan. Kamu disukai kerana mempunyai banyak idea untuk dikongsi bersama rakan-rakan.

Disember (Turquoise)
Kamu ini sangat suka berbelanja, Tak sah kalau kamu ke kedai pulang tangan kosong. Tidak kisah nak berbelanja, asalkan kamu tahu apa yang perlu dan apa yang tidak. Namun begitu, kamu juga permurah dan suka belanja rakan-rakan kamu

Korea Utara ceroboh perairan Korea Selatan

SEOUL: Korea Selatan berkata bot peronda Korea Utara menceroboh perairannya di sempadan maritim yang dipertikaikan tetapi berundur hampir sejam kemudian selepas berulang kali diberi amaran.

Sementara itu, diplomat kanan Amerika Syarikat mengingatkan Pyongyang bahawa tindakan buruk mereka tidak akan lagi dibiarkan.

Ketegangan di laut itu berlaku ketika kebimbangan Korea Utara akan cuba melakukan provokasi bagi memulakan pertempuran di kawasan itu seperti pada 1999 and 2002 untuk meningkatkan ketegangan.

Pyongyang juga mengadakan latihan serangan amfibia berhampiran sempadan laut dan dilihat bersedia untuk menjalankan lebih banyak ujian peluru berpandu.

Penvcerobohan di laut itu berlaku ketika Timbalan Setiausaha Negara AS berada di Seoul bagi mengatur tindak balas terhadap kedegilan Pyongyang.

Laporan akhbar tempatan menyatakan delegasi pegawai kanan AS itu sedang merangka sekatan kewangan terhadap Pyongyang.

Steinberg memberitahu Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak, bahawa "Korea Utara tersilap jika ia fikir boleh melakukan provokasi dan mendapat apa yang dinginnya menerusi runbdingan seperti masa lalu. AS tidak akan mengulangi kesilapan sama." - AP

AS, dunia Islam perlu jalin hubungan baru


CENDEKIAWAN dan wartawan Indonesia menonton ucapan Obama.

Obama cuba pulih imej Washington

KAHERAH: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, menyarankan satu 'permulaan baru' dalam hubungan di antara negaranya dengan dunia Islam dalam ucapan di sini yang membincangkan isu nuklear Iran, operasi tentera negaranya di Iraq, Afghanistan dan Pakistan serta mengulangi sokongan kepada pembentukan negara Palestin.

“Kita bertemu ketika hubungan di antara Amerika dan orang Islam di seluruh dunia tegang, berpunca daripada faktor sejarah yang melampaui mana-mana perdebatan semasa.

“Saya datang untuk menggerakkan hubungan baru di antara Amerika dan orang Islam seluruh dunia berdasarkan prinsip kepentingan bersama dan saling menghormati.

“Amerika dan Islam bukanlah sesuatu yang eksklusif dan tidak perlu bersaing,” katanya di Dewan Besar Universiti Kaherah, di sini semalam.

Tepukan gemuruh dan jeritan ‘Saya cinta kamu’ kedengaran sekali sekala ketika Obama berucap. Jelas, misi utamanya ialah memu-lihkan imej Amerika yang tercalar di mata satu bilion penduduk Islam di seluruh dunia kerana melancarkan perang di Afghanistan serta Iraq selain isu seksaan terhadap tahanan Islam.

Ali Khamenei

Mesej Obama, bagaimanapun, disanggah Iran, Osama bin Laden dan Hamas. Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam ucapannya menyifatkan Amerika amat dibenci di Asia Barat dan hanya tindakan bukannya slogan dapat mengubahnya.

Pemimpin al-Qaeda dalam mesej di laman webnya memberi amaran kepada orang Islam supaya tidak bekerjasama dengan orang Kristian dan Yahudi kerana itu akan menyebabkan mereka murtad, sebaliknya menggesa mereka memerangi ‘kafir.’

Hamas pula enggan menerima bulat-bulat kata-kata Obama meskipun ia diterima baik Presiden Mahmud Abbas.

Obama yang berharap dapat membina sokongan daripada kerajaan negara Islam untuk inisiatif diplomatiknya, mengesahkan sekali lagi komitmennya kepada penubuhan negara Palestin.

“Penubuhan negara Palestin memenuhi kepentingan Israel, Palestin, Amerika dan dunia. Itulah sebabnya saya berhasrat menangani perkara ini,” katanya.

Katanya lagi, penduduk Palestin perlu menamatkan keganasan di Kaherah dan menerima hak Israel untuk wujud manakala Israel wajar berhenti membina penempatan Yahudi.

“Amerika tidak menerima kegiatan membina penempatan Yahudi yang tidak sah.”

Obama juga berkata, Iran sepatutnya mendapat akses penuh mengenai kuasa nuklear tetapi ia mesti akur kepada perjanjian tidak menyebar senjata nuklear. Sambil menyokong penubuhan negara Palestin, Obama juga mendesak Israel berhenti membina penempatan Yahudi.

“Ia adalah kepentingan Israel, kepentingan Palestin, kepentingan Amerika dan dunia,” katanya sambil berjanji berusaha mencapai penyelesaiannya.

‘Merujuk kepada operasi tentera di Afghanistan, Obama berkata, Amerika tidak berminat terus menempatkan askarnya di negara Teluk itu. - Reuters

Thursday, June 4, 2009

Muhyiddin lawat Pasar Tani Putatan

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melawat Pasar Tani Putatan dekat sini sejurus tiba dari ibu negara.

Muhyiddin, yang diiringi isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, melawat 67 gerai, termasuk 14 gerai agensi dan jabatan kerajaan, yang mempamer dan menjual pelbagai produk makanan dan kraftangan.

Turut sama, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin.

Malam ini, Timbalan Perdana Menteri dijadual menghadiri jamuan bersama pemimpin-pemimpin Barisan Nasional negeri dan anggota perkhidmatan awam di sini.

Esok, Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, akan merasmikan Hari Guru peringkat megeri di SMK Ken Hwa, Keningau. - Bernama

RM20 juta untuk nelayan Sabah

KOTA KINABALU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan RM20 juta kepada nelayan di Sabah untuk tahun ini, kata Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Rahim Ismail.

Beliau berkata, peruntukan tersebut termasuk untuk pembangunan infrastruktur, pembangunan dana nelayan dan transformasi nelayan.

Berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-12 Persatuan Nelayan Sabah (Perkasa) di sini, hari ini, beliau berkata Sabah adalah peserta transformasi nelayan yang tertinggi di negara ini iaitu 22 daripada 77 kesemuanya. - Bernama

3 kes baru H1N1 dikesan hari ini: Liow

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memaklumkan tiga kes baru Influenza A dikesan hari ini sehingga jam 5 petang tadi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kes pertama membabitkan pelajar tempatan berusia 23 tahun di Seremban yang baru pulang dari Amerika Syarikat untuk bercuti.

