Followers

Tuesday, September 22, 2009

Obama usaha rundingan damai Palestin-Israel dihidup semula

WASHINGTON: Presiden Barack Obama berharap dapat menghidupkan semula rundingan damai Palestin-Israel dengan menganjurkan pertemuan dengan Presiden Mahmud Abbas dan Perdana Menteri Netanhayu minggu ini, ketika menghadiri perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pertemuan dengan kedua-dua pemimpin Palestin dan Israel itu pada mulanya diadakan secara berasingan esok, disusuli kemudian dengan mesyuarat tiga pihak, kata Rumah Putih dalam satu pertemuan di luar jangka itu.

Langkah berkenaan bertujuan mengukuhkan kemungkinan rundingan damai dilancar semula, selain membentuk suasana yang positif agar andainya rundingan diadakan ia bakal membuahkan hasil, jurucakap Rumah Putih Robert Gibbs berkata dalam satu kenyataan.

Sebelum pertemuan esok, Menteri Pertahanan Israel Ehud Barak ajan mengadakan mesyuarat dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Robert Gates di sini, kata jurucakap kementerian pertahanan Israel, tanpa menyediakan sebarang butir lanjut.

Mesyuarat tiga pihak - Palestin, Israel dan AS - itu adalah pertama dianjurkan Rumah Putih sejak Obama memegang jawatan presiden Januari lalu, menandakan komitmen mendalam presiden AS itu dalam menyelesaikan konflik Asia Barat yang sudah berlarutan. � AFP

Sabah & Sarawak: Asrama untuk murid prasekolah

SEMPORNA: Bermula tahun depan, kerajaan akan membina asrama khusus bagi menempatkan murid prasekolah di kawasan luar bandar terpilih, sejajar matlamat memperluaskan skop pendidikan peringkat berkenaan.

Sebagai perintis, 80 kanak-kanak di beberapa pulau di Semporna akan dipilih menetap di asrama dikendalikan sepenuhnya oleh Kemas bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran peringkat prasekolah dengan lancar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya memperuntukkan perbelanjaan RM2 juta bagi pelaksanaan projek berkenaan.

"Kita sedar sebahagian besar anak ini berusia dalam lingkungan lima hingga enam tahun dan dianggap terlalu muda untuk berjauhan dengan keluarga.

"Bagaimanapun, kita akan memastikan segala urusan persekolahan dan kehidupan harian mereka terutama makanan, pakaian dijaga sepenuhnya oleh pihak yang dipertanggungjawabkan.

"Kita galakkan ibu bapa mereka menjenguk anak masing-masing setiap hujung minggu supaya ikatan kekeluargaan itu tetap erat tanpa menjejaskan masa depan anak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Program Tambahan Makanan Seimbang (PTMS) Kemas daerah Semporna di Kampung Bubul di sini, kelmarin.

Hadir sama Ketua Pengarah Kemas, Datuk Abdul Fuad Mohd Nayan; Timbalan Pengarah Kemas Sabah, Anisah Saidin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bugaya, Datuk Ramlee Marhaban.

PTMS dikhususkan kepada keluarga Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) yang mempunyai anak bawah 12 tahun dan masih bersekolah.

Seramai 2,775 penerima disenaraikan di seluruh Sabah dan setiap keluarga menerima lima bakul makanan tambahan setahun.

Mengenai rasional di sebalik langkah menempatkan kanak-kanak prasekolah di asrama, Mohd Shafie berkata, ia membolehkan golongan sasar mendapat pendidikan asas pada usia selayaknya dengan sempurna tanpa diganggu latar belakang keluarga.

Katanya, kerajaan sedia memperluaskan pengwujudan asrama prasekolah itu ke seluruh negara, khususnya daerah terpencil wajar memiliki kemudahan sedemikian.

"Semporna dipilih kerana kebanyakan mereka ini tinggal di pulau dan pengangkutan harian adalah bot. Kalau cuaca buruk dan laut bergelora, ibu bapa tidak menghantar mereka ke sekolah.

