Followers

Saturday, March 6, 2010

Kementerian Pelancongan jalankan soal selidik kejayaan 1Malaysia

KOTA KINABALU: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan menjalankan soal selidik pada Oktober ini bagi mengukur tahap kejayaan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Wira Kamaruddin Siarat, berkata sebagai peneraju program gagasan 1Malaysia, kementerian perlu memainkan peranan penting bagi memastikan gagasan itu mencapai sasaran seperti yang diharapkan.

“Ini satu tugas yang berat untuk kementerian kita, apatah lagi ianya akan menentukan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Pemangkuan Gred Kenaikan Pangkat dan Surat Pengesahan Kenaikan Pangkat kepada Kumpulan Sokongan 1 perkhidmatan bukan gunasama Jabatan Penyiaran Malaysia wilayah Sabah dan Sarawak, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Kamaruddin menggesa kakitangan Jabatan Penyiaran seluruh negara yang bertindak sebagai barisan hadapan, supaya menunjukkan komitment yang tinggi untuk memberi penjelasan, kefahaman kepada rakyat tentang kebaikan konsep 1Malaysia.

"Setiap kakitangan kementerian berkenaan terutama Jabatan Penyiaran diharapkan dapat berganding bahu untuk menyebarkan konsep 1Malaysia," katanya.

Beliau turut meminta kakitangan jabatan itu supaya memahami dan mendalami lapan nilai aspirasi 1Malaysia iaitu budaya berprestasi tinggi, budaya ilmu, integrity, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan dan budaya inovasi, bagi memudahkan mereka merealisasikan misi murni kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan nasional.

Pada majlis itu seramai 37 orang menerima surat pengesahan kenaikan pangkat bagi Gred B38, J36, B22 dan J22 manakala tujuh lagi menerima surat pemangkuan kenaikan pangkat bagi Gred B38, B32 dan B22.

Kamaruddin kemudian dibawa melawat kawasan bangunan kompleks baru RTM Sabah yang kini dalam pembinaan di Kepayan, dekat sini.

- Bernama

Gempa di Chile: PBB umum bantuan segera AS$10 juta

SANTIAGO: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon yang tiba di Chile hari ini bagi menilai kerosakan yang dialami selepas bencana gempa bumi dan tsunami, menyalurkan bantuan segera AS$10 juta terhadap negara itu.

Beliau berkata, wang dari Tabung Kecemasan PBB itu akan dikeluarkan untuk membantu keperluan negara yang dilanda gempa kuat 8.8 magnitud yang kini sudah mengorbankan lebih 800 orang.

“Saya mahu melihat lebih banyak usaha dan bantuan antarabangsa untuk meringankan kesulitan rakyat Chile terutama mangsa gempa," katanya.

Ban mengadakan pertemuan dengan Presiden Chile, Michelle Bachelet untuk membincangkan langkah jangka pendek dan jangka panjang berhubung pembangunan semula negara itu. - AFP

3 lagi gempa susulan gegar Chile

TALCA (Chile): Tiga gempa susulan menggegarkan Chile, awal hari ini menyebabkan penduduk terus dihantui kebimbangan negara itu akan terus dilanda gempa kuat dan tsunami.

Gegaran pertama berkukuran 6.2 magnitud berlaku jam 6.20 pagi waktu tempatan (0920 GMT), selang enam hari selepas gempa pertama 8.8 magnitud yang kini mengorbankan 800 orang dengan lebih dua juta lagi dikhuatiri hilang tempat tinggal.

Gegaran kedua berukuran 6.8 magnitud - iaitu gegaran susulan terkuat daripada 200 gegaran sejak seminggu lalu, manakala gegaran ketiga berukuran 6.6 magnitud.

Beberapa bangunan yang rosak sebelum ini dilaporkan runtuh di Concepcion, tetapi pihak berkuasa kecemasan memberitahu setakat ini ia tidak menyebabkan kecederaan atau kerosakan serius. - AFP