Katanya, kes kedua dan ketiga pula membabitkan dua lelaki warga Jerman, masing-masing berusia 32 dan 30 tahun, yang bercuti di Malaysia.

"Mereka tiba dengan penerbangan AirAsia AK702 dari Singapura semalam dan membuat pemeriksaan di sebuah hospital swasta selepas mengalami demam dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Ulat merawat luka kronik


ULAT yang melakukan 'rawatan.'


Mungkin ulat-ulat ini dapat menyelamatkan kaki mak cik daripada dipotong," itulah kata-kata semangat seorang perawat kepada seorang penghidap kudis kronik di kaki akibat diabetis yang teruk.

"Jangan bimbang mak cik, ulat-ulat ini cuma makan luka dan kulit yang mati sahaja, yang elok langsung dia tak usik," kata perawat itu lagi.

Itulah kata-kata seorang perawat yang mengamalkan Maggot Debridement Therapy bagi pesakit diabetis yang mempunyai luka atau kudis yang kronik dan sukar untuk sembuh.

Menurut pengurus Edaran Arif Medik Sdn. Bhd., Mohd. Ashraf Kamarul Zaman, yang juga pengurus projek Maggot Debridement Therapy, penggunaan 'ulat lalat' di Malaysia untuk tujuan perubatan adalah yang pertama setakat ini.

"Kajian mengenai kaedah ini telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR)," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Menurut Mohd Ashraf, spesies ulat lalat yang digunakan itu adalah dari jenis Lucilia Cuprina iaitu lalat tempatan, manakala di negara-negara Barat, spesies yang digunakan dikenali sebagai Lucilia Sericata.

Kedua-dua spesies ini telah dikenalpasti berkesan dalam merawat luka kronik yang sukar sembuh.

"IMR telah membuat kajian mengenai ulat lalat ini dan menemui satu spesies berlainan dengan yang terdapat di Eropah, ianya dikenali sebagai Lucilia Cuprina yang dapat memainkan peranan dalam menyembuhkan luka", kata beliau lagi.

Mohd. Ashraf berkata syarikat Medical Biotheraphy Sdn. Bhd., anak syarikat Edaran Arif Medik, telah pun mendapat hak eksklusif daripada IMR untuk memasarkan ulat-ulat tersebut bermula Disember 2008 di negara ini.

Kini ia dipasarkan di hospital, klinik dan pusat yang berdaftar.

Beliau berkata, ulat lalat ini mampu membantu merawat luka kronik yang dialami oleh manusia.

Menurut Mohd. Ashraf, ulat lalat ini merawat kulit yang ada luka terlalu kronik, contohnya pesakit diabetes apabila mempunyai luka yang kecil mudah merebak, membesar dan payah untuk sembuh.

"Kesukaran pesakit diabetes sembuh daripada luka pula adalah disebabkan terdapatnya tisu mati yang menyebabkan peredaran darah menjadi terbantut dan jangkitan senang berlaku."

Menurut beliau, ulat-ulat berkenaan berfungsi dengan memakan tisu yang sudah mati dan apabila menjumpai tisu yang hidup ulat-ulat itu akan berhenti daripada memakan bahagian tersebut.

Katanya lagi, proses untuk menyembuhkan luka pesakit bergantung kepada tahap teruk luka yang dialami.

"Kalau luka di peringkat awal, tapi ada tisu mati, kita letak lava (ulat) ini dalam 48 jam, sekali aplikasi. Maksudnya jika kita letak ulat tu hari ini, lusa baru kita akan buka (balutan).

Mohd Ashraf berkata, penggunaan ulat ini dalam penyucian luka memang bagus kerana ulat lalat ini mempunyai enzim yang mampu untuk mempercepatkan penumbuhan tisu.

"Ulat ni tak makan macam kita (manusia) makan, ulat ni bila dia nak makan dia akan rembeskan enzim dulu. Enzim tersebut akan mencairkan tisu-tisu mati dan ia pulihkan balik luka tersebut dengan mempercepatkan penumbuhan tisu," kata beliau lagi.

Beliau berkata, selain penggunaan ulat lalat ini bukan sahaja tertumpu pada pesakit kencing manis tetapi juka luka-luka lain seperti luka akibat kemalangan, kebakaran dan seumpama.

"Sebenarnya rawatan ini bukan pada pesakit kencing manis sahaja, cuma antibodi pesakit kencing manis sahaja yang agak kurang, jadi luka tu cepat merebak dan susah nak sembuh," kata beliau.

Kaedah rawatan ulat ini tidak boleh digunakan bagi mereka yang baru mengalami luka dalam kemalangan, cuma bagi pesakit yang mempunyai tisu yang mati sahaja.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulat lalat ini bolehlah menghubungi Edaran Arif Medik di talian 03-61891042 ataupun melayari laman web Http://sterilarvae.com. -- BERNAMA

Kes ketiga H1N1 di Malaysia

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar berusia 23 tahun yang baru pulang dari Amerika Syarikat pada Isnin lalu disahkan positif Influenza A (H1N1).

Pelajar terbabit yang pulang menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (Mas) kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

Ia adalah kes H1N1 ketiga yang disahkan di Malaysia. - NST

H1N1: Penumpang MH091 diminta hubungi kementerian

KUALA LUMPUR: Seramai 276 penumpang serta anak kapal penerbangan MH091 yang tiba dari Amerika Syarikat Isnin lalu diminta menghubungi Kementerian Kesihatan untuk diberikan nasihat kesihatan berhubung Influenza A (H1N1) serta keperluan kuarantin di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata, ini berikutan pengesahan seorang pelajar Malaysia yang menaiki penerbangan itu sebagai kes ketiga positif influenza A (H1N1).

Beliau berkata, pelajar berusia 23 tahun itu menaiki penerbangan MH091 dari Amerika Syarikat dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7.15 pagi Isnin lalu.

"Pelajar ini tidak mengalami demam semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, tetapi mula mengalami demam dan batuk semalam dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pelajar itu disahkan menghidap jangkitan influenza A (H1N1) oleh Institut Penyelidikan Perubatan pada 4 pagi tadi, dan beliau dalam keadaan stabil serta telah diberi rawatan antiviral.

Sabah & Sarawak: Bantuan kerajaan untuk diguna bukan dijual

PAPAR: Golongan sasar yang menerima pelbagai bantuan daripada kerajaan diingatkan supaya tidak menyalahgunakan sumbangan itu untuk mendapat keuntungan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata pemberian seperti zink dan kemudahan asas lain perlu dimanfaatkan seperti sewajarnya supaya keluarga mereka dapat tinggal dalam suasana selesa.

