Followers

Wednesday, October 21, 2009

RM1.96 bilion diperuntukkan lahir petani moden: Noh

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM1.96 bilion daripada RM3.26 bilion yang diperuntukkan menerusi 14 pakej bagi membantu petani menjadi petani moden belum dibelanjakan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, sejak 1996 hingga 2003, seramai 73,000 petani memperoleh faedah daripada pakej berkenaan yang diperkenalkan menerusi Agrobank membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1.3 bilion.

Katanya, selain pakej berkenaan, kerajaan juga memperkenalkan teknologi moden menggunakan alat jentera moden dengan peruntukan sebanyak RM380 juta.

"Peruntukan itu digunakan untuk membekalkan jentera moden sama ada diberi percuma kepada ketua ladang atau petani menerusi geran padanan, sebagai contoh jika jentera moden itu berharga RM10,000 petani hanya perlu membayar separuh, manakala bakinya akan dibiayai oleh kerajaan.

"Usaha untuk menaik taraf bidang pertanian juga membabitkan penekanan kepada generasi kedua terutama golongan siswazah kerana kerajaan mahu bidang pertanian diurus secara lebih berkesan dengan ilmu," katanya ketika menjawab soalan lisan tambahan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) di Dewan Rakyat hari ini.

Ekstrak misai kucing boleh tangani kanser

GEORGETOWN: Sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, berjaya menghasilkan ekstrak herba piawai daripada Misai Kucing sebagai bahan untuk menangani penyakit barah.

Kumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Farmasi yang diketuai pensyarahnya, Dr Amin Malik Shah Abdul Majid mendapati ekstrak Misai Kucing mempunyai kandungan anti-oksidan yang tinggi dan boleh menghindar dan menghalang pertumbuhan sel barah.

bercakap kepada pemberita di sini, Dr Amin berkata, ekstrak Misai Kucing yang dinamakan "Canssufive" itu telah diuji kepada haiwan dan terbukti dapat merencatkan penumbuhan pembuluh darah dan sekaligus menghalang sel barah merebak ke tisu dan organ yang lain.

"Setakat ini, penyelidikan kita melibatkan kajian sel kultur dan haiwan dan kita bercadang untuk mengadakan kajian klinikal "Canssufive" ini terhadap manusia pada penghujung tahun depan," katanya.

Katanya, kaedah rawatan barah yang biasa digunakan ketika ini ialah kemoterapi yang menggunakan bahan kimia beracun untuk menangkas penumbuhan sel barah tetapi dengan penggunaan Misai Kucing, ia dapat menghalang penumbuhan pembuluh darah sel tumor.

Dr Amin BERKATA, sel tumor bergantung sepenuhnya kepada bekalan oksigen dan makanan yang diterima melalui saluran darah dan apabila sel itu membesar, ia akan merangsang penumbuhan salur darah yang baru dan dengan cara ini juga sel barah merebak ke tisu atau organ yang lain.

Beliau berkata ekstrak Misai Kucing tidak beracun atau mengandungi kesan sampingan dan ia boleh juga digunakan sebagai makanan tambahan untuk menjaga kesihatan tubuh badan.

Beliau berkata, penggunaan estrak Misai Kucing sebagai agen anti-angiogenik dan bahan rawatan penyakit barah jauh lebih murah berbanding kos rawatan ubat-ubatan biasa yang membebankan pesakit.

Kajian yang dijalankan selama dua tahun dengan kos mencecah RM1.5 juta itu mendapati estrak Misai Kucing dalam bentuk kapsul dan pil mempunyai kandungan anti-oksidan yang jauh lebih tinggi berbanding dalam bentuk cecair.

Ketika ini, USM sedang berbincang dengan beberapa syarikat yang berminat untuk mengeluar dan memasarkan "Canssufive" dan berharap hasil penyelidikan itu dapat dikomersilkan hujung tahun depan.

Bagi tujuan itu, Dr Amin berkata, USM mendapat kerjasama daripada ladang Misai Kucing di Perlis yang menjalankan amalan perladangan yang baik untuk menghasilkan pokok yang berkualiti.

"Untuk mendapatkan kualiti Misai Kucing yang tinggi ia perlu ditanam dan diproses mengikut cara yang ditetapkan," katanya. - Bernama

Novel Tak Bertajuk (Part II)

Setelah berkumpul mengikut kelas, beberapa guru pun memberi pengumuman penting. Kemudian setiap pelajar ke kelas masing-masing mengikut kelas. Kami berbaris ke kelas untuk memulakan aktiviti pembelajaran di dalam kelas.

Ketika kami memasuki ke dalam kelas, kami melihat mereka membuat kerja rumah masing-masing yang belum disiapkan. Kalau kerja yang tidak siap, akan didenda oleh cikgu tersebut. Sebentar lagi, cikgu Bahasa Malaysia akan masuk untuk mengajar kami.

“Murid semua berdiri. Assalammualaikum.” kata ketua kelas.
“Waalaikummussalam. Semua pelajar duduk.” kata cikgu.
“Hari ini cikgu ajar tatabahasa. Pas ini cikgu akan beri latihan.” kata cikgu lagi.
“Ok cikgu”

Setelah memberitahu kami menganalisis ayat, memberi kami latihan untuk mencuba dan memberi kerja rumah berkaitannya. Dapatkah ku jawab semua soalan itu? Harap-harap dapat lah.

