Followers

Monday, October 4, 2010

Sukan Komanwel: Malaysia menang mudah ke atas Isle of Man

BEREGU wanita negara Wong Khe Wei (tiga, kanan) dan Goh Liu Ying diberi ucapan tahniah oleh jurulatih beregu, Jeremy Gan (kanan) dan Rexy Mainaky (dua, kanan) selepas menang ke atas beregu Isle Of Man (IOM), hari ini.
BEREGU wanita negara Wong Khe Wei (tiga, kanan) dan Goh Liu Ying diberi ucapan tahniah oleh jurulatih beregu, Jeremy Gan (kanan) dan Rexy Mainaky (dua, kanan) selepas menang ke atas beregu Isle Of Man (IOM), hari ini.

NEW DELHI: Malaysia memulakan cabaran dalam acara badminton pada Sukan Komanwel ke-19 apabila dengan mudah menewaskan Isle of Man 5-0 dalam acara berpasukan Kumpulan A di Kompleks Sukan Siri Fort di sini, hari ini.


Gandingan Koo Kien Keat dan Chin Ee Hui memberikan mata pertama dengen menewaskan Matthew John Wilkinson/Kimberley Helen Clague 21-5, 21-7 dalam acara beregu campuran.
Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, pula menambah pungutan mata dengan menundukkan Joshua Green 21-16, 21-6 dalam perseorangan lelaki.
Pemain wanita utama negara Wong Mew Choo mengalahkan Cristen Elizabeth Callow 21-6, 21-6.

Dalam acara beregu lelaki, gandingan Chan Peng Soon/Muhammad Hafiz Hashim mengalahkan Green/Wilkinson 21-10, 21-6 manakala Goh Liu Ying/Woon Khe Wei menewaskan Clague/Callow 21-7, 21-12 dalam acara beregu wanita.

Skuad negara akan menentang Seychelles dalam perlawanan kumpulan malam ini. - BERNAMA

Siswa tidak boleh terbabit secara langsung dalam politik: Khaled

GEORGETOWN: Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tidak dihalang sepenuhnya untuk terbabit dalam politik terutama ketika pilihan raya sekiranya mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata mahasiswa boleh mendengar ceramah atau bercakap tentang politik tetapi mereka tidak dibenarkan terbabit secara langsung dalam kempen politik.
"Jika pelajar sekadar mahu mendengar atau memantau pilihan raya, kementerian tidak akan menghalang tetapi jika mereka membabitkan diri secara langsung seperti berkempen atau menjadi ejen parti politik, itu tidak dibenarkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku "Reaching Out...Making The Difference" di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kemungkinan pembabitan pelajar IPT dalam politik, terutamanya menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang akan diadakan tidak lama lagi berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaiman, 46, akibat barah.

Mohamed Khaled berkata, sebelum ini terdapat pelajar yang terbabit secara langsung dalam politik walaupun menyedari tindakan itu salah.

"Mereka seolah-olah mahu melihat sama ada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) itu akan dilaksanakan atau tidak," katanya.

Pada 28 September lalu, Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa Khas) menolak permohonan empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mendapatkan perisytiharan bahawa Seksyen 15 (5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang melarang pelajar menyertai politik, sebagai tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Datuk Aziah Ali menolak dengan kos permohonan injunksi oleh pelajar berkenaan untuk menyekat UKM daripada mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka kerana dikatakan berkempen pada pilihan raya kecil bagi kawasan Hulu Selangor pada April lalu. - BERNAMA

Belia FELDA kutuk Azmin hina Dr Mahathir

JOHOR BAHRU: Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) mengutuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, yang menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sedang menerima rawatan di Australia kini sebagai "pemimpin yang sedang tersungkur."
Presidennya, Anuar Manap, berkata kenyataan menghina oleh Azmin yang bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu adalah usaha terdesaknya untuk meraih sokongan.
"Janganlah terlalu mudah melabelkan pemimpin kita dan menghina hanya kerana ingin menang dalam perebutan jawatan dalam parti yang kita tahu sedang bergolak dan kacau bilau," katanya.
Anuar mengulas kenyataan Azmin yang menyifatkan Dr Mahathir yang sedang menerima rawatan di Melbourne, Australia kerana jangkitan paru-paru sebagai "pemimpin yang sedang tersungkur".

