Followers

Tuesday, July 14, 2009

Sabah&Sarawak: Peniaga rayu naik taraf gerai

Tapak Pasar Tamu Kampung Jaya Baru sempit, laluan tak berturap becak

KUNAK: Peniaga dan pengguna di Pasar Tamu Kampung Jaya Baru, di sini merayu kerajaan menyediakan pusat perniagaan lebih sempurna berbanding yang sedia ada berikutan pelbagai kekurangan yang menghalang urusan jual beli barangan.

Ini kerana selain terpaksa bergelut dengan masalah becak berikutan kebanyakan laluan keluar masuk serta tapak gerai tidak berturap, peniaga terpaksa bersesak dengan peniaga lain akibat keadaan lot gerai yang sempit.

Pengguna pula terpaksa berbelanja dalam keadaan berasak-asak berikutan terpaksa melalui laluan sempit antara gerai, sekali gus menyebabkan mereka tidak selesa untuk membeli barangan.

Tinjauan Berita Harian di pasar berkenaan di sini semalam mendapati kebanyakan peniaga memohon kerajaan menaik taraf kemudahan di tapak itu seperti menurap tapak gerai dan menyediakan lot gerai yang lebih luas.

Pengerusi Syarikat Pemborong Enterprise, Araham Kaihong, 75, yang bertanggungjawab mengutip yuran perniagaan dan memelihara kepentingan peniaga, berkata ada 350 peniaga yang menjadikan pasar berkenaan sebagai sumber perolehan utama pada setiap Ahad.

"Peniaga kuih dan sayur membayar yuran RM1.50 manakala peniaga ikan dan pakaian membayar RM5. Yuran ini disalurkan kepada Majlis Daerah Kunak (MDK). Bagaimanapun, peniaga dan pengguna sering merungut kerana terpaksa melalui kawasan berlopak dan bersesak-sesak dalam kawasan sempit.

"Kami merayu kerajaan menyediakan kawasan perniagaan lebih selesa bagi kepentingan peniaga dan pengguna," katanya.

Seorang peniaga, Assan Salleh, 77, berkata pengguna berhadapan bahaya dilanggar kenderaan yang keluar masuk ke Kampung Jaya Baru tetapi mereka tidak mempunyai pilihan lain.

"Jalan itu sempit. Penduduk kampung terpaksa menggunakannya untuk keluar masuk kampung. Pengguna juga terpaksa menggunakan laluan yang sama. Keadaan ini harus diatasi," katanya.

Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Halid Haron, berkata pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada MDK supaya menaik taraf tapak perniagaan berkenaan bukan setakat untuk kepentingan peniaga dan pengguna, malah meningkatkan imej pekan ini.

"Kami mencadangkan kerajaan membina kawasan perniagaan berbumbung dan menurap kawasan tapak gerai. Walaupun memerlukan peruntukan agak besar, ia penting untuk meningkatkan fungsi pekan ini sebagai pusat perniagaan penduduk," katanya.

Beliau berkata, jika kawasan itu dinaik taraf, Pejabat PKR akan mencadangkan supaya lot gerai sedia ada disusun semula berbanding yang sedia ada.

Sabah&Sarawak: Majlis makan malam Persatuan Thalasemia Sabah kumpul RM10,000

KOTA KINABALU: Sebanyak RM10,000 disumbangkan kepada Persatuan Thalasemia Sabah (PTS) pada majlis makan malam bagi membantu pesakit berkenaan, di sini malam kelmarin.

Majlis anjuran Kelab Keluarga Infra (KKI), Kementerian Pembangunan Infrastruktur negeri itu bertujuan membolehkan PTS melipatgandakan usaha menarik pembabitan lebih ramai anggota masyarakat bagi membantu pesakit thalasemia.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Japlin Akim, berkata majlis berkenaan penting bagi meningkatkan kefahaman anggota masyarakat mengenai penyakit itu.

"Majlis makan malam amal ini mampu meningkatkan kesedaran ahli KKI mengenai penyakit thalasemia dan ia harus dikongsi dengan anggota keluarga dan rakan," katanya.

"Saya terharu atas usaha gigih jawatankuasa penganjur yang diterajui oleh Presidennya yang juga Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Pangeran Hassanel Pangeran Mohd Tahir dalam membantu pesakit thalasemia," katanya ketika merasmikan majlis itu di Sutera Harbour, di sini.

Turut hadir, Pangeran Hassanel; Yang Dipertua PTS, Abdul Rahim Kahar dan Pengarah Jabatan Pediatrik Hospital Queen Elizabeth (QEH), Dr Soo Thian Lian.

Seramai 30 kanak-kanak yang menghidap thalasemia terhibur dengan pelbagai persembahan nyanyian artis terkenal dan pertunjukan silap mata.

Japlin berkata, kegiatan berkenaan wajar dipupuk menjadi budaya anggota masyarakat kerana ia membantu meringankan beban kerajaan untuk membantu pesakit terbabit.

Beliau turut memuji usaha ahli KKI mengunjungi pesakit thalasemia di QEH dan Hospital Likas baru-baru ini kerana ia amat bermakna untuk pesakit terbabit

Japlin turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menghulurkan derma kepada persatuan berkenaan dan berharap lebih banyak syarikat swasta menghulurkan bantuan.