“Bila hantar ini latihan, cikgu?” kata salah rakan sekelasku.
“Esok. Bolehkah?” kata cikgu.
“Esok cikgu?”
“Kenapa? Tak bolehkah hantar esok?” kata cikgu.
“Boleh, tapi ….”
“Kalau tak boleh. Hantar hari khamis, boleh tak.”
“Boleh, cikgu”
“Murid semua berdiri. Terima kasih cikgu,” kata ketua kelas.

Setelah cikgu Bahasa Malaysia keluar dari kelas, sesetengah pelajar terus membuat kerja rumah yang belum siap. Sebelum cikgu Kimia masuk, ku membuat ulangkaji dengan merujuk buku teks dan buku rujukan. Maklumlah, ku pelajar rajin. Selepas beberapa minit ku ulangkaji, cikgu pun masuk ke kelas dan mengajar kami tentang bab seterusnya dalam buku teks.

“Pelajar semua berdiri. Good morning, teacher,” kata ketua kelas.
“Good morning. Duduk semua. Sapa ketua kebersihan kelas kamu?” kata cikgu.
“Saya, cikgu.” kata Mal.
“Kenapa cikgu panggil saya?” kata Mal lagi.
“Napa? Cuba tengok kat lantai itu. Kotor dan berhabuk.” kata cikgu.

Setelah membersihkan kelas selama 10 minit, kami pun menyambung pembelajaran yang diajar oleh cikgu. Ku memberi prihatian sepenuhnya untuk menambah ilmu tentang subjek itu. Semasa cikgu sedang menjelaskan bab tersebut, ku mula menyalin nota-nota penting. Kadang kala kalau ku tak faham, ku memulakan beberapa soalan.

“Pelajar, hari ini teacher akan beri latihan. Tulis soalan kat buku.” kata cikgu.
“Baik teacher.”

Setelah kami menyalin beberapa soalan berkaitan bab tersebut, ku lalu membuat semua sementara masa masih ada. Ku telah banyak membuat ulangkaji yang berkaitan dengan semua bab dalam buku Kimia. Bagaimana pun banyak ku tak tahu ataupun faham setiap bab yang telah diajar. “Triiing! Triiiinnnng!!” Bunyi lonceng sekolah yang menandakan masa rehat. Kami mengemas buku dan alat tulis ke dalam laci.

“Semua pelajar berdiri. Thank you, teacher.” kat ketua kelas.
“Jom kita rehat, Jo.” kataku.
“Jomlah. Lapar sangat ini.” kata Jo.

Ku terparak dengan Norlily semasa ku dan Jo menuruni anak tangga. Ku tak acuh dan berlagak tak ada apa-apa. Norlily pun begitu juga. Semasa ku nak membeli makanan. Terkonyong-konyong ada orang yang menepuk bahuku dari arah belakang. Alangkah ku terperanjat, rupa Norlily yang menepuk bahuku tadi.

“Hai, Fiq.” kata Norlily.
“Hai, sayang. Beli apa tu?” kataku.
“Seperti acapnya. Janganlah panggil sayang-sayang time begini.” kata Norlily.
“Oh… Ok bah.” kataku.

Ku pergi ke tandas dan membasuh tangan ku yang kotor. Setelah ku dari tandas, terkonyong-konyong lonceng berbunyi menandakan masa rehat dah habis. Ku pergi ke pondok berdepan dengan makmal sains. Ku melihat beberapa helai kertas yang ku karang telah hilang semasa ku pergi ke tandas.

Hanya beberapa helai kertas dan pen kat situ. Ku bawa barang ku ke kelas. Semasa ku kat kelas, ku tertanya-tanya ke mana hilangnya beberapa helai kertas yang lain? Atau ada sapa-sapa yang membacanya? Atau ditiup angin?

Kalau kertas ditiup angin, mesti ada beberapa kertas ada kat situ. Dah lah, mungkin ada yang ambil kot. Selepas sekolah, ku dan Jo pulang lewat untuk memantau kelas agar tak ada yang kotor dan tak berusai. Ku terus turun ke bawah dan terus ku berjalan pulang ke rumah. Cuaca hari ini macam acapnya. Ku melihat beberapa pelajar yang masih menunggu. Kami berjalan sambil berbual-bual.

“Jo, kau ada kat pondok yang berdepan dengan makmal.” kataku.
“Ada tapi sekejap saja kat situ. Napa?” kat Jo.
“Kau ada nampak kah beberapa helai kertas.” kataku.
“Ada. Tapi aku tak tahu sapa punya tak bernama” kata Jo.
“Jadi mana lah kertas itu?” kataku.
“Ku bawa ke kelas. Dan …. (katanya yang terputus)” kata Jo.
“Dan? Dan apa?” kataku.
“Dan ku simpan kat bagku.” kata Jo.
“Aik? Kenapa kau tanya pasal kertas itu? Kau punya ke, Fiq?” katanya lagi.
“Yalah. Manalah kertas itu?” kataku.
“Ok. Ku nak kuarkan lah.” katanya.
“Oh yah! Ku selit salam buku Sejarah. Nah!” katanya lagi.
“Thanks yer.” kataku.

Kami berbual sampai ke pagar sekolah. Ku teringat yang ku ada latihan yang belum disiapkan. Bagaimana ku hendak membuat latihan tu tanpa buku teks atau buku rujukan? Dengan sapa harus ku pinjam? Macam mana ini atau ku pinjam dari Jil? Pukul berapa ku hendak pinjam dari dia atau sekarang? Banyak betul persoalan yang bermain dalam ruang fikiranku.

“Jil! Tunggu dulu.” kataku.
“Apa Fiq?” katanya.
“Pinjam buku teks Matematik mu. Leh kan?” kataku.
“Boleh tapi kau kena tunggu aku kat kedai. Ok?” katanya.
“Ok!” kataku.