"Saya harap penerima memanfaatkan bantuan zink ini untuk membaiki atap rumah yang rosak.

"Jangan salah gunakan bantuan kerajaan dengan menjualnya kerana wangnya tidak seberapa manakala kediaman kekal tidak sempurna.

"Saya sudah mengarahkan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Pantai Manis memastikan bantuan itu digunakan sepenuhnya oleh penerima terbabit," katanya di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan zink menerusi peruntukan DUN Pantai Manis bagi 110 rumah rakyat miskin di Kampung Kuala dalam kawasan itu bagi menggantikan atap rumah mereka yang usang.

Beliau berkata, keseluruhan bantuan bernilai RM90,000 meliputi 5,000 keping zink.

Seorang penerima yang juga ibu tunggal, Kamariah Hassan, 62, berkata bantuan itu membolehkan beliau dan anaknya hidup lebih selesa.

"Selepas ini kami tidak perlu bimbang lagi setiap kali hujan kerana bumbung banyak yang bocor," katanya.

Dalam majlis berasingan, Abdul Rahim yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkata, rakyat Sabah yang menjadi ikon integrasi kaum di negara ini berikutan semangat muhibah dan toleransinya, perlu mengekalkan keistimewaan itu dan memelihara budaya murni yang menjadi amalan.

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Papar berkata, keistimewaan itu perlu diperturunkan kepada generasi muda supaya mereka mewarisi kehidupan aman, bahagia dan sejahtera.

"Tanpa integrasi kaum, suasana kehidupan sekarang akan bertukar kepada saling bermusuhan dan porak-peranda, sekali gus menyukarkan usaha memajukan rakyat.

"Rakyat di segenap pelusuk Negeri di Bawah Bayu saling menghormati pelbagai adat resam dan budaya etnik lain serta dikongsi asalkan tidak bercanggah dengan agama dan budaya mereka," katanya berucap merasmikan perayaan `Tadau Kaamatan' (Pesta Menuai) peringkat Kampung Sabandil dekat sini, kelmarin.

Hadir sama PKR Pantai Manis, Amri Abu Bakar; Ketua Kampung Sabandil, Anjohn Singah dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu, Lunchi Linjanun.

Pada majlis itu, Abdul Rahim turut merasmikan balai raya baru Kampung Sabandil bernilai RM80,000 yang memudahkan masyarakat setempat menjalankan pelbagai program kemasyarakatan dan kebudayaan.

Sabah & Sarawak: LPKP ambil tindak jika tak guna Wawasan Plaza

KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha bas yang enggan berhenti di terminal Wawasan Plaza berikutan pelaksanaan bas bandar raya sejak Isnin lalu.

Pengarahnya, Arifin Samsuddin, berkata pihaknya mengambil keputusan tidak membenarkan bas lain selain bas bandar raya beroperasi dalam bandar dengan mewajibkan pengusahanya menunggu penumpang di terminal Wawasan Plaza.

Katanya, arahan itu perlu dipatuhi semua pengusaha bas, termasuk syarikat bas yang sebelum ini menggunakan kawasan letak bas di hadapan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu sebagai terminal bas mereka.

"LPKP Sabah sudah memohon kerjasama daripada semua agensi penguat kuasa termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memantau pelaksanaan peraturan baru ini.

"Kita harap semua pengusaha bas memberi kerjasama dan mematuhi peraturan ditetapkan bagi memastikan pelaksanaan projek bas bandar raya ini berjalan lancar," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelaksanaan bas bandar raya (City Bus) yang memulakan operasi pada Isnin lalu seperti yang diumumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, baru-baru ini.

Arifin berkata, pihaknya sudah menentukan laluan bagi semua bas beroperasi di bandar raya yang berakhir di terminal Wawasan Plaza untuk mengelak kesesakan lalu lintas di pusat bandar, selain memastikan pelaksanaan bas bandar raya tidak terganggu.

"LPKP juga memberi jaminan semua bas yang berpangkalan di hadapan mahkamah akan diarah berpindah ke terminal Wawasan Plaza secepat mungkin selepas selesai perbincangan dengan agensi terbabit.

"Pemindahan ini perlu bagi meredakan rasa tidak puas hati di kalangan pengusaha bas lain yang mahu semua bas dipusatkan di terminal Wawasan Plaza berbanding menggunakan terminal berasingan ketika ini," katanya.

Ketika ini, Arifin berkata, terminal di hadapan mahkamah Kota Kinabalu digunakan syarikat Tuaran United Transport (TUT), Penampang Union Transport (PUT), Luen Tung Tanjung Aru Transport (LTT) dan syarikat City Bus.

Mengenai operasi bas bandar raya, beliau berkata, laluan perkhidmatan itu ditawarkan bayaran 50 sen sehala dengan dibahagikan kepada dua sektor, masing-masing mempunyai dua laluan berbeza.

Bagi Laluan Satu Sektor Satu, katanya, bas akan bergerak dari terminal Wawasan Plaza dengan melalui Jalan Tun Fuad Stephen, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Kemajuan (pusingan U di bawah jejantas) sebelum kembali ke terminal Wawasan Plaza.

Untuk Laluan Dua Sektor Satu pula, katanya bas akan bergerak dari terminal Wawasan Plaza melalui Jalan Wawasan, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Tun Fuad Stephen dan kembali ke terminal Wawasan Plaza.

"Bagi laluan Satu Sektor Dua pula, bas bandar raya akan bergerak dari Terminal Wawasan Plaza dengan melalui Jalan Tun Fuad Stephen, Jalan Tun Abdul Rahman, Jalan Kemajuan dan kembali ke terminal Wawasan Plaza.

"Untuk Laluan Dua Sektor Dua, bas bandar raya bergerak dari terminal Wawasan Plaza melalui Jalan Wawasan, Jalan Tun Abdul Rahman, Jalan Tun Fuad Stephen dan kembali ke terminal Wawasan Plaza," katanya.

Arifin berkata, pihaknya mengalu-alukan maklum balas berkaitan perkhidmatan bas bandar raya yang boleh dikemukakan kepada LPKP Sabah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) 088-231024.

Sabah & Sarawak: Kontraktor sambil lewa punca projek gagal siap

KOTA KINABALU: Sabah dikesan tidak terkecuali daripada masalah projek kecil gagal disiapkan mengikut jadual dan tidak menepati piawaian ditetapkan kerajaan berikutan sikap sambil lewa kontraktor kelas F sambilan.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) cawangan Sabah, Awadnir Matanggal, mendakwa masalah itu tidak berlaku sekiranya dijayakan kontraktor sepenuh masa yang mahukan hasil kerja berkualiti untuk memastikan terus mendapat tender bagi jangka panjang.

