Followers

Sunday, March 7, 2010

Swasta digesa beri sumbangan kepada Tabung Warisan Negara

GEORGETOWN: Syarikat swasta digesa memberi sumbangan untuk mengisi dana Tabung Warisan Negara, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, walaupun kementerian itu menokok dana dalam tabung berkenaan, namun ia memerlukan sumbangan swasta untuk pembiayaian pelbagai projek pemuliharaan dan pemeliharaan warisan negara.

"Kita bercadang untuk memberikan pelepasan cukai kepada mana-mana syarikat yang memberi sumbangan melebihi RM5,000 kepada tabung itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan Rumah Teh Bunga di Jalan Hutton di sini hari ini.

Rais berkata, kerajaan juga sedang meneliti bentuk insentif kepada mana-mana syarikat pemaju perumahan yang memulihara bangunan warisan di kawasan atau sekitar tapak projek mereka.

Katanya, menerusi sumbangan syarikat swasta, kerajaan yakin lebih banyak projek pemuliharaan bangunan warisan dapat dilaksanakan.

Beliau berkata, kerajaan mengambil langkah serius untuk memelihara warisan negara kerana ia adalah lambang sejarah di negara ini.

"Salah satu masalah negara membangunan ialah keseimbangan antara warisan dan kemajuan dan Malaysia adalah sebuah negara yang mementingkan keseimbangan itu," katanya.

Beliau berkata, bagi Pulau Pinang, kerajaan telah melaksanakan 10 projek pemuliharaan warisan termasuk Rumah Teh Bunga itu.

Rais juga berkata, kementerian sedang mengkaji untuk mewujudkan biasiswa atau dermasiswa pendidikan bagi penyelidikan warisan negara ini seperti asal-usul bangsa dan pensejarahan serta cara orang Islam mendapat perlindungan daripada Sultan Kedah, yang masih boleh dibuat penyelidikan secara akademik.

Katanya pengiktirafan penyelidikan dan kerja-kerja pemuliharaan warisan tidak menjadi masalah di negara ini kerana Malaysia telah mendapat pengiktirafan Unesco sebagai negara yang memulihara warisan.

Katanya, sehubungan itu kerja-kerja pemuliharaan dan pemeliharaan warisan tidak harus dipolitik oleh mana-mana pihak.

"Kerja-kerja warisan tidak harus dipolitik dan orang politik juga tidak perlu campur tangan, biarlah golongan profesional dalam bidang itu menjalankan kerja mereka," katanya.

Beliau berkata, projek pemuliharaan warisan sebenarnya memberi kesan langsung terhadap industri pelancongan.

Mengenai permohonan kerajaan negeri ini bagi dana pemulihraan George Town sebagai tapak warisan dunia, Rais berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng boleh memohon bantuan dana khas daripada Khazanah Negara.

Katanya, kerajaan pusat juga akan meneliti bentuk kerjasama yang boleh diberikan kepada kerajaan negeri ini bagi memastikan pengiktirafan Unesco terhadap Bandaraya Georgetown sebagai tapak warisan dunia dapat dikekalkan.

Lim baru-baru ini dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri masih menunggu bantuan dana lebih RM20 juta daripada kementeria itu bagi menjalankan kerja-kerja pemuliharaan seperti yang disyaratkan oleh Unesco. - Bernama

Angka korban ribut salji China cecah 30

BEIJING: Agensi Berita Xinhua melaporkan angka korban akibat cuaca beku dan ribut salji di wilayah barat Xinjiang sejak Disember lalu meningkat kepada 30 orang.

Menurutnya, ribut salji terburuk dalam tempoh enam dekad itu turut menjejaskan 1.88 penduduk.

Ia turut melaporkan Timbalan Pengerusi wilayah itu, Qian Zhi, sebagai berkata kerugian ekonomi pula mungkin setinggi 2.66 bilion yuan (AS$390 juta).

Qian juga memberi amaran mengenai kemungkinan banjir apabila salji berkenaan cair pada musim bunga. - AP

Majlis rai pelajar Malaysia di Melbourne diganggu hujan batu

MELBOURNE: Hujan batu sebesar bola golf semalam mengganggu majlis barbeku yang dirancang bagi meraikan pelajar Malaysia yang baru tiba di Melbourne bagi memulakan pengajian mereka.

Ia menyelubungi Melbourne seperti salji berikutan ribut petir melanda bandar raya ini sehingga menyebabkan banyak acara termasuk sukan terpaksa dibatalkan.

Barbeku itu anjuran bersama Majlis Pelajar Malaysia Australia, Kelab Umno Australia Melbourne, Persatuan Pelajar Malaysia Caulfield, Persatuan Pelajar Malaysia Universiti LaTrobe, Persatuan Victoria Petronas dan skolar Sime Darby Australia, dibatalkan sebaik sahaja hujan batu melanda.

"Cuaca buruk menyebabkan pelajar lari lintang-pukang mencari perlindungan di tengah-tengah hujan batu yang menimpa. Kami semua turut basah kuyup," kata Presiden Kelab Umno Melbourne, Haerris Riani.

Beliau berkata, majlis barbeku tersebut adalah acara tahunan yang dihadiri kira-kira 500 pelajar dari pelbagai universiti di Negeri Victoria untuk beramah mesra sesama mereka. - Bernama