Setelah kian lama ku menunggu, ku mengambil keputusan untuk membeli makanan bagi mengalas perutku ini. Setelah beberapa minit ku menunggu Jil, konyong-konyong dia muncul dihadapanku.

“Nah buku yang kau nak pinjam tu.” katanya.
“Ok. Thanks. Nanti ku kasih pulang bukumu.” kataku.

Ku terus balik ke rumah. Ku terkejut dengan gelagat rakan-rakan sekolahku. Ku terus berjalan tanpa acuh kat mereka. Ku menyeberang ke jalan sebelah untuk melalui jalan shortcut. Semasa ku jalan shortcut, ku terparak dengan Norlily. Rupa-rupanya dia tinggal kat situ. Dia menjerit namaku, namun ku tak acuh.

Sampai saja kat rumah, ku terus membersihkan diriku yang kotor dan berpeluh. Setelah selesai membersihkan diriku, ku makan tengah hari. Ku start membuat ulangkaji yang belum ku siapkan. Ku mendengar radio sambil membuat kerja rumah. Terkonyong-konyong lagu yang ku suka telah dimainkan dalam radio. Lagu itu sungguh merdu kedengaran di radio.

Setelah beberapa jam ku membuat homework dan ulangkaji. Ku banyak buat latih tubi tentang subjek-subjek. Ku menunaikan solat Maghrib. Beberapa minit lagi, azan Maghrib akan berkemundangan. Ku membersihkan diri dan mengambil wudu’ untuk menunaikan solat.

Setelah ku menunaikan solat, ku mengulang kaji subjek Chemistry Form 4. Selepas ku mengulang kaji, ku menonton television sehingga pukul 9.00 malam. Sementara itu, ku makan malam bersama keluargaku. Setelah ku makan malam dan membuat ulangkaji, ku mengemas buku mengikut jadual waktu.

Ku terfikir sapa yang memanggil namaku? “Hei! Bagus ku masuk tidur. Ku nak rehatkan mindaku dari stress. Harap-harap ku bermimpi indah selalu.” kataku yang termenung panjang. Semasa ku termenung pasal tempoh hari, ku terlelap. Suasana malam itu nyaman dan dingin.

Ku bangun seperti acapnya. Hari ini ku pergi ke sekolah lewat sedikit. Samasa ku berjalan ke sekolah, ku terparak dengan Norlily. Kami berjalan bersama-sama ke sekolah. Semasa dalam perjalanan ke sekolah, Norlily telah menanya beberapa soalan, tetapi ku hanya berdiam.

“Aik, Fiq!” kata Norlily.
“Napa? Maaf lah kalau I terkasar tadi.” kataku.
“Tak apa. I faham juga. Napa diam saja tadi?” katanya.
“Tak lah sayang. I cuma terkejut pasal tadi itu.” kataku.
“Yakah. Dah lambat kita ini.” katanya.
“Yalah, sayang.” kataku.

Semasa kami berjalan ke sekolah, terkonyong-konyong, kawannya Siti menepuk bahu kami dengan serentak. Kami terdiam dan terhenti bagai kaku nak dimakan buaya. Ku tak tahu Siti datang dari mana.

“Opooocot!” kataku.
“Apa korang buat itu? Korang couple ke?” kata Siti.
“(Terkejut)…Tak….. Tak ada lah.” kataku.
“Fiq! Napa tak bagi tahu kat Siti pasal kita berdua?” kata Norlily.
“Sayang nak I bagi tahu. Ops!” kataku.
“Nah! Ketahuan dah. Napa tak bagi tahu ini?” kata Siti.
“Dah ku agak kau dan Lily ada hubungan.” kata Siti lagi.
“Dah lewat ini.” kataku.

Kami pun berjalan ke sekolah. Seperti acapnya kami berbaris sebelum masuk ke kelas masing-masing. Ketika ku berada dalam barisan, terkonyong-konyong Jo menepuk bahu ku. Ku terkejut dibuatnya. Kami masuk ke kelas mengikut barisan kelasku.

“Eh, Fiq!” kata Jo.
“Napa? Sakit tau kat buat kat aku tu.” kataku.
“Sorry lah. Aku tengok kau dan Norlily. Macam ada apa-apa.” kata Jo.
“(Terdiam)…Ahhh.” kataku.
“Terus terang atau ku tanya kat Siti.” kata Jo.
“Ok! Ku memang suka kat Norlily. Dia pun sebaliknya suka kat aku.” kataku.
“Jangan nak bocorkan rahsia kami. Ok” kataku lagi.
“Ok bah, Fiq!” kata Jo.

* sambung

Susilo pilih Malaysia negara pertama dilawati: Najib

JAKARTA: Datuk Seri Najib Razak berkata Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, telah membuat keputusan tepat pada hari pelantikannya sebagai presiden bagi penggal kedua 2009-2014 hari ini untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pertama yang akan dilawatinya.

Perdana Menteri berkata, Susilo memaklumkan sendiri hasrat itu kepadanya untuk menandakan keakraban hubungan dua hala antara kerajaan Malaysia dan Indonesia yang tidak pernah beliau ragukan.

Najib memberitahu wartawan Malaysia di sini bahawa beliau sendiri mengambil keputusan untuk hadir pada majlis pemahsyuran dan angkat sumpah jawatan Susilo di sini hari ini, juga sebagai tanda persahabatan yang akrab antara kerajaan Malaysia dan Indonesia.