Azmin membuat sindiran itu ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan PKR cabang Gombak semalam. - BERNAMA

Najib sertai perhimpunan bekas tentera 10 Oktober

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijangka menyertai 17,000 bekas anggota tentera pada satu perhimpunan besar-besaran di Stadium Putra Bukit Jalil Ahad ini.

Perhimpunan anjuran Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) itu adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan bekas tentera dalam mempertahankan keamanan negara.
Ia dijadual berlangsung dari 12 tengah hari hingga 5.30 petang.
Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abdul Ghani, berkata perhimpunan itu juga bertujuan meningkatkan keyakinan diri bekas tentera selain membuang perasaan dipinggirkan walaupun telah menamatkan perkhidmatan.

"Ia juga bagi menghargai jasa Perdana Menteri kita yang banyak memberi perhatian kepada PBTM ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan," katanya kepada pemberita di Wisma Pahlawan di sini hari ini.

Beliau berkata, 200 daripada 2,227 bekas tentera yang pernah terbabit dalam peperangan dengan Parti Komunis Malaya dan tentera Jepun dijangka hadir.

Muhammad juga meminta bekas tentera yang ingin mendaftar sebagai ahli PBTM supaya mengunjungi laman web www.pbtm.org.my.
"Setakat ini hanya 139,000 sahaja bekas tentera yang mendaftar," katanya. - BERNAMA

Bajet 2011 tingkatkan keyakinan terhadap ekonomi negara: Mustapa

PETALING JAYA: Bajet 2011 akan meningkatkan keyakinan terhadap ekonomi negara dan juga pelaburan swasta, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Bajet 2011 akan dibentangkan pada 15 Oktober ini.
"Bajet itu akan meningkatkan keyakinan, pelaburan swasta dan pemulihan ekonomi," katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Perbadanan Pembangunan Halal, hari ini.
Mustapa berkata, mengecilkan defisit bajet negara juga akan menjadi keutamaan dalam bajet itu.

Malaysia menyasar mengurangkan defisit bajet daripada 5.6 peratus pada 2010.

Mengenai Pelan Transformasi Ekonomi, Mustapa berkata sebaik sahaja program dan projek dilaksanakan, kementerian itu akan mewujudkan mekanisme bagi pemantauan lazim.

"Setiap butiran terperinci akan dikaji secara tetap, bersama dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala," katanya. - BERNAMA

Projek Lebuhraya Pan-Borneo dilaksana secara berperingkat

MIRI: Usaha penambahbaikan keadaan jalan di Lebuhraya Pan-Borneo yang menghubungkan Sarawak, Brunei dan Sabah akan terus dilaksanakan secara berperingkat, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, di sini hari ini.
Katanya, usaha penambahbaikan itu termasuk menaiktaraf beberapa bahagian jalan sepanjang kira-kira 1,600km itu dengan menyediakan lorong tambahan atau melebarkan kawasan tertentu untuk kenderaan memotong.
"Sistem Lebuhraya Pan-Borneo, yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Trans Borneo, adalah satu projek besar dan perlu dilaksanakan secara berperingkat," katanya kepada pemberita semasa membuat lawatan tinjauan keadaan lalu lintas di Bandar Baru Permyjaya di sini.
Sebelum ini, kementerian berkenaan telah memperuntukkan RM120 juta untuk melaksanakan projek bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas antara Jalan Pujut dan Bandar Baru Permyjaya di sini.

Bandar itu yang terletak kira-kira 15 kilometer dari pusat bandaraya Miri, mengalami peningkatan jumlah penduduk yang pesat selepas ia mula dibangunkan sejak lebih 10 tahun dan penduduk di kawasan itu kini telah mencecah 100,000 orang. - BERNAMA

Buku teks 2011 dihantar selewat-lewatnya Disember: DBP

IPOH: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini memberi jaminan semua buku teks bagi sesi persekolahan 2011, termasuk cetakan baru mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu, akan dihantar ke semua sekolah selewat-lewatnya Disember ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Termuzi Abdul Aziz, berkata pihaknya kini dalam proses mencetak kumpulan terakhir buku teks yang membabitkan buku Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani bagi kegunaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.
"Semua buku yang sedang dicetak ini adalah buku yang menggunakan sukatan pelajaran baru...buku lain telahpun siap dicetak dan ada di antaranya telahpun dihantar ke sekolah untuk kegunaan penggal pertama tahun 2011.
"Semua (buku teks) yang dihantar tersebut adalah jumlah yang telah dipesan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir pelancaran Bulan Bahasa peringkat kebangsaan di Stadium Indera Mulia di sini.

