Followers

Wednesday, June 30, 2010

Dewan Rakyat lulus RMKe-10

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat sebentar tadi meluluskan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) selepas undian suara yang dilakukan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Usul RMKe-10 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 10 Jun lalu itu dibahaskan selama 11 hari, termasuk lima hari bagi sesi penggulungan membabitkan kementerian dengan terakhir semalam, bagi Jabatan Perdana Menteri.
RMKe-10 yang memperuntukkan RM230 bilion bagi perbelanjaan lima tahun itu bertemakan rancangan kemakmuran ekonomi dan keadilan sosial dan akan dilaksanakan berasaskan hala tuju strategik membabitkan program untuk merealisasikan Wawasan 2020.

657 pelajar bukan Bumiputera terima biasiswa JPA tahun ini

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata kaum bukan Bumiputera tidak terpinggir daripada mendapat biasiswa kerajaan apabila 657 pelajar bukan Bumiputera mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk belajar di luar negara, tahun ini.

“Di bawah Program Ijazah Luar Negara itu, 843 biasiswa pula diberikan kepada golongan Bumiputera termasuk dari Sabah dan Sarawak,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-10 di Dewan Rakyat di sini.
Keseluruhan 1,500 biasiswa JPA itu agihkan kepada pelajar-pelajar cemerlang berdasarkan empat kategori iaitu merit, kaum, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kurang bernasib baik.
Daripada jumlah 300 biasiswa kategori merit, 59 atau 20 peratus diagihkan kepada pelajar Bumiputera manakala 241 biasiswa atau 80 peratus kepada pelajar bukan Bumiputera.

"Daripada jumlah itu, kaum Cina mendapat 209 (70 peratus), India 30 (10 peratus) dan lain-lain dua (0.7 peratus)," kata Mohd Nazri.

Bagi kategori kuota kaum, pelajar Bumiputera memperoleh 557 biasiswa (61.8 peratus) dan 343 biasiswa (38.1 peratus) diberikan kepada kaum bukan Bumiputera.

Sebanyak 150 biasiswa pula diagihkan sama banyak antara kaum di Sabah dan Sarawak manakala 150 biasiswa lagi diperuntukkan kepada golongan kurang bernasib baik, katanya. - Bernama

Kerajaan sasar PKN cecah AS$504 bilion pada 2020: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan bermatlamat meningkatkan Pendapatan Kasar Negara (PKN) negara ini kepada AS$504 bilion menjelang 2020, daripada AS$187 bilion sekarang.

Perdana Menteri berkata, sehingga kini 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) telah mengenal pasti 118 projek baru (EPP) dan 35 peluang perniagaan dengan anggaran PKN tahunan menyumbang kira-kira AS$156 bilion pada 2020.
"Dalam tempoh empat minggu akan datang, anda akan melihat tambahan AS$80 bilion. Jadi itu adalah tugas anda. Jika anda boleh mencapai angka itu, menjelang tahun 2020, sepatutnya mencapai kira-kira AS$504 bilion dari segi PKN," katanya.
Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian selepas melawat Makmal NKEA di Akademi Malaysia Airlines.

Najib yang meluangkan masa sembilan minit di setiap 12 makmal NKEA di Kelana Jaya hari ini bagi mendapatkan perkembangan terkini, sangat tertarik dan memuji pencapaian makmal itu, iaitu kerjasama sektor awam dan swasta.

"Di dalam tempoh 10 tahun akan datang, kita mahu menjadi sepenuhnya negara maju berpendapatan tinggi.

"Anggaran awal menunjukkan 80 peratus pembiayaan bagi 118 EPP itu akan dibuat pelaburan swasta dan berpotensi menyediakan sehingga 2.2 juta pekerjaan. Justeru, sektor swasta akan muncul sebagai pemacu ekonomi," katanya.

Semua 12 NKEA itu ialah minyak, gas dan tenaga; minyak sawit; perkhidmatan kewangan (yang termasuk pasaran modal); pemborongan, peruncitan dan pengedaran; pelancongan; telekomunikasi; pendidikan; elektrik dan elektronik; perkhidmatan perniagaan; perkhidmatan kesihatan; pertanian dan Usaha menghidupkan Semula Perbandaran Lingkungan Besar Kuala Lumpur.

Najib berkata, sesetengah input dari makmal itu boleh dirangkumkan di dalam bajet akan datang pada Oktober, terutama keadaan di mana perlu disediakan insentif.

"Saya perlu menimbangkan ini sebagai sebahagian daripada bajet pada Oktober. Apa sahaja yang perlu disediakan insentif, peruntukan fiskal dan insentif cukai. Apa yang kita sebenarnya dapat lakukan saya berhasrat merangkumkannya di dalam bajet pada Oktober," katanya. - BERNAMA

UDA belum putuskan roboh keseluruhan Penjara Pudu

JOHOR BAHRU: Pemilik tanah Penjara Pudu, UDA Holdings Bhd, masih belum membuat keputusan sama ada keseluruhan struktur penjara yang berusia lebih 100 tahun di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur itu akan dirobohkan.
Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata keputusan mengenai perkara itu hanya akan dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak.
"Pada masa ini bahagian tembok penjara yang sudah dirobohkan adalah bagi memberi laluan kepada projek pembesaran Jalan Pudu," katanya sini hari ini.
Beliau mengulas keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, semalam yang menolak usul DAP untuk membincangkan agar sebahagian daripada tembok penjara yang masih ada dikekalkan sebagai warisan sejarah.

Nur Jazlan berkata, tapak penjara itu tidak diiktiraf sebagai Tapak Warisan oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan cadangan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, agar pintu gerbang Penjara Pudu diselamatkan dan dijadikan bahan sejarah untuk tatapan generasi akan datang.

"UDA terbuka untuk menerima sebarang cadangan daripada mana-mana pihak yang berminat untuk memindahkan bangunan Penjara Pudu ke tempat lain yang lebih sesuai bagi tujuan sejarah dan pemuliharaan...mungkin ia boleh diletakkan di Muzium Negara kerana ia sebahagian daripada sejarah negara," katanya.
Kerja-kerja merobohkan sebahagian daripada tembok penjara yang berhadapan Jalan Pudu itu dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bermula 21 Jun lalu.

Sementara itu, Nur Jazlan berkata projek menaik taraf Puduraya berjalan mengikut jadual.

"Kita memperuntukkan sebanyak RM61 juta untuk projek berkenaan dan status perkembangan projek sekitar 50 peratus...saya dimaklumkan sebahagian daripada Puduraya akan dapat digunakan menjelang Hari Raya Aidilfitri kelak.

"UDA memahami betapa pentingnya Puduraya disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan dan kita akan berusaha ke arah itu, selaras dengan konsep 'Rakyat Didahulukan'," katanya.

Beliau juga berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan mengadakan lawatan kali ketiga ke Puduraya dalam tempoh terdekat bagi memastikan pelaksanaan projek itu mengikut jadual. - BERNAMA

Gempa bumi kuat landa Fiji

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala Richter melanda selatan kepulauan Fiji, kira-kira jam 12.30 tengah hari ini.
Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata, pusat gempa bumi itu terletak di kedudukan 23.3 darjah Selatan dan 179.3 darjah Timur, 584 km tenggara Suva, Fiji, dan 7,316 barat daya Kunak, Sabah.
Menurutnya, gempa bumi itu tidak mencetuskan ancaman tsunami. - Bernama

Benigno Aquino angkat sumpah Presiden ke-15 Filipina

MANILA: Benigno Aquino, 50, hari ini mengangkat sumpah sebagai presiden Filipina ke-15 hari ini.
“Saya Benigno Aquino generasi ketiga bersumpah akan bersungguh-sungguh dengan tulus dan hemat melaksanakan tugas saya sebagai Presiden Filipina.
“(Saya akan) memelihara dan mempertahankan perlembagaannya, melaksanakan mengikut undang-undang, adil kepada setiap individu dan mengabdikan diri saya memberikan perkhidmatan kepada negara. Jadi tuhan bantu saya,” katanya di depan hakim Mahkamah Persekutuan negara itu, sebentar tadi.
Upacara mengangkat sumpah dan perpindahan kuasa itu diadakan di Taman Rizal, Manila.

TPM arah pengambilan guru Bahasa Mandarin, Tamil dipercepatkan

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengarahkan pengambilan guru Bahasa Mandarin dan Tamil untuk ditempatkan di kira-kira 7,000 sekolah kebangsaan mulai tahun depan dipercepatkan.

Pelakon 'Winter Sonata' bunuh dir

SEOUL: Pelakon dan penyanyi popular Korea Selatan ditemui mati hari ini, dipercayai membunuh diri, menurut polis dan laporan media.
Agensi berita Yonhap melaporkan Park Yong-ha, 33, menggantung diri di kediamannya di Seoul.
Seorang pegawai Seoul Metropolitan Police Agency memberitahu The Associated Press, Park ditemui tergantung dengan wayar pengecas bateri telefon bimbitnya.
Namun, polis masih menyiasat punca sebenar kematian beliau.

Park mula menampilkan diri pada akhir 1990-an dan pada 2002 membintangi drama bersiri "Winter Sonata" yang diikuti ramai penonton di Jepun dan Asia Tenggara.

Beliau mengadakan beberapa konsert di Jepun dan seorang daripada peminatnya ialah bekas Wanita Pertama, Akie Abe. - AP

PM Kemboja, 3 menteri dijangkiti H1N1

PHNOM PENH: Perdana Menteri, Hun Sen, dan tiga lagi Menteri Kabinet dijangkiti selesema babi atau Influenza A (H1N1) dan pemimpin Kemboja itu semakin pulih selepas rawatan perubatan sejak beberapa hari lalu.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Kemboja lewat semalam, Hun Sen, 59, memerlukan "rawatan segera" selepas mesyuarat mingguan Kabinet Jumaat lalu.
“Selepas menerima rawatan daripada pakar perubatan, kesihatan Perdana Menteri Hun Sen kembali seperti sedia kala," katanya dalam satu kenyataan.
Minggu lalu Hun Sen secara terbuka menyatakan beliau mengalami demam dengan tanda-tanda seperti selesema dan tidak menghadiri majlis ulang tahun ke-59 Parti Rakyat Kemboja pimpinan beliau.

Sekurang-kurangnya, enam rakyat Kemboja maut akibat selesema babi manakala 600 lagi dijangkiti virus itu sejak ia mula dikesan di negara itu Jun tahun lalu. - AP

Mexico isytihar ancaman selesema babi berakhir

BANDARAYA MEXICO: Kerajaan Mexico hari ini mengisytiharkan tempoh berjaga-jaga terhadap ancaman selesema babi atau Influsenca A (H1N1) ditamatkan selepas lebih 14 bulan wabak itu melanda negara itu.

Setiausaha Kesihatan, Jose Angel Cordova berkata, bagi tempoh Oktober tahun lalu, 90 peratus kes influenza di Mexico disebabkan selesema babi.
Namun pada Mei tahun ini, peratusnya menurun kepada 10 peratus, dengan kes berkenaan yang bersifat bermusim kepada kurang serius.
Kes selesema babi menunjukkan pengurangan ketara sejak beberapa bulan lalu di seluruh dunia selepas wabak itu pantas menular ke 200 negara dengan mengorbankan 17,800 nyawa.

Di Mexico saja, 72,546 orang dijangkiti dengan 1,289 kes kematian sejak wabak itu pertama kali dikesan melanda pada April 2009.

Cordova berkata, kerajaan Mexico bagaimanapun masih memantau kes selesema babi walaupun amaran berjaga-jaga sudah ditarik balik.