"Dan kehadiran saya amat dialu-alukan dan diterima dengan hati tulus ikhlas presiden SBY sendiri.

"Selain mengucapkan ribuan terima kasih, beliau juga memaklumkan kepada saya, sebagai bukti untuk menandakan perkara yang sama, beliau telah membuat keputusan supaya Malaysia menjadi negara pertama beliau lawati sebagai presiden dalam penggal kedua ini. Tarikhnya telah ditetapkan pada 11 November ini," kata Perdana Menteri.

Najib yang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, dan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman, berada di sini untuk menyaksikan istiadat pelantikan Susilo dan Naib Presiden, Boediono di gedung Parlimen Indonesia di sini pagi ini.

Katanya, dalam atur cara hari ini tidak ada kesempatan baginya untuk membincangkan sebarang isu dua hala mahupun pelbagai hala dengan Susilo, seperti juga antara Presiden Indonesia itu dengan pemimpin-pemimpin negara lain yang turut hadir.

Menjawab satu soalan, Najib berkata beliau tidak menganggap hubungan Malaysia dan Indonesia sebagai "pasang surut" kerana daripada segi kerajaan kedua-dua negara hubungannya sentiasa konsisten, akrab dan baik.

"Malah sepanjang masa, kita sentiasa berusaha mencari jalan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dan menyelesaikan dengan baik apa juga masalah yang timbul," katanya.

Najib berkata yang menjadi masalahnya ialah hubungan di peringkat rakyat yang disebabkan oleh segelintir kecil orang yang tindak tanduk mereka mendapat sebaran meluas oleh media massa.

"Inilah yang menyebabkan dari segi persepsi seolah-olah kita menjurus kepada hubungan yang tegang tetapi pada hakikatnya dari segi kepimpinan kedua-dua negara boleh dikatakan sentiasa berada di tahap yang begitu baik dan selesa," katanya.

Najib berlepas pulang ke tanah air malam ini. - Bernama

16 Sept diisytihar cuti awam disambut baik

20th October, 2009

KOTA KINABALU: Semua lapisan masyarakat di negeri ini menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai sambutan Hari Malaysia yang bakal diraikan pada 16 September setiap tahun dan diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun depan.

Mereka menyatakan langkah Perdana Menteri mengisytiharkan tarikh keramat itu sebagai cuti umum, langkah bijak dan akan mengukuhkan lagi perpaduan 1Malaysia.

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Salleh Said Keruak menyifatkan pengumuman itu tepat pada masanya dan menunjukkan kesungguhan serta kejujuran Perdana Menteri merealisasikan aspirasi gagasan 1Malaysia.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri berkata, ia satu petanda baik ke arah pembentukan satu rakyat Malaysia yang bersatu padu.

“Ia juga merupakan pengiktirafan yang tinggi terhadap tarikh 16 September iaitu tarikh penyertaan Sabah dan Sarawak dalam gagasan Malaysia.

“Sesungguhnya rakyat Sabah dan Sarawak begitu gembira dan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri itu,” katanya.

Salleh yakin dengan pengumuman 16 Sept sebagai cuti awam, tahap perpaduan antara rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung akan bertambah mantap.

Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim berkata: “Bagi pihak pergerakan pemuda PBS, kami mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri mengisytiharkan 16 September sebagai hari cuti kelepasan am peringkat nasional.

“Sebenarnya Presiden PBS Datuk Joseph Pairin Kitingan sudah pun mencadangkannya sejak tahun 1985. Dengan keputusan itu, Perdana Menteri telah mengangkat status pembentukan Malaysia ke tahap yang sepatutnya dan merupakan satu langkah yang bijak untuk merealisasikan aspirasi gagasan 1Malaysia,” katanya

Golongan pekerja dalam pelbagai sektor awam dan swasta, turut mengalu-alukan dan menyokong penuh pengisytiharan 16 September sebagai cuti umum seluruh negara.

Florence Gunsalam berkata, tarikh 16 Sept, merupakan satu tarikh yang penting dan harus diingat oleh seluruh rakyat negara ini.

“Sememangnya, inilah (pengisytiharan cuti umum Hari Malaysia) yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Sabah dan Sarawak selama ini.

“Dengan pengisytiharan 16 September sebagai cuti umum di seluruh negara maka masyarakat akan lebih mengingati dan mengetahui dengan lebih terperinci sejarah pembentukan Malaysia melalui program-program yang akan diadakan sempena sambutan itu.

“Ini kerana kadang-kadang kita dengar ada orang mengatakan “seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” pernyataan ini seolah-olah menunjukkan Sabah dan Sarawak tidak termasuk dalam Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Donna Lai, kakitangan swasta berkata, pengisytiharan 16 September sebagai cuti umum, pastinya akan mengukuhkan lagi perpaduan yang sedia terjalin di kalangan rakyat negara ini.

Kelmarin, pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun depan.

Ketika mengumumkannya, Najib berkata pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.

“Dengan demikian rakyat Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar. Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan kita akan perjuangan mencapai kemerdekaan dari penjajahan, yang akan dirayakan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan dan sebagainya untuk mengingati detik sejarah itu.

“Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia,” kata Najib.

Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di mana Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963.

Malaysia tempat ke-11 destinasi pelancongan dunia

PULAU PINANG 20 Okt. - Malaysia menduduki tempat ke-11 sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia dengan 17.4 juta pelancong dalam tempoh Januari hingga September lalu mengikut senarai Pertubuhan Pelancongan Dunia (WTO).