"Ada juga kalangan mereka terlepas peluang ke prasekolah kerana ibu bapa tidak memahami kepentingan berbuat demikian.

"Kanak-kanak ini akan bersekolah di Tadika Kemas bersama rakan yang tidak tinggal di asrama. Kita mahu proses asimilasi dan pergaulan rakan sebaya berlaku secara semula jadi.

"Nasihat saya kepada mereka tinggal di pulau dan pedalaman kalau kita sayangkan anak, lepaskan mereka tinggal di asrama prasekolah demi ilmu untuk masa depan masing-masing," katanya.

Ops Sikap: 12 kematian pada hari kesembilan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 kematian akibat kemalangan jalan raya dicatatkan di seluruh negara semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 164 kematian sejak Ops Sikap ke-20 bermula 13 September lalu.

Menurut kenyataan Bukit Aman hari ini, satu kematian adalah di lebuh raya, lima di jalan persekutuan, lima di jalan negeri, satu di jalan bandaran dan tiada kematian di lain-lain jalan.

Sehingga semalam, iaitu hari kesembilan Ops Sikap, tiga kategori yang paling banyak mencatatkan kematian ialah pengguna motosikal dengan 82 kematian, diikuti pengguna motokar (57 kematian) dan pejalan kaki dengan sembilan kematian, katanya.

Jumlah kemalangan semalam adalah 985 kemalangan dan jumlah saman dikeluarkan ialah 7,078, katanya.

Jalan persekutuan mencatatkan jumlah kemalangan paling tinggi dengan 342 kes diikuti jalan bandaran (306 kes), jalan negeri (202 kes), lebuh raya (83 kes) dan lain-lain jalan (52 kes).

Ops Sikap ke-20 dijalankan sehingga 27 September yang bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena musim perayaan Hari Raya ini. - Bernama

H1N1: Tiada kematian terbaru, 587 kes ILI

KUALA LUMPUR: Tiada kematian terbaru dilaporkan sehingga jam 9 pagi tadi, akibat daripada virus Influenza A (H1N1), dengan 587 kes influenza-like illness (ILI) yang sedang dirawat sebagai pesakit dalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataannya, berkata daripada jumlah itu hanya 169 pesakit (29 peratus) adalah kes H1N1 yang disahkan menerusi ujian makmal.

Beliau berkata, daripada jumlah pesakit H1N1 yang masih dirawat di hospital, 28 kes (17 peratus adalah di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 26 (93 peratus) kes H1N1 yang di rawat mempunyai faktor risiko.

Ia merangkumi kanak-kanak bawah 5 tahun (9 kes), penyakit kronik (5), obesiti (6), penyakit respiratori kronik (4) dan hamil (2), katanya lagi.

Laporan yang diterima itu adalah daripada 74 hospital termasuk 10 hospital swasta yang merawat kes ILI.

Jumlah terkumpul kematian akibat daripada H1N1 kekal pada 77 mangsa.

Perkenal, laksana program Komuniti Selamat dalam konsep 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan supaya memperkenalkan Komuniti Selamat selaras dengan konsep 1Malaysia.

Naib pengerusi yayasan itu, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata MCPF melihat 1Malaysia hendaklah juga digabungkan dengan isu berkaitan keselamatan untuk rakyat Malaysia.

Beliau berkata, 1Malaysia mestilah juga bermakna selamat Malaysia, sebuah negara yang bebas bukan hanya daripada jenayah tetapi juga kemalangan yang tidak diingini dan malapetaka yang berpunca daripada manusia.

Di samping memperbaiki kehidupan individu, komuniti selamat mewujudkan banyak manfaat yang sama seperti memperbaiki tahap keselamatan untuk orang ramai, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pendekatan Komuniti Selamat menyediakan teras penting untuk pemimpin masyarakat, majikan dan pekerja serta anggota beruniform untuk membina satu masyarakat yang lebih baik di tempat mereka bekerja dan tinggal.

Lee berkata, Program Komuniti Selamat merujuk kepada pembangunan masyarakat dan pendekatan yang disampaikan.

