Followers

Monday, November 23, 2009

Malaysia tak serang pihak lancar kempen anti minyak sawit

KUALA LUMPUR: Malaysia mengambil pendekatan tidak menyerang secara terus kepada pihak yang melancarkan kempen anti minyak sawit sebaliknya menggunakan strategi perbincangan bersama pengeluar minyak masak lain di seluruh dunia.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin, berkata ini kerana apabila penggunaan minyak masak daripada kelapa sawit berkurangan pada masa depan, sudah tentu permintaan minyak masak daripada bahan lain akan meningkat.

"Untuk menyerang pihak lawan, kita terpaksa mempunyai beberapa strategi yang mungkin berbeza dengan pihak lawan di mana kita bukan hanya melihat pengeluar minyak masak lain seperti kacang soya, biji sesawi dan minyak jagung sebagai pihak lawan.

"Tetapi yang kita mahu sekarang ini adalah untuk beritahu kepada mereka bahawa kita adalah kawan kepada pengeluar minyak masak yang lain kerana penggunaan minyak masak di seluruh dunia akan bertambah dari semasa ke semasa.

"Sebab itu lebih baik pengeluar-pengeluar minyak masak di seluruh negara untuk duduk sekali dan kenali kekuatan masing-masing dalam industri minyak di dunia," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Hamzah berkata Malaysia dan Indonesia serta negara pengeluar minyak masak lain juga telah bekerjasama dalam menangani kempen-kempen anti minyak sawit yang bertujuan untuk menyekat import minyak sawit yang dilancarkan oleh aktivis alam sekitar dan badan bukan kerajaan (NGO) di negara Barat.

Beliau berkata kejayaan industri sawit sama ada di Malaysia atau negara pengeluar yang lain telah memberi saingan hebat kepada pengeluar minyak dan lelemak dunia seperti pengeluar minyak kacang soya dan biji sesawi.

"Mereka akan menggunakan pelbagai taktik yang berbentuk tarif dan bukan tarif untuk mengurangkan penerokaan pasaran minyak sawit dunia," katanya.

Hamzah berkata sehubungan itu, kementerian melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah melaksanakan beberapa aktiviti bagi menangani perkara itu termasuk menyebarkan maklumat mengenai pengeluaran minyak sawit mapan melalui laman web khusus seperti www.mpoc.org.my.

"Selain itu, MPOC juga menerbitkan iklan-iklan dan dokumentari mengenai pengeluaran minyak sawit mapan di beberapa saluran televisyen utama termasuk CNBC dan Bloomberg," katanya.

Beliau berkata MPOC juga membiayai kajian-kajian berkaitan minyak sawit dari segi kesihatan serta menganjurkan lawatan kerja yang diketuai menteri dan berdialog dengan NGO.

"Dengan pelaksanaan program-program ini, kementerian harap lebih banyak fakta mengenai kemapanan minyak sawit dan kebaikannya akan dapat dimaklumkan dan dalam jangka masa panjang, ia akan dapat mengurangkan tohmahan tidak berasas terhadap industri sawit," katanya.

Beliau berkata peruntukan awal sebanyak RM24.1 juta dan peruntukan sebanyak RM10 juta pada tahun depan juga adalah mencukupi untuk membiayai program-program bagi menangani kempen anti minyak sawit. - Bernama

Malaysia bukan pusat pengedaran peralatan, teknologi nuklear

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak pernah menjadi pusat pengedaran atau penghantaran peralatan dan teknologi nuklear ke Iran, kata Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, hari ini.

Beliau berkata walaupun terdapat beberapa kes rakyat dan syarikat dari negara ini yang didakwa melakukan kesalahan sedemikian di luar negara, iaitu Amerika Syarikat, kes itu adalah kes terpencil.

"Kes yang melibatkan tuduhan dan dakwaan ke atas dua syarikat dan dua individu dari Malaysia ini adalah kes yang terpencil dan ia tidak membuktikan bahawa Malaysia telah menjadi pusat bagi aktiviti sedemikian," katanya di Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) yang mahu Menteri Luar Negeri menyatakan dengan terperinci enam kes yang didakwa, disabitkan atau dihukum di Amerika Syarikat kerana menghantar peralatan dan teknologi tentera ke Iran yang membabitkan Malaysia dan alasan Malaysia menjadi pusat bagi aktiviti sedemikian.

Setakat ini, Kohilan berkata difahamkan bahawa perbicaraan mahkamah individu serta syarikat terbabit belum berlangsung dan kerajaan akan terus memantau perkembangan kes berkenaan.

