Followers

Monday, September 20, 2010

Kes Sosilawati: Wartawan, penyampai berita TV Selangor dipanggil beri keterangan

SHAH ALAM: Dua wartawan TV Selangor hari ini dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berhubung kenyataan yang dikeluarkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mengaitkan polis dengan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya ketika ditemuramah portal berita itu baru-baru ini.
Wartawan yang dipanggil untuk memberi keterangan itu ialah Radzi Razak dan Zeanaaima Mohd Yusof yang juga pembaca berita portal berkenaan. Mereka yang ditemani peguam Samarudin Md Rejab dilihat memasuki perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Seksyen 11 di sini pada kira-kira 12.30 tengah hari dan berada di sana selama dua jam setengah, katanya kepada pemberita di sini hari ini. Media sebelum ini melaporkan, Shamsul Iskandar menerusi siaran berita portal TV Selangor pada 13 Sept lepas mengaitkan kepimpinan tertinggi pasukan polis sebagai yang didakwa terbabit dalam pembunuhan kejam Sosilawati dan tiga rakannya ketika.

Sosilawati, 47, bersama pemandu, Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang 30 Ogos lepas sebelum ditemui mati dibunuh di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting. - BERNAMA

Kematian Sarina tiada unsur jenayah: Polis

BUTTERWORTH: Siasatan kematian pengasas kosmetik Aveer, Sarina Jaafar, yang ditemui mati tergantung di rumahnya di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam, Sabtu lalu, boleh dianggap selesai dengan tiada unsur jenayah membabitkan kes kematian ahli perniagaan itu.
Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Yaakob, berkata sehingga kini tiada keterangan dan bukti menunjukkan berlakunya perbuatan jenayah termasuk yang boleh mengaitkannya dengan kes pembunuhan rakan baiknya, jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya. "Polis tidak kata ia ada kaitan dengan kematian Sosilawati...keluarganya pun tidak kata begitu. "Justeru itu, kes ini boleh dianggap selesai. Bagaimanapun, siasatan akan diteruskan sehingga kes dirujuk kepada pihak Pendakwaraya untuk tindakan lanjut," katanya.

Siasatan awal sebelum ini merumuskan kes itu sebagai mati mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah, tetapi polis akan melihat kes kematian Sarina dari semua sudut.

Sarina, 45, ditemui mati tergantung di bilik tidur utama rumahnya di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam, jam 8.30 pagi Sabtu lalu.

Difahamkan kematiannya ada kaitan dengan dengan tekanan termasuk apa yang menimpa Sosilawati sehingga mengganggu perasaannya.

Kes Sosilawati: Dua beradik yang ditahan lantik peguam

KUALA LUMPUR: Dua peguam adik beradik yang ditahanreman bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya sudah melantik peguam bagi mewakili mereka. Ravi Nekoo dari Hakemarabi & Associates dalam satu kenyataan hari ini berkata anggota keluarga dua peguam berkenaan melantik peguam pada 12 September
lepas.

"Sejak itu kami sudah membentuk satu pasukan pembelaan," kata Ravi, yang
menjadi peguam jenayah dan sivil sejak 15 tahun lalu.

Sabtu lalu, mahkamah membenarkan tempoh tahanan reman terhadap dua beradik itu dan seorang lagi suspek kes berkenaan dilanjutkan sehingga 25 September ini.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44,
pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38,
dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos
lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 September lalu, polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul
sampai mati sebelum mayatnya dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan
Ladang Gadong, Banting, Selangor.

Ravi berkata sepucuk surat bertarikh 14 September dihantar kepada Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah untuk memaklumkan soal
pelantikan peguam itu dan meminta supaya pasukan pembelaan diberikan akses
kepada anak guamnya. -- BERNAMA

Malaysia-Singapura setuju rujuk caj pembangunan tiga tanah ke Mahkamah Timbangtara

SINGAPURA: Malaysia dan Singapura hari ini bersetuju untuk merujuk mengenai caj pembangunan bagi tiga bidang tanah yang terkandung dalam Perjanjian Capai Persetujuan (POA) antara kedua-dua negara menerusi Mahkamah Timbangtara Antarabangsa.
Kedua dua negara menyatakan akan bersetuju menerima keputusan yang diputuskan mahkamah berkenaan, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, sebentar tadi. Isu berhubung tanah termasuk pertukaran tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di republik itu dibincangkan dalam pertemuan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong, pagi tadi. Kedua-dua negara sebelum ini bersetuju menubuhkan syarikat usaha sama dikenali M-S Pte Ltd bagi memajukan tanah KTMB seluas 217 hektar di Tanjong Pagar, Kranji, Woodlands serta tiga lot di Bukit Timah.