"Ia satu pembangunan integrasi budaya keselamatan dalam masyarakat yang menekankan keselamatan di tempat kerja, sekolah, rekreasi, pencegahan jenayah dan lain-lain", katanya .

Sehubungan itu, beliau berkata, program berkesan boleh direalisasikan melalui sinergi keselamatan dan inisiatif kesihatan daripada pelbagai kumpulan komuniti, perbadanan tempatan, peniaga, pertubuhan, persatuan, sekolah, penyedia penjagaan kesihatan, agensi kerajaan dan kumpulan khidmat lain.

Beliau juga menyeru pembuat dasar, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan dan semua peringkat masyarakat untuk menjadikan bandar raya, bandar dan kampung selamat untuk semua. - Bernama

Penipuan kad kredit, tiga rakyat Malaysia ditahan

BANGKOK: Tiga rakyat Malaysia ditahan di sebuah pusat beli belah di pinggir bandar raya Bangkok kerana cuba membeli kamera dengan menggunakan kad kredit palsu.

Ketiga-tiga mereka, iaitu dua daripadanya berumur 28 tahun dan seorang lagi berusia 43 tahun, ditahan polis Thailand sementara menunggu kad kredit mereka diproses di sebuah kedai menjual kamera di wilayah Nonthaburi.

"Namun tanpa pengetahuan mereka, pemilik kedai yang mensyaki terdapat suatu yang mencurigakan pada kad mereka, menghubungi bank untuk mengesahkan kad," kata Ketua Metropolitan Wilayah Satu, Mejar Jeneral Pol Chalong Sonchai kepada media hari ini.

Beliau berkata, polis menuju ke pusat beli belah itu selepas dimaklumkan dua bank komersil dan menemui rakyat Malaysia berkenaan menunggu di kedai menjual kamera.

Ketika pemeriksaan, polis menemui 10 kad kredit palsu didakwa dikeluarkan bank di Eropah dan Amerika Syarikat serta dua pasport palsu.

Puluhan rakyat Malaysia ditahan di Thailand sejak akhir-akhir ini kerana penipuan kad kredit.

Di Penjara Klong Prem dekat sini, lebih dua pertiga daripada 92 banduan Malaysia sedang menjalani hukuman penjara kerana penipuan kad kredit.

Pada Januari lalu, seorang rakyat Malaysia 40 tahun yang dikehendaki Amerika Syarikat kerana mengimbas dan mencuri data pemegang kad kredit, ditahan polis Thailand di Nonthaburi. - Bernama

Kajian pindaan ISA dibentang di Parlimen bulan depan

ALOR GAJAH: Hasil kajian semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dijangka dibentang pada persidangan Dewan Rakyat bulan depan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Beliau berkata, pada masa ini kajian masih diteruskan termasuk mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak.

"Ikut perancangan, kita akan cuba bentang di Parlimen dalam sesi Bajet 2010 Oktober ini untuk pembentangan pertama," katanya ketika mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di Masjid Tanah dekat sini, hari ini.

Awal Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan kerajaan sedang mendapatkan maklum balas mengenai ISA dan membuat kajian semula berhubung akta itu.

Mengenai pihak pembangkang yang mendakwa pembebasan lima tahanan ISA yang kesemuanya anggota Jemaah Islamiah Malaysia pada 15 September lalu sebagai "permainan politik" Barisan Nasional untuk meraih sokongan pada pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan 11 Oktober ini, Abu Seman berkata "apabila kita buat sesuatu yang baik, pembangkang akan kata tidak baik kerana itu memang kerja pembangkang".

Abu Seman yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, berkata kerajaan membebaskan kelima-lima tahanan ISA itu selepas mendapati mereka telah pulih dan tidak lagi mengancam keselamatan negara.

"Kita bebaskan mereka ikut undang-undang tetapi pada pihak pembangkang semua yang kerajaan lakukan semuanya tidak betul," katanya.

Beliau berkata, pembangkang akan mempolitikkan apa saja yang dilakukan kerajaan semata-mata untuk kepentingan politik mereka. - Bernama