Followers

Friday, April 16, 2010

Lebih 100 pelajar terbunuh akibat gempa di China

JIEGU: Sekurang-kurangnya 103 pelajar dan 12 guru terkorban akibat gempa bumi kuat di utara China kelmarin selepas terperangkap dalam bangunan dan asrama sekolah yang runtuh, lapor media tempatan hari ini.
Sementara 684 yang lain dilaporkan cedera dan 73 lagi masih hilang dalam celah rutuhan bangunan sekolah, lapor akhbar People’s Daily.


Kelmarin, bahagian utara di daerah Yushu digegarkan dengan gempa kuat 6.9 magnitud. - AFP

Najib lawat Jepun mulai Ahad

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dijadual melawat Jepun selama empat hari bermula Ahad ini atas jemputan kerajaan negara itu.
Ini adalah lawatan pertama beliau ke Jepun sebagai Perdana Menteri.
Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, Najib akan diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, serta Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang juga Pemangku Menteri Luar dan isteri, Datin Seri Masnah Rais.
Semasa di Tokyo, Perdana Menteri dijangka menghadap Maharaja Akihito dan Maharani Michiko.

Najib dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Jepun, Yukio Hatoyama, dan menghadiri jamuan makan malam rasmi yang dianjurkan oleh Hatoyama.

Beliau juga akan melawat pusat kitar semula Jepun, menyampaikan ucapan kepada ahli perniagaan dan bertemu tokoh industri terkemuka Jepun dan dikurniakan Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Meiji.

Dalam lawatan itu juga Najib dijadual menghadiri perjumpaan dengan warga dan pelajar Malaysia di Tokyo sebelum berlepas pulang.
Menurut kenyataan itu, lawatan ini mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh dan telah lama terjalin antara Malaysia dan Jepun menerusi bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, Dasar Pandang ke Timur dan pertukaran dalam bidang teknologi, kebudayaan serta pelancongan juga kerjasama dalam pengembangan bidang baru. - Bernama

Najib kini di NY

NEW YORK: Datuk Seri Najib Razak, yang sedang melakukan lawatan kerja seminggu ke Amerika Syarikat, kini berada di New York.

Ketibaan Perdana Menteri dan rombongan di Lapangan Terbang Antabangsa Newark malam tadi disambut Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Hamidon Ali.
Najib diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang juga Pemangku Menteri Luar dan isteri, Datin Seri Masnah Rais, Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Jamaludin Jarjis dan isteri, Datin Seri Dr Kalsom Ismail.
Najib dijangka bertemu tokoh-tokoh perniagaan dan pengurus dana Amerika Syarikat pada petang Jumaat dan antara lainnya dijangka menjelaskan mengenai Model Ekonomi Baru (NEM) Malaysia yang diumumkannya baru-baru ini.

Terdahulu pada hari sama, beliau dijadual menyampaikan ucapan bertajuk "Visi Baru Malaysia" pada jamuan tengah hari di Asia Society.

Najib yang berada di Washington sejak Sabtu lalu telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sebelum menghadiri Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear yang turut disertai 45 pemimpin dunia yang berlangsung selama dua hari bermula Isnin lalu. - Bernama