Followers

Saturday, May 1, 2010

H1N1: 36 kes baru dilaporkan

PUTRAJAYA: Sejumlah 36 kes baru Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga jam 5.30 petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kes setakat ini 13,709 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata jumlah penyakit seakan influenza (ILI) yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah sebanyak 590 kes, dengan 13.9 peratus atau 82 kes telah disahkan positif Influenza A (H1N1). "Bilangan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah tujuh kes di mana lima daripadanya mempunyai faktor-faktor risiko.

"Tiada laporan kematian diterima menjadikan jumlah terkumpul kematian H1N1 sehingga hari ini kekal 81 orang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, sehingga jam 8 pagi ini, sejumlah lapan kejadian kluster ILI diterima dari tiga negeri - Perak, Johor dan Pahang.

Beliau berkata, ini termasuk di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu, Perak yang membabitkan 41 orang; Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 1 dan 2, Kluang, Johor yang membabitkan 11 orang; dan kampung orang asli Kampung Meranti di Pekan, Pahang yang membabitkan 4 orang.
"Kementerian menggesa orang awam yang mempunyai faktor risiko supaya segera mendapatkan pelalian vaksin H1N1 di 104 fasiliti kementerian di seluruh negara," katanya.

Sehingga semalam, Dr Mohd Ismail berkata jumlah keseluruhan penerima vaksin H1N1 adalah seramai 175,747 orang, dengan 76,613 daripadanya adalah petugas barisan hadapan kementerian, 49,407 orang adalah petugas hadapan bukan anggota kementerian dan 49,727 lagi adalah orang dari kumpulan sasar berkeutamaan dan orang awam.

Maklumat lanjut mengenai Influenza A (H1N1) boleh didapati di http://h1n1.moh.gov.my atau dengan menghubungi talian 03-8881 0200/0300. - Bernama

Puting beliung di AS ragut 3 nyawa, 25 cedera

CLINTON (Arkansas): Puting beliung memusnahkan di tengah-tengah Arkansas, Amerika Syarikat (AS) hari ini, dengan meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa, di samping mencederakan 25 yang lain selain memusnahkan beberapa rumah. 

Jurucakap Jabatan Pengurusan Kecemasan, Renee Preslar, berkata kematian dilaporkan di Daerah Van Buren, utara Little Rock, di mana tiga rumah bergerak turut musnah. - AP

Jadikan kreativiti, penciptaan semula fokus tahun ini: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengesa pekerja negara ini supaya menjadikan kreativiti dan penciptaan semula sebagai fokus tahun ini dalam usaha meningkatkan produktiviti dan transformasi ekonomi negara.
"Dengan menginovasi produk dan proses merangkumi semua sektor ekonomi, kita mampu meningkatkan kekayaan dan daya saing di peringkat dunia supaya kita juga mampu berdiri sama tinggi dengan negara-negara ternama seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Finland," kata Perdana Menteri dalam amanat Hari Pekerja 2010 di sini hari ini.

Najib berkata, walaupun terdapat pelbagai jalan berbeza untuk mencapai kejayaan menginovasi, mendapatkan, memupuk dan mengekalkan bakat terbaik adalah satu daripadanya sementara melabur di dalam industri masa hadapan juga perlu dilakukan.
"Apa pun kaedahnya, saya menggalakkan anda semua untuk menjadikan kreativiti dan penciptaan semula sebagai fokus anda bagi tahun ini. Marilah kita sama-sama berani melakukan kelainan dan lihat hasilnya," katanya.

Najib turut melahirkan kekagumannya dengan daya cipta Jepun semasa mengadakan lawatan ke loji kitar semula di negara itu semasa lawatannya ke negara matahari terbit itu minggu lalu.

"Teknologi termaju mereka dalam bidang alam sekitar dan tenaga boleh diperbaharui sememangnya benar-benar mengagumkan," katanya.

Najib berkata, semasa lawatan Perdana Menteri Finland, Matti Vanhanen, ke Malaysia dua hari lalu pula membuatnya teringat akan kejayaan negara itu untuk menginovasi, seperti pencapaian Nokia yang juga satu jenama yang tidak asing di negara ini.
Perdana Menteri berkata, pada tahun lalu beliau telah menekankan aspek pencapaian luar biasa pekerja Malaysia dalam bidang sosial dan ekonomi dan usaha mereka telah menarik perhatiannya.

"Namun saya percaya kita perlu terus meningkatkan usaha jika berhasrat untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi," katanya.

Beliau berkata, status ini amat perlu jika rakyat mahu menikmati antaranya taraf hidup yang lebih baik, peluang pekerjaan yang lebih banyak dan pembangunan rangkaian keselamatan sosial. - Bernama

Klinik 1Malaysia dibuka di Hulu Selangor

HULU SELANGOR: Kawasan Hulu Selangor hari ini mendapat Klinik 1Malaysia sendiri bertempat di Taman Bunga Raya di Bukit Beruntung.
Klinik itu dilancarkan oleh P Kamalanathan, Ahli Parlimen Hulu Selangor, yang memenangi pilihan raya kecil pada Ahad lalu.