Sejak pertama kali Mexico diisytiharkan dilanda wabak selesema babi, sektor pelancongan di negara itu hampir lumpuh selepas kerajaan menutup sementara sekolah dan aktiviti awam bagi membendung virus itu merebak di seluruh dunia. - AFP

Piala Dunia: Sepanyol 1 Portugal 0

PEMAIN Portugal, Cristiano Ronaldo (jersi putih) di kawal oleh tiga pemain Sepanyol, (dari kiri)  Xavi Hernandez, Andres Iniesta dan Sergio Busquets dalam saingan pusingan kedua Piala Dunia di Stadium Green Point, awal pagi tadi. Sepanyol tewaskan Portugal 1-0. - Foto AP
PEMAIN Portugal, Cristiano Ronaldo (jersi putih) di kawal oleh tiga pemain Sepanyol, (dari kiri) Xavi Hernandez, Andres Iniesta dan Sergio Busquets dalam saingan pusingan kedua Piala Dunia di Stadium Green Point, awal pagi tadi. Sepanyol tewaskan Portugal 1-0. - Foto AP
CAPE TOWN: Juara Eropah, Sepanyol mempamerkan keunggulan apabila menumpaskan Portugal 1-0 pada pusingan kedua Piala Dunia di Stadium Green Point sebentar tadi.

Gol tunggal jaringan penyerang David Villa pada minit ke-63 hasil hantaran Inesta sudah cukup untuk memastikan Sepanyol menempah tiket ke pusingan suku akhir.

Piala Dunia: Sepanyol o Portugal 0 (separuh pertama)

CAPE TOWN: Tamat separuh masa pertama, Sepanyol dan Portugal masih terikat seri 0-0 di Stadium Green Point, sebentar tadi.

Piala Dunia: Paraguay 5, Jepun 3 (Penentuan penalti)

PRETORIA: Paraguay mara ke peringkat suku akhir selepas menewaskan Jepun 5-3 menerusi sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan apabila tamat masa tambahan dalam perlawanan Piala Dunia FIFA 2010 di Stadium Loftus Versfeld malam tadi.
Jepun gagal meraih gol pada penalti ketiga apabila sepakan Yuichi Komano terkena palang.
Paraguay akan berhadapan sama ada Sepanyol atau Portugal pada peringkat suku akhir.

Tuesday, June 29, 2010

Piala Dunia: Paraguay 0, Jepun 0 (Separuh masa pertama)

PRETORIA: Paraguay dan Jepun terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama perlawanan pusingan kedua Piala Dunia FIFA 2010 di Stadium Loftus Versfeld.

Pindaan ISA dilulus Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Pindaan kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan enam undang-undang pencegahan yang lain telah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara dan akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau berkata, semua pindaan itu diharap dapat dibentangkan di Parlimen pada sesi ini tetapi masih ada beberapa perkara yang perlu diperkemaskan.
"Pindaan kepada ISA dan akta-akta pencegahan telah siap dibincangkan antara pihak kementerian, Polis Diraja Malaysia dan Peguam Negara. Bagaimanapun ada beberapa perkara lagi yang kita perlu perhalusi berkaitan akta-akta berkenaan sebelum dibawa kepada kabinet," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat antara kementerian, PDRM dan wakil Peguam Negara Datuk Idrus Harun di Parlimen hari ini.
Selain ISA, undang-undang yang akan dipinda adalah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Buang Negeri 1959, Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Seksyen 27 Akta Polis 1967 berkaitan perhimpunan.

Pada Mac lalu, Kabinet memutuskan pindaan ISA harus dibentang pada persidangan Parlimen bersama-sama enam lagi akta berkaitan pencegahan yang juga perlu dipinda.

Ditanya mengenai pindaan yang dicadangkan dalam akta berkenaan, Hishammuddin berkata ia termasuk hak mengadakan perhimpunan secara aman.

"Jika keadaan aman bagi membolehkan perhimpunan diadakan, tidak ada sebab kita menghalangnya dengan terlalu banyak sekatan (manakala) layanan terhadap tahanan, tempoh penahanan, kuasa menteri...akan disesuaikan ikut keadaan hari ini," katanya.
Beliau berkata, kementerian akan terus mendekati golongan berkepentingan termasuk pembangkang dan Majlis Peguam bagi memastikan semua pihak memahami pindaan yang ingin dilakukan sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

Hishammuddin juga berkata, pindaan kepada Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang akan dibentangkan minggu depan, membabitkan aspek penyeludupan manusia serta memperkuatkan lagi undang-undang sedia ada. - BERNAMA

Pasukan khas rampas 3,120kg gula, tahan peniaga

TUMPAT: Pasukan Khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan (KPDNKK) hari ini menahan seorang lelaki dan merampas 3,120 kilogram gula bernilai RM5,148 di Wakaf Baharu, selepas 24 jam pasukan itu diumumkan beroperasi di Kelantan semalam.
Pengarahnya, Abdul Ghani Harun, berkata rampasan dibuat oleh empat pegawai diketuai beliau dalam operasi khas memeriksa semua pemborong gula di Kelantan termasuk kedai yang terletak di Pengkalan Kubor, Wakaf Baharu yang menjual gula tanpa lesen.
Bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, beliau berkata gula yang dimasukkan ke dalam 130 ikatan beg plastik itu dipercayai turut dijual kepada penyeludup menggunakan lori kecil ke negara jiran.
Sebuah lori yang datang untuk mengambil gula di kedai itu telah berpatah balik setelah mendapati beberapa pegawai penguatkuasa berada di kedai itu.

Abdul Ghani berkata, siasatan dibuat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan kawalan 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(2) Akta Bekalan (Pindaan 2006) yang boleh didenda sehingga RM250,000.

Beliau berkata, seorang peniaga berusia 40 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan manakala gula itu dibawa ke pejabat KPDNKK di Kota Baharu untuk tindakan lanjut.

"Peniaga itu mendapatkan bekalan gula daripada pemborong utama di Kota Baharu dan Tanah Merah sebelum diedar kepada peniaga dan penyeludup ke negara jiran," katanya.
Semalam, Ketua Pengarah KPDNKK, Mohd Roslan Mahayuddin, berkata kementerian itu menubuhkan sebuah pasukan pemantau bagi menangani isu bekalan gula di Kelantan.

Pasukan itu yang dianggotai pegawai dari Kuala Lumpur, Terengganu dan Kelantan akan memantau semua premis pemborong, pusat pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin, serta pangkalan haram bagi mencegah penyeludupan gula. - BERNAMA

Maahad Tahfiz Al-Quran baru dibina di Sabah

KOTA KINABALU: Sebuah bangunan Maahad Tahfiz al-Quran akan dibina di kawasan pedalaman Sabah dan dijangka siap dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Katanya, pembinaan bangunan baru itu pendekatan strategik kerajaan negeri bagi melahirkan cendekiawan Islam dalam membudayakan bidang penyelidikan dan pembangunan isi kandungan al-Quran yang kaya dengan ilmu, sebagai rujukan mencapai kejayaan dunia dan akhirat.
"Maahad ini akan dilengkapkan dengan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang moden untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja boleh menghafal al-Quran tetapi juga mampu menguasai pelbagai bidang disiplin ilmu yang lain," katanya pada perasmian Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 di Dewan Saadah, Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini malam ini.
Majlis tilawah itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Musa berkata, selaras dengan komitmen kerajaan dalam membudayakan nilai dalam al-Quran, sebuah bangunan baru Sekolah Menengah Agama Islamiah Toh Puan Hajah Rahmah akan dibina di Kinarut, 40 kilometer dari sini.

Sekolah itu yang beroperasi di Sembulan dekat sini sejak 30 tahun lalu, telah melahirkan ramai tokoh agama berwibawa.

Musa juga berkata, kerajaan negeri sedang membina Baitul Ihsan, sebuah pusat pemulihan akidah dan akhlak, juga di Kinarut dan dijangka mula beroperasi tahun depan.
Mengenai penganjuran majlis tilawah al-Quran itu yang berlangsung sehingga 3 Julai ini, Musa berkata ia membolehkan rakyat lebih mengenali dan memahami keunikan yang dimiliki Sabah, khususnya daripada segi kepelbagaian kaum, sosial dan adat serta budaya yang mampu menjadi wadah untuk memperkasakan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.

"Semangat perpaduan dan muhibah serta cinta kepada keharmonian dalam masyarakat yang pelbagai adalah tuntutan dalam al-Quran dan Sunnah.

"Inilah inti pati penting gagasan yang diilhamkan Perdana Menteri melalui konsep 1Malaysia dalam memperkasakan perpaduan dan mempertahankan keamanan demi kesejahteraan dan kemakmuran negara, sesuai dengan ajaran kitab suci al-Quran," katanya.

Seramai 15 qari dan 14 qariah menyertai majlis tilawah tahun ini yang menawarkan hadiah wang tunai RM15,000 masing-masing bagi johan qari dan qariah berbanding RM10,000 tahun lalu, RM7,000 bagi naib johan dan RM5,000 bagi pemenang tempat ketiga.

Pada tahun ini, pakej menunaikan ibadah haji juga ditawarkan kepada naib johan dan pemenang tempat ketiga, berbanding untuk johan sahaja sebelum ini. - BERNAMA

Belum sampai masa untuk pengagihan kerusi di Sabah: Najib

PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini menegaskan belum sampai masanya memutuskan sama ada status-quo pengagihan kerusi Barisan Nasional (BN) di Sabah dikekalkan atau tidak menjelang pilihan raya akan datang.
"Belum sampai masanya kita buat apa-apa keputusan, kenapa orang nak melatah dan terlalu banyak riak pada masa sekarang.
"Saya belum membuat sebarang keputusan mengenai apa pun...Serahkan pada saya untuk memutuskan apa yang terbaik bagi Sabah.
Pada masa ini, kita jangan terlalu teruja mengenai apa pun. Terlalu banyak politiking dalaman tapi walau apa pun ia, nasihat saya ialah tumpukan untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Kita mesti tunjuk, kita sebuah parti yang prihatin dengan rakyat di Sabah, itu yang penting sekali," katanya kepada pemberita selepas program tinjauan mesra beliau ke Pasar Lido, dekat sini.

Najib ditanya sama ada beliau mempertimbangkan untuk sebarang perubahan dari segi politik di Sabah berikutan permintaan parti komponen BN di Sabah supaya kerusi tertentu diberikan kepada mereka. - BERNAMA

Dua bayi lelaki dibuang, seorang remaja perempuan ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang remaja 18 tahun dipercayai ibu kepada bayi lelaki yang ditinggalkan di belakang sebuah rumah di Jalan Taman Mawar, Rawang, dekat sini pagi tadi.

Pada sebelah petang pula, seorang lagi bayi lelaki yang juga baru lahir ditemui di atas tong sampah di depan sebuah rumah di Taman Sri Pulai 3, Sikamat, Seremban.
Dalam kes pertama, remaja perempuan itu ditahan susulan laporan penduduk kampung selepas penemuan bayi yang baru lahir itu kira-kira jam 10 pagi tadi.
Ketika ditahan, remaja terbabit yang menumpang di rumah ibu saudaranya di situ, sedang berehat di dalam bilik dan berada dalam keadaan letih dipercayai kesan melahirkan anak.

Bayi itu dipercayai dilahirkan di rumah ibu saudaranya sebelum dibuang dengan bantuan individu lain.

Dalam kes kedua, bayi malang itu ditemui pekerja pembersihan yang melakukan tugas di situ pada 4.20 petang tadi.

Sukarelawan Indonesia ke Gaza keracunan arsenik

PUTRAJAYA: Sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel setelah flotilla bantuan kemanusiaan ke Gaza diserang komando Israel 31 Mei lalu mendakwa sukarelawan misi itu diracun dengan arsenik yang dimasukkan dalam makanan diberikan kepada mereka sepanjang penahanan itu.
Ketua Misi Lifeline for Gaza Malaysia, Noorazman Mohd Samsuddin, berkata dakwaan itu terbukti benar apabila tiga sukarelawan dari Indonesia disahkan mempunyai kandungan arsenik yang tinggi dalam badan, sekembalinya mereka dari misi itu.
"Bagi sukarelawan dari Malaysia, setakat ini lima hingga enam sukarelawan sudah buat pemeriksaan kesihatan termasuk termasuk petugas media dari Astro Awani dan keputusan mendapati ia negatif.
"Baki sukarelawan yang masih belum membuat pemeriksaan kesihatan akan berbuat demikian dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perkongsian Pengalaman Bersama Sukarelawan Malaysia ke Gaza, di sini hari ini.

