Followers

Wednesday, April 7, 2010

Malaysia dijangka terima pelaburan RM2.3 bilion dari Perancis

PARIS: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia dijangka menerima pelaburan RM2.3 bilion dalam tempoh dua hingga empat tahun yang akan datang dari pelabur Perancis, terutamanya dalam bidang aeroangkasa.

Katanya, minat pelabur Perancis untuk melabur di Malaysia jelas kelihatan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan peneraju industri Perancis, yang dihadiri oleh 20 wakil 16 syarikat di sini.

"Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) akan menguruskan syarikat-syarikat Perancis ini untuk datang ke Malaysia dan memperkenalkan bakal usahawan kita yang berminat untuk bekerja sama dengan mereka," katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasminya ke sini, hari ini.
Beliau berada di sini bagi menghadiri mesyuarat dua hari Lembaga Eksekutif Unesco ke-184 di ibu pejabat Unesco di sini.

Antara bidang yang diwakili di dalam kumpulan pelabur Perancis itu termasuk industri aeroangkasa, teknologi komunikasi dan maklumat, elektronik dan bioteknologi, automotif, kejuruteraan, perhotelan, pertahanan serta badan perniagaan swasta.

Katanya, sebuah syarikat turut menawarkan kepakaran mengenai persijilan produk makanan halal dan pengenalan forensik DNA.

Syarikat berkenaan dijangka menubuhkan satu makmal di Malaysia dengan pelaburan awal antara 500,000 euro dan sejuta euro bagi mengenal pasti kandungan halal, khasnya untuk produk makanan.
Berdasarkan perbincangan dengan peneraju industri Perancis, Muhyiddin berkata, sebahagian besar daripada mereka sudah memahami dasar kerajaan, yang termasuk tawaran insentif yang disifatkan mereka amat menarik.

Beliau berkata, minat pelabur Perancis terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan memang satu perkembangan yang menggalakkan kerana mereka mengikuti perkembangan yang berlaku, seperti model ekonomi baru, menerusi Majlis Perniagaan Malaysia-France.

Pada masa kini katanya, jumlah pelaburan Perancis belum begitu besar kerana selama ini orang Perancis belum melihat Malaysia sebagai satu destinasi dari segi latar belakang sejarah dan bahasa.

"Jadi kita perlu ada interaksi yang rapat," katanya.

Sehingga kini, hanya 18 daripada lebih 2,600 syarikat serantau yang beroperasi di Malaysia datang dari Perancis.

Dari segi perdagangan dua hala, Perancis adalah rakan dagangan ke-empat terbesar Malaysia di dalam Kesatuan Eropah (EU), dengan dagangan keseluruhan dengan Perancis berjumlah AS$3.55 bilion dengan eksport berjumlah AS$1.55 bilion berbanding dengan import AS$2 bilion pada tahun lalu. - Bernama

NGO sambut baik pengharaman jualan rokok 14 batang

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan untuk menguatkuasakan pengharaman penjualan rokok 14 batang berkuat kuasa 1 Jun depan.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohamed Sha''ani Abdullah, berkata pihaknya sangat menyokong langkah kerajaan terutamanya bagi membasmi gejala merokok di kalangan perokok baru.

"Kita menyokong cadangan yang bakal dilaksanakan ini terutamanya kepada perokok baru. Tambahan perkara ini pernah ditimbulkan oleh FOMCA pada 2007 namun pihak industri tidak bersedia kerana mereka mendakwa masih mempunyai stok yang banyak," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata dengan perlaksanaan peraturan ini, pihaknya berharap ia salah satu strategi dalam mengurangkan gejala merokok di kalangan remaja.

"Kami melihat cadangan ini adalah salah satu langkah awal kerajaan dalam membendung peningkatan jumlah perokok di negara ini terutamanya di kalangan remaja itu sendiri," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd Yusoff Abdul Rahman, berkata pihaknya amat mengalu-alukan hasrat kerajaan dalam mengurangkan tabiat merokok di kalangan rakyat negara ini.

"Sebelum ini, kerajaan hanya menguatkuasakan harga minimum 20 batang rokok dan bagi harga minimum 14 batang rokok, ia belum dilaksanakan lagi," katanya.
Mohd Yusoff berharap dengan pengharaman penjualan rokok 14 batang, ia mampu mengurangkan tabiat merokok di kalangan remaja terutamanya pelajar sekolah.

Beliau berkata pihaknya turut berharap agar kerajaan dapat mengetatkan penguatkuasaan larangan merokok terutamanya di kalangan pelajar sekolah.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia,Datuk Paduka Nadzim Johan pula berkata pihaknya menyokong penuh usaha yang dilakukan kerajaan dalam mengurangkan jumlah perokok baru di negara ini.

