Followers

Friday, November 13, 2009

Pelaburan haram: SC bayar RM31 juta kepada mangsa

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) sudah menyelesaikan kes penipuan pelaburan haram terbesar negara yang bernilai RM31 juta, kata Pengerusinya, Tan Sri Zarinah Anwar.

Bercakap dalam sidang akhbar di sini, hari ini, beliau berkata, SC dijangka membayar semula wang pelaburan haram SwissCash kepada mangsa seawal tahun depan selepas mendapat kelulusan mahkamah.

Katanya, SC akan melantik pihak pentadbir untuk menguruskan proses tuntutan berkenaan.

"Untuk layak mendapat pampasan itu, pelabur perlu kemukakan dokumen berkaitan sebagai bukti pelaburan yang dibuat mereka," katanya.

Baiah Khalid tak direstui pimpinan tertinggi Pas: Mustafa

KUALA LUMPUR: Amalan baiah talak tiga yang dilakukan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad tidak dipersetujui dan tidak direstui pimpinan tertinggi Pas.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, berkata kepimpinan parti menganggap baiah yang dilafazkan Khalid tidak sewajarnya berlaku kerana merendahkan martabat kaum wanita.

"Berikutan tindakan Khalid itu, beliau diberikan peringatan secara lisan oleh parti," katanya pada sidang media bagi menjelaskan isu baiah di ibu pejabat Pas di sini, sebentar tadi.

Timbul syubahah dalam pelaksanaan hukuman sebat Kartika

KUANTAN: Hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno belum dijalankan berikutan timbul syubahah (keraguan) dalam pelaksanaan hukuman itu.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz, berkata pelaksanaan hukuman itu perlu dilakukan secara berhati-hati, terutama terhadap pesalah wanita.

"Sejak 52 tahun kemerdekaan negara, tidak ada lagi tukang sebat daripada kalangan wanita," katanya ketika menjawab soalan Syed Mohammed Tuan Lonnik (Pas-Beserah) berhubung kekangan dalam pelaksanaan hukuman terhadap Kartika pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.

Mohamad Sahfri bagaimanapun berkata, hukuman sebat terhadap pesalah lelaki bagi kesalahan sama telah dilaksanakan dengan terbaru, seorang rakyat Indonesia disebat enam kali di Penjara Penor di sini, semalam.

Beliau berkata Pahang adalah antara negeri yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara dan sebatan bagi kesalahan meminum arak berbanding negeri lain dan ia perlu dijalankan dengan sebaik mungkin.

Kartika, 32, dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu setelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai tahun lalu.

Menjawab soalan mengenai hukuman enam sebatan yang dikenakan tidak mengikut syarak, Mohamad Sahfri berkata, ia berpandukan undang-undang yang diluluskan DUN Pahang dan bidang kuasa yang diberi Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Beliau berkata walaupun hukum syarak menetapkan hukuman 40 hingga 80 sebatan bagi kesalahan meminum arak yang merupakan satu daripada kesalahan hudud, Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman hudud.

"Ini kerana enakmen yang ada hanya memperuntukkan hukuman takzir dan tiada hukuman had atau qisas walaupun ada di antara jenis kesalahan itu adalah hudud," katanya. - Bernama

Malaysia mahu pertumbuhan ekonomi 5.0 peratus pada 2010

SINGAPURA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata beliau akan sedaya usaha menggerakkan negara bagi memastikan Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi lima peratus tahun depan, dua peratus lebih tinggi berbanding anggaran awal oleh kerajaan.

Beliau berkata pentadbirannya akan mengumumkan model ekonomi baharu Malaysia menjelang akhir tahun, yang akan mengenal pasti sumber baharu pertumbuhan yang akan meningkatkan kadar pertumbuhan negara berbanding 3.0 peratus pasca krisis.

"Saya belum pasti sama ada ia boleh dicapai, namun saya akan mencuba yang terbaik," kata Najib dengan penuh yakin pada sesi dialog Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang diadakan sempena Mesyuarat Pemimpin Apec, di Suntec, di sini.

Najib adalah antara ahli panel pada dialog bertema "Adakah Krisis Global Sudah Berakhir".

Ahli panel lain termasuk Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick, Pengerusi Global PricewaterhouseCoopers International, Dennis M Nally dan Presiden Pembangunan "Inter-American", Dr Luis Alberto Moreno.

Perdana Menteri menjelaskan sumber baharu pertumbuhan itu termasuk pengukuhan permintaan domestik selain mendapatkan sektor swasta, yang masih belum menyumbang secukupkan di Malaysia, terlibat secara aktif.

Sambil memberitahu hadirin bahawa beliau sudah meminta para menteri dan pegawainya supaya berusaha mendapatkan dua peratus itu tahun depan dan tahun-tahun seterusnya, Najib berkata beliau akan berusaha lebih keras dalam memastikan kerajaan lebih cekap, mesra perniagaan dan menjual Malaysia ke luar negara.

Menjawab soalan, Perdana Menteri berkata berdasarkan pelbagai reformasi ekonomi drastik yang diperkenalkan baru-baru ini, beliau yakin dua pakej rangsangan semasa kerajaan akan berjaya.

"Ia mesti berjaya, jika tidak anda tidak akan dapat melihat saya bertahan terlalu lama," katanya secara terus terang, dan disambut gelak-ketawa daripada perwakilan pada sidang kemuncak itu.

Perdana Menteri berkata pakej rangsangan Malaysia adalah antara yang terbesar di dunia memandangkan ia membabitkan kira-kira 9.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK). - Bernama

Gempa sederhana landa Bengkulu, Sumatera

JAKARTA: Gempa bumi sederhana berukuran 5.4 Richter melanda Bengkulu, Sumatera, awal pagi ini tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa melanda jam 2.39 pagi waktu tempatan (1939 GMT) di 140 kilometer (km) di barat daya Bengkulu di kedalaman 35km, menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Bagaimanapun, setakat ini, tiada laporan mengenai mereka yang cedera atau kerosakan yang dialami. - AFP