Arsenik adalah unsur bukan logam berwarna kelabu dan sangat beracun yang antara kegunaannya untuk menghasilkan racun perosak, ubat sapu dan peranti elektronik.

Dalam perkembangan lain, Noorazman berkata satu lagi konvoi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza akan dilaksanakan selepas Ramadan ini, dengan kira-kira 100 kapal bersedia untuk menyertainya.

"Misi kali ini mungkin akan membabitkan penghantaran melalui darat," katanya. - BERNAMA

BN perlu agresif tarik golongan muda daftar pengundi: Najib

PENAMPANG: Datuk Seri Najib Razak mahu semua parti komponen Barisan Nasional (BN) lebih agresif menggerakkan usaha menarik golongan muda terutama belia untuk mendaftar sebagai pengundi.

Perdana Menteri yang juga Presiden BN berkata, sebahagian besar golongan terbabit tidak memiliki kesedaran politik dan sikap itu perlu diubah.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan mesra di sekitar Pasar Lido di sini, sebentar tadi.
Hadir sama ketua menteri, datuk seri musa aman.

Gaza: Cadangan Malaysia dapat reaksi positif

PUTRAJAYA: Usaha Malaysia supaya satu sidang tergempar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) diadakan bagi membincangkan serangan Israel terhadap flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei lalu mungkin menjadi kenyataan, kata Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay.
Beliau berkata, sidang khas itu mungkin diadakan awal bulan depan berdasarkan sokongan dan reaksi positif pelbagai pihak.
"Bagaimanapun, keputusan untuk mengadakan sidang khas itu akan ditentukan oleh Presiden Perhimpunan Agung PBB setelah mendapat sokongan daripada majoriti negara anggota," katanya kepada pemberita pada Majlis Perkongsian Pengalaman Bersama Sukarelawan Malaysia ke Gaza di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Kohilan berkata Malaysia telah mengutus surat kepada Presiden Perhimpunan Agung PBB, Presiden dan Setiausaha Agung Majlis Keselamatan PBB, Pengerusi dan Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pengerusi Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) untuk mendapatkan sokongan bagi mengadakan sidang khas itu.

Beliau berkata, Kementerian Luar juga telah mengarahkan Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York supaya mendapatkan kerjasama dan sokongan wakil tetap negara sependapat khususnya anggota NAM, OIC dan Liga Arab bagi penganjuran sidang khas itu.

"Menteri Luar juga telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan beliau dari Brunei dan Indonesia untuk memaklum dan mendapatkan sokongan kedua-dua negara itu," katanya.

Kohilan berkata, satu draf resolusi sedang dirangka untuk dibentangkan pada sidang khas itu nanti yang antara lain akan menuntut supaya Israel segera menghentikan kepungan atau sekatan terhadap Gaza.
Beliau berkata, resolusi itu akan meminta Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberi pendapat nasihat mengenai serangan Israel itu dan menuntut agar diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa yang bebas di bawah PBB untuk menyiasat serangan Israel itu.

Dalam kejadian itu, sembilan aktivis terkorban manakala 12 rakyat Malaysia ditahan apabila tentera Israel menyerang kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. - BERNAMA

Usul bincang roboh Penjara Pudu ditolak

KUALA LUMPUR: Usul Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun, dari DAP yang memohon persidangan Dewan Rakyat membahaskan kedudukan tembok Penjara Pudu yang belum diruntuhkan, ditolak.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, ketika menolak usul berkenaan berkata walaupun usul itu adalah perkara tertentu dan berkepentingan orang ramai, ia bukan sesuatu yang perlu disegerakan.
"Saya menolak usul ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2) kerana perkara ini sudah dibangkitkan oleh empat Anggota Parlimen ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) oleh kementerian yang berkaitan," katanya.

Pandikar Amin berkata, menteri berkenaan juga sudah memberikan jawapan terhadap perkara yang dibangkitkan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading), Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dan Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali (PAS-Titiwangsa) dan Fong sendiri.

Fong dalam usulnya antara lain meminta supaya saki-baki tembok Penjara Pudu yang belum diruntuhkan, dikekalkan sebagai warisan sejarah.

Katanya, Penjara Pudu mempunyai nilai sejarah dan boleh menjadi tapak warisan kerana berusia 115 tahun.
Tembok di sebelah bahagian Jalan Pudu dirobohkan pada 21 Jun lalu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membolehkan kerja-kerja pelebaran dan laluan bawah tanah di Jalan Pudu dilaksanakan. - BERNAMA

Penjara Pudu tiada ciri warisan bernilai: Rais

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, menolak tanggapan bahawa Penjara Pudu yang berusia lebih 100 tahun adalah sebuah bangunan warisan.
Beliau berkata, sesuatu yang dianggap warisan mestilah mempunyai ciri-ciri kebangsaan yang besar nilainya, ciri-ciri sejarah yang membentuk masyarakat serta nilai estetika dan nilai seni bina.
"Penjara semata-mata bukanlah satu warisan yang boleh melonjakkan nilai nasional atau nilai estetika. Namun demikian bagi mereka yang mempunyai kerinduan di zaman lampau, kita boleh menggunakan pintu gerbang sebagai satu preservasi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang 2009 bagi warga kementerian itu di Istana Budaya di sini hari ini.
Rais berkata, Uda Holdings Berhad bebas membuat sebarang pembangunan di tapak penjara itu tetapi kementerian telah memaklumkan kepada syarikat itu agar pintu gerbang penjara itu dirizabkan dan diletakkan di tempat yang sesuai.

"Tidak usah gundah-gulana tentang Penjara Pudu sebagai satu bab warisan, saya kira rakan-rakan suarakan perkara ini tanpa tentukan isian kehidupan sebenar. Seseorang yang tahu tentang Pudu saya kira mereka lebih gemar kalau Penjara Pudu itu tidak tampak lagi dalam khalayak pada hari ini," katanya.

Minggu lalu, tembok Penjara Pudu sepanjang kira-kira 300 meter, telah dirobohkan oleh kontraktor dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi membina laluan bawah tanah di Jalan Pudu.

Penjara Pudu dibina pada 1895. - BERNAMA

DAP sangkal dakwaan daftar pemilih pemuda UMNO

KUALA LUMPUR: DAP menafikan dakwaan biro keahlian dan daftar pemilih pemuda UMNO bahawa nisbah pengundi Melayu dan bukan Melayu 1:40 dan menganggapnya satu kenyataan bebaur perkauman.

Demikian menurut Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke di sini, sebentar tadi.

Najib tiba di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tiba di sini hari ini bagi merasmikan majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-53 malam ini.
Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, tiba dengan pesawat khas di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, pada 11.40 pagi.
Ketibaan beliau disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri, anggota Kabinet, pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan serta pemimpin masyarakat tempatan.
Najib kemudian berangkat menghadiri majlis jamuan tengah hari bersama qari, qariah, hakim dan ahli jawatankuasa majlis tilawah itu.

Petang ini, Perdana Menteri dijadual melawat peniaga di Pasar Lido, Penampang dan di sebelah malam, merasmikan majlis tilawah al-Quran di Dewan Saadah, Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Najib dan isteri dijadual berlepas pulang ke ibu negara selepas majlis itu. - BERNAMA

Turki larang pesawat Israel guna ruang udara

ANKARA: Turki semalam melarang tentera Israel menggunakan ruang udara negaranya selepas kejadian kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza diserang komando negara itu yang mengorbankan sembilan orang, bulan lalu.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan selepas wujud tekanan supaya kedua-dua negara melihat semula hubungan yang pernah terjalin sebelum ini.
Dalam serangan komando Israel ke atas kapal misi Gaza itu, lapan yang maut adalah warga Turki dan seorang lagi memiliki dua kerakyatan iaitu Turki dan Amerika Syarikat.
“Mereka (Israel) memohon keizinan Poland untuk menggunakan ruang udaranya pada hari pertama selepas kejadian serangan 31 Mei lalu.

"Bagaimanapun, mereka (Israel) tidak diberi kebenaran," kata Erdogan kepada pemberita selepas pulang daripada menghadiri Sidang Kemuncak G-20 di Kanada.

Sementara itu, agensi berita The Anatolia yang memetik Erdogan di Toronto selepas tamat sidang kemuncak itu bahawa negaranya sudah menutup ruang udaranya kepada Israel. - AFP

Gempa 5.7 Richter landa Kepulauan Solomon

HONIARA: Gempa bumi sederhana berukuran 5.7 Richter melanda Kepulauan Solomon di barat Pasifik, lapor Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS), awal pagi ini.
Bagaimanapun setakat ini tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Gempa berlaku di kedalaman 35 kilometer (km) di 26km di barat daya Auki di Jepun dan 112km di utara Honiara jam 5.19 pagi waktu tempatan (1819 GMT).
Kepulauan Solomon pada Sabtu lalu digegarkan dengan gempa kuat 6.9 Richter sehingga mencetuskan panik tetapi tiada kerosakan besar dilaporkan. - AFP

Piala Dunia: Brazil 3 Chile 0


PERTAHANAN Brazil, Lucio (atas) mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sambil diasak pemain Chile, Humberto Suazo pada perlawanan Piala Dunia FIFA 2010 di Stadium Ellis Park, Johannesburg, sebentar tadi. Keputusan Brazil 3 Chile 0. - Foto AFP
PERTAHANAN Brazil, Lucio (atas) mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sambil diasak pemain Chile, Humberto Suazo pada perlawanan Piala Dunia FIFA 2010 di Stadium Ellis Park, Johannesburg, sebentar tadi. Keputusan Brazil 3 Chile 0. - Foto AFP
JOHANNESBURG Juara dunia lima kali, Brazil semakin hampir untuk memenangi satu lagi Piala Dunia selepas menewaskan Chile 3-0 dalam pusingan kedua, di Stadium Ellis Park, awal pagi tadi.

Dengan keputusan itu, Brazil akan bertemu Belanda yang sebelum itu menewaskan Slovakia 2-1.
Gol Brazil dijaringkan oleh Juan dan Luis Fabiano pada separuh masa pertama sebelum Robinho menambah derita Chile untuk gol ketiga Brazil pada separuh kedua.

Piala Dunia: Belanda 2, Slovakia 1


PENYERANG Belanda, Klaas-Jan Huntelaar melompat melepasi pemain pertahanan Slovakia', Jan Durica pada perlawanan Piala Dunia FIFA 2010 di Stadium Moses Mabhida , Durban, malam tadi. Keputusan Belanda menang 2-1. - Foto AFP
PENYERANG Belanda, Klaas-Jan Huntelaar melompat melepasi pemain pertahanan Slovakia', Jan Durica pada perlawanan Piala Dunia FIFA 2010 di Stadium Moses Mabhida , Durban, malam tadi. Keputusan Belanda menang 2-1. - Foto AFP


DURBAN: Belanda menewaskan Slovakia 2-1 pada perlawanan pusingan kedua Piala Dunia FIFA 2010 di Stadium Durban malam tadi.

Gol Belanda dijaringkan Arjen Robben pada minit ke-18 dan Wesley Sneijder pada minit ke-84.
Slovakia memperoleh sepakan penalti pada minit keempat masa kecederaan dan Robert Vittek menyempurnakannya.
Dengan kemenangan itu, Belanda mara ke peringkat suku akhir dan akan bertemu sama ada Brazil atau Chile.

Monday, June 28, 2010

Piala Dunia: Belanda 1, Slovakia 0 (Separuh masa pertama)

DURBAN: Belanda mendahului Slovakia 1-0 pada separuh masa pertama perlawanan pusingan kedua Piala Dunia FIFA 2010 di Stadium Durban.
Gol Belanda dijaringkan Arjen Robben pada minit ke-18.

Beri pilihan kepada pesalah remaja untuk tidak ke penjara: Rosmah

BANGI: Penaung Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor, mencadangkan satu undang-undang digubal bagi membolehkan remaja yang disabit kesalahan diberi pilihan untuk tidak ke penjara.
“Buat masa ini tiada undang-undang yang memberikan mereka alternatif. Saya berharap satu undang-undang dapat digubal bagi memberi alternatif kepada mereka sama ada mahu ke penjara atau membuat kerja-kerja sosial atau memasuki program-program pemulihan," katanya ketika berucap menyempurnakn majlis penutup Kem Perkasa Remaja Sesi I, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.
Katanya, sekiranya remaja berkenaan dimasukkan terus ke penjara ia mungkin memberi kesan kurang baik kepada masa hadapan mereka.
Isteri Perdana Menteri berkata, Program Kem Perkasa bagi golongan Mat Rempit dan Program Komuniti Perkasa boleh dijadikan sebagai satu program alternatif kepada remaja yang berkaitan.

