Followers

Tuesday, June 2, 2009

26 notifikasi H1N1 diterima sehingga 8 pagi

KUALA LUMPUR: Sebanyak 26 kes lagi dimasukkan ke wad isolasi di lima buah Hospital Rujukan Influenza A (H1N1) sehingga jam 8 pagi ini untuk tujuan penyiasatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican,berkata 16 daripadanya disahkan negatif manakala 10 kes lagi masih menunggu keputusan makmal.

"Sehingga kini, sebanyak 371 kes dimasukkan ke wad isolasi untuk penyiasatan dengan 359 disahkan negatif dan dua disahkan positif seperti yang dilaporkan pada 15 dan 16 Mei lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Dr Mohd Ismail, sebanyak 10 kontak masih dalam kuarantin dan dilaporkan sihat tanpa gejala jangkitan influenza.

Beliau berkata, enam daripadanya ialah kontak kepada kes disahkan di Singapura yang tamat tempoh kuarantin hari ini, manakala empat individu lagi adalah kontak kes di Hong Kong dengan dua daripadanya tamat tempoh kuarantin pada Khamis dan dua lagi pada Jumaat ini.

Dr Mohd Ismail berkata, laporan International Health Regulation Contact Point menyebut sehingga kini tiada kontak baru dilaporkan di kalangan warga Malaysia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sehingga hari ini, tujuh negara baru melaporkan kejadian Influenza A (H1N1) iaitu Bahamas, Bolivia, Jamaica, Venezuela, Bulgaria, Cyprus, Hungary menjadikan jumlah keseluruhan 63 negara terbabit dengan wabak itu.

Jumlah kes dicatatkan setakat ini di seluruh dunia ialah 17,582 kes dengan 115 kematian.

Dr Mohd Ismail berkata, terdapat pertambahan 448 kes berbanding hari sebelumnya dan tiada kematian baru.

"Taburan 448 kes baru ini ialah Bahamas, Bulgaria, Cyprus, Hungary, Finland, Honduras, Greek dan Ireland masing-masing dengan satu kes, Jamaica, Venezuela, Belgium, Romania, Singapura, Sweden, Turki dan Vietnam (dua), Bolivia dan Columbia (tiga), Costa Rica, Itali dan Switzerland (empat),

"Peru (lima), Tanah Besar China, Ecuador dan Guatemala (tujuh), Brazil, Perancis, Jerman dan Korea (lapan), Jepun dan Uruguay (sembilan), Israel (12), United Kingdom (15), El Salvador (16), Sepanyol (35), Argentina (63), Chile (85)dan Australia (104)," katanya. - Bernama

0 comments: