Followers

Saturday, December 4, 2010

3 ditahan selepas terima wang tebusan

KUALA LUMPUR: Tiga orang, termasuk seorang wanita, ditahan di kawasan Rawang, dekat sini selepas menerima wang tebusan berjumlah RM30,000 bagi membebaskan seorang pelajar kolej swasta yang diculik sejak tiga hari lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah, berkata penahanan itu dibuat selepas keluarga pelajar perempuan itu menyerahkan wang tebusan di kawasan Bukit Bintang hari ini.
Pelajar berusia 22 tahun itu diculik dua lelaki yang menaiki kereta di hadapan rumahnya di Selayang Baru pada jam 5.45 pagi Rabu lalu ketika menunggu rakannya untuk ke kolej di Petaling Jaya.
"Keluarga menyedari kehilangannya apabila suspek menghubungi mereka (keluarga) beberapa jam selepas kejadian untuk meminta wang tebusan berjumlah RM30,000," katanya.

Beliau berkata, keluarga mangsa yang bimbang dengan keselamatan pelajar berkenaan, membuat laporan polis mengenai kejadian dan panggilan ugutan itu.

"Selepas itu, polis telah merancang dengan keluarga mangsa untuk menetapkan tempat dan waktu untuk menyerahkan wang itu," katanya.

Abdul Rahim berkata, selepas keluarga menyerah wang tebusan dan mangsa dibebaskan, polis mengekori tiga suspek itu dengan seorang suspek lelaki menunggang motosikal manakala dua lagi suspek termasuk seorang wanita menaiki Toyota Avanza.
Beliau berkata, polis menahan suspek yang menunggang motosikal di lampu isyarat Tesco Rawang dan dua suspek lagi ditahan kira-kira 500 meter dari Tesco menghala ke arah Rawang pada kira-kira 3.05 pagi dan merampas wang tebusan itu dari dalam kereta.

"Semua suspek berumur lingkungan 20-an itu masing-masing adalah pekerja kilang, petugas di pejabat peguam dan penganggur," katanya.

Mereka ditahan reman bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup. - BERNAMA

Pembangunan negara untuk dinikmati semua golongan: Najib

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan semua agenda pembangunan negara dapat dinikmati oleh setiap golongan masyarakat, termasuk orang kelainan upaya (OKU), kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, agenda itu yang berpaksikan prinsip keadilan sosial dan inklusif, dapat memastikan wujudnya sebuah masyarakat yang adil, saksama dan seimbang di negara ini.
"Kesejahteraan negara bukanlah hak yang dimiliki oleh sebahagian sahaja rakyat negara ini, sebaliknya semua golongan dalam masyarakat tidak kira sama ada berupaya penuh, kurang upaya ataupun mempunyai kelainan upaya, semuanya mestilah terus dibela oleh kerajaan di bawah konsep keadilan sosial," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Jualan Produk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Peringkat Kebangsaan di Stadium Titiwangsa, Taman Tasik Tititwangsa di sini hari ini.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Najib berkata, untuk itu, kerajaan perlu membangunkan sistem di mana keupayaan dan potensi setiap rakyat negara ini, terutamanya golongan OKU dapat dibangunkan ke tahap tertinggi.

Menyedari keupayaan golongan OKU, beliau berkata kerajaan telahpun menetapkan satu peratus daripada anggota penjawat awam perlu terdiri daripada golongan berkenaan.
"Meskipun sasaran itu belum tercapai namun kerajaan komited dan akan terus berusaha ke arah mengisi matlamat itu," katanya.

Najib berkata, usaha membantu OKU bukanlah perjuangan kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pihak swasta untuk tampil menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka.

"Saya harap mereka dapat turut memberi peluang pada OKU sebab golongan ini tidak mahu kita meluahkan perasaan simpati kepada mereka sepanjang masa, sebaliknya yang mereka mahu ialah peluang untuk berdikari dan peluang untuk menunjukkan mereka mampu menyumbang kepada masyarakat," katanya.

Perdana Menteri berkata, usaha untuk membangunkan golongan OKU merupakan sebahagian daripada prinsip tonggak gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, serta termaktub dalam Pelan Transformasi Ekonomi (PTE) dan Modal Ekonomi Baru (MBE), dalam usaha kerajaan membangunkan negara sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.

Najib turut menasihatkan kaum ibu supaya mempelajari pengetahuan asas mengenai peranan sebagai seorang ibu, terutamanya dalam membesarkan anak-anak.

Beliau berkata, sebahagian daripada kes OKU boleh dihindari di peringkat awal sekiranya kaum ibu mempunyai kemahiran dan pengetahuan asas mengenai penjagaan bayi terutama mengelakkan anak mereka daripada demam panas yang tinggi, yang boleh menyebabkan kecacatan.