Kedua-dua program itu bernaung di bawah Program Permata Negara.

Rosmah berkata, mengikut kajian Indeks Belia Malaysia tahun 2007 terdapat 12 peratus atau hampir 500,000 remaja terbabit dalam sekurang-kurangnya satu salah laku.

"Ketika ini terdapat hampir empat juta generasi muda berumur antara 15 hingga 25 tahun di Malaysia," katanya.
Bagi Kem Perkasa Remaja Sesi I yang bermula Mac lalu, 33 peserta terdiri daripada Mat Rempit yang ditangkap dan dirujuk oleh polis telah selesai mengikuti program selama tiga bulan.

Bagi yang berminat mengikuti Program Kem Perkasa ini, mereka boleh menghubungi Pusat Pemerkasaan Remaja (Perkasa), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, melalui email dfssk@pkrisc.ukm.my, telefon 03-8921 5354 atau faksimili 03-8925 2836. - BERNAMA

Pelajar boleh dinilai di sekolah jika UPSR, PMR dimansuhkan: Puad

IPOH: Ibu bapa tidak perlu khuatir mengenai cadangan memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana jika ia berlaku, Lembaga Peperiksaan Malaysia masih boleh menyelaras peperiksaan di peringkat sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zakarshi.
Katanya, jika peperiksaan itu dimansuhkan, ia tidak bermakna guru akan mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mendidik pelajar kerana sebenarnya masih terdapat beberapa ujian lain yang perlu dilalui pelajar.
"Pelajar akan dinilai dalam ujian lain di sekolah. Dengan pemansuhan peperiksaan itu ia akan mengurangkan tekanan kepada murid-murid yang terpaksa melalui beberapa ujian besar sehingga tamat persekolahan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Kebangsaan Guru Besar Malaysia ke-16 dan Persidangan Perwakilan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia ke-28 di sini hari ini.

Mohd Puad berkata, cadangan untuk memansuhkan dua peperiksaan juga adalah sejajar dengan hakikat bahawa sistem pendidikan yang dinamik memerlukan perubahan untuk disesuaikan dengan tuntutan semasa.

"Kita memerlukan maklum balas daripada persatuan guru, Persatuan Ibubapa dan Guru dan orang ramai untuk apa-apa perubahan yang difikirkan perlu oleh Kementerian Pelajaran," katanya

Mohd Puad berkata, keputusan pemansuhan dua peperiksaan awam itu tidak akan dibuat terburu-buru sebaliknya bergantung kepada pendapat semua pihak.
"Pada masa ini ramai yang menyokong dan ada juga yang tidak bersetuju," katanya.
- BERNAMA

UiTM tawar pengajian percuma kepada pekerja tidak mampu

SHAH ALAM: Golongan pekerja yang berminat untuk mendapatkan pendidikan tinggi namun tidak berkemampuan kini berpeluang berbuat demikian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pengajian secara percuma itu akan ditawarkan pada masa terdekat dan pelajar akan mengikutinya menerusi program pengajian jarak jauh dan luar kampus di semua kampus UiTM.
"Tawaran ini adalah satu tanggungjawab sosial (CSR) UiTM yang diusahakan sendiri oleh universiti itu melalui program 'Mengubah Destini Anak Bangsa'," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pertemuan dengan Penuntut Baru UiTM, di sini hari ini.
Khaled berkata, tawaran itu adalah untuk semua peringkat umur.

"Mereka yang berminat akan mengikuti satu program pengajian khas sebelum diserapkan ke peringkat diploma bagi mengikuti kursus bersesuaian pada semester berikutnya bergantung kepada keputusan yang dicapai," katanya.

Katanya, maklumat lanjut mengenai tawaran pengajian itu boleh didapati menerusi iklan yang akan disiarkan oleh UiTM.

Di bawah program CSR yang sama juga, Khaled berkata, UiTM telah mengambil kira-kira 5,000 penuntut daripada anak golongan miskin yang tidak mendapat keputusan cemerlang bagi mengikuti pengajian pradiploma.
"Semua mereka yang dipilih akan ditempatkan di semua kampus UiTM di seluruh negara dan akan mengikuti pengajian pada peringkat pradiploma selama enam bulan secara percuma," katanya.

Khaled berkata, mereka yang mendapat keputusan cemerlang akan ditawarkan pengajian peringkat diploma mengikut bidang yang bersesuaian.

Seramai 60,000 penuntut baru UiTM mendaftar untuk mengkuti pengajian pada sesi pengajian kali ini.

Khaled turut meminta universiti lain di negara ini terutamanya universiti swasta menjadi lebih kreatif dalam menjalankan program CSR selain memberikan biasiswa untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.

"Kena fikir bagaimana untuk menghijrahkan rakyat Malaysia seperti program yang dilakukan UiTM," katanya. - BERNAMA

Bahasa Cina, Tamil diambil kira dalam pemberian biasiswa: Wee

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa tanggapan kononnya Kementerian Pelajaran tidak memberi layanan yang sama kepada mata pelajaran Bahasa Cina dan Tamil dalam pemberian biasiswa adalah tidak benar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata asas pertimbangan yang digunakan dalam pemberian biasiswa adalah berdasarkan kepada sembilan mata pelajaran teras.
"Murid yang dapat keputusan baik dalam Bahasa Cina dan Tamil ada kelebihan, contohnya kalau mahu menceburi bidang perguruan. Ini kerana salah satu daripada kelayakan yang diperlukan adalah kredit dalam mata pelajaran tersebut," katanya kepada M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang mempersoalkan mengapa kedua-dua mata pelajaran bahasa ibunda itu tidak dimasukkan dalam subjek teras Sijil Pelajaran Malaysia melalui formula SPM 10+2.
Wee berkata, kementerian tidak menghalang malah menggalakkan murid sekolah untuk mengambil mata pelajaran yang mereka mahu, termasuk kedua-dua mata pelajaran itu.

Beliau berkata, bagi tujuan pemilihan calon SPM untuk Hadiah Biasiswa Nasional, kementerian akan menyenarai pendek nama calon berdasarkan purata peratus jumlah markah mentah yang memperoleh gred A+ bagi semua mata pelajaranyang diambil, bagi menjamin kualiti pencapaian calon.

Wee juga berkata, kementerian tidak melakukan apa-apa dalam soal pemberian biasiswa kecuali memberi maklumat dan data kepada pihak yang memerlukan kerana pertimbangan untuk tujuan pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam tertakluk kepada keputusan JPA bergantung kepada kursus yang dipohon. - BERNAMA

Kyrgyzstan minta Tun Mahathir jadi perantara rundingan damai

KUALA LUMPUR: Kyrgyzstan mahu meminta bantuan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengamankan sengketa antara etnik Kyrgyz dan Uzbeks yang tercetus baru-baru ini.

Duta Kyrgyzstan ke Malaysia, Dr Bakir Uulu Tursunbay berkata bekas perdanamenteri Malaysia itu adalah negarawan ulung dan dihormati oleh dunia Islam dan boleh diterima kedua-dua pihak untuk berperanan sebagai perantara keamanan.
"Kami percaya kedua-dua rakyat kami Kyrgyz dan Uzbeks akan mendengar kepada orang seperti beliau. Seorang sebagai Islam dan berkecuali, beliau boleh menyumbang secara positif kepada proses keamanan dan membina keyakinan," katanya.
Bakir telah meminta untuk bertemu Dr Mahathir dan berharap dapat beruat demikian secepat mungkin untuk menyampaikan mesej mengenai perkara tersebut.

Pertempuran antara etnik utama Kyrgyz dan etnik minoriti Uzbeks di selatan Kyrgyzstan bulan ini telah mengorbankan kira-kira 2,000 orang dan memaksa kira-kira 400,000 etnik Uzbeks melarikan diri ke Uzbekistan.

Bakir berkata, Dr Mahathir dikenali di Kyrgyzstan di kalangan dua etnik berkenaan kerana beliau telah melawat bekas republik Soviet yang bersempadan dengan China itu yang mempunyai 5.5 juta penduduk, sebanyak dua kali iaitu pada 1996 dan 1997.

"Rakyat Kyrgyzstan mengetahui tentang sumbangan beliau kepada Malaysia dandunia Islam," katanya.
Bakir turut menekankan tentang peranan Dr Mahathir dalam membina hubungan antara Bishkek dengan Kuala Lumpur di mana Dr Mahathir telah meyakinkan bekaspresiden pertama republik tersebut, Askar Akayev untuk membuka kedutaan Kyrgyzstan di Kuala Lumpur pada 1997.

Malaysia dan Kyrgyzstan menjalin hubungan diplomatik pada 1992, setahun selepas republik tersebut memperolehi kemerdekaan berikutan kejatuhan Soviet Union pada 1991.

Bakir berkata, Dr Mahathir yang mentadbir Malaysia selama 22 tahun dan kiniPengerusi Yayasan Kepimpinan Perdana, memiliki kebolehan dan pengalamanluas dalam usaha menjayakan keamanan.

"Kami secara jujur berharap beliau akan menerimanya (permintaan kami). Dalamsebarang konflik atau krisis seperti apa yang sedang kami hadapi, mungkin satupihak akan mendengar (kepada kerajaan) dan mungkin satu lagi tidak.

"Oleh itu kami memerlukan pemimpin yang berkecuali yang boleh memuaskan hatikedua-dua pihak," katanya.

Bakir berkata, mereka mahukan pandangan Dr Mahathir mengenai isu pembangunanekonomi di Kyrgyzstan di mana apabila ekonomi dibangunkan dengan baik, tiadalagi ruang untuk sebarang konflik muncul. -- BERNAMA RV MOK HM

Universiti perlu lahir jurutera berdaya saing: Shaziman

MELAKA: Universiti tempatan perlu menitik beratkan untuk melahirkan jurutera muda yang berdaya saing dan mampu diterima peringkat global.
Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata dalam melahirkan jurutera muda berkualiti, pihak universiti mesti memastikan kurikulum, kaedah pengajaran dan pendedahan yang diberi kepada bakal jurutera itu mesti mengikut aturan dan standard tertentu.
"Menjadi hasrat kita agar lebih ramai jurutera yang dihasilkan universiti tempatan dapat diterima di peringkat global," katanya semasa merasmikan Persidangan Kejuruteraan dan Teknologi Universiti-universiti Teknikal Malaysia di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Nur Haizi Abdul Hai.

Persidangan itu dianjurkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Universiti Tun Hussin Onn Malaysia, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Perlis.

Shaziman yang juga Menteri Mentor Universiti-universiti Teknikal Malaysia berkata, mengikut statistik Lembaga Jurutera Malaysia, di bawah kementeriannya terdapat 9,985 jurutera profesional dan 51,908 jurutera berijazah di seluruh negara.

Beliau berkata, bilangan itu kian meningkat dan ia menunjukkan bidang kejuruteraan masih diminati serta memberi peluang besar kepada siswazah.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan, berkata MTUN akan mempergiatkan penyelidikan dan inovasi untuk mencari teknologi baru bagi kegunaan masa depan.

Beliau berkata, hubungan MTUN dan pihak industri juga akan terus diperkukuhkan bagi membolehkan lebih banyak hasil penyelidikan dikomersialkan. - BERNAMA

Kemasukan prasekolah meningkat kepada 70.4 peratus

KUALA LUMPUR: Peratusan kanak-kanak yang memasuki prasekolah meningkat daripada 59.56 peratus pada tahun 2005 kepada 70.4 peratus tahun lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata jumlah itu berdasarkan laporan "Education for All (EFA): Meet Decade Assessment" bagi 2000 hingga 2005 yang diterbitkan Kementerian Pelajaran.
"Kadar kemasukan di sekolah rendah juga meningkat 0.3 peratus, iaitu 95.35 peratus pada 2005 kepada 95.65 peratus pada 2009.
"Kadar murid yang menamatkan pelajaran sehingga ke Tahun Enam pula meningkat daripada 98.09 peratus pada 2005 kepada 99 peratus pada tahun lepas.