Beliau berkata pada 11 September tahun lalu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah mengeluarkan satu indikmen ke atas lapan individu dan lapan entiti asing termasuk dua individu dan dua syarikat dari Malaysia.

Dua syarikat itu ialah Eco Biochem Sdn Bhd dan Vast Solution Sdn Bhd manakala dua individu terbabit pula adalah Brian Kaam, juga dikenali sebagai Kam Chee Mun, seorang warganegara Malaysia, dan Majid Seif, juga dikenali sebagai Mark Ong, seorang warganegara Iran yang menetap di Malaysia.

Kohilan Pillay berkata mereka dikenakan 13 tuduhan dan didakwa di Mahkamah Daerah Selatan Florida, Amerika Syarikat.

"Antara tuduhan berkenaan termasuk tuduhan konspirasi, melanggar peraturan-peraturan di bawah United States International Emergency Economic Powers Act of 1977 dan United States Iran Embargo Act of 1996 serta membuat keterangan palsu kepada agensi persekutuan Amerika Syarikat berkenaan pengeksportan barangan buatan Amerika Syarikat yang mempunyai dua kegunaan ke Iran," katanya.

Katanya maksud barangan dua kegunaan ialah barangan yang mempunyai aplikasi komersial, namun boleh juga digunakan untuk tujuan ketenteraan. - Bernama

TNB dalam 250 syarikat tenaga terunggul Asean

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) muncul sebagai syarikat Utiliti Elektrik berkedudukan terbaik di Asean dan tempat keempat di Asia dalam Senarai 250 Syarikat Terunggul Platts bagi 2009, satu anugerah industri tenaga berprestij yang mengiktiraf prestasi kewangan cemerlang syarikat tenaga terunggul.

Ranking tahunan oleh Platts, penyedia maklumat tenaga dan komoditi ini, mengukur prestasi syarikat dalam tahun sebelumnya dengan menggunakan empat kaedah pengukuran utama - pertumbuhan aset, pendapatan keuntungan dan pulangan ke atas modal pelaburan.

Dalam kalangan utiliti elektrik di Asia, TNB menduduki tempat keempat.

Ia diikuti oleh utiliti elektrik lain yang mantap seperti Kansai Electric Power, Jepun, Chubu Electric Power Co Japan dan lain-lain.

TNB juga meraih kedudukan ke-123 bagi prestasi keseluruhan berbanding tempat ke-100 pada tahun sebelumnya.

"Kejayaan kami ini membanggakan memandangkan tahun kewangan 2008 adalah tempoh sukar kerana harga bahan api yang turun naik dan ringgit yang susut," kata Presiden TNB dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, dalam satu kenyataan hari ini.

Meskipun melalui tempoh yang sukar namun, katanya, TNB terus memberikan tumpuan kepada usahanya untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan melalui peningkatan kecekapan, produktiviti dan kualiti tenaga elektrik yang disalurkan kepada pelanggan TNB.

Anugerah itu disampaikan pada majlis Anugerah 250 Syarikat Tenaga Global Terunggul Platts di Singapura.

TNB diwakili oleh Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat, Ismail Abdul Rahman. - Bernama

Langkah pencegahan H1N1 di semua kem PLKN

SIBU: Ibu bapa diingatkan agar jangan bimbang untuk menghantar anak mereka yang dipilih menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun depan ekoran Influenza A(H1N1).

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah berwaspada dan pencegahan Influenza A(H1N1) di semua 82 kem PLKN di seluruh negara.

Mulai Januari tahun depan, beliau berkata 38,000 pelatih PLKN akan menghadiri sesi pertama, 42,000 untuk sesi kedua pada Mac dan 40,000 bagi sesi ketiga pada Jun.

"Selain itu, 26,000 yang lain yang telah menangguhkan latihan mereka, akan menyertai sesi latihan ini pada tahun depan yang akan dibahagi-bahagikan kepada tiga sesi itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan makan malam dengan pengendali Kem PLKN Bumimas, Ho Su Yen dan kakitangannya.

"Kita akan sentiasa menghubungi Kementerian Kesihatan. Kita akan sentiasa memantau semua kem kita untuk kebersihan serta kesihatan bagi semua pelatih kita.

"Pengalaman kita sebelum ini mengurus pelatih yang sakit di mana 40 kem diarah ditutup selama seminggu tetapi tidak ada masalah kepada mana-mana pelatih," kata beliau.

Selain itu, Abdul Hadi berkata setiap kem akan mempunyai lima pegawai kesihatan.