"Kalau diteliti, kebanyakan daripada anak-anak kita yang kurang upaya ini disebabkan di waktu kecilnya telah menghidap demam panas terlalu tinggi di mana emaknya mungkin tidak tahu apa yang patut dilakukan seperti meletakkan air batu atas kepalanya untuk mengurangkan suhu panas sebagai langkah segera yang patut dilakukan," katanya. - BERNAMA

2 maut, 4 cedera dalam 2 nahas berasingan di Perak

IPOH: Dua terbunuh manakala empat cedera dalam dua kemalangan berasingan di Ipoh dan Teluk Intan semalam dan awal hari ini.
Dalam kejadian di Jalan Raja Nazrin Shah, dekat Kampung Kepayang di sini, seorang wanita terbunuh manakala suaminya dan seorang lagi lelaki cedera selepas lori yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan pada 6.14 pagi.
Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, DSP Mohd Rodzi Rejab, berkata mangsa yang terbunuh ialah penumpang lori Hayati Mahat, 47, manakala suaminya Mohd Sabri Ibrahim, 54, yang memandu lori, cedera di badan dan kaki.
Pasangan suami isteri itu berasal dari Kampung Sungai Itek, Gopeng.

"Hayati yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rodzi berkata, seorang lagi pemandu lori penunda kereta, Saiful Asuwa Abdul Hamid, 27, berasal dari Simpang Pulai, turut cedera. Kedua-dua mangsa yang cedera dirawat di hospital yang sama.

Beliau berkata, nahas berlaku ketika lori yang dipandu Saiful Asuwa dalam perjalanan dari Ipoh ke Gopeng dikatakan terbabas ke kanan jalan lalu bertembung lori dipandu Mohd Sabri yang membawa muatan sayur menuju ke kawasan penjaja di Stadium Perak di sini.
Sementara itu, dalam kejadian di Teluk Intan, seorang lelaki terbunuh manakala tiga lagi cedera apabila dua buah kereta bertembung di Km 26.5 Jalan Teluk Intan-Sungai Dulang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang, berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian 10.30 malam itu ialah pemandu kereta, S Varatharajan, 49, berasal dari Sungai Sumun, Teluk Intan.

Mangsa yang bekerja sebagai pemandu bas, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.

Goh berkata, mangsa yang cedera ialah pemandu kereta yang hanya dikenali sebagai Siti Hasnah, 45, dan dua anaknya, Mohamad Zahir Lufti Suhaimi, 16 dan Siti Nurjehan Suhaimi, 14, semuanya berasal dari Sabak Bernam, Selangor.

Dalam kedua-dua nahas itu, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan. - BERNAMA

Malaysia tambah askar bertugas di Lubnan

BAGAN DATOH: Kerajaan telah mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menambah anggota Kumpulan Pendahuluan Pasukan Batalion Malaysia 2 (MALBATT 2) di Lubnan yang menjalankan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata 100 anggota akan dihantar sebagai tambahan kepada 510 anggota sedia ada.
"Penghantaran anggota tambahan akan dibuat mulai bulan depan hingga Oktober melalui proses pertukaran tugas setiap enam bulan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Berkhatan Perdana Parlimen Bagan Datoh di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pasukan itu terdiri daripada anggota Kor Kejuruteraan untuk membaik pulih dan membantu membina infrastruktur di negara berkenaan.

Beliau berkata, selain pertambahan anggota, ATM juga akan menggantikan kereta perisai Condor kepada kereta perisai jenis 6 x 6 yang lebih sesuai dengan muka bumi Lubnan.

Katanya, UNIFIL memberi kepercayaan kepada ATM kerana berpuas hati dengan prestasi yang dicapai oleh pegawai dan anggota tentera negara yang telah memperlihatkan kerjasama dengan semua pasukan negara lain yang menyertai misi itu dan masyarakat setempat.