"Ini disebabkan bantuan yang diberi kepada murid seperti buku teks, skim bantuantuisyen, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan kemudahan asrama," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Halimah Mohd Sadique (BN-Tenggara) mengenai status negara dalam pencapaian EFA seperti yang ditetapkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Wee berkata, dalam usaha meningkatkan pendidikan untuk semua, kementerian menjalankan beberapa program seperti kajian semula pendidikan bersama UNESCO dan kajian menjejak kanak-kanak tidak bersekolah, yang akan dijalankan mulai tahun ini hingga 2014 bersama Tabung Kanak-kanak Bangsa Bersatu (UNICEF).
Mengenai bantuan dan kerjasama dengan negara kurang maju dalam mencapai EFA, Wee berkata kerajaan memperuntukkan geran permulaan sebanyak AS$5 juta (RM16 juta) bagi tahun 2010 dan AS$1 juta (RM3.2 juta) bagi tahun berikutnya.

"Bantuan akan dilaksanakan melalui Program Kerjasama Malaysia-UNESCO (MUCP) yang berperanan meningkatkan kerjasama selatan-selatan melalui program bina upaya yang akan memberi manfaat kepada negara-negara kurang maju, negara-negara kepulauan kecil dan negara-negara di bawah agenda utama Afrika," katanya.

Mengenai langkah kementerian untuk memastikan pelajar yang tidak bersekolah tidak tercicir daripada mendapat pendidikan formal, Wee berkata kementerian akan menjejaki kanak-kanak itu dan mengenal pasti punca mereka tidak bersekolah.

"Setiap tahun memang tak capai 100 peratus...sekitar 96 peratus. Ada yang tak masuk sekolah kita, mungkin sekolah di negara jiran...itu berlaku," katanya. - BERNAMA

Pyongyang mahu mantapkan keupayaan nuklear

SEOUL: Korea Utara berkata ia perlu memantapkan keupayaan nuklearnya untuk menghadapi dasar bermusuhan Amerika Syarikat (AS).
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar Korea Utara menyatakan "penerusan dasar bermusuhan AS dan ancaman ketenteraan" meningkatkan keperluan untuk Korea Utara memantapkan "pencegahan nuklear" secara baru dan lebih berkesan.
Kenyataan itu disiarkan media rasmi Korean Central News Agency.
Ketengangan di semenanjung Korea memuncak berikutan penenggelaman kapal perang Korea Selatan pada 26 Mac lalu yang Seoul dan Washington percaya dilakukan Korea Utara. - AP

Iran mampu siapkan senjata nuklear menjelang 2012: CIA

WASHINGTON: Iran mempunyai cukup uranium yang dipertingkatkan untuk menghasilkan dua senjata nuklear seawal 2012, kata Pengarah CIA, Leon Panetta.
“Kami fikir mereka memiliki cukup uranium yang dipertingkat pada tahap rendah untuk dua senjata nuklear," Panetta memberitahu rancangan "This Week" terbitan saluran televisyen ABC.
Beliau berkata, Tehran memerlukan setahun lagi untuk mempertingkatkan uranium itu sepenuhnya untuk menghasilkan bom dan mengambil masa setahun lagi "untuk membangunkan sistem penghantaran senjata itu".
Iran kini menghadapi tekanan hebat masyarakat antarabangsa berikutan program nuklearnya yang dibimbangi Barat sebagai penyamaran kepada pembangunan senjata nuklear.

Iran menafikan tuduhan itu. - AFP

Argentina akan singkirkan Jerman: Maradona

AKSI jurulatih Argentina, Diego Maradona ketika pasukan negaranya menentang Mexico pada perlawanan Piala Dunia FIFA, di Soccer City, Johannesburg. - Foto Reuters
AKSI jurulatih Argentina, Diego Maradona ketika pasukan negaranya menentang Mexico pada perlawanan Piala Dunia FIFA, di Soccer City, Johannesburg. - Foto Reuters
JOHANNESBURG: Selepas skuadnya menang 3-1 ke atas Mexico awal pagi tadi, jurulatih Argentina, Diego Maradona berkata beliau akan memilih pemain terbaik untuk menjadikan Jerman sebagai mangsa seterusnya di suku akhir nanti.

Dua jaringan daripada bekas pemain Manchester United, Carlos Tevez dan satu oleh Gonzalo Higuain yang juga keempat sepanjang Piala Dunia kali ini sudah cukup memastikan Argentina kini di puncak.
Maradona yakin skuasnya akan mengalahkan Jerman yang melangkah ke suku akhir malam tadi selepas menumbangkan England 4-1 di Cape Town.
“Kami akan mengembleng tenaga untuk menjadikan pasukan yang terbaik dengan bakat pemain yang kami miliki untuk menentang Jerman nanti," katanya.

“Saya akan memilih pemain yang tepat untuk memastikan kami menumpaskan Jerman. Kami tahu Jerman adalah pasukan yang sukar untuk ditumbangkan. Mereka kuat tetapi kami akan menampilkan pemain yang tepat di padang nanti," katanya.

Bagaimanapun, perlawanan Argentina dan Mexico mencetuskan gol kontroversi apabila jaringan Tevez pada separuh masa pertama menunjukkan beliau jelas off-side.

Maradona juga menyatakan tidak puas hati dengan corak pengadi apabila bintang penyerangnya, Lionel Messi dikasari lima kali oleh pertahanan Mexivo dengan Rafael Marquez hanya dikenakan kad kuning selepas 28 minit. - AFP

Piala Dunia FIFA 2010: Argentina 3, Mexico 1

PENYERANG Argentina, Carlos Tevez (kanan), cuba dikekang pertahanan Mexico, Ricardo Osorio (tengah) dan Andres Guardado, sebelum menyumbat gol ketiga Argentina, dalam perlawanan Piala Dunia FIFA 2010, di Stadium Soccer City, Soweto, Johannesburg, Afrika Selatan, awal pagi ini. - Foto AFP
PENYERANG Argentina, Carlos Tevez (kanan), cuba dikekang pertahanan Mexico, Ricardo Osorio (tengah) dan Andres Guardado, sebelum menyumbat gol ketiga Argentina, dalam perlawanan Piala Dunia FIFA 2010, di Stadium Soccer City, Soweto, Johannesburg, Afrika Selatan, awal pagi ini. - Foto AFP
JOHANNESBURG: Argentina menundukkan Mexico 3-1 dalam perlawanan pusingan kedua Piala Dunia FIFA 2010 yang berlangsung di Stadium Soccer City, sebentar tadi.

Selepas mendahului 2-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Carlos Tevez pada minit ke-26 dan Higuain minit ke-33, Tevez sekali lagi menambah jaringan pada separuh masa kedua dengan jaringan pada minit ke-52.
Bagaimanapun, pada minit ke-71, Mexico cuba merapatkan jurang selepas J Hernandez menjaringkan gol selepas meledakkan sepakan kencang ke bahagian atas sebelah kanan penjaga gol Argentina, Romero.

Piala Dunia FIFA 2010: Argentina 2, Mexico 0 (separuh masa pertama)

PERTAHANAN Argentina, Gabriel Heinze (kiri), merebut bola dari pemain Mexico, Ricardo Osorio, dalam perlawanan Piala Dunia FIFA 2010, di Stadium Soccer City, Soweto, Johannesburg, Afrika Selatan, awal pagi ini. - Foto AFP
PERTAHANAN Argentina, Gabriel Heinze (kiri), merebut bola dari pemain Mexico, Ricardo Osorio, dalam perlawanan Piala Dunia FIFA 2010, di Stadium Soccer City, Soweto, Johannesburg, Afrika Selatan, awal pagi ini. - Foto AFP
JOHANNESBURG: Argentina mendahului Mexico 2-0 pada separuh masa pertama dalam perlawanan pusingan kedua Piala Dunia FIFA 2010 yang berlangsung di Stadium Soccer City, sebentar tadi

Gol Argentina dijaringkan Carlos Tevez pada minit ke-26 dan Higuain pada minit ke-33.

Piala Dunia: Jerman 4, England 1

BLOEMFONTEIN, Afrika Selatan: Jerman menewaskan England 4-1 pada perlawanan pusingan kedua Piala Dunia FIFA 2010 di Stadium Free State malam tadi untuk mara ke peringkat suku akhir.
Jerman mendahului selesa menerusi gol Miroslav Klose pada minit ke-20 dan Lukas Podolski pada minit ke-32.
Namun, England merapatkan jurang gol pada minit ke-37 menerusi tandukan Matthew Upson hasil umpanan ketua pasukan, Steven Gerrard.
England sepatutnya menyamakan kedudukan seminit kemudian apabila rembatan Frank Lampard terkena palang gol dan melantun masuk lalu keluar semula tetapi pengadil dari Uruguay, Jorge Larrionda, tidak mengesahkan jaringan itu.

Permainan bertambah sengit pada separuh masa kedua apabila England mengasak bertalu-talu untuk memperoleh gol penyamaan.

Namun, Thomas Mueller mengakhiri impian England apabila menjaringkan dua gol menerusi serangan balas dalam tempoh empat minit iaitu pada minit ke-67 dan ke-70 untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Jerman akan bertemu sama ada Argentina atau Mexico pada peringkat suku akhir Sabtu depan.

Sunday, June 27, 2010

Piala Dunia: Jerman 2, England 1 (separuh masa pertama)

BLOEMFONTEIN, Afrika Selatan: Jerman mendahului England 2-1 selepas tamat separuh masa pertama perlawanan Piala Dunia 2010 di Stadium Free State.

Gol Jerman dijaringkan Miroslav Klose pada minit ke-20 dan Lukas Podolski pada minit ke-32.
England merapatkan jurang gol pada minit ke-37 menerusi tandukan Matthew Upson hasil umpanan ketua pasukan, Steven Gerrard.
England sepatutnya menyamakan kedudukan seminit kemudian apabila rembatan Frank Lampard terkena palang gol dan melantun masuk lalu keluar semula tetapi pengadil dari Uruguay, Jorge Larrionda, tidak mengesahkan jaringan itu.

PM ajak rakyat bersama bawa negara ke tahap lebih baik

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengajak semua rakyat Malaysia bersama-sama beliau untuk mencapai sesuatu yang luar biasa dan membawa negara ke tahap yang lebih baik.
Perdana Menteri berkata, beliau mahukan semua rakyat merasa sebagai satu keluarga 1Malaysia dengan memberikan sokongan kepada usaha itu.
"Saya memegang kepimpinan untuk menunjukkan bahawa saya serius, komited dan dedikasi. Saya boleh beri jaminan kepada anda, sebagai Perdana Menteri anda, saya akan lakukan yang terbaik untuk mengubah Malaysia.
"Tentulah perjalanan ini, saya tidak boleh lakukan seorang diri, saya perlukan rakan saya dalam kerajaan, semua kita dalam sektor awam dan swasta.

"Saya perlukan setiap rakyat Malaysia, di mana anda berada bersama saya untuk mencapai sesuatu yang luar biasa. Ini semua mengenai hasil pencapaian," katanya dalam blognya www.1malaysia.com.my di sini hari ini. - BERNAMA

UMNO perlu uar-uarkan kelemahan pembangkang: Mohamad Hassan

REMBAU: Pemimpin dan ahli UMNO perlu menguar-uarkan semua kelemahan parti pembangkang agar rakyat tahu tembelang mereka, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Hasan.
Di samping itu, katanya, pemimpin UMNO yang menganggotai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta dilantik Anggota Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu lebih lantang menyuarakan isu-isu disuarakan rakyat kepada pentadbiran kerajaan.
"Langkah berkenaan akan meningkatkan sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap UMNO selaku parti yang menjaga kesejahteraan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian serentak Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau 2010 di Dewan Serbaguna Institut Latihan Perindustrian Pedas dekat sini, hari ini.
Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, pembangkang cuba mengaburi mata rakyat dengan menyebarkan fitnah untuk melemahkan parti.

