Followers

Monday, September 14, 2009

Tindakan disiplin terhadap perwakilan keluar kenyataan biadap terhadap Dr M

KUALA LUMPUR: MIC akan mengenakan tindakan disiplin terhadap perwakilan parti itu yang mencadangkan supaya gambar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diletakkan kalungan selipar.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berkata demikian mengulas rekasi pelbagai pihak yang menyifatkan kenyataan perwakilan MIC semalam sebagai sebagai biadap dan melampau.

Laporan akhbar hari ini menyiarkan mengenai kenyataan segelintir perwakilan MIC pada persidangan parti itu yang mencadangkan supaya meletakkan kalungan selipar pada gambar Dr Mahathir berikutan kenyataan bekas Presiden Umno itu yang didakwa mencampuri urusan dalaman MIC.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak mendapat sokongan daripada perwakilan lain.

Minggu lalu, Dr. Mahathir dilaporkan mengeluarkan kenyataan di akhbar Makkal Osai bahawa Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, tidak pernah membuat apa-apa untuk kesejahteraan kaum India di negara ini.

Tujuh kematian hari pertama Ops Sikap ke-20

KUALA LUMPUR: Sebanyak tujuh kematian di jalan raya dilaporkan pada hari pertama Ops Sikap ke-20 yang bermula semalam sehingga 27 September ini bagi mencegah kemalangan sempena sambutan Aidilfitri.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Supt Rasdi Ramli dalam satu kenyataan berkata, lima kematian itu berlaku dalam empat kemalangan di jalan persekutuan manakala masing-masing satu kematian berlaku di jalan negeri dan jalan bandaran.

Empat mangsa yang terkorban membabitkan kemalangan kereta, dua mangsa lagi melibatkan pembonceng motorsikal dan seorang pejalan kaki.

Sejumlah 874 kemalangan berlaku dalam tempoh 24 jam itu dengan jalan bandaran mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi dengan 430 kes diikuti jalan persekutuan (186), jalan negeri (122), lebuhraya (90) dan jalan-jalan lain (46).

Sebanyak 11,104 saman dikeluarkan semalam. - Bernama

Sabah&Sarawak: Nyawa tiada nilai


PENUMPANG tidak memakai jaket keselamatan bagi bot beroperasi dari Pulau Gaya ke Kota Kinabalu atau sebaliknya.

Pengusaha bot membawa lebih muatan tanpa jaket keselamatan

SEMPORNA: Ketika nyawa tiada galang-gantinya, segelintir pengusaha bot penambang di beberapa pulau di daerah ini nyata tidak menghiraukan tingginya harga nyawa manusia apabila dikesan membawa penumpang secara berlebihan.

Malah, ada penumpang dilihat terpaksa duduk di atas bumbung pengangkutan awam itu dan dengan sendirinya menimbulkan spekulasi - siapa yang tidak sayangkan nyawa sebenarnya - pengusaha bot atau penumpang sendiri?

Perjuangan menempah maut seperti ini sememangnya sia-sia kerana apa saja boleh berlaku tatkala bot laju bergerak membelah ombak Laut Sulawesi, menghantar penumpang dari pulau ke pulau.

Ketika ditanya mengapa mengambil risiko membawa lebih penumpang, seorang pengusaha selamba menjawab: "Ini semua orang pulau, mereka boleh berenang."

Semudah dan semurah itu harga nyawa manusia di mata mereka. Jelas, kemungkinan ombak besar melanda secara mengejut dan bot sarat dengan penumpang karam tanpa jaket keselamatan langsung tidak menjadi kebimbangan.

Tinjauan Berita Harian mendapati, penumpang juga ibarat `dua kali lima' kerana masih sanggup bersesak tanpa sebarang kegusaran dalam bot yang kelihatan hampir tenggelam.

Ia diburukkan dengan tiada seorang pun dibekalkan dengan jaket keselamatan termasuk mereka yang membawa anak kecil, seolah-olah sedia menempah undangan maut tanpa mengira masa.

Seorang pengusaha bot penambang, Salim Kerong, 50, mendakwa kekurangan pengusaha bot menyebabkan penumpang tiada pilihan kecuali menggunakan bot lebih muatan.

Katanya, rata-rata penumpang tidak berasa takut menaiki bot lebih muatan walaupun ada yang duduk hingga ke bumbung kerana semua lelaki dewasa dan kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas pandai berenang serta berupaya menyelamatkan kanak-kanak atau wanita hamil jika berlaku kecemasan.

