Followers

Sunday, September 6, 2009

Bapa mentua Sultan Kedah meninggal

SUNGAI PETANI: Ayahanda Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, malam kelmarin kerana sakit tua dan sakit jantung.

Hamidun Taib, 83, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.30 malam ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi. Allahyarham dimasukkan ke HSAH selepas sesak nafas jam 11 malam Khamis lalu.

Anak bongsu Allahyarham, Datuk Nor Azman berkata, arwah memang sudah uzur dan tinggal di Taman Cinta Sayang, di sini bagi memudahkannya menerima rawatan kerana hampir dengan hospital selain diziarahi Sultanah yang sering berulang alik.

Sultanah Haminah berada di sisinya ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir. Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan anakanda baginda, Datuk Seri Tengku Putri Intan Safinaz turut berkenan menziarahi jenazah.

Kenamaan lain yang hadir termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid. Jenazah disembahyangkan di Masjid Taman Ria Jaya, di sini dan dibawa pulang ke Kampung Matang Jelutong, Bagan Serai, Perak untuk dikebumikan selepas solat Zuhur.

IPTA disaran adakan subjek keusahawan sosial

TEMERLOH: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata institusi pengajian tinggi awam di negara ini perlu mewujudkan subjek keusahawanan sosial bagi membolehkan pelajarnya mendapat asas keusahawan untuk mereka lebih berdikari selepas tamat pengajian kelak.

Beliau berkata, pada masa ini hanya beberapa universiti yang memperkenalkan subjek berkenaan, antaranya Universiti Malaya (UM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Kerajaan berharap semua universiti akan dapat mengadakan mata pelajaran itu sebagai usaha melahirkan lebih ramai graduan dan siswazah dalam bidang keusahawanan dan secara tidak langsung dapat mengurangkan pengangguran di kalangan siswazah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan wang zakat Bank Rakyat Cawangan Temerloh berjumlah RM45,290 kepada 152 fakir miskin, warga emas, orang kurang upaya di kawasan Dewan Undangan Negeri Semantan di Masjid Abu di sini.

Saifuddin berkata, kerajaan juga mensasarkan mewujudkan 10,000 usahawan menjelang tahun 2012, dan yakin ia boleh dicapai menerusi kerjasama pihak universiti mewujudkan subjek berkenaan untuk penuntutnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kawasan taman perumahan dan kampung perlu menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani wabak selsema babi atau influenza A (HINI) supaya penularannya di kalangan penduduk dapat dikawal sepenuhnya.

- Bernama

H1N1: 1,303 dirawat kerana gejala ILI

KUALA LUMPUR: Tiada kematian baru akibat jangkitan Influenza A (H1N1) direkodkan sehingga jam 9 pagi tadi tetapi seramai 1,303 pesakit, termasuk 219 kes baru, sedang dirawat di 113 hospital di seluruh negara kerana gejala penyakit seakan influenza (ILI).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata daripada jumlah itu 332 pesakit atau 25.5 peratus disahkan positif influenza A(H1N1) termasuk 52 kes yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Daripada 52 kes yang dirawat di ICU, 16 kes berisiko penyakit kronik, sembilan kes merupakan kanak-kanak di bawah lima tahun, obesiti (9), kes hamil (1), warga emas (1) dan berpenyakit respitori (1)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Angka korban H1N1 di negara ini kekal pada 73 kes.

Dr Mohd Ismail berkata, kementerian hanya menerima sepuluh panggilan telefon melalui hotline dan tujuh e-mel yang bertanyakan mengenai penyakit H1N1 hari ini.

Katanya, walaupun bilangan pertanyaan berkurangan, orang ramai masih bertanyakan langkah pencegahan dan simptom Influenza A (H1N1).

"Saya menegaskan bahawa orang ramai boleh mengelak daripada dijangkiti dengan cara menjauhkan diri daripada individu yang mempunyai gejala penyakit serupa influenza dan sentiasa berada sekurang-kurannya satu meter dari individu terbabit," katanya.

Beliau berkata, individu yang berasa tidak sihat dan mengalami gejala selesema mestilah menunjukkan rasa tanggungjawab dengan pergi mendapatkan rawatan awal dan nasihat kesihatan.

"Mereka diminta untuk berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat kerja, sekolah, rumah ibadat atau mana-mana tempat awam.

"Sekiranya tidak dapat dielakkan keluar, mereka mesti sentiasa memakai penutup mulut kerana virus H1N1 merebak melalui titisan cecair dari batuk dan selesema," katanya.

Maklumat perkembangan terkini pandemik H1N1 boleh diperoleh menerusi talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300 setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang atau menerusi laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my.