Termuzi juga meminta JPN mengeluarkan pesanan baru secepat mungkin sekiranya terdapat pertambahan murid atau kesilapan semasa membuat pesanan bagi membolehkan DBP membuat penghantaran sebelum hujung tahun.

Katanya, bagi mengelak kekurangan buku teks di sekolah, DBP telah mengambil inisiatif membuat cetakan lebih antara tiga hingga lima peratus bagi setiap pesanan yang dibuat.

"Bagi memastikan buku-buku ini siap lebih awal, pihak DBP telah mengambil inisiatif mempercepatkan proses cetakan...sebagai contoh, buku yang diberi masa selama lapan bulan, telahpun siap dicetak dan kini telahpun berada di sekolah.
"Dalam keadaan biasa, semua tempahan cetakan akan dilaksanakan dalam tempoh 18 bulan, dan kita hanya diperuntukkan selama lapan bulan," katanya.

Beliau berkata, semua buku Sains dan Matematik baru itu dicetak berdasarkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

Katanya, DBP menerima tempahan lebih 6.4 juta naskhah buku baru bagi kedua-dua mata pelajaran, dan sebahagian besar telahpun siap dicetak. - BERNAMA

Dasar luar bandar baru tingkat pendapatan penduduk: Shafie

ALOR SETAR: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan memperkenalkan dasar baru tidak lama lagi yang akan memberikan lebih banyak tumpuan kepada usaha bagi meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar dan bukan hanya bertumpu kepada pembinaan infrastruktur.
Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata dasar pembangunan luar bandar yang baru itu akan menumpukan kepada kegiatan ekonomi yang mampu memberikan pendapatan yang tinggi kepaada penduduk luar bandar.
Beliau berkata, menerusi pendekatan baru, kawasan-kawasan yang terbiar akan dimajukan sebagai sumber ekonomi yang dapat membantu masyarakat setempat dan negeri.
Katanya, dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), kementerian itu memberikan lebih banyak tumpuan kepada pembangunan ekonomi yang dapat memberikan peluang pekerjaan dan pendapatan kepada masyarakat luar bandar.

"Ia bukan hanya bina jalan, buat lampu, buat rumah. Paling penting kena pastikan kegiatan ekonomi di luar bandar ini akan lebih membabitkan usaha untuk meningkatkan pendapatan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Dataran Keda di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan terus memberikan perhatian kepada pembangunan luar bandar dalam Bajet 2011 supaya kawasan itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Mengenai KEDA, beliau berkata kementerian akan memastikan KEDA mendapat peruntukan yang sesuai untuk meneruskan lagi usaha pembangunan masyarakat luar bandar di Kedah dalam RMK-10.
Katanya, pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri melanjutkan usia KEDA untuk 10 tahun lagi bagi meneruskan usaha pembangunan sebelum ini. - BERNAMA

Program Susu 1Malaysia beri limpahan ekonomi: TPM

KOTA KINABALU: Program Susu 1Malaysia akan memberikan kesan limpahan ekonomi yang lebih meluas dalam jangka masa panjang, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, berdasarkan kepada keperluan bekalan susu yang banyak menerusi program berkenaan, pembangunan industri tenusu tempatan di peringkat huluan yang lebih terancang bagi pengeluaran susu segar akan dapat dipertingkatkan.
"Di samping itu, industri pemprosesan pembungkusan susu kotak di peringkat hiliran pula akan dapat diperkembangkan," katanya ketika merasmikan Kempen Minum Susu 1Malaysia, peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, negara hanya mampu memenuhi empat peratus keperluan susu manakala 96 peratus lagi terpaksa diimport dari New Zealand dan Australia.

Sehubungan itu, beliau meminta Sabah selaku negeri pengeluar susu terbesar negara memperhebatkan industri tenusu bagi menjayakan Program Susu 1Malaysia.

"Saya percaya Sabah mampu mengembang dan memperluaskan industri tenusunya agar dapat membekalkan lebih banyak susu ke seluruh negara. Ini kerana tahap sara diri susu di Sabah melebihi keperluan penduduknya," katanya.