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, kedudukan tersebut iaitu satu tangga di bawah Mexico yang banyak menerima kunjungan pelancong Amerika Syarikat (AS), adalah sesuatu yang perlu dipertahan dan dipertingkatkan.

Menurutnya, jumlah pelancong juga meningkat 6.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2008 yang mencatat ketibaan 16.3 juta kemasukan pelancong.

Beliau yakin sasaran asal kemasukan 20 juta pelancong pada tahun ini boleh dicapai walaupun sasaran tersebut dikurangkan kepada 19 juta ekoran penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

''Negara terus mencatat peningkatan ketibaan pelancong walaupun WTO mengakui 99 peratus negara mencacat pertumbuhan negatif kemasukan pelancong,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Projek Menaik Taraf Sistem Kereta Api Bukit Bendera yang disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di sini hari ini.

Nor Mohamed juga adalah Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang. Turut hadir ialah Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Yen Yen berkata, kemasukan pelancong dari negara Asia Tengah seperti Ukraine, Khyrgistan dan Rusia mencatat peningkatan ketara selain kemasukan memberangsangkan dari China, Asia Barat, Australia dan Eropah.

Menurutnya, penerbangan langsung dari Asia Tengah mulai tahun depan dijangka merancakkan lagi kemasukan pelancong dari rantau itu.

''Hanya kemasukan pelancong dari Korea Selatan yang mencatat penurunan ketara,'' jelasnya.

Selain itu katanya, sektor pelancongan merupakan penyumbang kedua terbesar kepada negara pada tahun lalu dengan pendapatan berjumlah lebih RM50 bilion.

''Kita mesti terus mempromosikan sektor ini kerana sebarang pengurangan misalnya 10 peratus sahaja akan menyaksikan negara kehilangan RM5 bilion,'' katanya.

Selain itu kata beliau, Exco yang bertanggungjawab terhadap pelancongan perlu menggerakkan kerja-kerja mempromosi pelancongan di peringkat negeri.

Menurutnya, Tourism Malaysia bertanggungjawab menjalankan kerja mempromosi Malaysia secara menyeluruh bukannya mana-mana negeri secara spesifik.

''Dalam konteks ini Sabah telah bertindak dengan baik dan amat dikenali di seluruh dunia,'' katanya.

Budaya: Tidak wujud soal tiru-meniru

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan hari ini menegaskan tidak wujud soal tiru-meniru atau pengambilan hak pembudayaan tradisi antara masyarakat Malaysia di Negeri Sembilan dan rakyat Indonesia di Sumatera Barat.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, masyarakat Indonesia di Sumatera Barat yang telah berhijrah ke Negeri Sembilan beratus-ratus tahun lamanya, bebas untuk mengamalkan adat istiadat mereka.

''Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga telah menggariskan bahawa satu-satu kaum yang berhijrah antara satu sempadan dengan sempadan negara yang lain, mereka berhak membawa budaya dan cara hidup secara tradisi sama ada menerusi bahasa, muzik atau pembudayaan lain.

''Oleh itu, soal budaya tidak seharusnya dipermainkan menerusi media sehingga Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang hanya bersifat mempertahankan hala tuju pembudayaan sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena kunjungan muhibah 19 wartawan Bukittinggi, Sumatera Barat di kementeriannya di sini hari ini.

Rais berkata, dalam pertemuan itu, kumpulan wartawan Indonesia tersebut juga menyifatkan, pihak-pihak tertentu yang mengkritik isu tarian Pendet sebagai keterlaluan.

''Mereka juga mengatakan golongan tersebut hanya diwakili oleh kumpulan yang kecil dan tidak mewakili rakyat Indonesia secara keseluruhannya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya akan merapatkan lagi usaha seni budaya antara antara kedua-dua buah negara melalui dua program yang akan diadakan di Malaysia dan Indonesia.

''Kita menyambut baik usul untuk mengatur beberapa program termasuklah program seni penulisan tentang adat istiadat, adat Pepatih dan adat Temenggung.

''Selain itu, kita akan menentukan sama ada beberapa artis tradisional dapat bertukar-tukar persembahan antara kedua-dua negara dari semasa ke semasa," katanya.

Jangan terlalu berharap

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Meskipun lebih sejuta pembayar cukai pendapatan individu di negara ini sememangnya mengharapkan diberikan pengurangan bayaran dalam pembentangan Bajet 2010 Jumaat ini, harapan itu mungkin tinggal harapan.

Bersandarkan situasi ekonomi semasa yang masih tidak menentu, idea dan langkah menurunkan cukai pendapatan bukanlah langkah bijak.

Menurut Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Datuk Dr. Zainal Aznam Yusof, pengurangan itu akan hanya mengurangkan pendapatan negara, sekali gus memberi kesan negatif kepada proses pemulihan negara selepas krisis ekonomi global.

''Rakyat sepatutnya perlu diberi gambaran yang jelas kerana apabila kita bercakap mengenai pengurangan cukai pendapatan individu, ia membabitkan pendapatan negara.

''Malaysia diunjurkan bakal berhadapan dengan defisit bajet yang tinggi iaitu 7.6 peratus, tertinggi di ASEAN dan Asia.

''Jadi, saya berpendapat kerajaan perlu menghalusi dan mengkaji sekiranya ia mahu dilaksanakan,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas Persidangan Persekutuan Insurans dan Insurans Semula AFRO-Asia (FAIR) di sini hari ini.

Beliau yang berpendapat cadangan tersebut sukar dilaksanakan kerana kerajaan memerlukan wang untuk proses pemulihan akibat krisis kewangan global.