Katanya, tindakan itu strategi mereka untuk menutup segala kelemahan di negeri di bawah pentadbiran pembangkang.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Rembau meminta semua pemimpin dan ahli UMNO bahagian itu supaya bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan misi parti "menyerang" pembangkang.

"Selama ini, pembangkang kelihatan seperti bermaharajalela melemparkan pelbagai fitnah dan tohmahan tidak berasas terhadap pemimpin kerajaan termasuk UMNO.
"Kini, sudah tiba masanya pemimpin dan ahli UMNO terutamanya di Bahagian Rembau bangkit dan menunjukkan taring mereka kepada pihak lawan. Dalam bola sepak, serangan adalah bentuk pertahanan yang terbaik.

"Jangan biarkan sahaja pembangkang menyerang kita. UMNO akan lemah sekiranya kita tidak membalas balik omong-omong kosong pihak lawan," katanya.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang juga Ahli Parlimen Rembau; Ketua Wanita Umno Bahagian Rembau, Senah Peral; Ketua Puteri UMNO Bahagian Rembau, Zuliana Mohd Ridzuan; dan barisan kepimpinan Umno Bahagian itu. - BERNAMA

Ulama sebaris dengan ahli UMNO lain: Hishammuddin

BUTTERWORTH: UMNO tidak akan meletakkan ulama berkelulusan tinggi yang menyertainya baru-baru ini pada suatu kedudukan yang istimewa, sebaliknya mereka diharap dapat berdiri sebaris dengan anggota lain memperjuangkan dasar parti.
Naib presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kedudukan mereka sama sahaja seperti ahli lain kerana perjuangan parti lebih mementingkan pegangan nilai.
"Tidak kiralah mereka yang menyertai itu ulama, guru atau pelajar, selagi mereka berpegang kepada dasar parti, mereka boleh berjuang bersama.
"Kita tidak mahu dilihat sebagai parti ekstrem dan kita akan perjuangkan Islam yang boleh diterima semua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau yakin penyertaan golongan ulama itu ke dalam UMNO mampu memperkuatkan parti.

Hadir sama Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga, Datuk Azhar Ibrahim, dan Ketua Penerangan UMNO Negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Jumaat lalu, seramai 40 ulama muda profesional termasuk yang berkelulusan sarjana dan doktor falsafah, menyertai UMNO bagi membantu menyemarakkan gerak kerja dakwah dalam parti itu dan di negara ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai hala tuju UMNO di kalangan rakyat, Hishamudin berkata, parti itu sudah berada di landasan yang betul bagi proses transformasi untuk menghadapi perubahan landskap politik semasa.




"Sejarah telah membuktikan UMNO dapat mengharungi dan menepati apa yang diinginkan rakyat dalam pemerintahan sejak dulu lagi," katanya. - BERNAMA

Bom lama ditemui di tapak pembinaan di Puchong

KUALA LUMPUR: Sebutir bom mortar yang masih aktif dipercayai tinggalan perang dunia kedua, ditemui di satu kawasan tapak pembinaan Taman Damai Utama berhampiran Kelab Golf Kinrara, Puchong, dekat sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Zainal Rashid Abu Bakar, berkata bom itu ditemui pekerja tapak binaan di kawasan itu jam 8.20 pagi.
"Melihat objek yang seakan-akan bom itu, dia kemudian menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
"Bom itu kemudian dimusnahkan Unit Pemusnah Bom di kawasan lapang berhampiran tapak pembinaan itu pada kira-kira 10.30 pagi," katanya. - BERNAMA

Ulama muda sertai UMNO bukti penerimaan perjuangan Islam

SEMPORNA: Minat ulama muda menyertai UMNO bukti penerimaan golongan ulama terhadap pendekatan parti itu dalam memperjuangkan Islam, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Selain itu, katanya, penyertaan golongan cendikiawan Islam berkenaan ke dalam UMNO juga akan membantu memperkukuhkan lagi parti untuk merealisasikan agendanya membela rakyat dan membangunkan negara ini.
"Dalam perlembagaan UMNO memang disebutkan kita memperjuangkan agama (Islam). Kita yakin dengan kemasukan golongan ulama ini, mereka akan membantu kita memperkuatkan lagi parti kita.
"Mereka boleh membantu (menjelaskan) dan menangkis segala tohmahan-tohmahan dalam bidang agama seperti yang sering dikatakan (pihak tertentu) kononnya kita tidak boleh berpakat dengan Umno.

"Tetapi dengan adanya keyakinan ulama-ulama ini, ia menampakkan ulama pun boleh terima perjuangan Umno," katanya kepada pemberita sebagai mengulas penyertaan 40 ulama muda ke dalam UMNO baru-baru ini.

Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Semporna yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh, yang mewakili UMNO negeri di sini hari ini.

Sehubungan itu, Shafie berkata UMNO menerima baik penyertaan ulama muda berkenaan dan berharap lebih ramai lagi golongan muda mendaftar sebagai ahli parti berkenaan.
Katanya, UMNO bersikap terbuka dalam konteks keahlian ke dalam parti itu dan berharap kepimpinan di semua peringkat termasuk cawangan dan bahagian dapat melipat gandakan usaha menambah ahli baru serta mendaftar ahli sebagai pengundi.

Mengenai keputusan kerajaan untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan bola sepak di negara ini, Shafie berharap ia dapat diterima baik semua pihak kerana keputusan dibuat selepas meneliti pelbagai pandangan dan desakan ramai pihak.

Mengulas kenyataan Sultan Johor yang mahukan cadangan pembinaan jambatan Johor-Singapura dikaji semula, Shafie bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa perkara itu akan teliti. - BERNAMA

Piala Dunia FIFA 2010: AS 1, Ghana 2

PENJAGA gol Ghana, Richard Kingson (tengah belakang) menolak bola keluar dari kawasan bahaya ketika diasak penjaga gol Amerika Syarikat, Tim Howard (depan) pada masa tambahan perlawanan Piala Dunia FIFA 2010 di Stadium Royal Bafokeng, Rustenburg, awal pagi tadi. Keputusan Amerika Syarikat 1 Ghana 2 . - Foto AFP
PENJAGA gol Ghana, Richard Kingson (tengah belakang) menolak bola keluar dari kawasan bahaya ketika diasak penjaga gol Amerika Syarikat, Tim Howard (depan) pada masa tambahan perlawanan Piala Dunia FIFA 2010 di Stadium Royal Bafokeng, Rustenburg, awal pagi tadi. Keputusan Amerika Syarikat 1 Ghana 2 . - Foto AFP
RUSTENBURG: Ghana mara ke pusingan suku akhir selepas menundukkan Amerika Syarikat (AS) 2-1 dalam perlawanan pusingan kedua yang berlanjutan ke masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 apabila wisel tamat sepenuh masa ditiupkan di Stadium Royal Bafokeng di sini, sebentar tadi

Gol Ghana dijaringkan Kevin Prince Boateng seawal minit ke-5 selepas menewaskan pemain tengah AS di tengah padang sebelum meledakkan tendangan kencang di sebelah kiri penjaga gol AS, TIm Howard.
Selepas separuh masa kedua bermula, AS mula mengatur serangan dan memperoleh sepakan penalti selepas Dempsey dijatuhkan Jonathan (Ghana) di dalam petak penalti.
Bintang bola sepak AS berusia 28 tahun, Landon Donovan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-62 selepas mengelirukan penjaga gol Ghana, Kingson yang gagal membaca gerakan pemain tengah AS itu yang menghantar bola di sebelah kirinya.

Selepas hanya tiga minit separuh pertama masa tambahan bermula, pemain Ghana, A Gyan menjaringkan gol pada minit ke-93 selepas merembat kencang dengan kaki kiri melepasi Tim Howard.

Piala Dunia FIFA 2010: AS 0, Ghana 1 (separuh masa pertama)

RUSTENBURG: Ghana mendahului Amerika Syarikat (AS) 1-0 dalam perlawanan pusingan kalah mati pada separuh masa pertama di Stadium Royal Bafokeng di sini, sebentar tadi.
Gol Ghana dijaringkan Kevin Prince Boateng seawal minit ke-5 selepas menewaskan pemain tengah AS di tengah padang sebelum meledakkan tendangan kencang di sebelah kiri penjaga gol AS, TIm Howard.

Saturday, June 26, 2010

Piala Dunia: Uruguay 1 Korea Selatan 0 (separuh pertama)

PORT ELIZABETH: Tamat separuh masa pertama Uruguay mendahului Korea Selatan 1-0 pada pusingan kedua di Stadium Mandela Bay, sebentar tadi. 

Gol Uruguay diperoleh pada minit ke-8 menerusi Luis Suarez.

Kelulusan baru kursus diploma kejururawatan ditangguh mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Berkuatkuasa 1 Julai ini, kerajaan akan menangguhkan kelulusan kursus baru diploma kejururawatan dan penubuhan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang menawarkan program itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata langkah itu bagi memastikan institusi sedia ada yang menawarkan program tersebut dapat menaik taraf kualiti kursus dan pencapaian pelajar mereka.
"Jemaah Menteri baru-baru ini telah berbincang dan bersetuju supaya satu moratorium (penangguhan) diadakan terhadap kelulusan kursus dan penubuhan IPTS yang menawarkan program diploma kejururawatan.
"Sudah banyak sangat kursus diploma (kejururawatan) yang ada sekarang, kita sekarang nak menggalakkan kursus kejururawatan dalam bidang ijazah pula. Kita juga hendak menggalakkan jururawat sedia ada untuk mendapatkan ijazah pada masa-masa akan datang," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Liow yang ditemui selepas merasmikan persidangan pertama Malaysia mengenai kejurawatan dalam bidang jagaan jantung, berkata hari ini terdapat 109 IPT menawarkan kursus kejururawatan di seluruh negara iaitu 28 kolej di bawah kementeriannya, 10 di IPT Awam (IPTA), 70 di IPTS dan sebuah di bawah Kementerian Pertahanan.

Daripada jumlah itu, Liow berkata sebanyak 89 IPT menawarkan program diploma iaitu 17 di bawah kementeriannya, tujuh di IPTA, IPTS (64) dan Kementerian Pertahanan (satu).

"Bakinya hanya 20 IPT yang menawarkan kursus di peringkat sijil atau ijazah," katanya.
Liow berkata sehingga Disember lalu, terdapat 83,802 jururawat pelbagai kategori di negara ini dan 61,677 daripadanya berkhidmat di sektor awam manakala baki di sektor swasta.

"Seramai 60,321 atau 72 peratus daripada jumlah itu ialah jururawat terlatih. Yang lain ialah jururawat masyarakat (22 peratus), penolong jururawat (5 peratus) dan bidan (1 peratus).

"Bilangan pengeluaran jururawat terlatih pada tahun lalu pula ialah 8,279 orang, iaitu seramai 2,402 dari kolej kementerian, 528 dari IPTA dan 5,349 dari IPTS," katanya.

Nisbah bilangan jururawat bagi semua kategori dengan populasi penduduk semasa di negara ini adalah 1:340, manakala nisbah jururawat terlatih dengan populasi pula adalah 1:470, katanya.

"Nisbah sasaran jururawat terlatih dengan populasi penduduk yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) ialah 1:200 dan ini dijangka boleh dicapai menjelang tahun 2020," katanya.

Sementara itu, beliau berkata terdapat keperluan bagi negara ini meningkatkan jumlah jururawat dalam bidang jagaan jantung memandangkan pada masa kini hanya 548 jururawat berdaftar yang bekerja di bawah kementerian mempunyai latihan dalam bidang berkenaan.

"Pada 2008, penyakit berkaitan jantung adalah punca kematian utama di hospital kerajaan, iaitu 16.5 peratus daripada semua kematian.

"Dianggarkan di Malaysia, 141 daripada 100,000 orang menghidapi penyakit berkaitan jantung setiap tahun. Ini bermakna bagi populasi 28 juta kita menjangka sehingga 40,000 pesakit baru setiap tahun dan ini boleh membebankan sistem jagaan kesihatan kita," katanya.

