Followers

Monday, April 5, 2010

Buat pemeriksaan, pakai topeng bagi cegah H1N1: Liow

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mahu masyarakat mengambil langkah pencegahan influenza A(H1N1), termasuk membuat pemeriksaan dan memakai topeng muka di tempat awam.

16,240 kakitangan bukan eksekutif Telekom diberi bonus 1.7 bulan

KOTA KINABALU: Telekom Malaysia Berhad (TM) mengumumkan bonus 1.7 bulan gaji kepada 16,240 kakitangan bukan eksekutif syarikat itu dan pembayaran dibuat menerusi gaji bulan ini.
Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TM, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa, pada sidang akhbar di sini, sebentar tadi.

Penjualan rokok 14 batang akan diharamkan

KUALA LUMPUR: Penjualan rokok 14 batang akan diharamkan bagi mengehadkan kebolehcapaian awam terhadap rokok terutamanya di kalangan remaja, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kerajaan hanya akan membenarkan penjualan rokok 20 batang yang lebih mahal harganya selain memperluaskan kawasan larangan merokok di seluruh negara.

"Kita baru perkenalkan harga minimum pada Januari. Kita akan lihat kesan terlebih dulu dan kaji langkah-langkah lain termasuk untuk adakan lebih banyak kawasan larangan merokok," katanya ketika menjawab soalan Dr Mohd Hatta Ramli (Pas-Kuala Krai) di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Dr Mohd Hatta ingin tahu adakah kerajaan bersedia menaikkan harga lantai rokok untuk menghalang golongan muda daripada memulakan tabiat merokok.

Liow berkata, kementerian akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain terutamanya Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk membanteras penyeludupan rokok yang berleluasa sejak akhir-akhir ini.

Terdahulu, menjawab soalan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) berhubung cadangan menetapkan harga siling bagi rokok, Liow berkata, tiada keperluan bagi cadangan itu dilaksanakan kerana harga rokok pada masa ini cukup tinggi.

Dalam soalan berbeza, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menafikan wujudnya ketidakseragaman pengagihan jawatan kepada pekerja berketurunan India di jabatan-jabatan kerajaan.
Katanya, bagi perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 3,591 atau 3.5 peratus daripada 103,051 pegawai adalah daripada kaum India, dan 37 daripada jumlah itu adalah pegawai kanan.

"Di Jabatan Perpaduan, terdapat 35 pegawai kaum India daripada 868 pegawai (enam daripadanya adalah pegawai kanan di peringkat pengurusan dan profesional), manakala di Jabatan Penerangan, terdapat 74 pegawai daripada jumlah keseluruhan 2,422 orang (lima pegawai pengurusan dan profesional)," katanya.

Liew berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) yang bertanyakan tentang kedudukan kaum India di jabatan-jabatan kerajaan termasuk yang memegang jawatan pegawai tinggi. - Bernama

Bacaan gempa di Mexico ditingkatkan kepada 7.2 magnitud

LOS ANGELES: Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) meningkatkan bacaan kekuatan gempa bumi yang melanda sempadan Mexico-Amerika Syarikat, awal hari ini daripada 6.9 magnitud kepada 7.2 magnitud.

USGS berkata, gempa yang berlaku jam 6.40 pagi tadi (waktu Malaysia) atau 3.40 petang waktu tempatan di kedalaman 32.3 kilometer (km) dan berpusat di 26km di barat Guadalupe Victoria, di Baja California dan di 64km di barat daya San Luis, di Arizona, Amerika Syarikat.

Awal hari ini, USGS melaporkan gempa berkenaan berkekuatan 6.9 magnitud tetapi kemudian meningkatkan bacaan itu.

Sementara itu, Jabatan Bomba Los Angeles berkata, setakat ini hanya beberapa kerosakan kecil dan kecederaan dilaporkan berlaku akibat gegaran kuat itu.

Gegaran itu dilaporkan mengoncangkan beberapa bangunan tinggi di Los Angeles dan San Diego di barat California, selain di Arizona, lapor akhbar The Los Angeles Times.

Akhbar itu juga melaporkan, operasi di taman tema terkenal Disneyland di Anaheim ditutup buat sementara.

Stesen televisyen KABC melaporka, di Los Angeles beberapa bangunan pencakar langit termasuk di San Diego bergoncang.

Di Arizona, pengurus sebuah pusat beli-belah, Karla Favela berkata ketika gegaran beberapa barang di rak jatuh satu demi satu,

“Di fikiran saya ketika itu ialah filem "2012" seperti di depan mata saya. Selang beberapa saat, pusat beli-belah ini sudah terbahagi dua," katanya.

Di Mexico, Institut Seismologikal Mexico berkata, pihaknya belum lagi mendapat sebarang maklumat awal mengenai kerosakan dan mangsa yang cedera. - AFP

Gempa kuat 6.9 magnitud gegar barat daya Mexico

LOS ANGELES: Gempa kuat berukuran 6.9 magnitud menggegarkan Baja California di barat daya Mexico awal pagi ini, lapor Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Gempa berlaku kira-kira jam 6.40 pagi tadi atau 3.40 petang waktu tempatan di kedalaman 32.3 kilometer (km) dan berpusat di 26km di barat Guadalupe Victoria, di Baja California dan di 64km di barat daya San Luis, di Arizona, Amerika Syarikat.

Gegaran kuat itu turut mengoncangkan banyak bangunan di Los Angeles dan San Diego selatan California, selain di Arizona, lapor akhbar The Los Angeles Times.

Stesen televisyen KABC di Los Angeles, melaporkan banyak bangunan pencakar langit di bandar raya itu dan di San Diego bergegar ketika kejadian itu.

USSG melaporkan gegaran itu turut dirasai penduduk sejauh sehingga Las Vegas, Nevada, kira-kira 460km dari pusat gegaran dan di Los Angeles, kira-kira 360km dan di Phoenix, Arizona (300km). - AFP