Beliau berkata, semua penumpang adalah anak nelayan dan pelaut mahir, selain menetap di perkampungan atas air yang saban hari bertemankan gelora Laut Sulawesi.

"Lebih 20 tahun saya mengusahakan bot penambang dari beberapa pulau di daerah ini dan tidak pernah pula berlaku kes bot yang digunakan karam.

"Malah jika ditanya, saya rasa tiada penumpang yang gentar kerana sudah biasa," katanya sambil berseloroh orang pulau jika takutkan gelombang lebih bagus tinggal di bandar kerana sikap itu memalukan nenek moyang yang tidak pernah belayar di lautan.

Seorang penumpang, Isakang Itam, 48, berkata beliau tiada pilihan kecuali menggunakan perkhidmatan bot lebih muatan kerana hanya sebuah bot beroperasi dari kampungnya ke pekan Semporna dan sebaliknya setiap sehari.

"Memanglah kami boleh berenang tetapi itu bukan jaminan menyelamatkan diri kerana kadang-kadang laut bergelora.

"Sepatutnya pengusaha bot sedar perkara ini dan tak boleh anggap semua penumpang boleh selamatkan diri. Kita bukan minta tapi kalau berlaku apa-apa, adakah mereka mahu bertanggungjawab?" katanya.

Dalam pada itu, lain pula halnya dengan pengusaha bot penambang dari Pulau Gaya ke bandaraya Kota Kinabalu yang tidak menyediakan jaket keselamatan bagi penumpang, selain ada juga pengusaha dikesan membawa lebih daripada 12 penumpang sedangkan syarat ditetapkan Jabatan Laut ialah maksimum 12 penumpang.

Kelaziman menunggu tragedi berlaku sebelum kembali mematuhi peraturan tidak sepatutnya menjadi amalan, lebih-lebih lagi apabila yang menjadi pertaruhan adalah nyawa manusia.

Mereka sepatutnya mencontohi ketegasan pengusaha bot pelancong beroperasi dari Jeti Seafest, Semporna ke Pulau Sipadan dan Mabul serta dari bandar raya Kota Kinabalu ke Taman Laut Tunku Abdul Rahman yang meletakkan keselamatan penumpang sebagai keutamaan dan bukan memikirkan keuntungan semata-mata.

Sabah&Sarawak: Tendre lewat punca projek gagal

Birokrasi menyebabkan beberapa projek dalam RMK-9 tidak dapat dimulakan

PUTATAN: Kelewatan pengeluaran dan penganugerahan tender kepada kontraktor dikenal pasti sebagai antara punca kegagalan sebahagian projek pembangunan yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin, berkata masalah birokrasi itu menyebabkan beberapa projek yang sepatutnya sudah dilaksanakan gagal dimulakan sedangkan tempoh RMK-9 semakin hampir ke penghujungnya.

Katanya, kerajaan negeri tidak dapat mengatasi masalah itu kerana projek terbabit dibiayai dan dilaksanakan sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Antara projek yang dikenal pasti menghadapi masalah ini ialah projek jelapang padi bernilai RM72 juta di Kota Belud. Hingga sekarang projek itu belum dapat dilaksanakan kerana Kerajaan Pusat lambat menyelesaikan masalah tender kepada kontraktor.

"Keadaan ini secara tidak langsung menjejaskan pencapaian keseluruhan pelaksanaan projek pembangunan yang peruntukannya disalurkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada kira-kira 500 anak yatim, orang tua dan golongan miskin bagi daerah Putatan di sini, kelmarin.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, berkata setakat ini hanya 70 peratus projek yang tersenarai dalam RMK-9 berjaya dilaksanakan oleh kementeriannya.

Selebihnya, katanya, dikesan mengalami kegagalan atau belum ada laporan dihantar kepada kementerian oleh agensi atau jabatan yang bertanggungjawab melaksana dan memantau projek pembangunan terbabit.

"Mungkin hujung tahun ini kita akan dapat lihat peratusnya lebih tinggi iaitu selepas menyemak semua laporan projek pembangunan RMK-9 yang dilaksanakan semua agensi dan jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri.

"Bagi projek yang gagal dilaksanakan seperti jelapang padi Kota Belud, kita berharap ia dapat diteruskan juga kerana pelaksanaannya penting bagi meningkatkan pengeluaran bahan makanan di negeri ini.