Dalam perkembangan lain, katanya beliau percaya latihan khidmat negara ialah salah satu saluran terbaik untuk mempromosikan konsep 1Malaysia.

"Latihan kita meliputi mendapatkan remaja yang dipilih daripada pelbagai kaum, latar belakang dan agama dari seluruh negara untuk menyertai kem ini yang membolehkan mereka bercampur antara satu sama lain," katanya.

Antara elemen yang diterapkan semasa latihan itu ialah menanamkan semangat patriotik dan bersatu di kalangan rakan latihan dan memahami serta menghargai perbezaan kaum, latar belakang dan bangsa antara satu sama lain.

"Kita mahu mereka menjadi warganegara dan pemimpin masa depan yang patuh dengan undang-undang," tambahnya.

Beliau berkata setakat ini kira-kira 440,000 remaja Malaysia telah menyertai PLKN. - Bernama

Banjir semakin buruk di Pantai Timur, terutama Kelantan

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di pantai timur terutama di Kelantan semakin buruk apabila semakin ramai mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sejak awal pagi ini berbanding semalam.

Jurucakap Pusat Kawalan Oparasi Banjir negeri di Kota Darulnaim berkata, sehingga 6 pagi tadi, seramai 3,019 orang dipindahkan di seluruh negeri berbanding 2,327 orang malam tadi.

Seramai 1,488 adalah dari jajahan Pasir Mas, Kuala Krai (812), Tanah Merah (401), Jeli (247), Pasir Puteh (36) dan Machang (35).

Beliau berkata mangsa perlu dipindahkan kerana keadaan air di kebanyakan tempat menyukat banjir di negeri ini semakin meningkat dan berada di atas paras bahaya menyebabkan air melimpahi tebing.

Sehingga 9 pagi ini, paras air di Tangga meningkat kepada 26.91 meter iaitu 1.91 meter di atas paras bahaya (25 meter).

Paras air di Kampung Jenob Sungai Golok pula 23.63 meter iaitu 0.13 meter di atas paras bahaya (23.50 meter) manakala paras air di Rantau Panjang pula 10.44 meter iaitu 1.44 meter di atas paras bahaya (9 meter).

Antara jalan utama yang ditutup ialah Kota Bharu - Pantai Cahaya Bulan KM4 Kampung Tikat; Pohon Tanjong-Rantau Panjang (Jalan Lama) di Km11 Kampung Siram; Jalan Rantau Panjang - Panglima Bayu di Km8.8 Kampung Kajang kerana ditenggelami air melebihi satu meter.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Di KUANTAN, mangsa banjir meningkat kepada 33 orang selepas dua penempatan di Kampung Darat Sungai Ular dan Kampung Chendor Tengah di sini dinaiki air.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Pahang berkata, seramai 24 orang di Kampung Darat Sungai Ular ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Cherating manakala sembilan orang dari Kampung Chendor Tengah ditempatkan di balai raya kampung berkenaan. - Bernama

Mangsa simbah asid tangguh duduki peperiksaan SPM

GEORGETOWN: Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tan Hui Lin yang cedera parah di bahagian badan dan mata akibat disimbah asid oleh bapanya, menangguhkan menduduki peperiksaan itu ke satu tarikh lain.

Pengarah Pelajaran negeri, Ibrahim Ahmad, berkata tempoh penangguhan itu bergantung kepada keputusan doktor.

"Buat masa ini, beliau mengambil keputusan untuk menangguhkan dahulu peperiksaan itu dan menunggu keputusan doktor berhubung keadaan kesihatannya," katanya di sini, hari ini.

Hui Lin, 17, cedera parah di depan badan dan mata selepas diserang dan disimbah asid oleh bapanya, Tan Teik Siew pada 24 Oktober lalu.

Teik Siew, 53 seorang pegawai perlesenan Majlis Perbadanan Pulau Pinang (MPPP) telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh isterinya Cheong Swee Lin, 50, dan mencederakan Hui Lin.

Sejumlah 465,853 calon mengambil peperiksaan SPM yang bermula Rabu lalu hingga 16 Disember ini.

Daripada jumlah pelajar SPM, calon kementerian adalah seramai 406,420 orang, calon persendirian (32,561), calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Perantis Tentera (7,071), Sekolah Agama Negeri 8,765 manakala Sekolah Agama Rakyat dan sekolah swasta 11,036 orang. - Bernama

Banjir berterusan di Kelantan, mangsa bertambah kepada 793 orang

KOTA BHARU: Keadaan banjir masih belum reda di Kelantan apabila mangsa yang dipindahkan pagi ini bertambah kepada 793 berbanding 268 orang, malam tadi.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir negeri berkata, mereka terdiri daripada penduduk di jajahan Kuala Krai dan di Pasir Mas berikutan limpahan air Sungai Kelantan dan Sungai Golok kini melepasi paras bahaya.