Liow berkata pada masa ini hanya tiga kolej kejururawatan di bawah kementeriannya iaitu di Pulau Pinang, di Sungai Buloh, Selangor dan di Johor Bahru yang menawarkan latihan kejurawatan untuk jagaan jantung. - BERNAMA

MCA cadang tabung khas ditubuh kutip hasil judi

KUALA LUMPUR: MCA hari ini mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan tabung khas bagi mengutip segala perolehan dan keuntungan daripada syarikat perjudian berlesen agar ia tidak bercampur dengan pendapatan lain.

Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata sekiranya tabung itu diwujudkan, ia boleh digunakan untuk membiayai projek pembangunan yang membawa faedah kepada semua kaum di negara ini.
"Sudah sampai masanya kerajaan membayangkan cukai-cukai kerajaan kutip dari lesen perjudian yang dibenarkan sejak dulu, seharusnya tidak masuk ''consolidated fund''...tabung berlainan ini boleh digunakan untuk pendidikan, kebajikan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-31 Koperasi Serbaguna Malaysia Berhad (KSM) di Wisma MCA di sini, hari ini.
Dr Chua mengulas keputusan kerajaan untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascott Sports Sdn Bhd setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang majoriti daripadanya tidak bersetuju lesen itu dikeluarkan.

Beliau berkata selain itu, kerajaan seharusnya sentiasa meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti perjudian haram di kalangan rakyat, khususnya pertaruhan perjudian dalam sukan.

"Pemantauan rapi dan penguatkuasaan terhadap perjudian yang dikatakan illegal atau haram seharusnya dipertingkat kerana perjudian sukan, walaupun tidak dibenarkan, masih boleh berlaku melalui telefon dan internet kerana ia tidak memerlukan lesen," katanya.

Dr Chua turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa masyarakat Cina mengamalkan budaya suka berjudi.
Di KOTA BHARU, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden Umno berkata keputusan kerajaan membuktikan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil kira kepentingan semua pihak sebelum memutuskan perkara itu.

Ahmad Zahid berharap isu itu tidak lagi dimanipulasi pihak pembangkang dan menafikan keputusan tersebut dipengaruhi desakan mereka.

Di PUTRAJAYA, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan turut bersetuju dengan pandangan Ahmad Zahid berhubung tindakan kerajaan tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan. - BERNAMA

8 wanita Filipina mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan

KUALA LUMPUR: Lapan wanita warganegara Filipina yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan dalam satu serbuan di sebuah kelab malam terkenal di Bandar Sunway, dekat sini, awal pagi ini.
Ketua Operasi, Superintendan Maszely Minhad, berkata bertindak atas maklumat orang awam dan risikan, serbuan dilakukan kira-kira 1 pagi oleh sepasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) dan IPK Selangor, Pasukan Unit Anti Trafficking in Persons (ATIP) dari Jabatan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia.
"Kita percaya dapat selamatkan lapan wanita terbabit berumur lingkungan 21 hingga 31 tahun selain menahan seorang lelaki Myanmar dan seorang wanita Filipina dipercayai dalang sindiket terbabit."
"Di kelab malam ini juga kami menangkap empat wanita warganegara Myanmar di bawah Akta Imigresen kerana salah guna permit," katanya kepada pemberita di tempat kejadian dalam operasi yang berakhir kira-kira 5 pagi itu.

Maszely berkata lanjutan daripada maklumat terbabit, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Taman Wawasan Puchong dan berjaya menyelamatkan dua wanita warganegara Filipina dan menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warganegara Filipina.

"Kita percaya lelaki terbabit yang juga pemandu teksi dalam sindiket ini dengan menguruskan penghantaran mangsa untuk pelacuran manakala wanita terbabit bertindak sebagai Mummy (ibu ayam)," katanya.

Beliau berkata pihaknya percaya sindiket ini melibatkan mangsa Filipina dalam eksploitasi seks dan dalangnya adalah warga Afrika dan warga Filipina manakala pelanggannya warga Afrika.
Sejak awal tahun ini hingga kini, seramai 27 orang wanita Filipina telah berjaya diselamatkan dari sindiket ini dan empat dalang pelbagai negara telah ditangkap, katanya.

Sementara itu, seorang juruteknik berumur 37 tahun yang dipercayai terlibat dalam sindiket pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia ditahan dalam satu serbuan di rumahnya di Taman Puchong Jaya malam tadi.

Operasi yang diketuai oleh Asisten Superintendan Mazlan Hassan itu dilakukan selepas polis menerima maklumat wujudnya pemain judi dan terus menahan suspek di dalam rumah terbabit ketika sedang leka melayari laman web pertaruhan.

Difahamkan ketika ditahan, suspek berada di dalam rumah terbabit bersama isteri dan dua anaknya dan polis turut merampas wang tunai RM400, dua komputer riba dan kertas pertaruhan.

Turut difahamkan suspek telah rugi hampir RM3,000 sejak Piala Dunia 2010 bermula 11 Jun lalu. - BERNAMA

Penyertaan ulama tak akan jadikan UMNO parti ekstrem agama: Najib

KUANTAN: Penyertaan ramai golongan ulama ke dalam UMNO tidak akan menjadikan parti itu sebagai parti yang ekstrem terhadap perjuangan Islam, kata Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata penyertaan itu membuktikan dasar perjuangan UMNO dalam menegakkan syiar Islam di negara ini diiktiraf oleh golongan berkenaan.
"Kita tidak mahu UMNO dilihat sebagai parti ekstrem. Islam sebenarnya bukan agama yang ekstrem. Jadi kita akan memperjuangkan Islam yang diterima oleh semua pihak dan umat yang terbaik adalah umat yang sederhana mengikut panduan Islam," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Mengukuh Wadah Memperkasa Ummah, anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), di sini.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman.

Seramai 40 ulama muda dari seluruh negara menyerahkan borang keanggotaan Umno kepada Najib, sebelum bermula mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Kuala Lumpur malam semalam.

najib, yang juga Presiden UMNO berkata parti itu sentiasa mengalu-alukan penyertaan golongan cendekiawan agama untuk menyertai UMNO.
"Saya berharap ini sebagai satu titik permulaan kepada lebih ramai lagi cendekiawan Islam untuk menyertai dan menyokong perjuangan UMNO," katanya.

Beliau berkata UMNO telah membuktikan bahawa dasar-dasar perjuangannya selama ini menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh di peringkat antarabangsa.

Mengulas mengenai keputusan kerajaan yang tidak akan mengeluarkan lesen pertaruhan sukan, Najib berkata perkara itu tidak perlu berbangkit lagi.

Katanya keputusan itu dibuat berdasarkan pengamatan kerajaan selain pandangan majoriti rakyat.
"Kita mendengar isi hati rakyat dan membuat keputusan bahawa lesen judi sukan tidak akan dikeluarkan," katanya. - BERNAMA

Kerajaan akan kaji semula jambatan ganti Tambak Johor: PM

KUANTAN: Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata kerajaan akan mengkaji semula rancangan asal pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.
Bagaimanapun Perdana Menteri tidak mengulas lanjut berhubung perkara itu.
"Akan dikaji," kata Najib kepada pemberita selepas merasmikan Program Mengukuh Wadah Memperkasa Ummah anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini.
Najib berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar yang mahu kerajaan mempertimbangkan semula rancangan asal pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

Ketika merasmikan bangunan JB Sentral dan melancarkan Kembara Mahkota Johor 2010 di Dewan Menunggu Penumpang, JB Sentral di Johor Bahru hari ini, Sultan Ibrahim bertitah Tambak Johor amat penting kepada rakyat, malah institusi Kesultanan Johor sejak pemerintahan terdahulu sentiasa memberi sokongan kepada usaha menaik taraf Tambak Johor. - BERNAMA

Kerajaan tambah dana untuk Ar-Rahnu YaPEIM: PM

KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan tambahan dana untuk Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi memperluaskan rangkaian cawangan Ar Rahnu di seluruh negara.
Perdana Menteri berkata jumlah dana tambahan itu masih diteliti Kementerian Kewangan.
"YaPEIM ada buat permohonan kepada kerajaan untuk memperluaskan lagi rangkaian cawangan Ar Rahnu di seluruh negara kerana sambutan kepada skim mikro-kredit Islam ini adalah sangat memberangsangkan sehingga dana YaPEIM tidak dapat memenuhi segala permintaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mengukuh Wadah Memperkasa Ummah anjuran YaPEIM, di sini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri yang juga Penaung YaPEIM Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman.

Najib berkata kerajaan sebelum ini telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk diagihkan ke 63 cawangan Ar Rahnu yang dikendalikan YaPEIM.

"YaPEIM telah buat permohonan dan saya beri perakuan untuk tambah, jumlah masih diteliti Kementerian kewangan, sebelum ini RM200 juta untuk 63 cawangan, iaitu sebanyak RM4.5 juta (untuk setiap cawangan)," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan berpendapat skim berkenaan perlu diperluaskan dalam usaha kerajaan membendung rakyat terperangkap dalam skim pinjaman yang memudaratkan.
"Kita hendak skim ini diperluaskan sebab yang pertama, ianya ikut syariat Islam, kedua ianya mudah, ketiga sistem itu adil, keempat elak daripada pinjam ah long dan pajak gadai konvensional yang kenakan kadar faedah tinggi," katanya.
- BERNAMA

Malaysia, Thai sertai eksesais bersama tentera AS

WASHINGTON: Malaysia dan Thailand buat pertama kali menyertai eksesais maritim bersama yang diketuai Amerika Syarikat di Lautan Pasifik dengan lebih 20,000 anggota tentera menyertai latihan kordinasi terbesar bagi menangani krisis.

Dikenali sebagai latihan maritim ala peperangan terbesar dunia - Eksesais Rantaian Pasifik (RIMPAC) dibuka dengan rasmi Rabu lalu selama enam minggu di sekitar perairan Hawaii.
Colombia, Perancis, Malaysia dan Thailand adalah negara peserta baru mengambil bahagian dalam RIMPAC dengan kapal armada Amerika Syarikat, US Third Fleet bertindak menyelaras latihan itu.
“Dengan mempunyai negara peserta baru ini, mereka akan didedahkan bagaimana kami beroperasi," kata Pegawai Kawalan Eksesais RIMPAC, Kapten Paul McKeon.

“Latihan ini bagi membolehkan negara peserta baru ini lebih pantas menjadi sebahagian organisasi antarabangsa yang mampu bertindak dalam apa juga keadaan yang mengejutkan atau ketika berlaku krisis atau situasi (peperangan) sebenar atau dalam bentuk latihan," katanya.

Negara peserta lain ialah Australia, Kanada, Chile, Indonesia, Jepan, Belanda, Peru, Singapura dan Korea Selatan.

Tiga lagi negara - Brazil, India dan New Zealand — adalah negara pemerhati dalam RIMPAC yang diperkenalkan sejak 1971.
Lebih 150 pesawat, 34 kapal dan lima kapal selam menyertai latihan bersama berkenaan.

McKeon berkata, modul latihan RIMPAC kali ini termasuk latihan bertindak menangani serangan lanun yang menjadi perkara keutamaan dalam aspek strategik kawalan di Selat Melaka. - AFP

Piala Dunia: Switzerland 0 Honduras 0

BLOEMFONTEIN: Honduras dan Switzerland terikat tanpa jaringan dalam perlawanan terakhir Kumpulan H dengan kedua-dua pasukan tersingkir daripada saingan Piala Dunia kali ini.

Piala Dunia: Sepanyol 2 Chile 1

PRETORIA: Sepanyol mengakhiri perlawanan terakhir Kumpulan H Piala Dunia dengan kemenangan bergaya 2-1 menumpaskan Chile di Stadium Loftus Versfeld, awal pagi tadi.

Gol Sepanyol dihasilkan oleh penyerang David Villa pada minit ke-24 dan Andres Iniesta pada minit ke-36.
Chile pula mendapat gol sagu hatinya menerusi pemain gantian, Rodrigo Millar pada minit ke-46 meskipun terpaksa bermain sepanjang 53 minit dengan 10 pemain.
Bagaimapun, Sepanyol dan Chile layak ke pusingan kalah mati apabila masing-masing muncul juara dan naib juara kumpulan.

