Followers

Sunday, November 22, 2009

1,000 diselamatkan, gunung berapi meletus di Colombia

BOGOTA: Ribuan penduduk terpaksa diselamatkan dengan kesesakan teruk di jalan raya apabila Gunung Berapi Galeras di selatan Colombia meletus, semalam.

Penduduk terbabit dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Pasto, di ibu negeri Narino, berhampiran sempadan Ecuador.

Gunung berapi itu adalah antara yang paling aktif di Colombia, diletakkan di peringkat amaran merah selepas meletuskan lahar.

Kira-kira 9,000 penduduk tinggal berhampiran gunung berkenaan tetapi setakat ini tiada laporan mereka yang maut.

Gunung itu meletuskan lahar jam 8.37 malam waktu tempatan, menyebabkan penduduk lari meninggalkan kediaman untuk menyelamatkan diri. - AFP

Keputusan isu pembekuan amah Indonesia akhir tahun ini

KLANG: Keputusan sama ada Indonesia akan menarik balik pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia dijangka diketahui menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Subramaniam berkata, Malaysia masih berbincang dengan kerajaan Indonesia mengenai pengambilan pembantu rumah dari negara itu bagi menyelesaikan beberapa isu tertangguh demi manfaat kedua-dua negara.

"Hanya ada satu dua isu yang tertangguh dan jika kedua-dua negara boleh menyelesaikannya, maka isu pembekuan pembantu rumah asing ini boleh ditamatkan (menjelang akhir tahun ini)," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis menyampaikan pakaian seragam sekolah kepada pelajar kurang berkemampuan sekitar Parlimen Kota Raja di sini anjuran bersama Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Kota Raja dan MIC Bahagian Kota Raja.

Jakarta mengeluarkan arahan pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada 25 Jun lalu berikutan banyak aduan mengenai pembantu rumah didera oleh majikan.

Pada 2 September lalu, Malaysia dan Indonesia bersetuju membenarkan pembantu rumah Indonesia diberi cuti sehari dalam seminggu dan mereka juga dibenarkan menyimpan pasport sendiri semasa berada di negara ini.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat ketiga Jawatankuasa Kerja bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia yang diadakan di ibu negara pada 20 Ogos lalu. - Bernama

Banjir berterusan di Kelantan, mangsa bertambah kepada 793 orang

KOTA BHARU: Keadaan banjir masih belum reda di Kelantan apabila mangsa yang dipindahkan pagi ini bertambah kepada 793 berbanding 268 orang, malam tadi.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir negeri berkata, mereka terdiri daripada penduduk di jajahan Kuala Krai dan di Pasir Mas berikutan limpahan air Sungai Kelantan dan Sungai Golok kini melepasi paras bahaya.

"Di Kuala Krai, mereka yang dipindahkan seramai 268 orang daripada 59 keluarga dan di Pasir Mas seramai 489 orang daripada 128 keluarga," katanya.

Jalan utama yang ditutup kepada kenderaan ringan adalah di Sungai Durian, Kuala Krai manakala laluan alternatif ditutup di Jalan Rantau Panjang ke Panglima Bayu.

Paras air Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dan Tangga Krai di Kuala Krai kini melepasi paras bahaya iaitu di Kusial 17.32 meter (bahaya 16 meter) manakala di Tangga Krai 25.21 meter (bahaya 25 meter).

Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang juga melebih paras bahaya iaitu di Jenob 24.37 meter (bahaya 23.50 meter) dan Rantau Panjang 10.44 meter (bahaya sembilan meter).

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan sehingga kini dan keadaan cuaca di Kelantan mendung dengan sesekali hujan lebat dilaporkan.

Di KUANTAN, mangsa banjir yang ditempatkan di surau Projek Perumahan Rakyat Termiskin Kampung Darat di sini kekal 24 orang.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Pahang berkata pusat pemindahan yang dibuka sejak petang Jumaat itu masih menempatkan tiga keluarga selepas kawasan rumah mereka di Kampung Sungai Ular dinaiki air.