"Pembukaan klinik itu bukti Barisan Nasional (BN) menunaikan janji-janji yang dibuat pada pilihan raya kecil itu," katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sendiri telah memberi jaminan itu kepada penduduk Hulu Selangor untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada mereka.

"Inilah cara BN bekerja, BN akan memenuhi semua janji-janji BN yang telah dibuat pada kempen pilihan raya baru-baru ini dan akan menyelesaikan semua masalah yang dihadapi penduduk setempat," katanya.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dan kakitangan Kementerian Kesihatan kerana membantu menyegerakan perkhidmatan Klinik 1Malaysia di Hulu Selangor ini," katanya.
Sejak kemenangannya, Kamalanathan telah melakukan lawatan dan beramah mesra dengan penduduk setempat di Felda Sungai Buaya, Kuala Kubu Bharu, Taman Teratai dan Rasa.

Mengenai masalah pampasan 363 bekas peneroka Felda di Sungai Buaya pula, kerajaan akan membayar baki RM49,000 untuk sebuah keluarga di situ setelah mereka menerima RM1,000 baru-baru ini.

"Bagaimanapun tarikh pembayaran baki tersebut akan ditentukan oleh kerajaan kelak," katanya.

Masalah lain yang akan diberi perhatian ialah pembinaan persimpangan bertingkat Sungai Buaya, bantuan dana khas kepada masyarakat India di bawah Tekun, masalah banjir di Kampung Sentosa dan masalah bumbung rosak di Bukit Beruntung.

Sementara itu, Kamalanathan berkata kerajaan telah bersetuju untuk memberi tanah untuk pembinaan sebuah kuil untuk masyarakat India di Kalumpang di sini setelah masalah itu berlarutan lebih 50 tahun.

Apabila ditanya bilakah beliau akan berpindah ke Hulu Selangor, katanya beliau masih mencari lokasi sesuai yang mempunyai perkhidmatan pengangkutan awam bagi memudahkan orang ramai berjumpa dengannya. - Bernama

Petronas dipelawa Brunei untuk bangunkan Blok L dan M

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas), berkata syarikat minyak nasional itu dipelawa oleh Brunei untuk membangunkan dua kawasan penerokaan luar pesisir yang sebelum ini ditandakan sebagai Blok L dan M atas dasar persetujuan komersial.

Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata, syarikat itu sudah menubuhkan satu pasukan dan memulakan rundingan dengan Brunei untuk memperincikan terma bagi pembangunan kedua-dua kawasan itu yang kini dikenali sebagai Blok CA1 dan CA2.

"Kedua-dua pihak komited untuk mencapai satu persetujuan yang memberi manfaat bersama secepat mungkin," kata Petronas.
Kenyataan empat perenggan itu menyebut persetujuan itu dibuat berikutan Pertukaran Surat antara Malaysia dan Brunei pada 16 Mac tahun lalu.

"Pertukaran Surat ini merupakan kemuncak kepada isu-isu tertangguh antara kedua-dua negara untuk mencapai satu persetujuan yang memberi manfaat bersama, bagi membolehkan Petronas memasuki kontrak perkongsian pengeluaran yang baru bagi kedua-dua blok," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut berikutan Pertukaran Surat itu, kontrak perkongsian pengeluaran meliputi Blok L dan M, yang diberikan pada 2003 kepada Petronas Carigali Sdn Bhd dan Murphy Sabah Oil Co Ltd, ditamatkan secara rasmi pada 7 April tahun ini memandangkan kedua-dua blok berkenaan bukan lagi sebahagian daripada Malaysia.

Blok L dan M ditandakan semula masing-masing sebagai Blok CA1 dan CA2, kata kenyataan itu lagi.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menulis dalam laman blognya Khamis lalu, mempersoalkan sebab kedua-dua blok itu bukan lagi kepunyaan Malaysia dan berkata, kehilangan itu boleh mengakibatkan kerugian kepada Malaysia sekurang-kurangnya AS$100 juta (RM320 juta).

Dr Mahathir mendakwa penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kedua-dua blok itu sebagai pertukaran bagi Limbang.