Katanya, jika semuanya dikurangkan apakah yang lagi tinggal untuk dibelanjakan bagi kos operasi dan pembangunan negara.

Bagaimanapun, pakar ekonomi itu tidak menolak pengurangan cukai individu mungkin boleh dilakukan sekiranya kerajaan berupaya menambah nilai cukai-cukai lain sebagai penggantinya.

Dr. Zainal Aznam menegaskan, kerajaan tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada sumber pendapatan daripada Petronas termasuk cukai produk petroleum dan dividen daripada firma minyak itu.

''Rakyat perlu sedar pada masa yang sama Petronas terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi penerokaan baru, lagi dalam penerokaannya (mencari minyak) lagi tinggi kos yang perlu ditanggungnya.

Dr. Zainal Aznam berkata, sudah sampai masanya kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atau cukai-cukai nilai tambah (VAT), yang dijangka bakal menjadi cadangan populis pada Bajet 2010 kerana ia memberi faedah yang lebih kepada golongan berpendapatan rendah.

Katanya: ''Kerajaan sewajarnya membina platform bagi pelaksanaan GST supaya ia akan memudahkan apabila sistem tersebut berjalan.

''Yang penting ialah berapa tinggi atau rendah kadar cukai yang akan dikenakan, itu sebenarnya yang ditunggu oleh rakyat, jelas beliau.

''Saya yakin sekiranya kerajaan berani memperkenalkan GST dan VAT, tindakan itu membantu meringankan beban hidup golongan kumpulan pertengahan rendah dan rendah memandangkan Malaysia masih dalam kemelesetan ekonomi.

''Walaupun kita telah berada di paras kemelesetan tetapi untuk ekonomi berada di landasan sebenar ia bukan sesuatu yang boleh berlaku dalam sekelip mata.

''Sebab itu, rakyat masih perlu bergantung kepada pelaksanaan polisi fiskal oleh kerajaan untuk memberi sokongan kepada kumpulan berpendapatan rendah,'' ujar beliau.

Ditanya apakah bentuk 'goodies' yang bakal diumumkan kerajaan pada Bajet 2010 Jumaat ini, Dr. Zainal Aznam berpendapat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pasti akan mengutamakan golongan berpendapatan rendah.

''Kemelesetan ekonomi menyebabkan pendapatan dan lebihan tunai golongan ini sangat terjejas dan Bajet 2010 akan memberi kelegaan,'' tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak Bajet 2010 bakal memberi cabaran kerana kerajaan dijangka mengumumkan penstrukturan semula subsidi untuk memastikan ia dimanfaat sepenuhnya kepada golongan sasar.

''Subsidi-subsidi kerajaan sekarang memberi faedah kepada semua...termasuk golongan yang tidak memerlukan.

''Saya percaya Bajet 2010 akan mencatatkan perubahan. Subsidi perlu diberi kepada mereka yang sepatutnya dan inilah cabaran kepada kerajaan untuk melaksanakannya,'' jelas beliau.

Usaha sama perlu hadapi bencana

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Para penggendali insurans kerajaan dan swasta perlu menjalin usaha sama membekalkan skim insurans yang sesuai di samping memajukan mekanisme pengurangan risiko, terutamanya ketika menghadapi malapetaka, kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Dengan meningkatnya jumlah bencana yang melanda yang dikaitkan dengan perubahan cuaca dan wabak, usaha sama sebegini akan menjadi penting dalam menghadapi kerugian yang terpaksa ditanggung.

"Menurut kajian terkini, kerugian ekonomi yang disebabkan bencana alam dan bencana buatan manusia di seluruh dunia pada 2008 berjumlah AS$269 bilion.

"Asia tersenarai dalam lima tempat teratas bagi bencana terburuk dari segi jumlah kematian pada 2008. Bencana alam di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik baru-baru ini juga menyebabkan kemusnahan yang dahsyat," katanya dalam ucaptama sebelum merasmikan Seminar Persekutuan Insurans dan Insurans Semula Afro Asia ke 21 di sini hari ini.

Zeti berkata, usaha sama yang lebih banyak di kalangan anggota industri serantau dalam bentuk bantuan teknikal dan perkongsian sumber akan meningkatkan kapasiti dan kepakaran untuk menaja jamin risiko sebegini.

"Menerusi usaha sama sedemikian, kebolehan untuk industri insurans menaja jamin dan menginsuran semula risiko berdasarkan keperluan rantau ini akan meningkat," tambahnya.

Sementara beberapa ekonomi maju terus dibebankan oleh pertumbuhan yang lemah kerana proses penyelesaian kewangan yang lembap dan bilangan pengangguran yang tinggi melambatkan proses pemulihan, ekonomi membangun, pada umumnya, dan Asia, khasnya, telah menunjukkan keanjalan, kata Zeti.

"Ketika ekonomi membangun dijangka memacu proses pemulihan, terdapat keperluan bagi penilaian semula strategi untuk pertumbuhan masa depan.

Kebergantungan yang melampau kepada eksport berbanding pasaran tradisi akan meningkatkan pendedahan kepada perkembangan luaran," tambah beliau.

Menuju ke hadapan, ekonomi berkembang kini perlu mencapai keseimbangan antara strategi pembangunan luar dan pengukuhan permintaan tempatan, kata gabenor bank pusat itu.

Zeti berkata, aliran yang semakin berkembang dan prospek pertumbuhan yang menggalakkan di rantau terbabit memberikan peluang yang luas kepada industri insurans dan insurans semula.

