Followers

Saturday, November 14, 2009

Kabinet arah kontraktor asal baiki semula bumbung stadium runtuh

KUALA TERENGGANU: Kerajaan memutuskan kontraktor asal bertanggungjawab membaiki semula dan membaik-pulih struktur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA) di Gong Badak yang runtuh, Jun lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata semua kos untuk kerja-kerja baik pulih itu dipertanggungjawabkan kepada kontraktor asal kerana stadium berkenaan masih dalam tempoh jaminan mereka.

"Kertas siasatan mengenai kejadian itu termasuk puncanya sudah dibentang dalam mesyuarat pasca-kabinet, 6 November lalu dan kabinet mengarahkan pihak kontraktor membaiki semula stadium berkenaan," katanya selepas menutup Konvensyen Hala tuju dan Wawasan Gerakan Belia 4B(M) negeri Terengganu di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas butiran mengenai kos, tempoh yang ditetapkan untuk kerja-kerja baik pulih tersebut atau bentuk bumbung sama ada menyamai rekaan asal atau sebaliknya, kerana ia terletak di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Biarlah pihak JKR yang jelaskan mengenai perkara itu, tetapi kita berharap ia dapat dimulakan secepat mungkin dan stadium itu dapat digunakan kembali dalam masa terdekat demi kepentingan perkembangan sukan di negeri ini," katanya.

Stadium berkenaan yang menelan kos hampir RM300 juta siap dibina Mei tahun lalu untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-12, runtuh di bahagian bumbung utama sebelah timur yang menempatkan tempat duduk awam dan tetamu diraja pada 2 Jun lalu.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.

Sebelum itu, Ahmad Shabery menghadiri Program Larian 1Malaysia sejauh tiga kilometer di Pantai Batu Buruk di sini, yang turut disertai lebih 5,000 peserta. - Bernama

Kerajaan kaji dapatkan vaksin selesema bermusim KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang menimbangkan untuk bertukar kepada vaksin selesema bermusi

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang menimbangkan untuk bertukar kepada vaksin selesema bermusim yang turut mengandungi vaksin Influenza A (H1N1) menjelang Februari atau Mac untuk menawarkan perlindungan penuh bagi semua jenis penyakit serupa influenza.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata vaksin itu masih dibangunkan dan dijangka berada di pasaran menjelang suku pertama tahun depan.

"Menjelang tahun depan, vaksin selesema bermusim akan turut mengandungi vaksin influenza A (H1N1), (dan) jika saya pilih suntikan selesema bermusim, saya akan dapat perlindungan untuk virus influenza H1N1 juga," katanya selepas melancarkan kempen anti Aedes peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Mengulas vaksin influenza A (H1N1), Liow berkata kementerian akan menerima semua 400,000 dos yang ditempahnya menjelang awal Januari.

"100,000 dos pertama sudah diterima, banyak lagi akan sampai dari semasa ke semasa. Kami akan berikan vaksin kepada kumpulan berisiko tinggi dan menjelang awal Januari, kami akan terima bakinya," katanya.

Liow berkata, 200,000 dos diperuntukkan untuk pekerja kesihatan di barisan hadapan manakala bakinya akan diberikan kepada dua kumpulan berisiko tinggi iaitu wanita mengandung dan mereka berumur antara 18 dan 60 yang menghidap penyakit kronik.

Beliau menggesa orang ramai untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga walaupun keadaan H1N1 di dalam negara telah bertambah baik, berikutan jangkaan gelombang kedua influenza A (H1N1) dan menurutnya Amerika Syarikat telah mengeluarkan amaran mengenai perkara itu.

Ditanya sama ada orang ramai boleh mendapatkan vaksin H1N1 di mana-mana klinik atau hospital, Liow berkata, klinik swasta boleh mendapatkannya dengan bantuan kementerian. - Bernama

KBS puas hati persiapan Melaka sebagai tuan rumah Sukma ke-13

MELAKA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh Melaka sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 yang akan berlangsung pada pertengahan tahun depan.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata kerajaan Melaka menunjukkan kesungguhan dalam membuat persiapaan termasuk pembinaan gelanggang baru dan penyediaan pegawai kejohanan.

"Melaka juga menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dengan secara terbuka menerima apa juga jenis sukan yang diminta oleh persatuan sukan atau negeri-negeri untuk dipertandingkan pada Sukma ini," katanya selepas melawat

Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC) di Ayer Keroh di sini, malam tadi.

