Followers

Saturday, December 19, 2009

Sistem penyelarasan perlu diwujudkan untuk pantau jumlah ahli Parlimen BN

KUALA LUMPUR: Satu sistem penyelarasan perlu diwujudkan bagi memantau bilangan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ketika Dewan Rakyat bersidang supaya insiden kemenangan majoriti tipis ketika meluluskan Bajet tahun 2010 pada 14 Disember lalu tidak berulang.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata ahli Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) boleh memainkan peranan mereka dalam sistem penyelarasan itu dengan memastikan bilangan ahli Parlimen BN sentiasa mencukupi berbanding ahli Parlimen pembangkang pada sebelah pagi, tengah hari dan petang.

"Ahli Parlimen BN perlu memberi perhatian serius terhadap kehadiran mereka dalam Dewan Rakyat kerana pada bila-bila masa mungkin akan timbul usul tergempar yang tidak dapat ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) anjuran Biro Pembangunan PKS dan Biro Sumber Manusia dan Latihan Parti Gerakan Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Koh berkata, sekiranya sistem penyelarasan itu diwujudkan, maka ahli Parlimen BN dapat memberitahu kepada ahli BNBBC, seterusnya BNBBC akan melakukan pengiraan dan memastikan jumlah ahli BN melebihi ahli Parlimen pembangkang.

Sementara itu, Koh berkata, Gerakan tidak menghalang tindakan Naib presidennya, Huan Cheng Guan keluar parti pada 16 Disember lalu kerana tidak sehaluan dengan dasar parti dan bakal menyertai Parti Cinta Malaysia (PCM).

Ketika ditanya sama ada parti Gerakan akan menggantikan Huan yang mengosongkan jawatan Naib Presiden itu dengan orang lain, Koh berkata, ia bukanlah satu perkara yang diutamakan sekarang.

Mengulas komen dan cadangan yang diterima daripada orang ramai pada Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Sunway, Petaling Jaya baru-baru ini, Koh, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata ia akan diambil perhatian serius oleh kerajaan.

Hari Terbuka GTP itu menawarkan peluang terbaik kepada orang ramai untuk memahami mengenai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diperkenalkan kerajaan, kata Koh.

Unit Pelaksanaan dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) akan membina sebuah laman web mengenai hasil susulan daripada Hari Terbuka GTP itu, katanya. - Bernama

220 cerun sekitar Lembah Klang tidak selamat

TAMPIN: Hasil kajian awal terhadap cerun yang berbahaya meliputi kawasan seluas 100 kilometer persegi di sekitar Lembah Klang sudah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk diambil tindakan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata hasil kajian itu dapat membantu PBT mengenal pasti dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan terhadap cerun yang didapati berisiko terdedah kepada kejadian tanah runtuh.

Katanya, kajian itu untuk tujuan pemetaan membabitkan kawasan yang terletak di bawah Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Kajang.

"Kajian itu membolehkan kerajaan merancang pembangunan dengan lebih selamat selepas mengenal pasti lokasi berisiko tinggi," katanya selepas menyampaikan bantuan pakaian seragam sekolah dan sagu hati kepada pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sini, hari ini.

Shaziman berkata, kajian itu, yang menelan belanja RM5.5 juta itu, sudah mengenal pasti 583 cerun dan tanah berbahaya di sekitar Lembah Klang dengan 215 hingga 250 daripada cerun tersebut memerlukan perhatian dan tindakan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kajian itu membabitkan peringkat permukaan dan bukan satu kajian geologi atau kestabilan cerun.

Dalam perkembangan lain, katanya, kementeriannya sudah menerima laporan mengenai kejadian bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, Jun lalu.

Katanya, hasil laporan itu akan dimaklumkan kepada orang ramai selepas ia dibincangkan oleh Kabinet. - Bernama

CyberSecurity Malaysia: Awasi laman web perbankan Internet palsu

KUALA LUMPUR: Perbuatan mencuri maklumat menerusi internet semakin meningkat, demikian menurut nasihat oleh Pusat Bantuan Cyber999 CyberSecurity Malaysia.

Pusat Bantuan Cyber999 menerima banyak laporan daripada pengguna internet mengenai laman web yang hosnya dari luar negara.