Beliau berkata, agregat keseluruhan kedudukan kewangan penanggung insurans di negara-negara yang dilanda krisis terus kukuh, dan pada umumnya tidak terjejas teruk oleh tekanan pencairan atau pendedahan dalam pasaran kredit derivatif.

Zeti berkata, prospek kadar penembusan insuran di rantau ini kekal positif.

Pada 2008, premium insurans mewakili 5.95 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) di Asia dan 3.57 peratus KDNK di Afrika berbanding 7.29 peratus di Amerika dan 7.46 peratus di Eropah.

Anwar Ridhwan Sasterawan Negara Ke-10


Anwar Ridhwan bersama anugerah selepas menerima Anugerah Sastera Negara Ke-10 di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 20 Okt. - Dekan Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Datuk Dr. Mohd. Anuar Rethwan, 60, atau nama penanya Anwar Ridhwan diumum sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-10.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menyampaikan anugerah tersebut kepada tokoh sastera dan bahasa itu yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Turut berangkat pada majlis yang diadakan di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan dekat sini malam ini ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman.

Pemilihan tersebut membolehkan anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu menerima warkah penghormatan negara, wang tunai RM60,000 serta pelbagai kemudahan untuk kegiatan mencipta karya sastera.

Kerajaan turut membeli 50,000 naskah karya beliau untuk diedarkan ke sekolah-sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Dalam ucapannya pada majlis penyampaian anugerah tersebut di sini malam ini, Muhyiddin berkata, pemilihan Anuar berdasarkan sumbangan kreatif dan kesan pemikiran sehingga membentuk tradisi persuratan tersendiri bagi masyarakat negara ini.

Beliau berkata, ketegaran dalam mendalami dan mempertahankan nilai pembinaan negara bangsa yang diperjuangkan menjadi penilaian utama ahli panel untuk memilih penerima anugerah.

''Di samping itu, komitmen sasterawan dalam kegiatan sastera secara berterusan sehingga membentuk tradisi persuratan yang tersendiri serta didukung dan diteruskan oleh generasi penulis juga dijadikan asas penilaian," katanya.

Beliau berkata, pengurniaan Anugerah Sastera Negara merupakan iltizam berterusan kerajaan untuk memberikan pengiktirafan terhadap sumbangan sasterawan dalam usaha memperkukuh dan memartabatkan karya sastera kebangsaan.

Berikutan itu kata beliau, sebagai tanda penghargaan, kerajaan bersetuju untuk menaikkan jumlah ganjaran daripada RM30,000 kepada RM60,000.

Muhyiddin juga menyarankan agar penterjemahan karya Sasterawan Negara dan karya-karya besar yang lain diusahakan dengan lebih terancang.

Menurutnya, akhbar-akhbar berbahasa Melayu juga perlu memberikan ruang lebih luas kepada penyiaran tulisan-tulisan ilmiah berkaitan sastera.

''Karya-karya ini boleh disiarkan di akhbar-akhbar vernakular dan diuar-uarkan di media baru sebagai salah satu kaedah pengembangan dan pemasyarakatan sastera kebangsaan sekali gus mengukuhkan lagi semangat perpaduan 1Malaysia," katanya.

Anuar yang dilahirkan pada 5 Ogos 1949, merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Malaya sebelum memulakan tugas sebagai Pegawai Penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan bersara selaku Pengarah Penerbitan pada tahun 2005.

Antara cerpen beliau yang popular ialah Parasit, Sesudah Perang, Sangkar dan Dunia Adalah Sebuah Apartmen manakala drama pula seperti Orang-orang Kecil serta Yang Menjelma dan Menghilang.

Novel terkenal beliau ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Ogonshoto.

Hubungan Malaysia–Indonesia akrab


Najib Tun Razak bersalaman dengan Susilo Bambang Yudhoyono pada majlis resepsi di Istana Merdeka di Jakarta, semalam. Turut hadir Rosmah Mansor, Ani Bambang Yudhoyono dan Naib Presiden Indonesia, Boediono. – BERNAMA


JAKARTA 20 Okt. – Hubungan Malaysia dan Indonesia tidak pernah dalam situasi pasang surut tetapi sentiasa akrab sepanjang masa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang berada di Jakarta untuk menghadiri majlis angkat sumpah dan pemasyhuran Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) berkata, beliau yakin situasi itu akan berterusan.

“Saya hari ini menghadiri majlis mengangkat sumpah dan pemasyhuran SBY sebagai Presiden dan ia adalah tanda persahabatan yang amat akrab.

“Kehadiran saya amat dialu-alukan dan diterima dengan tulus ikhlas. SBY sendiri mengucapkan terima kasih kehadiran saya dan maklumkan sebagai balasan Malaysia menjadi negara pertama akan dilawati iaitu pada 11 November ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Australia, Kevin Rudd di sini hari ini.

Najib diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman. Turut hadir pada majlis angkat sumpah Presiden Indonesia itu ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Timor Leste, Jose Ramos Horta; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Rudd.

Susilo, Presiden keenam Indonesia mengangkat sumpah sebagai Presiden bagi penggal keduanya untuk tempoh 2009-2014 setelah memenangi pilihan raya secara langsung 8 Julai lalu.

Najib berkata, Malaysia dan Indonesia sentiasa mencari jalan dalam menyelesaikan sebarang isu yang berbangkit.

Menurut beliau, masalah yang dihadapi kini adalah hubungan antara rakyat berikutan terdapat kumpulan kecil yang melakukan tindakan dan mendapat liputan meluas media.