"Sebenarnya UNIFIL meminta Malaysia meningkatkan lagi tahap penyertaannya tetapi kemampuan ATM terhad disebabkan kekangan kewangan. Kita membuat keputusan jumlah penghantaran terpaksa dihadkan," katanya.
Beliau berkata, penyertaan negara selaras dengan komitmen yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya ATM bertugas di luar negara bagi menambah pengalaman selain memberi sumbangan kepada negara-negara yang mengalami pergolakan. - BERNAMA

ISA wajar diguna terhadap pengkritik Ketuanan Melayu: Peguam

KUALA LUMPUR: Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun, menyarankan agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diguna pakai dalam isu berhubung kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengenai "Ketuanan Melayu" semasa Kongres Nasional PKR Sabtu lalu.
Beliau berkata, kenyataan itu sekali lagi mencabar kedudukan dan hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan apa yang dikatakan oleh Dr Wan Azizah bahawa ketuanan Melayu harus "dibakulsampahkan" adalah satu bentuk cabaran secara khusus kepada peruntukan undang-undang iaitu Perlembagaan Persekutuan dan ia bukanlah satu hak kebebasan untuk bersuara.
Katanya, oleh kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah menyatakan bahawa jangan dipersoalkan hak keistimewaan Melayu dan ia disambut pemimpin daripada badan politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga pakar perundangan, beliau menyarankan supaya ISA diguna pakai dalam menangani isu itu.
"ISA perlu dilakukan terhadap pemain utama dalam PKR, DAP ataupun PAS yang masih lagi terus mempersoalkan kedudukan dan hak istimewa orang Melayu kerana terbukti mereka cuba mewujudkan kebencian terhadap orang Melayu disebabkan hak-hak istimewa ini," katanya dalam wawancara dengan UMNO-online.com.

Beliau berkata, apabila kenyataan ketuanan Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan apa juga yang berkaitan dengan Artikel 153 dan lain-lain perkara dikatakan dengan begitu terbuka, apatah lagi dalam satu kongres yang turut dihadiri bukan Melayu, ia bukan lagi berbentuk cabaran tetapi lebih kepada memperlekehkan kedudukan, status hak orang Melayu dan Majlis Raja-raja Melayu.

"Artikel 153 adalah sesuatu yang terpahat kemas dan tersimpul mati atau dalam bahasa undang-undangnya berbentuk 'entrenched' yang mana ia adalah satu perkara yang bukan hanya tidak boleh dipinda tetapi juga adalah terlarang untuk diperkatakan," katanya.

Mohd Hafarizam berkata, beliau menyokong penuh cadangan agar tindakan undang-undang diambil terhadap Dr Wan Azizah berikutan kenyataan itu.
"Bagi saya, kini sudah sampai masanya untuk pihak berkuasa mengambil tindakan dan orang Melayu bangkit mempertahankan hak mereka sama ada orang perseorangan, badan bukan kerajaan atau orang Melayu dari mana-mana parti politik pun," katanya.

Mohd Hafarizam berkata, terdapat empat perkara yang boleh dimasukkan dalam laporan polis berhubung kenyataan Dr Wan Azizah berkaitan ketuanan Melayu.

Perkara pertama ialah berbentuk hasutan selaras dengan Akta Hasutan 1948, Seksyen 3 yang menyatakan satu bentuk hasutan iaitu yang mempersoalkan tentang hak, status, kedudukan, keistimewaan seperti yang termaktub dalam bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Artikel 152, 153 atau 181.

Artikel 152 ialah berkenaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan manakala Artikel 153 khusus kepada hak keistimewaan orang Melayu iaitu kedudukannya daripada segi permit, biasiswa dan sebagainya dan Perkara 181 pula berkaitan dengan kedudukan Raja-Raja Melayu.

"Maka, dengan ini satu laporan polis dengan mengatakan bahawasanya satu kenyataan berbentuk hasutan telahpun dilakukan iaitu di bawah seksyen 3 (1) (f) dan boleh dihukum sekiranya disabitkan hukuman mengikut seksyen 4 pada Akta Hasutan 1948," katanya.

Mohd Hafarizam berkata, perkara kedua yang boleh didakwa ke atas Dr Wan Azizah ialah kenyataannya bahawa ini bukanlah berbentuk kebebasan bersuara seperti mana termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, kerana artikel ini ada kekangan atau sekatannya, melainkan ada undang-undang lain yang mengecilkan skop Artikel 10 iaitu walaupun ada hak untuk bersuara tetapi termaktub dalam Akta Hasutan 1948.

Perkara ketiga yang perlu diketengahkan dalam laporan polis ialah dengan mengatakan bahawa PKR telah secara zahir bersekongkol bersama dengan merelakan perbuatan oleh orang yang tidak lain tetapi presidennya.

"Untuk itu, perlu juga satu laporan dibuat bersekali atau dalam laporan yang sama kepada Pendaftar Pertubuhan bagi melihat kedudukan PKR kerana telah nyata bahawa mereka memupuk semangat kebencian, prasangka antara kaum dan perlu diambil tindakan yang mana salah satu tindakannya ialah dibatalkan pendaftaran PKR ini," katanya.

Beliau turut menggesa Pendaftar Pertubuhan selaku pihak yang dipertanggungjawabkan mengawal selia pertubuhan politik dan bukan politik melihat dengan teliti kuasa yang ada padanya agar PKR diambil tindakan.