MIBC, adalah gelanggang boling terbesar di Asia Tenggara dengan 52 lorong, kini menjadi tempat Kejohanan Boling Piala Dunia QubicaAMF dari 13 hingga 20 November ini.

Sukma ke-13, mempertandingkan sembilan acara baru iaitu perlumbaan formula future, kanu, golf, ragbi 7-sebelah, bola tampar (pantai dan dewan), kabaddi, judo, lawan pedang dan akuatik (renang berirama dan polo air), bersama-sama 18 acara sukan wajib dan tujuh acara pilihan.

Acara sukan wajib ialah angkat berat, badminton, berbasikal, bola sepak, boling padang, gimnastik, hoki, karate, memanah, menembak, olahraga, perahu layar, akuatik (renang dan terjun), sepak takraw, pencak silat, skuasy, boling dan wushu.

Mengulas acara baru yang dipertandingkan itu, Ahmad Shabery berkata, kementeriannya sedang menunggu pengesahan terakhir daripada pasukan atau negeri yang ingin bertanding kerana acara itu memerlukan sekurang-kurangnya lapan penyertaan.

Ditanya peluang pasukan Malaysia pada kejohanan boling itu, beliau berkata, pemain negara mempunyai peluang baik memandangkan boling adalah sukan utama di mana Malaysia menunjukkan prestasi baik di peringkat dunia.

Malaysia diwakili juara terbuka Malaysia dan Indonesia 2009, Zulmazran Zulkifli, 26, dan juara Kejohanan Ranking Masters Dunia di Naples, Itali pada Mei lalu, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, 19. - Bernama

2 mati selepas diberikan vaksin selesema babi

BEIJING: Kementerian Kesihatan China berkata dua pesakit yang menerima vaksin untuk virus Influenza A (H1N1) mati, walaupun kematian seorang daripadanya dilihat tidak mempunyai kaitan.

Dalam kenyataan yang dipaparkan di laman web kementerian itu, lewat semalam berkata, autopsi menunjukkan seorang daripada mereka mengalami serangan jantung manakala bedah siasat seorang lagi mangsa sdang dijalankan ketika ini.

Berikutan itu, pakar berkata kemungkinan mangsa serangan jantung mati akibat alahan terhadap vaksin selesema itu diketepikan.

Bagaimanapun, pakar masih menunggu keputusan makmal.

Kementerian itu berkata, lebih 13 juta rakyat China menerima vaksin selesema babi ketika ini. - AP

Nasa temui air di bulan

WASHINGTON: Sejumlah kandungan air beku ditemui di bulan, kata agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS), semalam, di mana ia adalah penemuan terbesar ke arah penerokaan angkasa lepas dan meningkatkan harapan bagi pangkalan lunar secara tetap.

Data awal daripada eksperimen di bulan menunjukkan misi itu berjaya menemui air yang dibayangi kawah lunar," kata Nasa dalam satu kenyataan.

"Penemuan ini membuka harapan baru dalam memahami bulan," tambahnya, yang meraikan penemuan bermakna itu.

"Ya, kami menemui air dan kami tidak menemuinya dalam kandungan sedikit tetapi pada kandungan yang banyak," kata saintis projek dan penyiasat utama misi LCROSS bernilai AS$79 juta. - AFP

Guna agama untuk kepentingan politik perlu dapat tauliah: Tun Mahathir

KOTA KINABALU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mencadangkan penceramah yang menggunakan agama untuk kepentingan politik turut dikenakan syarat mendapat tauliah daripada Jabatan Agama Islam negeri, bagi mengelak agama diputarbelitkan untuk kepentingan peribadi dan politik.

Beliau berkata, pihak berkenaan wajar dikenakan syarat itu kerana menggunakan agama bukan untuk kepentingan meningkatkan syiar Islam, sebaliknya demi kepentingan politik sempit.

"Kalau nak bagi tauliah, perlu tauliah kepada semua. Ada orang berceramah politik tetapi atas landasan agama tanpa tauliah (daripada Jabatan Agama Islam negeri).

"Kalau gunakan Islam untuk perkara lain, orang itu tidak boleh berceramah. Sepatutnya Jabatan Agama Islam negeri pergi tangkap orang macam ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) di Hotel Novotel di sini, hari ini.