Beliau berkata, laporan itu diterima daripada beberapa pegawai kanan kerajaan yang tidak berpuas hati dengan mutu kerja kontraktor yang mendapat tender projek di bawah pentadbiran jabatan mereka.

Bagaimanapun, katanya, kontraktor terbabit dikenal pasti bukan anggota PKMM cawangan Sabah.

Sehubungan itu, beliau berkata, PKMM Sabah menyokong langkah Kementerian Kerjaraya menetapkan syarat supaya kontraktor kelas F yang mahu mendapatkan projek pembinaan kerajaan adalah golongan sepenuh masa bagi memastikan kualiti kerja.

"Langkah itu akan membantu mengatasi masalah projek kecil yang gagal disiapkan mengikut jadual dan tidak menepati piawaian yang turut berlaku di Sabah," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Ahad lalu, Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata negara mempunyai kira-kira 31,000 kontraktor kelas F ketika ini dan mereka seharusnya menjadikan bidang itu sebagai bidang utama dan bukan sumber pendapatan sambilan.

Katanya, bilangan kontraktor kelas F yang terlalu ramai itu perlu dikecilkan dengan hanya mengekalkan kontraktor sepenuh masa dan benar-benar serius melakukan kerja mereka.

Awadnir berkata, PKMM Sabah menyokong cadangan pengecilan jumlah kontraktor yang kini keseluruhannya 45,000 orang di seluruh negara dengan cara menubuhkan konsortium dan bergabung.

Menerusi sistem itu, katanya, mereka bukan saja mampu menyiapkan projek mengikut jadual dan spesifikasi, malah menyelamatkan kontraktor kecil kurang modal daripada gulung tikar.

"Saya yakin kontraktor kecil di Sabah tiada halangan menubuhkan konsortium dan bergabung untuk menjayakan sesuatu projek. Langkah itu juga tidak menjejaskan pendapatan kontraktor kecil sepenuh masa," katanya.

Sabah & Sarawak: Peniaga usah terjerat pujukan along

KOTA KINABALU: Golongan peniaga dan penjaja kecil diingat supaya mengelak daripada perangkap tawaran ceti haram atau along yang didapati semakin hilang rasa perikemanusiaannya.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Sabah, Senator Datuk Armani Mahiruddin, berkata cara along meminta bayaran balik hingga mengancam keselamatan peminjam dan ahli keluarga mereka perlu dijadikan pengajaran.

"Paparan di media sejak kebelakangan ini memadai untuk menimbulkan rasa gerun kita terhadap perangkap along selaku penindas masyarakat di zaman moden.

"Jangan jadikan along sebagai `bank segera' jika di akhirnya kita dan keluarga menanggung akibat jika gagal membayar hutang," katanya di sini, kelmarin.

Beliau berkata, ada segelintir along dikesan memberi perhatian terhadap peniaga Bumiputera dengan menampal pelbagai iklan berhampiran premis perniagaan sasaran.

Walaupun tawarannya dianggap menarik, Armani berkata, peniaga dan penjaja kecil Bumiputera wajar membuat pinjaman daripada institusi yang diiktiraf kerajaan.

"Kerajaan menyediakan pelbagai dana dan bantuan bagi kemudahan peniaga kecil. Prosedurnya mungkin lebih rumit tetapi sekurang-kurangnya ia dijamin dan selamat.

"Ada along yang mengambil kesempatan kegawatan ekonomi sebagai `umpan' menarik lebih ramai mangsa berhutang.

"Pinjamannya sedikit tetapi di akhirnya mangsa perlu membayar jauh lebih tinggi kerana faktor faedah," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta agensi seperti Tekun dan Mara serta institusi kewangan mencari penyelesaian mudah bagi menyalur pinjaman kepada peniaga dan penjaja kecil-kecilan supaya tidak beralih kepada along.

Kes pertama H1N1 dikesan di Saudi

RIYADH: Arab Saudi mengesahkan kes pertama selesema babi di negara itu, membabitkan jururawat Filipina, semalam.

Menteri Kesihatan, Abdullah al-Rabeeah, berkata wanita terbabit tiba dari Filipina dan menunjukkan simptom penyakit itu pada Isnin.

“Selepas dikuarantin, ujian mengesahkan dia dijangkiti virus H1N1,” katanya.

Penumpang lain kini dicari untuk diperiksa. - Agensi

Al-Fatihah

Al Fatihah kepada mak 2a sayag yg telah pergi buat selama2nya.. Sama-sama kita mendoakan Al fatihah dan mudah-mudahan beliau ditempatkan si samping Allah S.W.T. Amin..

Wednesday, June 3, 2009

Kuala Lumpur minat teknologi hijau, nuklear

Daripada Zainudin Isa di Jeju, Korea Selatan


Najib bersalaman dengan Lee Myung-bak sebelum perbincangan di Pulau Jeju, semalam.

MALAYSIA amat berminat mempelajari teknologi Korea Selatan membangunkan penggunaan teknologi hijau dan nuklear bagi menghasilkan sumber tenaga yang selamat dan bebas daripada pencemaran alam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata perkara itu dibangkitkan dalam pertemuan dengan Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak sempena Sidang Kemuncak Asean-Korea Selatan yang berakhir semalam.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di hotel penginapan sebelum ke China, beliau berkata antara bidang menarik minatnya ialah teknologi hijau yang bebas daripada pencemaran karbon dioksida yang digunakan secara meluas di Korea ketika ini.

"Antaranya teknologi hijau dan lestari bagi membersih sungai dan pesisir sungai, selain teknologi membran bagi memproses air bersih.

"Malah, kos pembangunan membersihkan empat sungai besar hanya AS$50 juta (RM170 juta). Ia bukan nilai yang tinggi, selain dapat mewujudkan ribuan peluang pekerjaan baru," katanya.

Katanya kerajaan bersetuju menghantar Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Unggah Embas meninjau potensi di Korea Selatan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, Korea Selatan juga mempunyai kelebihan dalam teknologi nuklear berskala kecil bagi menjana sumber tenaga alternatif yang kini menghasilkan kira-kira 40 peratus daripada penggunaan keseluruhan sumber tenaga negara itu.

"Presiden Korea Selatan memberitahu reaktor kecil begitu selamat dan boleh dibina berhampiran kawasan perbandaran dengan kemampuan menghasilkan 200,000 hingga 300,000 kilowatt tenaga.

"Malah, kos menghasilkan tenaga daripada nuklear 30 peratus lebih murah berbanding sumber tenaga loji arang batu," katanya.

Najib berkata, pertemuannya dengan Myung-bak turut membangkitkan program yang bakal disusun bagi meraikan sambutan ke-50 tahun hubungan Malaysia-Korea Selatan, tahun depan.