Sepanyol akan bertemu Portugal selaku naib juara Kumpulan G pada 30 Jun depan manakala Chile berdepan Brazil sehari sebelum itu.

Piala Dunia: Korea Utara 0 Ivory Coast 3

NELSPRUIT: Ivory Coast menundukkan Korea Utara 3-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan G Piala Dunia FIFA 2010 yang berlangsung di Stadium Mbombela, sebentar tadi.

Gol Ivory Coast dijaringkan Toure Yaya pada minit ke-14, Romaric (minit ke-20) dan Kalou (minit ke-82).

Piala Dunia: Portugal 0 Brazil 0

DURBAN: Pertemuan Portugal dan Brazil dalam perlawanan terakhir Kumpulan G di Stadium Moses Mabhida berkesudahan seri 0-0, sebentar tadi. 

Dengan keputusan, Brazil dan Pertugal yang masing-masing juara dan naib juara kumpulan melangkah ke pusingan kalah mati.

Friday, June 25, 2010

40 ulama muda sertai UMNO

KUALA LUMPUR: seramai 40 ulama muda profesional mengesahkan menyertai UMNO malam tadi, bertujuan membantu dan menyemarakkan kerja dakwah dalam parti.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata dijangka lebih ramai lagi ulama akan menyertai parti dalam masa terdekat.
Katanya, mereka diterima sebagai ahli UMNO cawangan Dataran Merdeka secara automatik.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Malaysia perlu belajar daripada Korea Selatan, Jepun: Santokh

KUALA LUMPUR: Kejayaan pasukan Korea Selatan dan Jepun melangkah ke pusingan kedua Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan menunjukkan mutu bola sepak di rantau Asia semakin meningkat.
Bagaimanapun, bekas pemain pertahanan tersohor negara, Santokh Singh berkata,, Malaysia masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan prestasi kedua-dua pasukan itu.
“Selain komitmen tinggi, Korea dan Jepun sudah lama mengadakan program latihan di negara Eropah,” katanya ketika diminta mengulas pencapaian pasukan Asia pada Piala Dunia di sini, hari ini.
"Tidak seperti Malaysia yang baru saja hendak menghantar pemain berlatih di luar negara. Itupun apabila balik jurulatihnya digantung," katanya yang merujuk penggantungan jurulatih Azraai Khor Abdullah sebaik pulang dari latihan di Slovakia, awal bulan ini.

Selain itu, Santokh juga menyuarakan kekesalannya terhadap kemerosotan kedudukan pasukan kebangsaan berbanding pada zamannya ketika mereka menewaskan Jepun dan Korea Selatan sebelum layak ke Sukan Olimpik 1972 di Munich.

Santokh dan Datuk Soh Chin Aun, disifatkan sebagai pasangan pertahanan terbaik di Asia pada era 70-an, bersama pemain lagenda negara, Allahyarham Mokhtar Dahari dan mendiang R Arumugam, digelar “Spiderman” turut membantu pasukan negara layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Bagaimanapun, Malaysia memboikot Sukan Moscow ketika itu.
"Suatu masa dulu, skuad negara boleh berada pada tahap yang lebih baik berbanding Korea Selatan dan Jepun. Sayanglah...kini kedudukan pun di tangga ke-157 dunia. Dulu Malaysia dalam lingkungan 1995-1997," katanya.

Sementara itu, pendapat Santokh pula turut dikongsi bersama oleh pemain veteran, Ho Hon Seong, yang mewakili pasukan negara dari 1979 hingga 1984.

"Malaysia memperkenalkan era bola sepak profesional pada 1987 tetapi malangnya selepas 23 tahun, prestasi pasukan lain seperti Korea Selatan, Jepun dan Iran telah meningkat berbanding dengan kita.

"Kini pasukan itu berada di tahap lain dengan kita," jelasnya.

"Saya tidak faham, pemain kini mendapat khidmat kejurulatihan yang lebih baik, menerima imbuhan yang selesa tetapi masih tidak dapat menampilkan mutu persembahan yang diharapkan," katanya.

Korea Selatan melangkah ke pusingan kalah mati 16 pasukan terbaik pada Piala Dunia selepas seri 2-2 dengan Nigeria manakala Jepun menewaskan Denmark 3-1 pada awal pagi tadi untuk melayakkan diri ke peringkat yang sama.

Korea Selatan akan menentang Uruguay esok sementara Jepun berdepan dengan Paraguay Selasa depan bagi merebut tempat ke suku akhir. - Bernama

Ombak kuat: Pengunjung ke Langkawi diminta berhati-hati ketika mandi

LANGKAWI: Pengunjung ke pulau peranginan Langkawi diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika mandi di kawasan pantai berikutan keadaan ombak yang tidak menentu sekarang.

Ketika membuat gesaan itu, ahli Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib, meminta pengunjung mematuhi papan tanda peringatan yang dipasang di kawasan pantai bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kementerian Pelancongan, Majlis Perbandaran Langkawi dan Lembaga Pembangunan Langkawi, memasang papan tanda peringatan di lokasi tumpuan pelancong bagi tujuan tersebut.
“Antara lokasi tumpuan di pulau legenda itu ialah kawasan peranginan Telaga Tujuh, Pantai Tengah dan Pantai Cenang,” katanya di sini, hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, angin kencang Barat/Barat Daya dengan kelajuan antara 40 dan 50 kilometer sejam dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Langkawi, Perlis, Kedah, Phuket, Pulau Pinang serta utara Perak sehingga 1 Julai.

Rabu lalu, bekas jurutera Yuhin Azlan Yusof, 31, dan isterinya Norita Dahari, 29, mati lemas selepas dihanyutkan ombak kuat ketika mandi di Pantai Tengah di sini.

Pasangan dari Batu Caves, Selangor itu bersama 12 ahli keluarga lain sedang bercuti di Langkawi dan dijadual berada di sini sehingga Sabtu ini. - Bernama

Najib ucap tahniah kepada PM baru Australia

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada Julia Gillard atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Australia yang baru.
Perdana Menteri membuat panggilan telefon dari pejabatnya di sini kepada Gillard, yang merupakan wanita pertama menjadi Perdana Menteri Australia, pada jam 12.46 tengah hari dan berbual kira-kira empat minit.
Bercakap kepada Bernama selepas itu, Najib berkata dalam perbualan itu, kedua-dua mereka bersetuju supaya Malaysia dan Australia perlu sentiasa berurusan bagi memajukan lagi kepentingan bersama.
"Kita setuju memandangkan bahawa Malaysia dan Australia mempunyai hubungan yang telahpun terjalin sekian lama dan banyak kepentingan bersama di rantau ini dan di peringkat global," katanya.

Najib berkata beliau juga mengalu-alukan Perdana Menteri Australia yang baru itu untuk membuat lawatan ke Malaysia dan di rantau ini.

"Beliau (Gillard) berkata dalam sehari dua ini memang tumpuannya ialah terhadap (perkara) domestik sebab akan hadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.

"Tetapi bila masa sesuai, beliau akan melawat Malaysia dan beliau juga berharap saya melawat Australia," katanya.
Gillard, 48, dipilih sebagai perdana menteri Australia setelah Kevin Rudd meletakkan jawatan daripada berdepan dengan undi tidak percaya, kurang daripada tiga tahun selepas memegang jawatan berkenaan.

Wanita kelahiran Wales itu, dipilih tanpa pertandingan dalam satu pemilihan Parti Buruh dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Australia, semalam.

Gillard yang sedia maklum bahawa beliau tidak dilantik Perdana Menteri oleh rakyat Australia, berikrar akan mengadakan pilihan raya umum dalam beberapa bulan akan datang. - BERNAMA

Pendakwah perlu bebas pengaruh ekstrem: Tun Mahathir

KANGAR: Pendakwah tempatan perlu bebas daripada pengaruh ekstrem yang merosakkan imej Islam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.
Beliau berkata jika ada pendakwah yang terpengaruh dengan amalan ekstrem seperti yang diamalkan di negara Islam tertentu dan cuba mengembangkannya di negara ini, ia akan menimbulkan masalah.
"Mereka perlu berdakwah secara bijaksana dan sesuai dengan suasana tempatan," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) kebangsaan kali ke-49 di sini hari ini.
Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua Perkim, berkata kegiatan dakwah berbentuk ekstrem bukan sahaja memburukkan imej Islam malah akan menjadikan umat Islam dipandang rendah dan hina.

"Mungkin ada yang berpendapat kehinaan ini tidak mengapa kerana mereka laksana suruhan agama tapi mereka mewujudkan umat Islam yang tidak bahagia," katanya.

Lebih buruk lagi, kata Dr Mahathir, ada pihak yang berpendapat bahawa keganasan mesti digunakan bagi menjatuhkan kerajaan dengan alasan ia mengikut kehendak Islam.

"Fahaman ekstrem tidak dituntut oleh Islam. Banyak negara Islam tidak aman dan maju kerananya," katanya.
Dr Mahathir menang tanpa bertanding bagi kerusi Yang Dipertua Perkim kebangsaan yang disandangnya sejak 2006.

Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman mengumumkan perkara itu semasa mesyuarat agung itu yang berlangsung di sebuah hotel di sini.

Empat orang yang terpilih sebagai Naib Yang Dipertua Perkim ialah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Datuk Dr Ariffin Suhaimi, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Dr Mustapha Ma. - BERNAMA

Kes malaria di Sabak Bernam daripada jangkitan luar negara

SHAH ALAM: Sebanyak empat kes malaria termasuk satu kematian yang dikesan di Bagan Sekinchan, Sabak Bernam pada 16 Jun lalu berpunca daripada jangkitan dari luar negara dan bukan akibat penularan tempatan, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Dr Hasan berkata satu kematian telah dilaporkan di kawasan berkenaan 16 Jun lalu dan setelah disiasat mendapati mangsa, 35, adalah seorang pekerja asing dari Myanmar yang bekerja sebagai nelayan di Bagan Sekinchan bersama tiga rakan senegaranya.
Mereka telah sampai ke negara ini 6 Jun lalu dan tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini mengulas mengenai berita yang disiarkan oleh akhbar Sin Chew Jit Poh bertarikh 23 Jun lalu.
"Mangsa mula menunjukkan gejala demam sehari selepas tiba (7 Jun) dan hanya mendapatkan rawatan pada 12 Jun di sebuah klinik swasta selepas kembali dari lautan dan diberi rawatan pesakit luar. Mangsa mendapatkan rawatan kedua pada 15 Jun di klinik sama dan terus dirujuk ke Hospital Tanjong Karang dan kemudiannya ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama.

"Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi tetapi meninggal dunia keesokan harinya (16 Jun) akibat komplikasi malaria. Tiga rakan senegara mangsa juga didapati positif malaria, seorang telah sembuh dan dibenarkan pulang sementara dua lagi masih dirawat di hospital," katanya.

Dr Hasan berkata hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam pada 16 Jun lalu, pemeriksaan ke atas 10 rakan sekerja mangsa di dalam bot menangkap ikan yang sama mendapati bahawa mereka negatif bagi malaria dan contoh darah daripada 122 penduduk tempatan serta 219 pekerja asing untuk pemeriksaan malaria juga diambil di mana kesemuanya juga disahkan negatif.

"Oleh itu tiada tanda-tanda jangkitan ini telah menular di kalangan penduduk tempatan," katanya.
Beliau berkata kawasan Sekinchan merupakan kawasan bebas malaria di mana tiada kes malaria tempatan dilaporkan sejak lima tahun kebelakangan ini dan memandangkan pekerja-pekerja asing terbabit menghabiskan masa mereka di lautan ketika mengalami gejala malaria, kemungkinan mereka menularkan jangkitan malaria kepada penduduk tempatan adalah sangat rendah.

Bagaimanapun Dr Hasan berkata penduduk dan pekerja asing yang mengalami gejala demam panas diikuti dengan rasa sejuk, menggigil dan berpeluh perlulah segera mendapat rawatan di klinik atau hospital berdekatan. - BERNAMA