"Pemindahan itu hanya melibatkan daerah Kuantan manakala lain-lain daerah tiada pemindahan dilaporkan berlaku setakat ini," katanya. - Bernama

Ekonomi Malaysia boleh tumbuh 3-4 peratus: Muhyiddin

BANDUNG: Ekonomi Malaysia, yang sudah pulih sedikit, berpotensi berkembang pada tahap tiga hingga empat peratus berikutan langkah-langkah memberangsangkan yang diambil oleh kerajaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beberapa inisiatif baru telah diperkenalkan ke arah itu untuk mengubah corak ekonomi ke arah yang berpendapatan tinggi, berbanding yang berpendapatan sederhana dan rendah sebelum ini.

"Inisiatif baru itu perlu agar Malaysia dan rakyat kita tak terkongkong dalam ekonomi berpendapatan rendah dan sederhana," katanya ketika berucap pada jamuan malam dengan lebih 600 pelajar Malaysia di sini, malam semalam.

Beliau berkata kerajaan juga memperkenalkan inisiatif baru itu untuk membolehkan Malaysia keluar daripada masalah semasa yang melanda ekonomi dunia.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak termasuk rakyat dan pelajar Malaysia di luar negara dapat turut membantu memastikan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi itu berjalan dengan lancar dan pantas.

Muhyiddin juga menjelaskan kepada para pelajar berbilang kaum itu bahawa dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, pucuk pimpinan negara telah memperkenalkan Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk semua jemaah menteri.

"Ini antaranya untuk memastikan usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sentiasa lebih baik," katanya.

Mengenai pelajar di sebarang laut, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan percaya penuh bahawa di negara mana pun mereka berada, kasih sayang mereka kepada tanah air tetap bersemarak dan mereka sentiasa menjaga imej negara.

Beliau mahu setiap pelajar, termasuk di Indonesia yang majoritinya mengikuti pengajian kedoktoran, pergigian, farmasi dan bidang agama menumpukan perhatian serta usaha meraih kecemerlangan selain turut meluangkan masa memperkenalkan Malaysia di mata dunia.

"Setiap pergaulan baik dengan penduduk tempatan akan membantu mencerminkan imej positif Malaysia dan menjadikan lebih ramai orang luar mengenali Malaysia," katanya.

Khusus dengan Indonesia, katanya pelajar di sini perlu berperanan memperkukuhkan lagi hubungan akrab yang telah terjalin sejak berkurun-kurun lamanya yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.

Turut hadir pada jamuan malam di sebuah hotel terkemuka di "Kota Kembang" ini ialah Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Indonesia Amran Mohamed Zain dan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Datuk Dr Junaidi Abu Bakar. - Bernama

Ahli perniagaan Malaysia raih anugerah Jerman-Malaysia 2009 di Berlin

BERLIN: Ahli perniagaan Malaysia, Ir Lee Swee Eng muncul seorang daripada dua pemenang yang meraih Anugerah Jerman-Malaysia 2009 berikutan sumbangan signifikan mereka dalam menggalakkan dan memperkukuhkan hubungan Jerman-Malaysia.

Lee adalah pengasas dan pengarah urusan kumpulan KNM Group Berhad.

Warga Jerman yang turut menerima anugerah itu ialah Walter Schlebusch, yang berkhidmat di sebuah syarikat berpangkalan di Munich, Giesecke & Devrient (GD).

Kedua-dua mereka menerima anugerah itu pada Jumaat lalu, dalam satu upacara khas yang diadakan di Kedutaan Malaysia di Berlin.

Upacara itu menyaksikan penyampaian anugerah terhadap individu yang memberi "sumbangan signifikan" dalam pelbagai bidang bagi menggalakkan dan memperkukuhkan hubungan Jerman-Malaysia.