Keluarga suspek mahu jaga bayi yang dibuang

ALOR SETAR: Keluarga penuntut sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam di Lembah Klang yang ditahan Sabtu lalu kerana membuang bayi yang baru dilahirkannya, berhasrat menjaga bayi perempuan itu.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jitra (JKM), Mohd Shabbri Othman, berkata hasrat itu dimaklumkan kepada pejabat JKM daerah oleh ibu dan bapa penuntut itu yang berusia dalam lingkungan 50-an semalam. "Dalam kes ini sangat penting untuk keluarga pelajar berkenaan memberi sokongan kepada ibu serta anak itu dan kami akan terus memantau perkembangan bayi berkenaan selepas mereka keluar dari hospital," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Sabtu lalu, penuntut berusia 20 tahun itu ditahan pada jam 8.30 malam selepas disyaki membuang bayinya di belakang rumah keluarganya di Taman Rasa Sayang, Jitra di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff, berkata bayi seberat 2.8 kilogram yang masih bertali pusat itu ditemui pada jam 5.30 petang dan dihantar ke Hospital Jitra untuk rawatan.

Difahamkan penuntut itu pulang ke kampung sempena Hari Raya dan ibu bapanya tidak mengetahui dia mengandung.

Bayi itu dipercayai dilahirkan di bilik air rumah keluarganya sebelum diletakkan di belakang rumah itu. - Bernama

Rukun Negara akan diperjelas untuk lebih difahami: Rais

KUALA LUMPUR: Lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara akan terus diperjelas dan diperincikan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat memahami intipatinya, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Beliau berkata, kini, prinsip Rukun Negara yang mempunyai pautan dengan gagasan 1Malaysia hanya didengari tanpa difahami. Beliau berkata, bagi meningkatkan pemahaman di kalangan masyarakat, pihaknya akan memulakan kempen penjelasan intipati Rukun Negara menerusi pelbagai projek dan program kementerian itu mulai bulan depan. "Kita akan mengadakan kempen yang lebih meluas dan berkesan untuk semua lapisan masyarakat bersekali dengan 1Malaysia supaya semua pihak memahami isian Rukun Negara yang dirasakan satu-satunya falsafah kenegaraan yang kekal, tetapi tidak mendapat tempat seperti yang diasaskan awalnya pada tahun 1970.

"Kementerian merasakan bahawa pembawaan dan amalan Rukun Negara harus dijadikan elemen yang nyata dan difahami terus-menerus oleh semua lapisan masyarakat," katanya pada majlis perhimpunan bulanan kementerian tersebut di sini, hari ini.

Rais berkata, antara program dan projek yang dikenal pasti untuk diberikan penjelasan ialah menerusi pembudayaan muzik, pementasan, pelajaran dan pendidikan, program Komuniti Bestari dan ceramah oleh Jabatan Penerangan dan Jabatan Hal Ehwal Khas di bawah kementeriannya.

"Bagi pelajar sekolah, kita kini merangka pelbagai program dengan kerjasama Kementerian Pelajaran termasuk mengadakan kuiz berkaitan Rukun Negara dan 1Malaysia.
"Di semua projek kerajaan pula, harus kita paparkan Rukun Negara itu sebagai satu piagam yang jelas supaya dapat mereka (masyarakat) lihat.

"Inilah harapan kita dan kita yakin kempen berterusan ini akan melahirkan semangat kekitaan yang lebih jelas dan mantap," katanya.

Rais berkata, masyarakat yang berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun adalah golongan yang kurang dapat menghayati prinsip Rukun Negara.

"Jadi kita kena cerita semula apa asasnya Rukun Negara itu. Apa ertinya Kepercayaan Kepada Tuhan (prinsip pertama) sehinggalah ke tatasusilaan (Kesopanan dan Kesusilaan), agar setiap baris yang lima itu difahami dari segi sebenar dalam konteks agama, kaum, jabatan dan bidang masing-masing," katanya.

Dalam ucapannya pada perhimpunan tersebut, beliau berkata, Rukun Negara adalah satu pautan yang kuat untuk menyokong dan memantapkan lagi gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata, bersama-sama dengan 1Malaysia, pihaknya akan memasukkan elemen Rukun Negara dalam semua projek dan program kementerian berkenaan.

Dalam pada itu, Rais turut menyeru supaya poster yang kekal berkaitan Rukun Negara dan 1Malaysia diadakan.

"Pejabat kita di negeri dan daerah mesti paparkan ini semua (poster Rukun Negara dan 1Malaysia)," katanya. - Bernama

Gempa sederhana 5.2 magnitud landa Taiwan

TAIPEI: Gempa sederhana berukuran 5.2 magnitud melanda perairan timur Taiwan sebentar tadi, tetapi tiada ancaman tsunami dilaporkan.

Jabatan Seismologi Taiwan berkata, setakat ini tiada maklumat terkini mengenai mangsa yang terbabit serta kerosakan yang berlaku. Lokasi gempa berpusat di 35 kilometer di pesisir perairan Bandar Hualien. - AFP