Muhyiddin berkata, Sabah mampu membekalkan 80 juta kotak susu dan 270 juta kotak susu 200 mililiter setahun untuk diagihkan kepada lebih 3.1 juta murid sekolah rendah di seluruh negara.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, semua pihak perlu memberi perhatian serius terhadap kualiti susu yang dibekalkan kepada murid bagi mengatasi insiden keracunan makanan di sekolah.

"Kita tidak akan berkompromi dari aspek kualiti dan akan sentiasa memastikan susu yang dibekalkan memenuhi piawaian yang ditetapkan.

"Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kementerian Kesihatan telah menyediakan garis panduan pengendalian susu sekolah bagi memastikan keselamatan, pengendalian dan kualiti bekalan susu yang dibekalkan mencapai piawaian yang ditetapkan.

"Garis panduan itu mencakupi aspek jaminan kualiti produk, pengangkutan, penyimpanan di gudang dan di sekolah serta pengagihan kepada murid," katanya. - BERNAMA

Dasar luar bandar baru tingkat pendapatan penduduk: Shafie

ALOR SETAR: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan memperkenalkan dasar baru tidak lama lagi yang akan memberikan lebih banyak tumpuan kepada usaha bagi meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar dan bukan hanya bertumpu kepada pembinaan infrastruktur.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata dasar pembangunan luar bandar yang baru itu akan menumpukan kepada kegiatan ekonomi yang mampu memberikan pendapatan yang tinggi kepaada penduduk luar bandar.
Beliau berkata, menerusi pendekatan baru, kawasan-kawasan yang terbiar akan dimajukan sebagai sumber ekonomi yang dapat membantu masyarakat setempat dan negeri.
Katanya, dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), kementerian itu memberikan lebih banyak tumpuan kepada pembangunan ekonomi yang dapat memberikan peluang pekerjaan dan pendapatan kepada masyarakat luar bandar.

"Ia bukan hanya bina jalan, buat lampu, buat rumah. Paling penting kena pastikan kegiatan ekonomi di luar bandar ini akan lebih membabitkan usaha untuk meningkatkan pendapatan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Dataran Keda di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan terus memberikan perhatian kepada pembangunan luar bandar dalam Bajet 2011 supaya kawasan itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Mengenai KEDA, beliau berkata kementerian akan memastikan KEDA mendapat peruntukan yang sesuai untuk meneruskan lagi usaha pembangunan masyarakat luar bandar di Kedah dalam RMK-10.
Katanya, pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri melanjutkan usia KEDA untuk 10 tahun lagi bagi meneruskan usaha pembangunan sebelum ini. - BERNAMA

UNWTO perlu rangka garis panduan pelancongan mesra alam: TPM

KOTA KINABALU: Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyaran Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO) supaya mewujudkan garis panduan khusus bagi mengurus pelancongan mesra alam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, maklumat dan teknologi terkini mengenai pelancongan mesra alam, perlu disebarkan untuk faedah bersama.
"Dalam usaha kita meletakkannya (pelancongan) di hadapan dari segi menjana pendapatan dalam negara, kita mahu memastikan alam sekitar tidak terjejas.
"Aplikasi teknologi hijau kini biasa tetapi masih di peringkat awal. Itulah sebabnya terdapat keperluan mewujudkan garis panduan khusus mengenai bagaimana pelancongan mesra alam perlu diuruskan oleh kerajaan dan mereka yang berkepentingan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pelancongan Dunia 2010, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, Malaysia mengakui akan kepentingan alam sekitar dan pemuliharaannya di bawah pelancongan mesra alam.

"Banyak pelancong mahu beralih dari bandar raya. Mereka mahu menikmati alam sekitar yang perlu dipulihara untuk generasi akan datang," katanya.

Ditanya bagaimana Malaysia mengimbangi usaha dalam mempromosikan teknologi hijau dan pembangunan sebagai negara membangun, Muhyiddin berkata negara mempunyai banyak dasar termasuk untuk pelancongan dan alam sekitar.
Beliau berkata, Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan alam sekitar di bawah pembangunan pelancongan mesra alam.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata teknologi hijau berpotensi menjadi pemacu bagi menjana bidang pertumbuhan baru dan menggalakkan pembangunan mapan.

Oleh itu, beliau berkata penekanan yang sewajarnya seharusnya diberikan dalam mempromosikan teknolgi eko pelancongan.

"Pada masa yang sama, ini akan memastikan pelancongan menyumbang kepada agenda pembangunan mapan antarabangsa.

