Followers

Saturday, September 4, 2010

10 maut hari pertama Ops Sikap ke-22

KUALA LUMPUR: Sepuluh kematian dicatatkan pada hari pertama Ops Sikap ke-22 semalam.
Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Supt Rasdi Ramli, dalam satu kenyataan hari ini berkata daripada jumlah kematian itu, tujuh membabitkan motosikal, dua kereta dan satu lori.
Beliau berkata, sebanyak 1,121 kemalangan dicatat pada hari pertama Ops Sikap itu yang dilancar sempena sambutan Aidilfitri.
Rasdi berkata jalan bandaran mencatatkan kemalangan tertinggi iaitu sebanyak 475 kes diikuti jalan persekutuan (281 kes), jalan negeri (183 kes), lebuh raya (115 kes) dan jalan-jalan lain sebanyak 67 kes.

"Sebanyak 9,625 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya," katanya.

Ops Sikap ke-22 akan berakhir pada 17 September. - BERNAMA

Rakyat Malaysia di New Zealand selamat

WELLINGTON: Semua rakyat Malaysia yang berada di South Island, New Zealand dilapor selamat dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.1 pada skala Richter, iaitu yang terbesar bagi tempoh 80 tahun di negara itu, awal pagi ini.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Datuk Hasnudin Hamzah, berkata pihaknya kini memantau keadaan di situ berikutan kejadian jam 4.35 pagi waktu tempatan (12.35 tengah malam waktu Malaysia).
"Kami ada menerima panggilan daripada wakil pelajar di kawasan itu dan menyatakan mereka semua selamat. Namun keadaan masih belum sepenuhnya stabil.
"Semua maklumat terkini diedarkan menerusi apa juga saluran yang mungkin termasuk emel, Facebook dan Twitter," katanya.

Gempa itu berpusat 14 kilometer di tenggara Christchurch, bandar raya terbesar di South Island dan kedua terbesar di New Zealang.

Terdapat 403 pelajar Malaysia sedang menuntut di South Island iaitu di University of Canterbury, Lincoln University dan University of Otago - semuanya di Christchurch - serta beberapa kolej dan politeknik,

Hasnudin turut menasihatkan rakyat Malaysia terutamanya pelajar agar menghubungi keluarga masing-masing di tanah air bagi memaklumkan keadaan mereka.
"Terdapat juga beberapa pelajar yang menghubungi pihak Suruhanjaya menyatakan bahawa rumah mereka mengalami kerosakan kecil seperti pintu rosak, cermin pecah akibat gempa bumi itu," katanya.

Mengikut maklumat yang dikeluarkan Suruhanjaya itu, gempa tersebut mengakibatkan kerosakan serius kepada bangunan dan infrastruktur termasuk jambatan serta jalan raya.

Laporan media tempatan menyebut dua orang mengalami kecederaan serius dalam kejadian tersebut, selain semua akses komunikasi dan bekalan elektrik terputus pada sebelah pagi. - BERNAMA

Tiada yang terlepas jika hina agama: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tidak ada pihak yang akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah menghina mana-mana agama yang diamalkan rakyat di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan memandang berat perkara itu terutamanya yang menyentuh sensitiviti agama kerana ia boleh mencetuskan kemarahan selain boleh menimbulkan pelbagai masalah khususnya soal keselamatan dan hubungan baik antara kaum di negara ini.
"Kita tidak boleh biar sesiapa sahaja baik orang Islam atau bukan Islam untuk mempermainkan agama mana-mana kaum," tegasnya ketika diminta mengulas gejala menghina agama Islam melalui laman sosial Facebook sejak kebelakangan ini.
Semalam Gerakan Pemuda Prihatin Putrajaya (GEMPUR) telah membuat laporan polis berhubung satu akaun laman sosial Facebook yang dikesan menghina Islam dan Allah menggunakan kata-kata kesat.

Akaun Facebook yang didaftarkan dengan nama Katy Lim Li Lian didakwa telah memaparkan komen yang menimbulkan kemarahan umat Islam.

Kes itu adalah insiden terbaru membabitkan sensitiviti kaum selepas Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor membuat satu laporan polis pada 1 September lalu berhubung kewujudan satu akaun Facebook menggunakan nama "Melayu Babi".

Baru-baru ini, seorang pemuda dari Muar, Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee turut mencetuskan kontroversi kerana menghasilkan klip video berbaur perkauman.
Muhyiddin berkata, walaupun "serangan" itu dibuat melalui laman sosial Facebook, tetapi beliau yakin ada cara yang boleh digunakan untuk membuktikan kesahihan dan identiti pelaku yang tidak bertanggungjawab itu.

"Hal sebegini sepatutnya tidak timbul kerana kita sudah lama hidup dalam negara yang aman dan tenteram, saling hormat menghormati sesama agama. Kenapa satu agama lain harus mencemarkan satu agama lain," katanya.

Katanya, banyak negara lain di dunia yang berdepan masalah hanya kerana timbulnya konflik agama, justeru beliau tidak mahu Malaysia turut tenggelam dalam krisis seumpamanya kerana ia pasti akan membawa bahaya pada negara, berdasarkan komposisi rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang budaya.

"Agama Islam kalau dimainkan, pasti akan menimbulkan kemarahan sebahagian besar rakyat Malaysia kerana kita sebuah negara yang mempunyai penganut Islam yang besar. Kalau agama lain pun, seperti Sikh, Hindu atau Buddha pun pasti tidak mahu orang Islam buat satu lagi FB atau apa sahaja yang menyentuh sensitiviti agama lain.

"Bagi kita ini amat bahaya dan saya yakin pihak berkuasa yang telah menerima laporan akan bertindak tegas dan keras kerana kita hendak elak hal-hal sebegini daripada menjadi masalah besar kepada negara," katanya.

Mengenai tindakan ke atas Pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Siti Aishah Mansor, Kulai, Johor yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman baru-baru ini, Muhyiddin berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

"Saya percaya ada instrumen sesuai yang boleh digunakan," katanya. - BERNAMA

Gempa bumi 7.1 gegar Pulau Selatan New Zealand

WELLINGTON, New Zealand: Gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala Richter menggegarkan Pulau Selatan New Zealand dan menyebabkan banyak kerosakan tetapi hanya terdapat dua laporan kecederaan serius.
Menurut polis, beberapa kedai di Christchurch yang mengalami kerosakan dimasuki pencuri.
Gempa bumi di kedudukan 30 kilometer ke barat Christchurch itu menyebabkan gegaran di kawasan yang luas dengan beberapa penduduk menyatakan terdapat bangunan yang runtuh dan bekalan elektrik terputus.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan.

GNS Science pada mulanya menyatakan gempa bumi itu berukuran 7.4 sebelum menurunkan bacaan kepada 7.1. Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat pula menyatakan gempa bumi itu berukuran 7.0.

Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker, mengisytihar darurat empat jam selepas gempa bumi itu melanda dan memberi amaran kepada penduduk bahawa gempa bumi susulan boleh menyebabkan batu bata jatuh daripada bangunan. - AP