“Kepimpinan kedua-dua buah negara berada pada tahap baik dan selesa, begitu juga hubungan kedua-dua Menteri Luar,” kata Najib. – Utusan

Malaysia-Australia bincang

JAKARTA 20 Okt. - Malaysia akan mengkaji langkah yang boleh diambil terhadap permintaan Australia supaya diperketatkan kawalan imigresen dan pemberian visa bagi mengelak perdagangan manusia dan insiden manusia perahu yang menjadikan Malaysia sebagai pusat transit.

Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Tun Razak. berkata, permintaan Australia itu disampaikan kepada beliau oleh rakan sejawatannya, Kevin Rudd pada perjumpaan hubungan dua halanya di sini, selepas mereka menghadiri majlis pemasyhuran dan angkat sumpah Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono hari ini.

"Pertemuan itu diadakan atas permintaan Rudd, yang menyatakan puas hati dengan hubungan dua hala yang baik antara kedua-dua negara," kata Najib kepada wartawan Malaysia di akhir lawatannya ke sini.

Najib berkata, secara spesifik Rudd membangkitkan beberapa hal termasuk kekhuatiran Australia mengenai masalah manusia perahu yang menjadikan Malaysia negara transit dan kemudiannya mencuba masuk secara haram ke Australia.

Satu contoh terbaru ialah sekumpulan penduduk Tamil Sri Lanka yang masuk ke Malaysia kemudiannya menaiki perahu di Melaka ke Australia sebagai destinasi akhir mereka tetapi telah ditahan terlebih dahulu oleh pihak berkuasa Indonesia.

Perdana Menteri berkata, antara langkah yang boleh dipertimbangkan oleh Malaysia ialah menambah bilangan pegawai imigresen di negara-negara tertentu untuk menapis dengan lebih ketat permohonan masuk ke Malaysia supaya dapat dibezakan antara pelancong tulen dan pemerdagangan manusia.

"Hal ini juga terkait dengan pemberian visa kepada mereka," katanya.

Najib menjelaskan, dalam pemerdagangan manusia, keuntungannya agak lumayan dengan kos dikenakan bagi seorang dari Sri Lanka untuk masuk ke Australia ialah antara AS$15,000 dan AS$20,000 yang menyebabkan kegiatan sindiket orang tengah itu masih berterusan.

"Ini juga berkaitan kestabilan dalaman di Sri Lanka. Kalau kerajaan Sri Lanka dapat menjamin keturunan Tamil dapat sepadu dalam pembangunan Sri Lanka kemungkinan mereka menjadi manusia perahu akan dapat dikurangkan," katanya.

Turut dibincangkan dengan Rudd ialah tawaran Australia untuk membantu Malaysia meningkatkan keupayaan pendidikan vokasional di Malaysia, iaitu satu bidang kepakaran yang dimiliki oleh negara itu.

"Perdana Menteri Rudd akan menghantar para pegawainya ke Kuala Lumpur yang pakar untuk membincangkan tawaran itu dengan lebih lanjut tidak lama lagi," katanya.

Najib berkata, latihan kemahiran vokasional itu ialah untuk pelajar sekolah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu, kata Perdana Menteri, mereka juga menyentuh bentuk yang relevan bagi Sidang Kemuncak Asia Timur dan persidangan khas perubahan iklim di Copenhagen, Denmark.

Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berlepas pulang ke Kuala Lumpur malam ini. - Utusan

Israel dan Amerika uji teknologi perang bersama

BAITUL MAQDIS 21 Okt. - Tentera Israel dan Amerika Syarikat akan mengadakan latihan pertahanan udara bersama secara besar-besaran esok (Rabu), bagi menyoroti keakraban hubungan ketenteraan kedua sekutu rapat itu dalam usaha meningkatkan tekanan ke atas program nuklear Iran.

Latihan bagi menguji kecanggihan teknologi peralatan yang akan diguna oleh tentera Israel menghadapi serangan Iran dalam wilayah rejim yahudi itu sengaja diadakan bagi meningkatkan lagi implikasi politik ke atas wilayah-wilayah seterunya. - AP

Britain mula beri suntikan pencegahan H1N1

LONDON 21 Okt. - Britian mula memberikan suntikan pencegahan selesema babi (H1N1) kepada kumpulan sasar termasuk pekerja kesihatan dan wanita mengandung mulai hari ini, kata jabatan kesihatannya.

Negara berkenaan berharap akan dapat memberi suntikan kepada kira-kira 11 juta rakyatnya terutama mereka yang terdedah kepada masalah penyakit HIV, barah dan jantung, dalam beberapa minggu ini. - AP

Laluan kontra di laluan Tapah-Bidor sehingga 27 November

KUALA LUMPUR: Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) membuka satu laluan kontra di laluan Tapah-Bidor, antara KM335.2 hingga KM335.45, berikutan kerja-kerja penurapan jalan.

Plus Expressways Berhad dalam satu kenyataan hari ini menyatakan kerja penurapan jalan mulai 7 pagi hari ini akan berterusan sehingga 12 tengah malam 27 November depan.

Sementara itu, hentian sebelah Simpang Pulai di KM290.4 (arah selatan) turut ditutup dari 7 pagi hari ini hingga 12 tengah malam 31 Disember depan bagi kerja penurapan.

"Sehubungan itu, semua pengguna lebuh raya dinasihat memandu dengan berhati-hati dan mematuhi semua arahan ketika menggunakan laluan itu," menurut kenyataan itu.

Untuk keterangan lanjut pengguna jalan raya boleh menghubungi PLUSLine di 1-800-88-0000 atau Jabatan Komunikasi Korporat di 03-7981 8000. - Bernama