"Inisiatif mesra alam yang mengambil kira tentang alam sekitar oleh penyedia produk dan perkhidmatan pelancongan memberikan premium yang lebih tinggi," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, UNWTO seharusnya menimbang keperluan untuk membangunkan satu mekanisme atau memperkenalkan standard kemahiran kerja, pemindahan teknologi dan kecekapan serta amalan terbaik dalam pelancongan mesra alam.

Mengenai industri pelancongan global, Muhyiddin berkata berdasarkan kepada prestasi suku pertama, satu panel pakar UNWTO menyatakan keyakinan yang pelancongan akan terus pulih.

"Tinjauan masa depan pelancongan adalah menggalakkan. Ketibaan pelancong dari Januari hingga April tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada 2008 dengan rantau Asia dan Pasifik mencatatkan kenaikan 12 peratus.

"Pertumbuhan positif ini akan menyediakan anggota Asia dan Pasifik ke arah pemulihan pantas melalui usaha yang lebih berkesan dalam menarik sejumlah besar pelawat ke rantau ini di masa depan," katanya. - BERNAMA

Najib harap sidang ASEM tumpu perhatian semula Eropah terhadap Asia

BRUSSELS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyuarakan harapan supaya Sidang Kemucak Asia-Eropah (ASEM) Kelapan selama dua hari mulai hari ini di sini akan "memberi tumpuan terhadap perhatian semula Eropah terhadap Asia".
Beliau berkata, Asia dan Asean ialah destinasi pertumbuhan akan datang ketika wujud sikap pesimis terhadap Amerika Syarikat (AS) dan kebimbangan terhadap Eropah.
"Meskipun hakikat bahawa terdapat kemuraman dari segi apa yang berlaku di tempat lain, saya secara peribadi tidak percaya akan berlaku kemelesetan berganda, tetapi keadaan akan menyederhana untuk pertumbuhan yang perlahan di AS dan Eropah.
"Namun, jika tidak berlaku sebarang masalah seperti itu, kita mungkin bergerak seiring dalam persekitaran global di mana kebanyakan pertumbuhan akan dijana dari kawasan ASEAN dan Asia," katanya pada jamuan malam Aidilfitri yang dihoskan beliau untuk rakyat Malaysia di Belgium dan Luxembourg, malam tadi.

Najib juga berkata, Malaysia berminat memulakan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU) selain pasaran utama yang lain.

"Kami berharap diberikan perhatian lebih oleh EU. Kami memerlukan lebih banyak aliran modal ke Malaysia, kami perlu menjadikan Malaysia lebih menarik supaya dapat berkongsikan pelaburan dan aliran modal kami," katanya.

Najib dijangka memulakan rundingan FTA Malaysia-EU sempena Sidang Kemuncak ASEM esok. - BERNAMA

Kenyataan Azmin terhadap Dr Mahathir tidak wajar: Muhyiddin

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tindakan calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai "pemimpin yang sedang tersungkur", tidak wajar dan tidak mencerminkan nilai akhlak yang baik seorang pemimpin.
"Ini tak sepatutnya berlaku. Kita dalam politik, kita mesti ada nilai moral dan akhlak dan sebagai manusia kita juga mesti hormat menghormati.
"Tun Mahathir adalah seorang negarawan ulung yang sudah banyak berjasa kepada negara," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Azmin hari ini yang menyifatkan Tun Dr Mahathir yang sedang menerima rawatan di Melbourne, Australia kerana jangkitan paru-paru sebagai "pemimpin yang sedang tersungkur" di negara itu.
Azmin membuat sindiran itu ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan PKR cabang Gombak semalam.

Pemimpin PKR itu juga dilaporkan sebagai berkata bahawa ia disebabkan kedegilan Mahathir bersekongkol dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang didakwa memperjuangkan agenda perkauman sempit.

Muhyiddin berkata, Azmin sepatutnya berpandu kepada perasaan kemanusiaan.

"Bila Tun Mahathir uzur dan masuk hospital, seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar Tun cepat sembuh dan pulang untuk berkhidmat kepada negara atas kapasiti beliau sebagai bekas Perdana Menteri.
"Jadi kenyataan itu tidak sepatutnya timbul kerana kita saling hormat-menghormati. Tak tahulah kalau begitulah kepimpinan dalam PKR," katanya. - BERNAMA