Mengenai perdagangan dan pelaburan dua hala, beliau berkata, Presiden Korea Selatan berpuas hati dengan projek usaha sama Petronas dengan syarikat petroleum nasional Korea yang kini menjalankan projek penggalian minyak di negara dunia ketiga.

Malaysia pula, akan terus menghantar pelajar ke Korea Selatan dalam bidang berasaskan kemahiran dan teknologi baru.

Sabah & Sarawak: Buka kilang perlu ambil kira kemudahan pekerja

SEPANGGAR: Penggerak sektor perindustrian diingatkan supaya mengenal pasti potensi perusahaan yang dimajukan seiring aspek persekitaran seperti logistik dan kemudahan prasarana bagi mengelak timbul masalah sampingan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata antara faktor pertama perlu diambil kira ialah kemudahan pekerja berulang-alik.

"Dalam usaha kita mewujudkan kluster atau cabang perusahaan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat, ada kalanya kita terlepas pandang soal jarak perjalanan, penempatan dan masalah pengangkutan pekerja ke kilang.

"Jangan terlalu ghairah memikirkan aspek meluaskan perniagaan hingga kita mengabaikan soal lokasi. Ini kerap berlaku dan akhirnya kita terpaksa mengeluarkan belanja tambahan menyediakan penempatan dan kemudahan pengangkutan atau berdepan masalah penduduk sekitar kurang berminat bekerja kerana sukar bergerak.

"Dengan suasana ekonomi yang mencabar seperti sekarang, kos logistik semakin melambung dan pada akhirnya, pengusaha mungkin tidak mendapat pulangan seperti diharapkan," katanya di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas melawat Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan mendengar taklimat operasinya oleh Ketua Pegawai Eksekutif KKIP, Datuk Chong Hon Len.

Mukhriz berkata, Sabah perlu meneroka kelompok industri yang benar-benar berdaya maju dan menggunakan sepenuhnya kelebihan dimiliki bagi membolehkan usaha menjana ekonomi dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Katanya, Negeri di Bawah Bayu itu memiliki banyak keistimewaan terutama dalam sektor pelancongan berikutan pelbagai nilai eksklusif yang boleh dikomersialkan.

"Sabah sangat berpotensi untuk melangkah jauh meninggalkan negeri lain dari segi pelancongan berdasarkan faktor tarikan semula jadi yang dimiliki merangkumi gunung, laut, kebudayaan dan sektor ekopelancongan.

"Adalah lebih wajar jika industri ini diterokai ke tahap optimum daripada kita terlalu ghairah memajukan pelbagai sektor tetapi tiada pengkhususan," katanya.

Sabah & Sarawak: Tarif air bagi Kota Belud paling rendah

kOTA KINABALU: Tarif air di Kota Belud yang ditetapkan pada 45 sen setiap satu meter padu adalah kadar terendah di Sabah berbanding 90 sen pada kuantiti sama di daerah lain.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan, Datuk Japlin Akim, berkata kadar itu sentiasa dipertahankan pihaknya walaupun Jabatan Bekalan Air Sabah bercadang menaikkan tarif berkenaan.

"Tarif air itu ditetapkan lebih 10 tahun lalu dan tidak berubah walaupun berlaku kenaikan di seluruh Sabah.

" Antara lain, ia berpunca daripada sumber air yang mudah diperoleh di Kota Belud berbanding daerah lain," katanya pada sesi dialog dengan penduduk Kampung Labuan dan Wakap, Kota Belud di sini, kelmarin.

Beliau menjawab soalan seorang penduduk Kampung Labuan, Datu Mustapha Ghairullah, mengenai ketiadaan bekalan air di kampung itu sejak 23 tahun lalu sedangkan mereka membayar sewa meter bekalan air.

Japlin berkata, masalah bekalan air bersih yang dihadapi penduduk Kota Belud dijangka berakhir tidak lama lagi dari sumber yang disalurkan menerusi Loji Pemprosesan Air Bersih Bayayat yang siap Disember lalu dan dibantu Loji Pemprosesan Air Bersih Kota Belud sedia ada.

Katanya, loji pemprosesan air bersih Bayayat dan Kota Belud mampu menghasilkan air pada kapasiti 33 juta liter sehari, berbanding permintaan 30 juta liter dalam tempoh itu yang dengan sendirinya mengatasi pergantungan kepada sumber air perigi tiub, perigi dan sungai di beberapa kampung.

Bagaimanapun, katanya, pengeluaran air dalam kapasiti tinggi gagal dimanfaatkan ketika ini berikutan masalah paip meliputi paip usang berusia lebih 30 tahun, saluran kecil dan kampung langsung tiada kemudahan itu.

"Ketika Jabatan Bekalan Air daerah menguji kedua-dua loji air berkenaan dengan kapasiti penuh, mereka mendapati banyak paip bocor kerana sudah usang dan perlu diganti.

"Kampung yang ada paip termasuk Kampung Labuan dan Wakap tiada masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih tidak lama lagi," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Najib Muntok memberi jaminan akan meminta Jabatan Bekalan Air Daerah menyiasat dakwaan penduduk Kampung Labuan dan Wakap yang hanya membayar sewa meter bekalan meter air tetapi tidak menikmati kemudahan berkenaan sejak dua dekad lalu.

Sabah & Sarawak: Masalah penginapan pelajar selesai

KIULU: Masalah penginapan yang dihadapi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens di sini, dijangka dapat dikurangkan selepas ada pihak tampil menyumbang pembinaan asrama tambahan untuk sekolah itu.

Asrama mampu menampung 100 pelajar bernilai RM200,000 itu disumbangkan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kulim, Kedah 1979-1983 dan Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) yang dijadualkan siap pembinaannya penghujung tahun ini.

Pengetua SMK Tun Fuad Stephens, Martha Anthony Bongkok, berkata ketika ini sekolah itu dilengkapi asrama yang cuma mampu menampung 254 daripada 1,200 pelajarnya.

"Masalah dihadapi SMK Tun Fuad Stephens ialah penempatan pelajar yang sebahagian besarnya datang dari kampung terpencil di Kiulu.

"Lebih 100 pelajar yang benar-benar memerlukan tempat tinggal terpaksa menumpang di rumah saudara atau menyewa rumah hampir setiap tahun," katanya pada majlis pertemuan bagi pembinaan asrama itu di sini, kelmarin.

Bekas pelajar MRSM Kulim diketuai Raja Ali Raja Othman manakala PPS oleh Pengurus Besarnya, Datuk Vincent Pung.

SMK Tun Fuad Stephens diwakili Pengetuanya, Martha Anthony Bongkok manakala Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SMK Tun Fuad Stephens oleh Pengerusinya, Joisin Romut.

Martha berkata, daripada sembilan sekolah menengah di Tuaran, hanya SMK Tun Fuad Stephens beroperasi di kawasan yang luas dengan rangkaian jalan raya belum begitu baik.

