Followers

Wednesday, February 24, 2010

Tanah runtuh Indonesia: Mayat ke-6 ditemui, 66 masih hilang

CIWIDEY (Indonesia): Pasukan penyelamat menggunakan kelengkapan berat bagi menggali tanah runtuh yang diliputi lumpur yang meragut sekurang-kurangnya enam mangsa dan menimbuskan 66 yang lain di kepulauan utama Jawa di sini.

Hujan lebat berpanjangan menyebabkan berlakunya tanah runtuh di kawasan pergunungan ladang teh, petang semalam, berdekatan kampung Tenjoljaya di daerah Ciwidey, wilayah Jawa Barat, turut memusnahkan rumah di situ.

Penduduk kampung menggunakan peralatan ladang dan tangan sebelum berjaya menemui mayat keenam yang tertimbus di dalam lumpur, lewat semalam.


Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Priyadi Kardono berkata, dua mesin pengorek tiba bagi membantu usaha menyelamat yang diteruskan hari ini.

“Penyelamat sudah mengeluarkan enam mayat secara manual daripada lumpur dan 66 lain yang masih tertimbus dikhuatiri terbunuh,” katanya.

Beliau berkata, 15 mangsa lain tercedera dan dua daripadanya sudah dimasukkan ke hospital.

Kira-kira 600 penduduk kampung, katanya sudah dipindahkan ke kawasan perlindungan sementara ke kawasan lebih selamat.

Mengulas angka kematian, Kardono berkata, 25 mangsa dipercayai terbunuh di kilang dan pejabat ladang itu, tetapi masih belum dapat disahkan selepas penemuan mayat keenam. - AP

Jakim guna laman web perjelas hukuman rotan wanita

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan maklumat berhubung pelaksanaan hukuman sebat terhadap wanita Islam menerusi laman webnya bagi membolehkan masyarakat mendapat penjelasan berhubung perkara itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata di peringkat negeri, pihak berkuasa negeri mampu mengendalikan program penjelasan seperti yang diarahkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, katanya, Jakim sudah mengadakan seminar berhubung pelaksanaan hukuman itu pada tahun lalu sebelum timbul isu model sambilan, Kartika Sari Dewi, yang disertai pakar undang-undang, ahli akademik, aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Kita tidak dapat elak jika ada segelintir yang masih belum faham. Kita bersedia pada bila-bila masa untuk menjelaskannya," katanya selepas memberi taklimat kepada media berhubung sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin yang mahu jabatan agama Islam negeri memberi pendidikan dan pemahaman berhubung hukuman sebat terhadap tiga pesalah wanita Islam baru-baru ini yang mendapat reaksi negatif sesetengah pihak.

Muhyiddin berkata, langkah itu penting bagi perkara itu difahami bukan saja masyarakat di dalam negara tetapi juga masyarakat antarabangsa supaya tidak timbul tanggapan serong tentang apa yang berlaku di negara ini.

Wan Mohamad berkata, bahawa pada masa ini, nampaknya masyarakat boleh menerima pelaksanaan hukuman itu dan tidak ada mana-mana pihak yang mempertikaikannya.

Mengulas sambutan Maulidur Rasul yang akan dirasmikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Masjid Putra di sini Jumaat ini, beliau berkata tujuh penerima anugerah bagi sambutan pada tahun ini terdiri seorang penerima Anugerah Perdana dan enam penerima anugerah yang lain.

Sebanyak 106 kontinjen terdiri 6,979 orang akan menyertai perarakan sempena sambutan tersebut.

Beliau berkata, Jakim akan menganjurkan Kempen Satu Malaysia Satu Halal selama tiga hari bermula Jumaat ini bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna terhadap pengurusan halal dan produk halal di negara ini. - Bernama

Lelaki Sydney dituduh bunuh pemandu Konsulat Malaysia

MELBOURNE: Seorang lelaki warga Sydney berusia 55 tahun menghadapi pertuduhan memukul hingga mati pemandu Konsulat Malaysia, Mohd Shah Saemin, di Leichardt, pinggir bandar Sydney, Ahad lalu.

Polis berkata, lelaki itu ditahan malam tadi oleh detektif daripada Skuad Homisid dan polis Leichhardt di sebuah rumah di Brighton Street, Croydon.

Dia dituduh membunuh Mohd Shah, 43, dan tidak dibenarkan ikat jamin sebelum kes itu disebut di Mahkamah Tempatan Burwood lewat hari ini.