"Di Kuala Krai, mereka yang dipindahkan seramai 268 orang daripada 59 keluarga dan di Pasir Mas seramai 489 orang daripada 128 keluarga," katanya.

Jalan utama yang ditutup kepada kenderaan ringan adalah di Sungai Durian, Kuala Krai manakala laluan alternatif ditutup di Jalan Rantau Panjang ke Panglima Bayu.

Paras air Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dan Tangga Krai di Kuala Krai kini melepasi paras bahaya iaitu di Kusial 17.32 meter (bahaya 16 meter) manakala di Tangga Krai 25.21 meter (bahaya 25 meter).

Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang juga melebih paras bahaya iaitu di Jenob 24.37 meter (bahaya 23.50 meter) dan Rantau Panjang 10.44 meter (bahaya sembilan meter).

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan sehingga kini dan keadaan cuaca di Kelantan mendung dengan sesekali hujan lebat dilaporkan.

Di KUANTAN, mangsa banjir yang ditempatkan di surau Projek Perumahan Rakyat Termiskin Kampung Darat di sini kekal 24 orang.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Pahang berkata pusat pemindahan yang dibuka sejak petang Jumaat itu masih menempatkan tiga keluarga selepas kawasan rumah mereka di Kampung Sungai Ular dinaiki air.

"Pemindahan itu hanya melibatkan daerah Kuantan manakala lain-lain daerah tiada pemindahan dilaporkan berlaku setakat ini," katanya. - Bernama

MAS raih syarikat penerbangan lima bintang, kabin terbaik dunia 2010

KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia (MAS) meraih kejayaan berganda apabila dianugerahkan 'Syarikat Penerbangan Lima Bintang' untuk tahun kelima dan anugerah 'Kakitangan Kabin Terbaik Dunia' untuk kali ketujuh oleh Skytrax, sebuah organisasi bebas di United Kingdom berpengalaman 20 tahun dalam penyelidikan syarikat penerbangan.

MAS diiktiraf sebagai syarikat penerbangan lima bintang oleh Skytrax sejak 2005 manakala anak kapalnya meraih anugerah untuk kakitangan kabin terbaik dunia sejak 2001-2004, 2007, 2009-2010 -- terbanyak bagi mana-mana syarikat penerbangan.

"Ini adalah berita yang sangat baik terutama ketika dalam situasi yang sangat sukar ini di mana semua petugas telah bekerja keras bagi menghasilkan produk dan perkhidmatan terbaik yang sangat diperlukan oleh pelanggan.

"Apa yang menjadi keutamaan mereka, adalah keutamaan kami," kata Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS, Tengku Datuk Azmil Zahruddin.

"Pengiktirafan ini akan mendorong kami untuk menggandakan usaha bagi menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih berkualiti. Anak kapal kami memberikan perkhidmatan terbaik dan telah berterusan mengekalkan nama syarikat dan Malaysia berada di tempat tertinggi untuk bersaing dalam industri penerbangan. Mereka menjadi contoh terbaik untuk negara memberi layanan mesra," katanya.

Azmil juga berkata syarikat penerbangan itu akan melancarkan perkhidmatan terbaru seperti perkhidmatan penerbangan daripada membeli, berlepas dan mendarat secara bergerak dan meningkatkan talian untuk penebusan mata Enrich.

"Kami juga akan menerima pesawat baru 737-800 Boeing Sky Interior menjelang hujung 2010.

"Pelanggan akan menikmati suasana dan kemudahan yang lebih baik seperti bumbung yang lebih tinggi, lampu dan hiburan dalam pesawat untuk kelas perniagaan dan ekonomi. Perkhidmatan menerusi talian akan diperkenalkan pada masa depan," katanya.

CEO Skytrax Edward Plaisted berkata, pemilihan MAS meraih anugerah syarikat penerbangan lima bintang untuk 2009/2010, berdasarkan prestasi syarikat yang konsisten walaupun industri penerbangan berhadapan dengan situasi yang sukar.

"Status lima bintang dianugerahkan kepada syarikat penerbangan yang mencapai prestasi kualiti tertinggi, dan anugerah tertinggi ini diraih MAS berdasarkan komitmen dan kebolehan mereka memberi gabungan terbaik dalam produk dan perkhidmatan.

"Mereka benar-benar fokus dan bukan hanya setakat bertemu tetapi memberi kepuasan kepada pelanggannya," katanya.