Katanya, antara langkah diambil PIBG ialah membina beberapa asrama desa di sekitar sekolah untuk menempatkan pelajar yang tidak mempunyai tempat tinggal.

Sabah & Sarawak: Pengusaha bas ingkar arahan


PEMANDU bas City Bas mematuhi arahan mengambil dan menurunkan penumpang di terminal Wawasan Plaza seperti yang diarahkan LPKP.

Pemandu tak ambil, turun penumpang di terminal Wawasan Plaza

KOTA KINABALU: Pengusaha bas mini dan bas berhenti-henti di bandar raya ini mengingkari arahan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang meminta mereka hanya berhenti untuk menurun dan mengambil penumpang di terminal Wawasan Plaza di sini, mulai kelmarin.

Arahan yang dikuatkuasakan serentak dengan operasi bas bandar raya itu dikatakan enggan dipatuhi selagi LPKP dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tidak menyelesaikan isu kesesakan di terminal Wawasan Plaza dan pemindahan semua operasi bas, termasuk milik syarikat besar ke terminal itu.

Ada pemandu bas dikesan memasuki terminal Wawasan Plaza dipercayai untuk mengambil resit masuk dan kemudian keluar tanpa penumpang, dipercayai cuba untuk mengabui LPKP dan DBKK kononnya mereka menggunakan perkhidmatan terminal itu.

Sikap penumpang yang enggan ke terminal itu turut memberi masalah kepada pengusaha bas. Rata-rata pengguna yang ditemui memberikan alasan ia jauh dari pusat bandar, terutama mereka yang membeli barang keperluan harian seperti ikan, daging, ayam, sayur, buah-buahan, mi dan beras di Pasar Besar Kota Kinabalu kira-kira satu kilometer dari terminal itu.

"Untuk ke terminal berkenaan, kami perlu menaiki teksi dengan tambang RM5 sedangkan jika menunggu di perhentian bas dekat pasar besar, kami hanya perlu membayar tambang bas RM1.50 untuk ke Kampung Likas," kata Rimana Sahir, 45.

BAS mini masih mengambil dan menurunkan penumpang di pusat bandar raya.

Presiden Pengusaha dan Pemandu Pengangkutan Awam Kota Kinabalu (Peka), Yunus Muhiddin, berkata majoriti pengusaha mengekalkan kaedah operasi sebelum ini kerana beranggapan pelaksanaan sistem baru itu belum sesuai buat masa sekarang.

Katanya, pihaknya hanya akan mematuhi arahan itu selepas terminal Wawasan Plaza dinaik taraf dan diperbesarkan bagi menampung semua bas mini dan bas berhenti-henti yang beroperasi di bandar raya.

"Kami menganggap arahan yang dikeluarkan LPKP itu belum boleh dilaksanakan kerana terminal Wawasan Plaza belum dinaik taraf. LPKP juga sedang berbincang dengan DBKK untuk mencari satu terminal baru di kawasan Jalan Pantai tetapi itu juga sukar dilaksanakan kerana masalah ketiadaan tapak.

"Sehubungan itu, pengusaha bas mengekalkan laluan digunakan sebelum ini dan masih menurun serta mengambil penumpang di mana-mana perhentian di sekitar pusat bandar raya," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, arahan LPKP itu juga tidak menyeluruh kerana hanya sebahagian pengusaha bas mendapat surat mengenai pengoperasian bas bandar raya dan pelaksanaan sistem baru itu.

Yunus berkata, selebihnya hanya mengetahui mengenai perkara itu menerusi laporan akhbar dan pemberitahuan rakan pengusaha yang lain.

"LPKP tidak mengadakan perbincangan dengan pengusaha sebelum melaksanakan sistem baru ini, oleh itu tidak ramai pengusaha memakluminya.

Korea Utara pasang peluru berpandu antara benua

SEOUL: Korea Utara bersiap sedia untuk memasang peluru berpandu antara benua (ICBM) dengan jarak yang mampu menjangkau Amerika Syarikat untuk pelancaran seawal pertengahan bulan ini, lapor akhbar Korea Selatan.

Korea Utara juga dipercayai bersiap sedia untuk menguji sekurang-kurangnya tiga peluru berpandu jarah sederhana.

“ICBM itu diselubung dan adalah sukar untuk benar-benar pasti tetapi is kelihatan serupa Taepodong-2 yang ditembak pada April, tetapi lebih panjang,” akhbar JoongAng Ilbo memetik sumber kerajaan sebagai berkata.

Peluru berpandu itu sudah dipindah ke sebuah hangar untuk pemasangan di lapangan sasar baru Tongchang-ri di pantai Barat negara itu dan Korea Utara kelihatan tergesa-gesa untuk melancarkannya.

Kawasan pelancaran cuma 90 kilometer di barat Yongbyon, kompleks nuklear utama Korea Utara.

Namun, pakar senjata berkata negara itu masih tidak memiliki teknologi untuk membentuk bahan nuklear kepada peledak bagi diletakkan pada peluru berpandu. - Reuter

Tuesday, June 2, 2009

Najib harap dapat kukuh hubungan Malaysia-China

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berharap beliau akan dapat memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China semasa lawatan rasmi pertama beliau sebagai Perdana Menteri ke negara itu, terutama dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu sekarang.

Najib juga berharap hasil daripada lawatan empat hari beliau ke China, yang bermula hari ini, "akan mendorong negara kita terus mara ke hadapan dan semakin hampir untuk mencapai wawasan 1Malaysia."

Beliau juga menceritakan bagaimana Perdana Menteri Malaysia kedua, iaitu bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, telah meneroka satu era bersejarah apabila beliau menjalin hubungan dua hala dengan China 35 tahun lepas, ketika negara itu masih mengamalkan dasar pintu tertutup terhadap dunia luar.

Melalui tulisan terbaru dalam blog beliau www.1malaysia.com.my, Najib berkata dunia sudah berubah dan China juga sudah pasti turut berubah.

Katanya, sejak kerajaan China mengubah dasarnya kepada sikap lebih terbuka, ekonomi negara itu telah melonjak dan memberi manfaat kepada Malaysia dalam banyak cara sejak tiga dekad setengah lalu.

Beliau berkata, Malaysia adalah antara 10 pelabur terbesar di China pada 2008 dan rakan perdagangan keempat terbesar bagi negara itu.

"Hari ini, saya menjejaki semula langkah Allahyarham bapa saya apabila saya melakukan lawatan rasmi pertama sebagai Perdana Menteri untuk berjumpa dengan Presiden Hu Jintao dan Perdana Menteri Wen Jiabao.