Siasatan kes pembunuhan itu masih diteruskan, menurut laporan Sydney Morning Herald.

Mohd Shah dikatakan diserang dengan tukul besi dan ditikam oleh dua lelaki di luar unit kediamannya di Marion Street, Leichhardt, kira-kira tengah malam Ahad.

Seorang wanita yang mendakwa menyaksikan serangan itu dan cuba meleraikannya, mendapat pujian kerana usahanya itu.

Mohd Shah yang berasal dari Melaka dan tinggal di Australia sejak beberapa tahun lalu menjadi warganegara Australia dan bekerja sebagai pemandu di Konsulat Malaysia di Sydney.

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata jenazah Mohd Shah akan tiba di Kuala Lumpur sama ada esok atau Jumaat.

Polis meminta sesiapa saja yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menghubungi balai polis berhampiran atau unit Pembanteras Jenayah di talian 1800 333 000. - Bernama

Warga Saudi dituduh biayai kegiatan pengeboman di Indonesia

JAKARTA: Seorang warga Arab Saudi dihadapkan ke mahkamah di sini, hari ini atas tuduhan membiayai pengeboman beberapa hotel mewah di kota raya Jakarta, tahun lalu yang mengorbankan tujuh orang.

Al Khelaiw Ali Abdullah, 54, dituduh memberi 'bantuan dan kemudahan' kepada anggota kumpulan pengganas dengan meminjamkan wang, barangan dan bantuan lain.

Pendakwaan yang diketuai Totok Bambang akan membentangkan bukti bahawa Al Khelaiw terbabit secara langsung dalam kejadian pengeboman itu.

Beliau diberkas sebaik sahaja kejadian pengeboman hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton pada 17 Julai tahun lalu.

Pengganas yang mengetuai kejadian itu, Noordin Mohammed Top, yang terbunuh dalam serangan hendap polis September lalu, memberitahu salah seorang pengebom berani mati itu supaya bersedia untuk mati sebaik menerima wang yang dihantar dari Asia Barat itu.

Al Khelaiw bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan terhadapnya dengan mendakwa, beliau sebenarnya mahu terbabit dalam perniagaan internet di Indonesia dan tiada niat untuk membiayai aktiviti pengganas.

"Saya bukan pengganas dan saya tidak mengenali sesiapa yang terbabit dengan pengganas.

"Saya datang ke Indonesia untuk berehat dan berhasrat memulakan perniagaan komputer," katanya. - AFP

Tanah runtuh di ladang teh Indonesia ragut 5 nyawa, lebih 30 hilang

JAKARTA: Lima terbunuh manakala lebih 30 mangsa lain masih hilang selepas tanah runtuh menutupi sebahagian ladang teh di Indonesia, hari ini.

Pihak berkuasa negara itu, berkata tanah runtuh berlaku susulan hujan lebat yang melanda daerah Bandung.

"Lima mayat sudah dikeluarkan. 35 mangsa lain masih hilang. Kira-kira 35 rumah tertimbus dalam sehingga menyebabkan bumbung rumah tidak kelihatan," kata ketua pasukan mencari dan menyelamat Jakarta, Budiawan.

Lebih 300 petugas mencari dan menyelamat bersama kelengkapan berat dikerahkan ke kawasan itu, berdekatan kampung Ciwidey, iaitu kira-kira 35 kilometer barat daya bandar Bandung.

"Kami akan bekerja sepanjang malam untuk menyelamat seberapa ramai mangsa yang mungkin," katanya. - AFP

Hanya paras air loji Sembrong Timur kritikal

KUALA LUMPUR: Paras air di semua empangan dan takungan air di seluruh negara dilaporkan berada dalam keadaan baik kecuali di Loji Rawatan Air Sembrong Timur di Kluang, Johor, yang kini berada dalam keadaan yang kritikal.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, berkata pihaknya memantau situasi di semua empangan dan takungan air ekoran cuaca panas sejak bulan lalu yang dikhuatiri boleh menyebabkan paras air merosot.

"Kita sedang memantau paras air, kalau dah sampai dalam tahap merbahaya, kita akan melakukan cara-cara untuk memastikan kita tidak membazirkan air," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Tahun Baru Cina Tenaga Nasional Berhad, di sini hari ini.

Chin berkata, Loji Rawatan Air Sembrong Timur di Kluang berada pada paras kritikal berikutan paras air di Sungai Sembrong yang menyalurkan air ke loji berkenaan merosot. - Bernama