MAS sebelum ini turut dipilih sebagai "Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia" oleh 180,000 industri profesional melalui undian global yang dikendalikan oleh "World Travel Awards".

Pengiktirafan lain yang diterima MAS tahun ini termasuk memenangi Syarikat Penerbangan Terbaik oleh Malaysia Airports Holding Bhd, menduduki tempat ketiga untuk kategori Syarikat Terbaik oleh Aviation Week, meraih tempat kelapan bagi kategori Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia oleh Smart Travel Asia dan terpilih antara 10 syarikat penerbangan terbaik yang pertama kali dianjurkan menerusi talian laman web penerbangan "Global Local Monitor". - Bernama

Keputusan isu pembekuan amah Indonesia akhir tahun ini

KLANG: Keputusan sama ada Indonesia akan menarik balik pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia dijangka diketahui menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Subramaniam berkata, Malaysia masih berbincang dengan kerajaan Indonesia mengenai pengambilan pembantu rumah dari negara itu bagi menyelesaikan beberapa isu tertangguh demi manfaat kedua-dua negara.

"Hanya ada satu dua isu yang tertangguh dan jika kedua-dua negara boleh menyelesaikannya, maka isu pembekuan pembantu rumah asing ini boleh ditamatkan (menjelang akhir tahun ini)," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis menyampaikan pakaian seragam sekolah kepada pelajar kurang berkemampuan sekitar Parlimen Kota Raja di sini anjuran bersama Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Kota Raja dan MIC Bahagian Kota Raja.

Jakarta mengeluarkan arahan pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada 25 Jun lalu berikutan banyak aduan mengenai pembantu rumah didera oleh majikan.

Pada 2 September lalu, Malaysia dan Indonesia bersetuju membenarkan pembantu rumah Indonesia diberi cuti sehari dalam seminggu dan mereka juga dibenarkan menyimpan pasport sendiri semasa berada di negara ini.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat ketiga Jawatankuasa Kerja bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia yang diadakan di ibu negara pada 20 Ogos lalu. - Bernama

Ekonomi Malaysia boleh tumbuh 3-4 peratus: Muhyiddin

BANDUNG: Ekonomi Malaysia, yang sudah pulih sedikit, berpotensi berkembang pada tahap tiga hingga empat peratus berikutan langkah-langkah memberangsangkan yang diambil oleh kerajaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beberapa inisiatif baru telah diperkenalkan ke arah itu untuk mengubah corak ekonomi ke arah yang berpendapatan tinggi, berbanding yang berpendapatan sederhana dan rendah sebelum ini.

"Inisiatif baru itu perlu agar Malaysia dan rakyat kita tak terkongkong dalam ekonomi berpendapatan rendah dan sederhana," katanya ketika berucap pada jamuan malam dengan lebih 600 pelajar Malaysia di sini, malam semalam.

Beliau berkata kerajaan juga memperkenalkan inisiatif baru itu untuk membolehkan Malaysia keluar daripada masalah semasa yang melanda ekonomi dunia.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak termasuk rakyat dan pelajar Malaysia di luar negara dapat turut membantu memastikan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi itu berjalan dengan lancar dan pantas.

Muhyiddin juga menjelaskan kepada para pelajar berbilang kaum itu bahawa dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, pucuk pimpinan negara telah memperkenalkan Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk semua jemaah menteri.

"Ini antaranya untuk memastikan usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sentiasa lebih baik," katanya.

Mengenai pelajar di sebarang laut, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan percaya penuh bahawa di negara mana pun mereka berada, kasih sayang mereka kepada tanah air tetap bersemarak dan mereka sentiasa menjaga imej negara.

Beliau mahu setiap pelajar, termasuk di Indonesia yang majoritinya mengikuti pengajian kedoktoran, pergigian, farmasi dan bidang agama menumpukan perhatian serta usaha meraih kecemerlangan selain turut meluangkan masa memperkenalkan Malaysia di mata dunia.

"Setiap pergaulan baik dengan penduduk tempatan akan membantu mencerminkan imej positif Malaysia dan menjadikan lebih ramai orang luar mengenali Malaysia," katanya.

Khusus dengan Indonesia, katanya pelajar di sini perlu berperanan memperkukuhkan lagi hubungan akrab yang telah terjalin sejak berkurun-kurun lamanya yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.

Turut hadir pada jamuan malam di sebuah hotel terkemuka di "Kota Kembang" ini ialah Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Indonesia Amran Mohamed Zain dan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Datuk Dr Junaidi Abu Bakar. - Bernama