Followers

Saturday, September 19, 2009

Dr Mahathir tidak patut campur tangan: Samy Vellu

PUTRAJAYA: Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, meminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya tidak campur tangan dalam pemilihan calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang bulan depan.

"MIC yakin dengan kebijaksanaan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga pengarah pilihan raya BN) dalam memilih calon yang betul untuk kerusi itu.

"Perdana Menteri mempunyai kewibawaan untuk memilih seseorang yang mampu membawa kemenangan kepada BN. Hanya Perdana Menteri mempunyai kata putus mengenai siapa yang patut jadi calon," kata Samy Vellu kepada Bernama semasa diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam.

Bekas Perdana Menteri itu dalam temu bual dengan Bernama berkata Tan Sri Mohd Isa Samad tidak patut diletakkan sebagai calon bagi kerusi itu kerana beliau pernah digantung daripada Umno selama tiga tahun dari Jun 2005 atas dakwaan terbabit dengan politik wang.

Dr Mahathir berkata, imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

Beberapa cawangan Umno dan Umno Bahagian Teluk Kemang dikatakan telah mencadangkan nama Isa kepada pucuk pimpinan BN untuk dipertimbangkan sebagai calon bagi pilihan raya kecil itu.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang ditetapkan pada 3 Oktober dan pengundian pada 11 Oktober.

Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 September.

Samy Vellu juga berkata, Dr Mahathir tidak patut campur tangan dalam setiap pilihan raya kecil kerana pendapat beliau telah "menjejaskan" jentera pilihan raya BN semasa pilihan raya kecil berkenaan.

"MIC akan akur dengan siapa sahaja yang dipilih oleh Perdana Menteri, yang juga pengerusi BN. Dr Mahathir tidak sepatutnya campur tangan dalam terlalu banyak perkara yang mungkin meletakkan BN dalam keadaan sukar," katanya. - Bernama

Ada penduduk Indonesia sudah beraya

JAKARTA: Walaupun majoriti umat Islam di Indonesia masih menunggu pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Puasa yang dijangka disambut esok, namun sudah ada sekurang-kurangnya tiga kelompok di negara ini yang sudah menyambutnya pada Sabtu.

Kelompok Jemaah An-Nazir di Gowa, Sulawesi Selatan menunaikan solat sunat Aidilfitri pagi ini di pemukiman mereka di Kampung Butta Ejayya dengan diimamkan oleh ketuanya, Lukman A Bakti.

Laporan agensi berita Antara memetik Lukman sebagai mendakwa bahawa jemaahnya berjumlah 10,000 orang dan mereka mula berpuasa lebih awal dan semalam genap 30 hari mereka berpuasa.

Satu kelompok lagi, Jamaah Al Muhthor di Desa Wates, Tulungagung, Jawa Timur juga menunaikan solat sunat Aidilfitri hari ini.

Media massa online tempatan juga melaporkan bahawa ribuan jemaah Tarikat Naqsabandiyah di Padang, Sumatera Barat, juga telah menunaikan solat sunat Aidilfitri pagi ini.

Mereka dilaporkan menunaikan solat di 50 buah masjid, saling bermaafan dan menikmati juadah hari raya dalam suasana hari raya setelah yakin tarikh 1 Syawal jatuh hari ini. - Bernama

Hujan, petir diramal di utara Semenanjung

KUALA LUMPUR: Cuaca pada sebelah pagi esok di kebanyakan negeri diramal baik kecuali hujan di satu dua kawasan berhampiran pantai di Kedah, Perak, Perlis dan Pulau Pinang.

Pada waktu petang, ribut petir diramal di beberapa tempat di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Di Sarawak, cuaca dijangka baik kecuali di beberapa kawasan bahagian pantai di Kuching, Sri Aman, Samarahan, Mukah, Sibu, Sarikei dan Bintulu.

Pada sebelah petang pula, ribut petir diramal di beberapa tempat di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Mukah, Sibu dan Sarikei.

Di Sabah, walaupun hujan di satu dua tempat di kawasan Labuan, pantai barat dan pedalaman, cuaca pada amnya baik di lain-lain bahagian pada sebelah pagi dan ribut petir diramal pada petang di pantai barat serta pedalaman negeri itu dan Sandakan. - Bernama

Gempa bumi gegar Bali, ramai cedera

BALI, Indonesia: Gempa bumi di pulau peranginan Bali menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh orang cedera manakala ramai lagi bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Pusat Kajian Geologikal Amerika Syarikat menyatakan gempa bumi itu berukuran 5.8 pada skala Richter dan berpusat 75 kilometer ke selatan Denpasar awal pagi tadi. Tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Pegawai perubatan Dr Ken Wirasandi berkata tujuh orang dirawat kerana kecederaan di kepala dan patah tulang di Hospital Sanglah di Denpasar.

Wirasandi berkata, gegaran kuat itu menyebabkan ramai panik dengan wanita dan kanak-kanak bertempiaran lari keluar dari rumah.

Tiada laporan awal mengenai kerosakan besar.

