Followers

Monday, February 22, 2010

Gempa lemah di Keningau, Sabah

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi lemah pada 3.0 skala Richter berlaku di Keningau, Sabah pada jam 12.46 tengah hari tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan, berkata gempa itu berpusat di garisan lintang 5.1 Utara dan garisan bujur 116.14 Timur iaitu 31km dari barat daya Keningau dan 100km dari selatan Kota Kinabalu.

"Gegaran kecil mungkin dirasai di kawasan sekitar," kata kenyataan itu di sini.

Tiada kecederaan akibat letupan besar di loji Petronas Labuan

LABUAN: Satu letupan besar berlaku di cerowong pembuangan gas terkawal (S1001 Flare Tip) Petronas Methanol Labuan (PML) hari ini, memaksa operasi di tapak loji minyak bernilai RM511 juta itu dihentikan.

Seramai 82 pekerja kontrak dan 46 petugas Petronas Methanol Labuan sedang bekerja di situ ketika letupan berlaku jam 11.37 pagi tadi, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Duah jentera bomba masing-masing dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan dan unit bomba penyelamat PML dikerah mengawal kebakaran akibat letupan tersebut, dan berjaya mengawal keadaan 30 minit kemudian.

Bercakap kepada satu sidang akhbar, Ketua Produksi PML, Mohd Kamis Abdul Manap, berkata siasatan terperinci akan dibuat bagi mengenal pasti punca letupan.

"Kita akan buat siasatan menyeluruh sebelum kerja-kerja dapat diteruskan di tapak loji ini.

"Ini adalah kejadian pertama berlaku di cerowong pembuangan gas asli terkawal ini. Kita akan mengenal pasti sama ada wujudnya kepincangan dalam aspek keselamatan," katanya.

Petronas Methanol Labuan memiliki loji methanol yang dibina pada 1984 dan mampu menghasilkan 60,000 methanol setahun.

Pelanggan terbesar PML adalah loji propilena Methyl Tertiary Butyl Ether (MTBE) di Kuantan, Pahang dengan keperluan tahunan sebanyak 110,000 tan.

Pasaran lain termasuklah Jepun, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Korea, Taiwan dan China.

Pada 2007, dua pekerja sub-kontrak Petronas parah terbakar dalam satu letupan ketika melaksanakan kerja pengimpalan di plant PML di Rancha-Rancha. - Bernama

Iran rancang bina 2 loji uranium baru

TEHRAN: Iran merancang membangunkan dua loji memperkayakan uranium baru bermula Mac, iaitu lokasinya adalah di kawasan pergunungan bagi mengelakkan daripada serangan udara.

Pengumuman yang dibuat ketua atomik Iran, Ali Akbar Salehi, hanya selepas Jeneral tertinggi Amerika Syarikat (AS), Dabid Petraeus, memberi amaran bahawa Washington akan meneruskan ‘serangan tekanan’ terhadap Iran bagi menghalang program nuklear negara itu.

“InsyALLAH, dalam tahun Iran selepas ini (bermula Mac) seperti diarahkan presiden (Mahmoud Ahmadinejad), kami akan mula membina dua tapak memperkayakan uranium,” katanya kepada agensi berita Isna.

Beliau berkata, kapasitinya sama dengan kemudahan sedia ada di tengah-tengah ibu kota Natanz, di mana kerja-kerja yang sama dilakukan walaupun tiga kali menerima sekatan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - AFP

Pelajar sekolah wajib sertai sukan mulai tahun depan

BANDAR JENGKA: Kementerian Pelajaran akan mewajibkan setiap pelajar sekolah menyertai aekurang-kurangnya satu jenis sukan mulai tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata setiap penyertaan pelajar dalam sukan akan diberi mata kredit.

Katanya cadangan itu bertujuan mengembalikan kecermerlangan sukan di sekolah.