Abdullah, yang menandatangani Pertukaran Surat itu, menjelaskan bahawa perjanjian darat dan laut dengan Brunei diluluskan oleh Kabinet Malaysia dan Malaysia akan dibenarkan mengambil bahagian dalam usahasama pembangunan minyak dan gas atas dasar komersial di kedua-dua kawasan itu bagi tempoh 40 tahun. - Bernama

Kabinet lulus perjanjian sempadan dengan Brunei: Abdullah

KUALA LUMPUR: Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau telah menandatangani perjanjian persempadanan laut dan darat dengan Brunei pada Mac 2009 di mana pertindihan dua medan eksplorasi menjadi milik Brunei selepas ia diluluskan Kabinet Malaysia sebulan sebelum itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, bekas Perdana Menteri mengesahkan bahawa konsesi Blok L dan Blok M kini adalah milik Brunei tetapi perjanjian itu meliputi persetujuan komersial yang membolehkan Malaysia menyertai dan membangunkan bersama sumber minyak dan gas di kawasan itu untuk tempoh 40 tahun.

"Kaedah kewangan dan operasi bagi melaksanakan persetujuan ini akan dibincangkan lagi oleh kedua-dua pihak. Ini bermakna bahawa bahawa dari segi sumber minyak dan gas, perjanjian ini bukan satu kerugian bagi Malaysia," kata Abdullah yang melakukan lawatan kerja dua hari ke Bandar Seri Begawan pada 15 dan 16 Mac tahun lalu sebelum meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dua minggu kemudian pada 3 April.
Abdullah menjawab soalan yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berkata Abdullah telah menyerahkan dua blok itu dalam perundingan dengan Sultan Brunei bagi pertukaran untuk Limbang yang merentangi sempadan Sarawak-Brunei.

Dr Mahathir berkata, kehilangan dua blok menelan kos Malaysia sekurang-kurangnya AS$100 bilion (RM320 bilion) daripada anggaran simpanan hampir satu bilion tong minyak.

Dr Mahathir juga berkata, Brunei telah menafikan bahawa ia bersetuju untuk melepaskan Limbang dan Abdullah tidak menyebut mengenai dua blok itu apabila mengumumkan bahawa beliau telah menyelesaikan tuntutan ke atas Limbang.

Minggu lalu, Murphy Oil Corp yang berpangkalan di Amerika Syarikat berkata Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah memberhentikan kontrak perkongsian pengeluaran bagi Blok L dan M kerana mereka "bukan lagi sebahagian daripada Malaysia".
Abdullah yang mendedahkan butiran terperinci perjanjian itu bagi pertama kali, berkata beliau telah menandatangani Pertukaran Surat dengan Sultan Brunei pada 16 Mac tahun lalu bagi mengambil langkah-langkah tertentu yang akan menetapkan sempadan darat dan laut yang kekal antara Malaysia dan Brunei.

"Sebagai Perdana Menteri Malaysia, saya menandatangani Pertukaran Surat itu dengan Sultan Brunei setelah Kabinet Malaysia meluluskan urusan itu pada 11 Februari 2009," katanya.

Kedua-dua pihak bersetuju menjalankan kajian untuk menetapkan sempadan yang dipersetujui dan yang akan menjadi muktamad dan kekal. Urusan ini akan dibuat mengikut dua cara.

Pertama, kajian bersama itu akan mengesahkan sempadan dalam lima sektor yang sudahpun ditetapkan menerusi perjanjian-perjanjian sebelum ini pada 1920, 1931, 1933 (dua perjanjian berasingan) dan 1939.

Kedua, dalam sektor lain yang belum mempunyai perjanjian sempadan darat, kajian bersama itu akan menetapkan sempadan darat berdasarkan prinsip aliran air.

"Apabila keseluruhan urusan persempadan darat selesai, satu sempadan yang muktamad dan kekal akan ditetapkan antara Sarawak di bahagian Malaysia dan Brunei di satu pihak lagi.

"Apabila ini dicapai, tidak akan berlaku lagi pertikaian sempadan darat antara Brunei dan Malaysia. Isu yang berlarutan ini, yang yang menjadi satu aral dalam hubungan antara Malaysia dan Brunei, akan diselesaikan tanpa merugikan kedudukan Malaysia," katanya.

Mengenai kawasan maritim, beliau berkata Malaysia dan Brunei juga bersetuju menetapkan satu sempadan yang muktamad dan kekal.

"Perjanjian ini akan menyelesaikan isu tuntutan bertindih yang timbul sebelum ini termasuk di kawasan blok konsesi dikenali Blok L dan Blok M.

"Hak kedaulatan bagi sumber di kawasan ini kini menjadi milik Brunei. Bagaimanapun, untuk kawasan ini, perjanjian itu meliputi persetujuan komersial yang membolehkan Malaysia menyertai dan membangunkan bersama sumber minyak dan gas di kawasan itu untuk tempoh 40 tahun," katanya.

Abdullah berkata, kaedah kewangan dan operasi bagi melaksanakan persetujuan ini akan dibincangkan lagi oleh kedua-dua pihak. Ini bermakna bahawa daripada segi sumber minyak dan gas, perjanjian itu tidak merugikan Malaysia. - Bernama