Followers

Saturday, December 26, 2009

Tiga beranak rentung nahas di Tangkak

MUAR: Tiga beranak rentung apabila van yang dinaiki bersama tujuh sekeluarga dan seorang rakan terbalik dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Parit Bunga, Jalan Muar, dekat Tangkak, jam 10.40 malam tadi.

Gempa bumi kuat di Laut Banda

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala Richter berlaku di Laut Banda, 373 kilometer tenggara Ambon, Indonesia, pada jam 4.57 petang tadi.

Jabatan Meteorologi, dalam satu kenyataan, berkata pusat gempa itu terletak di lokasi 1,804 kilometer tenggara Tawau, Sabah.

Bagaimanapun, gempa itu tidak membawa sebarang ancaman tsunami. - Bernama

Pembantu Abbas tuduh Israel tingkat keganasan

RAMALLAH, Tebing Barat: Seorang pembantu Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, mengutuk pembunuhan enam pejuang Palestin oleh tentera Israel hari ini dan menuduh negara Yahudi itu sengaja meningkatkan keganasan.

Nabil Abu Rdainah, memberitahu Reuters selepas pembunuhan tiga ahli pergerakan Fatah di Tebing Barat dan tiga yang lain di Gaza, bahawa Israel tidak berminat dengan keamanan dan cuba menggugat keadaan.

“Israel cuba membunuh usaha masyarakat antarabangsa dan Amerika untuk memulakan rundingan damai," katanya. - Reuters

Pembantu Abbas tuduh Israel tingkat keganasan

RAMALLAH, Tebing Barat: Seorang pembantu Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, mengutuk pembunuhan enam pejuang Palestin oleh tentera Israel hari ini dan menuduh negara Yahudi itu sengaja meningkatkan keganasan.

Nabil Abu Rdainah, memberitahu Reuters selepas pembunuhan tiga ahli pergerakan Fatah di Tebing Barat dan tiga yang lain di Gaza, bahawa Israel tidak berminat dengan keamanan dan cuba menggugat keadaan.

“Israel cuba membunuh usaha masyarakat antarabangsa dan Amerika untuk memulakan rundingan damai," katanya. - Reuters

Biasiswa Sheikh Muszaphar-ACMS dilancar

KUALA LUMPUR: Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie, dengan kerjasama Kolej Sains Perubatan (ACMS) hari ini melancarkan Biasiswa Sheikh Muszaphar-ACMS yang bertujuan membantu pelajar yang tidak memperoleh keputusan peperiksaan cemerlang tetapi berminat menjadi doktor untuk meneruskan impian mereka.

Dr Sheikh Muszaphar berkata, buat permulaan program itu akan membiayai 200 orang pelajar mulai tahun depan dan setiap seorang akan menerima kira-kira RM2,000 untuk memulakan pengajian di kolej berkenaan.

"Dengan cara ini kita akan membantu mereka yang betul-betul berminat (untuk menjadi doktor). Mungkin perlu melakukan diploma dahulu seperti fisioterapi, nursing dan sebagainya.

"Ini (biasiswa) lebih untuk mereka mencapai impian mereka untuk menjadi doktor," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat motivasi kepada pelajar dalam suatu program anjuran ACMS di sini hari ini.

Beliau berkata, beliau akan menjadi bapa angkat kepada pelajar yang terpilih dan akan membimbing mereka secara langsung.

Pengerusi ACMS, Datuk Dr Zainuddin Wazir, berkata biasiswa itu akan membantu pelajar untuk memulakan pengajian di ACMS dalam tempoh tiga bulan pertama, iaitu untuk makan-minum, keperluan harian, membeli tiket kapal terbang, membeli buku teks dan sebagainya, sebelum pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara pelajar diluluskan.

"Kriteria yang ditetapkan adalah sama dengan syarat kemasukan ke ACMS. Pelajar yang berminat hanya perlu mendaftar dengan kami, tetapi pastinya pelajar yang kurang berkemampuan akan kami utamakan," katanya.

Maklumat mengenai program biasiswa itu boleh didapati daripada laman web ACMS www.acms.edu.my atau melalui laman facebook Sheikh Muszaphar-ACMS Scholarship Fund. - Bernama

Insiden pesawat AS 'cubaan tindakan keganasan'

WASHINGTON: Insiden di atas pesawat Amerika Syarikat semalam membabitkan seorang penumpang cuba menyalakan bahan letupan adalah "cubaan tindakan keganasan".

