Followers

Thursday, January 14, 2010

Isu kalimah Allah tidak akan dibenar berulang: TPM

OXFORD: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau tidak akan membenarkan isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam berulang lagi pada masa depan.

"Kita tidak akan membenarkan sesiapa untuk memainkan isu ini (pada masa depan)," katanya ketika menjawab soalan daripada hadirin selepas menyampaikan syarahan bertajuk "Islam dan Cabaran Kritikal di Malaysia yang mempunyai Pelbagai Agama" di Oxford Centre for Islamic Studies (OCFIS) di sini.

Muhyiddin berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pernah menyebut bahawa proses perundangan bukan jalan penyelesaian terbaik bagi masalah itu dan mungkin ada cara lain.

"Saya setuju setakat peringkat tertentu, apa yang penting ialah untuk menangani keadaan. Beberapa perkara yang telah berlaku telahpun berlaku dan kita berharap ia tidak akan berulang lagi pada masa depan," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau menerima sejumlah besar mesej daripada kawan bukan Islam di Sabah dan Sarawak yang menyatakan bahawa ada penganut Kristian yang berkata bahawa banyak pekara yang berlaku tidak akan berlaku pada awalnya "jika kita, penganut Kristian menyatakan tidak akan menggunakan kalimah Allah."

Katanya, ini adalah kerana di Malaysia dan banyak tempat lain di dunia dan di semua negara Islam, Allah adalah satu-satu Tuhan bagi orang Islam.

"Justeru, kita tidak boleh samakanNya dengan Tuhan dalam anutan lain ataupun di dalam Kristian kerana mereka mempunyai konsep Triniti yang berbeza."

"Ada banyak perbezaan, saya tidak mahu pergi lebih jauh di dalam isu ini. Saya fikir kita perlu menangani isu di tanah air dengan cara yang kita hadapi di tanah air kerana ada aspek-aspek tertentu dalam kehidupan, budaya, tradisi dan hormat menghormati antara satu sama lain dan kita gunakan itu kepada kekuatan kita.

"Saya fikir kita dapat menanganinya dan Insya-Allah perkara-perkara yang telah berlaku tidak akan berulang lagi," katanya.

OFCIS yang terletak kira-kira 100 kilometer dari London, ditubuhkan pada 1985 bagi menggalakkan pengajian Islam dan dunia Islam secara ilmiah. Putera Wales ialah penaung pusat ini.

Masyarakat dunia digesa hulur bantuan ke Haiti

NEW YORK: Bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton, yang kini menjadi wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Haiti, melancarkan tabung kemanusiaan untuk membantu negara yang ditimpa bencana gempa bumi terburuk itu, semalam.

"Kita perlu segera menyelamatkan seramai mana nyawa penduduk Haiti yang ditimpa bencana ini.

"Jadi, paling penting setiap individu yang penyayang menghulurkan wang tidak kira sebanyak mana pun," katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Agung PBB di sini, hari ini dengan kebimbangan lebih 100,000 nyawa melayang akibat gempa 7.0 magnitud itu.

Clinton berkata, keperluan paling kritikal sekarang di Haiti ialah air bersih, makanan, tempat berlindung dan ubat-ubatan, terutama di kawasan bencana yang teruk di ibu negara, Port-au-Prince.

Katanya, orang ramai boleh membuat sumbangan menerusi laman webnya iaitu Yayasan Clinton di www.clintonfoundation.org/haitiearthquake.

Clinton kemudian memberitahu stesen CNN bahawa kesan kemusnahan amat besar dengan 75 peratus negara itu musnah akibat gempa berkenaan. - AFP

Gempa di Haiti: Jangkaan angka korban cecah 100,000 orang

NEW YORK: Gempa paling kuat yang melanda Haidi, semalam menyebabkan misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di negara kepulauan itu terjejas berikutan ramai kakitangannya maut.

Setiausaha Agungnya, Ban Ki-moon, berkata gempa berukuran 7.0 magnitud itu dijangka mengakibatkan ribuan nyawa melayang dengan angka yang dijangkakan melebihi 100,000 orang.

"Ia satu tragedi kepada Haiti dan juga PBB," katanya.

Perdana Menteri Haiti, Jean-Max Bellerive memberitahu stesen tv CNN bahawa angka kematian di Haiti akibat gempa kuat dan terburuk sejak 160 tahun itu boleh mencecah 100,000 orang.

"Namun saya berdoa dan amat berharap bahawa angka korban itu adalah tidak benar," katanya.

Misi pengaman PBB di Haiti - MINUSTAH - terjejas teruk dengan ibu pejabatnya di ibu negara Port-au-Prince runtuh dan berpuluh kakitangannya turut hilang dan dikhuatiri maut, termasuk ketua stafnya, Hedi Annabi dari Tunisia dan timbalannya.

Presiden Haiti, Rene Preval berkata, Annabi yang berada di dalam bangunan bersama antara 100 dan 150 kakitangan lain ketika gempa dikhuatiri maut. - AFP

Puluhan ribu dikhuatiri maut dalam gempa bumi Haiti

PORT-AU-PRINCE: Puluhan ribu orang dikhuatiri maut dalam gempa bumi terburuk Haiti semalam, terperangkap di bawah runtuhan sekolah, hospital dan kediaman manakala rakyat yang trauma merayau di jalan raya yang dipenuhi runtuhan bangunan dan mayat bergelimpangan.

Ketika gempa susulan terus menggegarkan Port-au-Prince, penduduk cuba menyelamatkan mereka yang tertimbus di bawah runtuhan dengan tangan.

Puluhan ribu penduduk pula merayau dalam keadaan terkejut dan menangis di jalanan mengharapkan bantuan.

Seorang lelaki menjerit kepada wartawan: "Terlalu ramai yang menghadapi maut. Kami perlukan bantuan antarabangsa...tiada bantuan kecemasan, tiada telefon, tiada air tiada apa-apa pun."

Mayat kelihatan di seluruh bandar ini, terperangkap di bawah runtuhan dan bergelimpangan di tepi jalan.

Ditanya wartawan CNN mengenai bilangan yang terkorban, Presiden Rene Preval menjawab: "Saya tidak tahu...sehingga sekarang saya dengar 50,000..." - Reuters