Ia seperti beberapa laman web e-perbankan bank terkemuka di negara ini.

Laman web penipuan itu atau laman web palsu digunakan untuk "serangan mencuri" yang memanipulasi kelemahan keselamatan manusia.

Ia dilakukan dengan menceroboh entiti sebenar, sebagai contoh, meniru laman web perbankan biasa.

"Serangan mencuri" ini juga menggunakan taktik kejuruteraan sosial seperti menghantar e-mel spam, katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Kandungan e-mel terbabit menggunakan perkataan-perkataan yang meyakinkan untuk menipu orang ramai supaya membuka hubungan yang akan membuka laman web perbankan palsu.

Memandangkan laman web itu sama seperti laman web sebenar, pelanggan terpedaya dengan memasukkan maklumat sulit, seperti nama pengguna dan kata laluan e-perbankan ke dalam laman web e-perbankan palsu itu.

Menerusi kaedah itu, "serangan mencuri" mudah mencuri nama pengguna dan kata laluan pelanggan bank yang tidak mengesyakinya.

Bank tidak pernah meminta pengguna membuat kemas kini, menukar semula kata laluan, membuka akaun atau apa saja berkaitan perbankan menerusi e-mel dan URL.

"Jika anda menerima e-mel sama seperti daripada bank atau institusi perbankan, nasihat kami ialah abaikannya.

"Jika anda curiga, sila hubungi bank anda untuk tujuan pengesahan atau hubungi Pusat Bantuan Cyber999, kata Ketua Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Husin Jazri.

CyberSecurity Malaysia ialah pusat pakar keselamatan siber nasional di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. - Bernama

India cadang tubuh kumpulan khas untuk pelabur jalan raya Malaysia

NEW DELHI: India mencadangkan kumpulan khas untuk menarik lebih ramai pembina jalan raya dari Malaysia ditubuhkan bagi pelaburan dalam projek prasarana lebuh raya negara itu.

Menteri Pengangkutan Jalan dan Lebuh Raya India, Kamal Nath, berkata kumpulan itu akan membantu untuk mendapatkan sokongan kerajaan kepada kerajaan dalam sektor ini, di mana India sedang cuba mendapatkan pelaburan asing yang besar dan kepakaran.

"Kami sudah berbincang tentang kemungkinan hubungan kerajaan kepada kerajaan di antara kedua-dua negara. Satu kumpulan akan ditubuhkan serta merta untuk membantu pelaburan Malaysia dalam sektor pembangunan lebuh raya," katanya di sini.

Kini, India pesat membangun dan ia turut membabitkan kerja menyiapkan jalan raya sepanjang 7,000 km setiap tahun dengan sasaran 20 km sehari.

Ia bertujuan melengkapkan negara itu dengan prasarana berkenaan bagi menjana pertumbuhan ekonominya.

Sistem jalan raya India sepanjang 3.3 juta km adalah yang paling besar di dunia selepas Amerika Syarikat.

Kerajaan memperuntukkan AS$92 bilion (RM322 bilion) sehingga 2012 untuk membangunkan projek jalan rayanya.

"Kami mahu syarikat Malaysia mengambil bahagian dalam program pembinaan lebuh raya sebagai pembida dan perunding.

"Kami juga mahu belajar daripada pengalaman Malaysia dalam teknologi tol. Malaysia mempunyai 15-20 tahun pengalaman dalam sektor ini dan kini terbabit dalam 35 projek dalam negara ini," tambah Nath.

Kumpulan itu mungkin membabitkan Suruhanjaya Perancangan dan kementerian kewangan dan jalan raya.

Satu memorandum persefahaman antara Malaysia dan India kini dalam peringkat cadangan bagi meningkatkan kerjasama dalam sektor ini.

Menteri Kerjaraya Malaysia, Datuk Shaziman Abu Mansor, sudah berbincang dengan Nath di Delhi awal minggu ini. - Bernama

Penstrukturan semula Mara tingkat daya saing Bumiputera: ShafiePenstrukturan semula Mara tingkat daya saing Bumiputera:

SEMPORNA: Cadangan penstrukturan semula Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang kini masih dalam proses penggubalan bertujuan memperkukuh daya saing Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan di peringkat antarabangsa, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, walaupun Mara sudah membuktikan keupayaannya membantu golongan Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai bidang namun masih ada ruang yang boleh diperbaiki untuk mengukuhkan sumbangan agensi berkenaan kepada kumpulan sasar.