"Projek peningkatan pengeluaran padi perlu diberi perhatian kerana ketika ini pengeluaran tempatan hanya kira-kira 30 peratus daripada keperluan rakyat di negeri ini. Jika tidak ditingkatkan, kita terpaksa terus bergantung kepada import untuk memenuhi keperluan rakyat," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan pelaksanaan projek yang mengalami kegagalan dapat diteruskan, pihaknya berharap kerajaan Pusat dapat mengatasi masalah birokrasi yang berlaku dalam proses tender.

Katanya, jika proses itu dapat dipermudah dan dipercepatkan, masalah kelewatan atau kegagalan sesuatu projek dapat diatasi.

"Kita berharap pada masa depan masalah seperti ini tidak lagi timbul kerana ia boleh menjejaskan usaha kita meningkatkan pengeluaran bahan makanan di negeri ini," katanya.

Pada masa sama, katanya, pihaknya juga berharap masalah lain yang menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan pertanian di negeri ini dapat diatasi dengan segera.

Sabah&Sarawak: Sabah perlu utamakan pendidikan formal

Pelajar harus ada semangat, cita-cita tinggi untuk capai kecemerlangan akademik

KOTA KINABALU: Sabah mungkin berdepan kesukaran untuk maju pada masa depan jika aspek pembinaan masyarakat berilmu menerusi pendidikan formal di sekolah diabaikan, sama ada oleh pelajar atau ibu bapa dan masyarakat keseluruhannya.

Ketika Kerajaan Persekutuan dan negeri berusaha melalui pelbagai kaedah memajukan pendidikan sama ada di sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT), pelajar tidak harus menganggap kecemerlangan dalam pelajaran mampu dicapai dengan mudah

Ini kerana tiada jalan singkat untuk menggenggam kejayaan manakala usaha sambil lewa dalam pembelajaran tidak akan menghasilkan kejayaan membanggakan.

Menegaskan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata pelajar sebagai barisan pelapis kemajuan negara dalam bidang politik, ekonomi dan sosial tidak boleh menganggap kejayaan dalam pelajaran sebagai aspek sampingan, sebaliknya harus mempunyai semangat dan cita-cita tinggi untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik.

Selain itu, aspek kokurikulum juga harus turut diberi perhatian kerana ia turut membina pelajar yang sihat fizikal dan mental.

"Rasulullah SAW pernah mengingatkan umat Islam menuntut ilmu walaupun ke China. Ini menunjukkan betapa pentingnya umat Islam dan masyarakat keseluruhannya memahami konsep dan kepentingan ilmu dalam kehidupan kita.

"Tidak mungkin tanpa ilmu kita mampu mencapai kejayaan dalam hidup. Pelajar yang berjaya dalam pelajaran hari ini akan menjadi tenaga kerja penting dalam pelbagai sektor pada masa depan," katanya pada program Cemerlang Bersama Ketua Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Inanam di sini, semalam.

Musa turut melancarkan logo baru PIBG sekolah berkenaan.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang bertanggungjawab dalam hal- ehwal pelajaran negeri, Datuk Masidi Manjun; Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh; Pengetua SMKA Inanam, Affida Helmi dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Ku Othman Ku Ali.

Program anjuran PIBG SMKA Inanam itu bertujuan memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri dengan pentadbir, guru dan pelajar sekolah berkenaan, sejajar status sekolah itu sebagai antara SMKA terbaik di Sabah.

SMKA Inanam adalah penerima Anugerah Kecemerlangan SMKA Zon Sabah/Sarawak berikutan kejayaan cemerlang pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu yang diadakan di Kuala Terengganu.

Sekolah Gred A berstatus Asrama Harian itu menempatkan 443 pelajar Tingkatan 1 hingga 5. Nama sekolah itu bakal ditukar sempena nama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah, tidak lama lagi.

Musa berkata, kerajaan negeri akan meneliti permohonan bantuan daripada PIBG SMKA Inanam dan sekolah lain kerana ia bukan untuk pembaziran, sebaliknya demi pembelajaran pelajar.

Sehubungan itu, katanya, beliau meminta Jabatan Pelajaran Sabah, pentadbir sekolah dan guru berganding bahu memajukan pencapaian akademik di negeri ini supaya setanding dengan negeri lain.