Agensi Meteorologikal dan Geofizik Indonesia menyatakan gempa bumi lebih kuat iaitu pada 6.4 pada skala Richter.

24 kematian pada hari ke-6 Ops Sikap

KUALA LUMPUR: Pengguna kereta menyumbang kepada peningkatan kes maut pada hari keenam Ops Sikap ke-20 yang mencatatkan 24 kematian semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 93 kematian.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Supt Rasdi Ramli, dalam kenyataan di sini hari ini, berkata daripada 1,688 kemalangan semalam, 16 kematian membabitkan pengguna kereta dan lapan pengguna motosikal.

Katanya, jalan bandaran mencatatkan jumlah kemalangan paling tinggi dengan 666 kes diikuti jalan persekutuan (471 kes), lebuh raya (277 kes), jalan negeri (213 kes) dan jalan-jalan lain (61 kes).

"Sebanyak 10,739 saman juga dikeluarkan semalam. Ops Sikap ke-20 ini dijalankan sehingga 27 September ini, bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena musim perayaan ini. - Bernama

Pelajar Malaysia di Bali selamat

JAKARTA: Semua 239 pelajar Malaysia di Bali disahkan berada dalam keadaan selamat dan tidak terbabit dalam gempa bumi di pulau peranginan itu jam 6.06 pagi tadi waktu Indonesia Barat.

Gempa berukuran 6.4 pada skala Richter itu berpusat di 101 kilometer ke tenggara Nusa Dua, dengan kedalaman 36 kilometer.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia, Dr Junaidi Abu Bakar, berkata sebaik menerima panggilan daripada beberapa pemimpin pelajar yang merasakan gegaran gempa bumi itu, MSD telah menghubungi pelajar Malaysia di pulau itu untuk mengesahkan keadaan mereka.

"Alhamdulillah, semua berada dalam keadaan selamat dan tidak terbabit walaupun banyak yang dapat merasakan gegaran yang kuat ketika itu," katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah pelajar yang berada di Bali, kira-kira 80 orang telah memaklumkan yang mereka sudah pulang ke Malaysia untuk menyambut Aidilfitri.

Laporan Badan Meteorologi, Cuaca dan Geofisik Indonesia berkata gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter itu juga dirasai di perairan Maluku Utara pada jam 1.34 pagi waktu Indonesia Barat berpusat di kilometer 117, Barat Laut Ternate-Maluku Utara.

Mengenai sambutan Aidilfitri di Kedutaan Besar Malaysia di sini, yang dijangka esok (bergantung pengumuman rasmi pihak berkuasa Indonesia malam ini), Dr Junaidi berkata pelajar di Jakarta akan menunaikan solat sunat Aidilfitri di kedutaan.

"Mereka akan menyertai ratusan rakyat Malaysia yang lain bersama-sama menunaikan solat sunat Aidilfitri di kedutaan dan menikmati hidangan hari raya serta bersilaturrahim," katanya. - Bernama

H1N1: Pelajar perempuan 15 tahun mangsa ke-77

KUALA LUMPUR: Pelajar perempuan berusia 15 tahun yang tinggal di asrama disahkan sebagai mangsa ke-77 akibat Influenza A (H1N1).

Beliau meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah pada 11 September lalu tetapi kes hanya dilaporkan kepada kementerian Kesihatan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah pada 7 September kerana telah demam, batuk dan selsema selama sehari.

"Pesakit juga ada riwayat mengidap penyakit asma. Kes dirawat sebagai kes ringan ILI dan diberi rawatan simptomatik pesakit luar.

"Dimaklumkan bahawa simptom pesakit tidak pulih, tetapi hanya dibawa semula ke hospital 4 hari kemudian iaitu pada 11 September 2009, dimana pesakit terus dimasukkan ke Unit ICU, Hospital Sultan Abdul Halim dan rawatan antiviral influenza dimulakan.

"Oleh kerana komplikasi jangkitan, pesakit meninggal dunia enam jam selepas dimasukkan ke hospital. Penyebab kematian direkodkan sebagai pneumonia teruk dengan jangkitan H1N1 dan jangkitan bakteria," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, seramai 69 pesakit baru dengan gejala penyakit seakan influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa sama 150 kes telah dibenar keluar.

Katanya, ini menjadikan baki kes ILI yang sedang dirawat di 85 hospital termasuk 13 hospital swasta di seluruh negara adalah seramai 740 orang.

"Daripada jumlah kes ILI yang sedang dirawat, hanya 190 pesakit atau 26% adalah kes H1N1 yang disahkan melalui ujian makmal. Daripada 190 kes H1N1 yang sedang dirawat di hospital, sejumlah 29 kes atau 15% adalah di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Jumlah ini termasuklah 3 kemasukan baru dan 4 kes telah keluar dari ICU. Sebagai makluman, seramai 23 atau 79% kes H1N1 yang sedang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak bawah 5 tahun (7), penyakit kronik (6), obesiti (5), penyakit respiratori kronik (3) dan hamil (2)," katanya.