"Malah, UMNO sendiri pernah dibatalkan pendaftarannya pada tahun 1987 dan mengapa PKR perlu mendapat keistimewaan seolah-olah mereka kebal," katanya. - BERNAMA

Kelantan sedia RM300,000 biaya 100 pasangan pengantin

JELI: Kerajaan Kelantan melalui Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri menyediakan peruntukan RM300,000 bagi membiayai 100 pasangan pengantin miskin yang ingin berkahwin di bawah Program Perkahwinan Perdana yang akan dilancarkan Sabtu depan.
Pengerusi jawatankuasa itu, Wan Ubaidah Wan Omar, berkata ia sebahagian daripada RM1.5 juta yang disediakan kerajaan negeri di bawah program itu yang diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru sebagai usaha menangani kadar perceraian yang agak tinggi di negeri ini setiap tahun.
"Bantuan itu merangkumi pembiayaan hantaran bagi pihak lelaki bernilai RM1,000, tidak termasuk sumbangan lain seperti pembiayaan majlis kenduri, persiapan tempat dan peralatan pasangan pengantin," katanya ketika ditemui di majlis Forum Keluarga Rasulullah di Masjid Mukim Jeli, di sini hari ini.
Wan Ubaidah berkata, antara pengisian program itu ialah siri ceramah, majlis ilmu dan motivasi yang berasaskan pendidikan kekeluargaan bahagia atau "mawaddah" yang bertujuan mewujudkan institusi keluarga yang bahagia hingga ke akhir hayat.

Tanpa menyebut jumlah sebenar pasangan umat Islam yang terbabit dalam kes perceraian di negeri ini, beliau berkata Kelantan menduduki tangga ke lima atau ke enam berbanding negeri lain.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata urusetia jawatankuasa itu juga sedang menyiapkan kertas kaji selidik atau senarai semakan bagi mengenal pasti masalah dan punca keruntuhan rumah tangga.

"Kertas kaji selidik atau senarai semak ini lebih kepada berasaskan konsep muhasabah diri di kalangan keluarga di seluruh negeri bagi mencari jalan penyelasaian untuk mengatasi masalah setiap keluarga," katanya. - BERNAMA

KPT diminta siasat dakwaan pelajar IPT melacur untuk biaya pengajian

KOTA KINABALU: Kementerian Pengajian Tinggi diminta segera menjalankan siasatan menyeluruh mengenai dakwaan terdapat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terpaksa "menjadi pelacur" bagi membiayai kos pengajian mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat, berkata masalah itu perlu diberi perhatian serius oleh kementerian kerana bukan sahaja menjejaskan nama baik IPT tetapi juga bagi menyelamatkan masa depan mereka terbabit.
"Kita amat berharap ada maklum balas segera daripada pihak kementerian kerana isu ini telah lama diperkatakan dan kini dibangkitkan sekali lagi.
"Isu pelajar IPT 'terpaksa' melacur ini ibarat barah yang jika tidak diubati dan diambil langkah-langkah pencegahan boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk," katanya dalam satu kenyataan d sini hari ini.

Hamisa berkata, demikian sebagai mengulas pendedahan Ketua Pergerakan Wanita
Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (UPKO), Dr Jaina Sintian, pada simposium parti itu Khamis lalu bahawa ada pelajar IPT yang terpaksa menjadi pelacur bagi membiayai kos pengajian mereka.

Jaina dipetik sebagai berkata kebanyakan mereka yang terbabit datang daripada keluarga yang bermasalah seperti berlaku perceraian ibu bapa menyebabkan mereka tidak mempunyai tempat bergantung bagi menanggung kos pengajian.
Hamisa yang juga Ketua Wanita UMNO Kalabakan berkata, masalah itu mungkin
akan menambah rantaian gejala sosial lain termasuk kes buang bayi, jangkitan HIV dan AIDS dan penagihan dadah.

"Dalam keadaan ini, semua pihak perlu berfikiran terbuka dan tidak terburu-buru membuat penafian bagi menjaga imej dan kedudukan masing-masing kerana kita tahu bahawa cabaran kehidupan sebagai seorang pelajar IPT hari ini cukup hebat.

"Mereka bukan sahaja berdepan dengan tekanan untuk menamatkan pengajian tetapi kos pengajian itu sendiri yang semakin meningkat tidak termasuk kos makan minum, tempat tinggal, pengangkutan, buku-buku, komputer dan bil internet,"
katanya.

Sehubungan itu, Hamisa berharap para pelajar IPT dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat itu. - BERNAMA