"Saya akan bawa bersama beberapa menteri serta satu delegasi perniagaan dan saya harap kami akan dapat memupuk kerjasama lebih erat dalam bidang perniagaan, perdagangan, usaha sama dan budaya," katanya.

Najib mengetuai delegasi 35 anggota, termasuk enam menteri dan empat Anggota Parlimen dalam lawatannya ke China.

Selain mengadakan mesyuarat dua hala dengan Wen Jiabao dan melakukan kunjungan hormat terhadap Hu Jintao, Najib juga akan melawat Beijing Foreign Studies University dan menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-China serta beberapa majlis lain. - Bernama

Mangsa Titanic terakhir meninggal


Millvina Dean

LONDON: Mangsa terakhir yang terselamat dalam kejadian kapal karam 'Titanic' 1912, Millvina Dean dilaporkan meninggal dunia di sebuah rumah orang tua di England pada usia 97 tahun.

Titanic International Society dalam laman webnya berkata, Dean meninggal dunia ketika dalam tidur awal pagi kelmarin di sebuah rumah penjagaan berhampiran Southampton. Beliau baru-baru ini dibenarkan keluar dari hospital selepas mengalami pneumonia.

Dean berusia hanya sembilan minggu ketika keluarganya menjual sebuah pub yang dimiliki mereka di London untuk menyertai pelayaran kapal penumpang pertama dan memulakan kehidupan baru di Wichita, Kansas Amerika Syarikat.

Bapanya, Bertam ketika itu bercita-cita membuka sebuah kedai tembakau di sana.

Bapa beliau adalah seorang daripada 1,517 mangsa yang maut selepas kapal yang direka elak karam itu terlanggar bongkah ais di Lautan Atlantik sebelum ia karam. � Reuters

26 notifikasi H1N1 diterima sehingga 8 pagi

KUALA LUMPUR: Sebanyak 26 kes lagi dimasukkan ke wad isolasi di lima buah Hospital Rujukan Influenza A (H1N1) sehingga jam 8 pagi ini untuk tujuan penyiasatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican,berkata 16 daripadanya disahkan negatif manakala 10 kes lagi masih menunggu keputusan makmal.

"Sehingga kini, sebanyak 371 kes dimasukkan ke wad isolasi untuk penyiasatan dengan 359 disahkan negatif dan dua disahkan positif seperti yang dilaporkan pada 15 dan 16 Mei lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Dr Mohd Ismail, sebanyak 10 kontak masih dalam kuarantin dan dilaporkan sihat tanpa gejala jangkitan influenza.

Beliau berkata, enam daripadanya ialah kontak kepada kes disahkan di Singapura yang tamat tempoh kuarantin hari ini, manakala empat individu lagi adalah kontak kes di Hong Kong dengan dua daripadanya tamat tempoh kuarantin pada Khamis dan dua lagi pada Jumaat ini.

Dr Mohd Ismail berkata, laporan International Health Regulation Contact Point menyebut sehingga kini tiada kontak baru dilaporkan di kalangan warga Malaysia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sehingga hari ini, tujuh negara baru melaporkan kejadian Influenza A (H1N1) iaitu Bahamas, Bolivia, Jamaica, Venezuela, Bulgaria, Cyprus, Hungary menjadikan jumlah keseluruhan 63 negara terbabit dengan wabak itu.

Jumlah kes dicatatkan setakat ini di seluruh dunia ialah 17,582 kes dengan 115 kematian.

Dr Mohd Ismail berkata, terdapat pertambahan 448 kes berbanding hari sebelumnya dan tiada kematian baru.

"Taburan 448 kes baru ini ialah Bahamas, Bulgaria, Cyprus, Hungary, Finland, Honduras, Greek dan Ireland masing-masing dengan satu kes, Jamaica, Venezuela, Belgium, Romania, Singapura, Sweden, Turki dan Vietnam (dua), Bolivia dan Columbia (tiga), Costa Rica, Itali dan Switzerland (empat),

"Peru (lima), Tanah Besar China, Ecuador dan Guatemala (tujuh), Brazil, Perancis, Jerman dan Korea (lapan), Jepun dan Uruguay (sembilan), Israel (12), United Kingdom (15), El Salvador (16), Sepanyol (35), Argentina (63), Chile (85)dan Australia (104)," katanya. - Bernama

Sabah & Sarawak: Syor lanjut masa bekalan elektrik Pulau Mantanani

KOTA BELUD: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) disaran memanjangkan tempoh bekalan tenaga elektrik bagi memenuhi keperluan penduduk Pulau Mantanani di sini.

Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata ketika ini penduduk di pulau itu hanya menikmati bekalan elektrik menerusi jana kuasa diesel selama 12 jam pada waktu malam.

"Mereka cuma menikmati bekalan elektrik bermula jam 6 petang hingga jam 6 pagi dan tempoh itu dianggap singkat.

"Berikutan itu, penduduk mengemukakan permohonan supaya tempohnya dipanjangkan," katanya selepas melawat pulau berkenaan, kelmarin.

Beliau mengakui permintaan penduduk pulau itu ada kewajarannya memandangkan kawasan itu turut mempunyai sekolah rendah dilengkapi kemudahan teknologi maklumat (IT).

Abdul Rahman berkata, adalah rugi jika murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Mantanani tidak dapat memanfaatkan kemudahan makmal komputer kerana tiada bekalan elektrik pada waktu siang," katanya.

Sabah & Sarawak: Agropolitan basmi rakyat miskin dalam lima tahun

Projek buka peluang industri pemprosesan daging dan susu

KOTA KINABALU: Projek Agropolitan Kota Belud yang bakal dilaksanakan tahun ini akan memberi tumpuan terhadap usaha pembasmian kemiskinan 4,762 rakyat miskin tegar dan relatif daerah di utara Sabah itu secara berperingkat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Musbah Jamli, berkata mengikut bancian, seramai 3,018 rakyat daerah itu tersenarai dalam Bank Data Kemiskinan Nasional (e-kasih) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan bakinya 1,744 di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR ) Kementerian Pembangunan Luar Bandar negeri.

Bagi peringkat awal, katanya, seramai 550 orang terpilih sebagai peserta projek Agropolitan Kota Belud meliputi 300 peserta projek lembu tenusu dan pedaging di Kuala Pintasan manakala 250 peserta bagi projek penanaman getah di Kampung Rosok/Surun.

"Bilangan peserta projek akan ditambah dari semasa ke semasa sehingga semua rakyat miskin di daerah itu mampu meraih pendapatan RM1,200 sebulan yang dengan sendirinya bebas daripada status berkenaan dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya kepada Berita Harian di sini, kelmarin.

Pada 19 Mei lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, mengumumkan lima projek Agropolitan bernilai RM370 juta akan dilaksanakan tahun ini dan tahun depan melalui program Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang mensasarkan 5,500 Ketua Isi rumah Miskin Tegar (KIRMT).