Ahli Dewan Perwakilan AS, Peter King, berkata penumpang warga Nigeria berusia 23 tahun itu mempunyai kaitan dengan kegiatan keganasan.

Beliau berkata, lelaki berkenaan cuba menyalakan "peranti yang agak canggih" di atas Penerbangan 253 Northwest Airlines yang membawa 278 penumpang dari Amsterdam.

"Ia boleh menjadi satu bencana," kata King, iaitu ahli perwakilan paling kanan dalam Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri Dewan Perwakilan AS.

Rumah Putih menyatakan Presiden Barack Obama dimaklumkan mengenai insiden berkenaan dan mengadakan persidangan menerusi telefon dengan pasukan keselamatan.

"Beliau mengarahkan semua langkah sesuai diambil bagi meningkatkan keselamatan perjalanan udara," kata Rumah Putih dalam satu kenyataan. - AFP

Penyelidik Malaysia laksanakan kajian pertama pembiakan penyu

SANDAKAN: Unit Penyelidikan Penyu Laut (Seatru), Universiti Malaysia Terengganu, melaksanakan kajiselidik yang pertama di negara ini bagi menentukan bilangan penyu di kawasan pembiakan di Taman Marin Tun Sakaran dan Pulau Sipadan, Semporna.

Penyelidikan yang diketuai Dr Juanita Joseph membabitkan sekumpulan penyelidik bermula 29 Septembr hingga 12 Oktober lalu.

Dr Juanita berkata, sampel 69 penyu Hijau dan sembilan penyu Hawksbill dibawa bagi tujuan itu, di mana kesemuanya ditandakan sebelum dilepaskan.

"Penandaan itu dilakukan di tapak pembiakan bagi tujuan pemerhatian dan pemantauan jangka panjang," katanya.

Beliau berkata, penyelidikan sama pernah dilakukan di Australia dan Amerika Syarikat.

Katanya, ia penting bagi tujuan pemuliharaan spesis penyu, di samping mengenal pasti tapak pembiakan yang diancam kegiatan perikanan.

Dr Juanita berkata, keputusan kajiselidik itu akan dibentangkan dalam kertas kerja sebagai strategi mengetengahkan penangkapan penyu secara haram di perairan Malaysia dan rantau Indo-Pasifik. - Bernama

Pengacara program realiti antara ditahan di kelab malam pagi tadi

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon lelaki berusia 28 tahun yang juga pengacara bersama program realiti tarian popular adalah antara 21 individu yang ditahan dalam operasi polis di sebuah kelab malam di Bukit Bintang, di sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, pelakon itu dibebaskan selepas ujian air kencing mendapati beliau bebas daripada dadah.

3 maut dalam nahas di Tawau

TAWAU: Tiga termasuk dua pejalan kaki warga Indonesia, maut dalam kemalangan jalan raya berasingan di daerah ini semalam.

Dalam kejadian pertama, seorang kanak-kanak berumur lima tahun terbunuh selepas tercampak keluar apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandu bapanya terbabas di KM16, Jalan Kalabakan-Keningau kira-kira 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin, berkata kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Ahmad Fauzi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

"Lima lagi anggota keluarga itu termasuk ibu kanak-kanak itu dan bapanya yang juga seorang guru selamat dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam kejadian kedua, seorang lelaki warga Indonesia maut selepas dilanggar sebuah lori ketika lelaki itu melintas jalan di simpang Kampung Ranggu, Batu 8, Jalan Apas.

"Nahas berlaku kira-kira 6.30 petang apabila lelaki itu yang dikenali sebagai Ali Muhamad, 40, dikatakan melintas jalan secara tiba-tiba menyebabkan lori itu gagal mengelak kerana jaraknya terlalu dekat," katanya.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, seorang lagi warga Indonesia turut maut akibat dilanggar sebuah kereta di simpang Kampung Muhibbah, Jalan Kuhara kira-kira pukul 7.30 malam.

Katanya, lelaki itu yang dikenali sebagai Abdul Aziz Semmah, 59, dikatakan tiba-tiba berlari melintas jalan dan dilanggar kereta itu yang tidak sempat berhenti. - Bernama