"Lagi cepat, lagi bagus supaya perkara ini tidak merebak seperti penyakit berjangkit," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mengetatkan lagi penguatkuasaan terutama dari segi pengiklanan bagi mengurangkan penjualan rokok kepada remaja. - Bernama

Nissan panggil semula 25,000 kereta di Jepun kerana masalah pedal gas

TOKYO: Nissan akan memanggil semula lebih 25,000 kenderaannya di Jepun berikutan masalah pada sistem pedal gas.

Nissan dalam satu kenyataannya, berkata ia membabitkan 25,024 kenderaan yang kini berada di jalan raya di Jepun, selain 540,000 kenderaan di seluruh dunia yang sebahagian besar di Amerika Syarikat yang dipanggil balik berikutan masalah sistem brek dan suntikan minyak.

Jurucakap Nissan, Mitsuru Yonekawa berkata, syarikat itu memutuskan terdapat risiko kepada pengguna kenderaan berikutan masalah pada pedal minyak.

“Semua kenderaan yang dipanggil semula itu berdepan masalah apabila kenderaan berhenti meskipun pedal gas belum dilepaskan sepenuhnya," katanya.

Langkah memanggil balik kenderaan itu membabitkan lima model kereta iaitu — Cefiro, Bluebird, Sunny, Primera dan Tino — yang dikeluarkan antara Ogos 1998 dan Ogos 2002 dan hanya membabitkan pasaran kenderaan di Jepun

Pelumba basikal negara, Norfarahdini maut ketika berlatih

IPOH: Pelumba basikal wanita kebangsaan, Norfarahdini Zakaria, meninggal dunia selepas terjatuh semasa menjalani latihan bersama skuad lumba basikal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lambor Kiri dekat Seri Iskandar, 60 kilometer dari sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Fakri Che Sulaiman, berkata Norfarahdini meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dua jam selepas kejadian pada 10.20 pagi tadi.

Norfarahdini, 27, berpangkat Laskar Kelas Satu dan belum berkahwin, adalah anggota pasukan lumba basikal wanita kebangsaan yang menyertai Sukan Sea di Laos tahun lalu bersama Masziyaton Mohd Radzi, Nurul Ahmar Badeuzzaman dan Kimberley Yap.
\
Jurulatihnya, Mohd Salmiza Salleh berkata Norfarahdini bersama lima pelumba lain, semuanya lelaki, berlepas dari Pangkalan TLDM Lumut pada 7.30 pagi tadi untuk menjalani latihan menjelang kejohanan lumba basikal Jelajah Malaysia 2010 yang dijadual bermula 27 April ini.

"Nahas berlaku apabila seorang pelumba yang berada di hadapan Norfarahdini terjatuh dan dia tidak sempat mengelak dan turut terbabas," katanya.

Norfarahdini dirawat di sebuah klinik berhampiran sebelum dimasukkan ke Hospital Changkat Melintang.

Norfarahdini yang koma kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh tetapi meninggal dunia pada 12.30 tengah hari.
Mohd Salmiza berkata, jenazah Norfarahdini akan dibawa ke kampungnya di Pasir Mas, Kelantan, malam ini.

Pengerusi Lumba Basikal TLDM, Komander Ismail Osman, berkata Norfarahdini dipercayai mengalami kecederaan dalaman.

"Tiada sebarang luka di bahagian luar. Ketika jatuh juga topi keselamatan tidak terbuka daripada kepalanya...mungkin kecederaaan di bahagian dalaman," katanya.

Turut melawat jenazah Norfarahdini ialah bekas presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Tan Sri Darshan Singh, yang menyifatkan pemergian Norfarahdini sebagai satu kehilangan besar kepada sukan lumba basikal negara. - Bernam

Gema kuat 7/8 magnitud landa Indonesia, Thailand

JAKARTA: Gempa kuat berukuran 7.8 magnitud melanda utara Sumatera, Indonesia, awal pagi tadi menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan negara terdekat, Thailand.

Gempa berlaku di kedalaman 46 kilometer (km) di utara Sumatera jam 5.15 pagi waktu tempatan (2215 GMT), lapor Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Starikat. Pihak berkuasa Thailand kemudian memberi amaran kepada penduduk di sekitar pantai supaya mencari tempat selamat.

Pusat Amaran Bencana Kebangsaan berkata, risiko kemungkinan tsunami berlaku adalah tinggi dari perairan Andaman. - AFP