Duta Malaysia ke Jerman Datuk Zakaria Sulong memberitahu Bernama bahawa Lee dan Schlebusch telah melaksanakan tugas yang baik dalam menggalakkan hubungan dua hala.

Beliau berkata langkah Lee mengambil alih Boersig, sebuah syarikat berpangkalan di Berlin dengan kos RM1.7 bilion menjadi bahan bualan dalam lingkungan industri di Jerman di samping mencetuskan minat kepada bakal pelabur Malaysia di Jerman. - Bernama

Produk keropok Terengganu masih selamat dimakan

KUALA TERENGGANU: Semua produk keropok termasuk keropok lekor yang dipasarkan di Terengganu masih selamat untuk dimakan, namun pengguna perlu memastikan ia dimasak sepenuhnya terlebih dahulu dan dimakan semasa masih panas.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nordiyanah, berkata pengguna tidak digalakkan memakan keropok yang sudah sejuk walaupun telah digoreng atau direbus di kedai sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak jangkitan penyakit taun.

"Keropok lekor dan keropok keping di negeri ini masih selamat untuk dimakan, tetapi bagi keropok lekor yang dibeli bungkus, sebaiknya apabila pulang ke rumah, ia hendaklah dimasak semula dan dimakan semasa ia masih panas.

"Ini kerana kita bimbang semasa proses pembungkusan ia juga terdedah dengan pencemaran terutama jangkitan kuman yang menyebabkan taun," katanya di sini, hari ini.

Pihaknya juga tidak mengeluarkan sebarang arahan melarang atau menarik balik bahan makanan kegemaran ramai itu yang telah diedarkan di pasar-pasar kerana ia bukan tidak boleh dimakan, cuma perlu dimasak semula dengan sempurna.

Beliau diminta mengulas kebimbangan sesetengah pihak untuk makan keropok terutamanya keropok lekor setelah produk itu dikenalpasti sebagai salah satu punca penularan wabak taun di negeri itu sekarang.

Persatuan Pengguna Terengganu juga dilaporkan menyarankan orang ramai tidak membeli keropok lekor atau keropok berasaskan ikan buat sementara waktu bagi mengelak jangkitan taun.

Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan penggunaan ikan yang dicemari kuman ''Vibrio Cholera'' untuk pembuatan keropok sebagai antara punca penularan wabak taun sejak beberapa minggu lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam berkata, ikan berkenaan diperoleh dari negara jiran Thailand, berkemungkinan dibawa masuk ke negeri itu melalui Kompleks Perikanan Chendering yang membekalkan ikan ke daerah Kuala Terengganu dan Marang.

Selain keropok, sampel ayam mentah yang diambil dari Pasar Borong Gong Pauh di Wakaf Mempelam dan sampel swab di dua kilang ais di negeri itu juga didapati positif mengandungi kuman berkenaan.

Berikutan itu, dua kilang berkenaan telah diarahkan ditutup selain beberapa premis lain termasuk 11 kilang ais dan kedai-kedai makan.

Dr Nordiyanah berkata, mana-mana kilang yang mematuhi syarat penyediaan makanan yang ditetapkan, masih boleh beroperasi seperti biasa.

Tanpa mendedahkan statistik terbaru jangkitan taun di Terengganu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mementingkan kebersihan terutama dalam aspek pemakanan.

"Sekali lagi kita ingin mengingatkan penduduk yang mengalami simptom penyakit taun, iaitu cirit-birit dan muntah terutama selepas makan untuk mendapatkan rawatan segera, mengamalkan kebersihan diri, tidak makan di restoran atau gerai yang diragui tahap kebersihannya dan tidak minum air yang tidak dimasak," katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak bermain air pada musim banjir bagi mengelak dijangkiti penyakit itu dan pelbagai penyakit bawaan air.

"Kita bimbang apabila banjir berlaku kerana ia mengandungi kuman setelah air berkenaan tercemar apabila ia bercampur dengan pelbagai najis," katanya. - Bernama