Katanya, Projek Agropolitan Kota Belud di Kuala Pintasan dan Kampung Rosok/Surun memfokuskan penanaman getah dan penternakan lembu tenusu serta pedaging bernilai RM70 juta di tapak seluas 800 hektar yang akan dilaksanakan tahun ini.

Musbah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk berkata, selain pembasmian kemiskinan, projek itu turut membuka peluang perniagaan dalam industri pemprosesan daging dan susu lembu untuk dijadikan pelbagai produk, selain fokus terhadap pembekal daging serta rumput ternakan dan pemprosesan getah yang sekali gus menjadikan Kota Belud antara daerah termaju di Sabah pada masa depan.

"Saya harap penduduk Kota Belud memberi kerjasama supaya projek itu berjalan mengikut jadual dan tidak dibatalkan. Penduduk kampung yang diberi kuasa sebagai pemegang amanah tanah rizab padang ragut itu boleh menyertai projek berkenaan sebagai pembekal rumput ternakan serta menternak lembu dan kambing berhampiran tapak Projek Agropolitan," katanya.

NApew ko wat g2 kat aq??

Ya allah, napaw aq dihadapi musibah nie.. Tabah kan atie hambaMu nie.. Napa hbungan aq x selalu bahgia yg aq impikan... Napa sayang merahsiakan sesua2 dr hubby? Atau xnak hubby tinggal kan kat syg ke? Hubby cinta n cyg sngat2 kat syag 2... Habis 2 napa wat cm g2...

Monday, June 1, 2009

first date..

Ahai... Arie nie firstdate aq gan girlq, Ct Nursuhailah kat taman.. Happy tau.. Kazennye, danda, Nurul n dya kat tman... Aq p kat tman. X aq sangkah dya guna suitter pink.. Ok uga.. Hehehehehehehe... Memang susah nak wat apa yg nak dilakukan... Aq nie, boynyer.. Cuma terdiam, sekali sekala x uga pendiam sangat tp kat atie penyayang... 1 taman aq, girlq, danda n nurul round kat tmn..

Emmm. Mau aje aq pegang tangannya.. Tp ada malu ckit.. Hehehehehe... Jgan mrah... Ya allah, bahgiakan hubungan kami sampai ke anak cicit.. Amin..

H1N1: 11 masih dikuarantin

GEORGETOWN: Seramai 11 orang masih dikuarantin berhubung kes Influenza A (H1N1), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, lapan orang dikuarantin sebab pernah mempunyai hubungan dengan pesakit positif H1N1 di Singapura dan tempoh kuarantin mereka akan tamat esok.

Katanya, tiga lagi dikuarantin sehingga Khamis ini sebab mempunyai kaitan dengan kes di Hong Kong.

"Tiada lagi kes baru dilaporkan berlaku di negara ini, namun pemantauan akan terus dilakukan," katanya kepada pemberita hari ini.

Hanya dua kes dilaporkan positif di Malaysia sebelum ini iaitu pada 15 dan 16 Mei lalu yang juga adalah kes import.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata pelawat dari luar negara serta penduduk tempatan tidak perlu lagi bimbang dengan situasi wabak di dalam negara.

"Namun langkah penjagaan kebersihan diri perlu diberi perhatian," katanya.

Bagi peringkat antarabangsa, beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia memaklumkan bahawa Vietnam adalah negara terbaru yang mencatatkan kes pertama wabak itu, menjadikan bilangan keseluruhan 56 negara.

"Tiada kes kematian baru dilaporkan dan jumlah kematian di seluruh dunia kekal pada 115 kes," katanya. - Bernama

Sabah & Sarawak: Guru pakar kurang di pedalaman

Jurang pendidikan pasti berlaku selagi masalah tak diatasi: Masidi

KOTA KINABALU: Sekolah luar bandar di Sabah berdepan masalah kekurangan guru mahir bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik menyebabkan prestasi murid dan pelajar dalam mata pelajaran berkenaan jauh ketinggalan berbanding di bandar.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata guru yang ditugaskan mengajar mata pelajaran terbabit kebanyakannya tidak mahir dalam bidang berkenaan tetapi terpaksa memikul tugas kerana ketiadaan guru mahir.

Katanya, keadaan itu bukan saja menjejaskan prestasi murid dan pelajar dalam ketiga-tiga mata pelajaran, malah memberi kesan kepada pencapaian sekolah luar bandar, sekali gus mewujudkan jurang yang besar dengan tahap akademik sekolah di bandar.

"Masalah utama sekolah luar bandar di negeri ini ialah kekurangan guru mahir. Contohnya guru yang mengajar Bahasa Inggeris tidak fasih berbahasa Inggeris, malah ada guru tidak faham maksud ungkapan tertentu dalam bahasa Inggeris.

"Faktor ini juga antara sebab pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dipertikai kerana ramai guru yang mengajar subjek itu tidak fasih bahasa Inggeris.

"Selagi masalah ini tidak diatasi, selagi itulah jurang perbezaan pencapaian murid dan pelajar sekolah luar bandar dengan sekolah di bandar akan terus meningkat," katanya di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Exco Pendidikan negeri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai usaha merapatkan jurang perbezaan kualiti pendidikan antara kawasan luar bandar dan bandar.

Selain isu guru mahir, Masidi berkata, sekolah luar bandar di Sabah juga berdepan masalah infrastruktur tidak lengkap berikutan ketiadaan penyelarasan antara pelbagai agensi yang terbabit menyediakan kemudahan untuk sekolah luar bandar.

"Contohnya kerajaan membina bangunan untuk makmal komputer tetapi komputer belum ada atau ada komputer tetapi tidak ada bekalan elektrik. Kegagalan melengkapkan infrastruktur itu menyebabkan ia tidak dapat digunakan.

"Kerjasama semua pihak yang terbabit dalam penyediaan kemudahan sekolah perlu ditekankan bagi memastikan murid dan pelajar dari kawasan itu tidak ketinggalan menikmati kemudahan pembelajaran yang moden," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin usaha sedang dibuat bagi menyelesaikan masalah itu selaras dengan komitmen kerajaan meningkatkan tahap pendidikan di kawasan luar bandar Sabah.

Mengenai keputusan mengehadkan pengambilan 10 mata pelajaran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun depan, beliau berkata, langkah itu sesuai bagi membolehkan guru memberi tumpuan kepada pengajaran mata pelajaran teras.

"Sebelum ini, kalau ada pelajar ambil lebih 10 subjek, guru mungkin terpaksa memberikan tumpuan tambahan kepada mata pelajaran lain yang diambil pelajar terbabit. Ia menyebabkan tumpuan guru terhadap mata pelajaran lain terjejas," katanya.