"Kita sedia maklum bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sedang melakukan perubahan dalam pentadbirannya seperti memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Jadi, kita tidak mahu (Mara) yang dikatakan tempat Melayu berpayung dan tempat Bumiputera memperoleh biasiswa cuma sebagai slogan.

"Kita mahu tahu setakat mana pencapaian anak kita dalam pendidikan (sekarang). Bidang-bidang mana yang anak-anak kita harus fokus, sudah adakah anak-anak kita yang meneroka bidang bioteknologi sehingga peringkat pakar dan kepakaran mereka bukan saja dapat dipasarkan di rantau ini tetapi di peringkat dunia," katanya.

Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Mara bersama rakyat di Dewan Masyarakat Semporna di sini, hari ini.

Program berkenaan bertujuan menyampaikan maklumat berkenaan pendidikan dan keusahawanan kepada penduduk setempat termasuk penduduk luar bandar.

Menurut Shafie dalam dunia global dengan persaingan yang kian sengit, anak-anak Melayu dan Bumiputera tidak boleh lagi hanya memfokus kepada bidang konvensional tetapi perlu menerokai bidang pendidikan dan kepakaran lain kerana negara tidak boleh selamanya bergantung kepada kepakaran luar.

Mengulas penstrukturan itu, Shafie berkata, kementeriannya sudah melantik perunding untuk meneliti pelbagai perkara berhubung peranan MARA termasuk hala tujunya terutama aspek pendidikan dan pembangunan keusahawanan yang akan menjadi keutamaan.

Katanya, selain khidmat perunding, kementeriannya turut mengambil pandangan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan, pendidikan dan pembinaan untuk diteliti dan dijadikan input dalam proses penstrukturan itu agar Mara mencapai objektifnya membantu Melayu dan Bumiputera.

"Kita tidak mahu nanti, kita memperuntukkan sejumlah wang yang besar tetapi kejayaannya tidak seperti yang diharapkan," katanya.

Menurut Shafie, kandungan draf penstrukturan Mara dijangka dapat disiapkan dan diketahui tahun depan. - Bernama

Permohonan ke IPTA sesi 2010/2011 sepenuhnya dalam talian

KUALA LUMPUR: Permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi Program Lepasan SPM/Setaraf dilaksanakan menerusi aplikasi dalam talian secara sepenuhnya mulai sesi akademik bagi 2010/2011.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataannya, berkata permohonan diadakan dalam dua fasa dan bagi fasa pertama ia dibuka kepada pemohon mulai 2 November lalu dan tarikh tutup pada 31 Disember ini.

Fasa kedua permohonan pula akan dibuka pada 2 Februari 2010 mulai jam 12 tengahari sehingga 30 Mac 2010.

Menurut kenyataan itu lagi, permohonan kali ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu kategori bagi pemohon SPM 2009, kategori B bagi lepasan SPM 2008 atau 2007, kategori C untuk lepasan SPM 2006 atau sebelumnya atau yang mempunyai sijil setaraf yang diiktiraf oleh IPTA dan kategori D adalah bagi lepasan SPM 2007 dengan sijil ulangan 2008 atau SPM 2007 dengan sijil ulangan 2009, atau SPM 2008 dengan sijil ulangan 2009.

Pemohon boleh mengemukakan permohonan dengan mendaftar melalui laman web rasmi kemasukan ke IPTA di http://upu.mohe.gov.my.

Bagi pemohon fasa 1, mereka dikehendaki mengemukakan permohonan dengan menggunakan nombor kad pengenalan atau MyKad serta kata laluan dan mengisi di bahagian maklumat peribadi, maklumat pekerjaan dan keluarga, kategori permohonan dan maklumat aktiviti ko-kurikulum yang disertai.

Bagi pemohon fasa dua, mereka perlu membuat permohonan dengan menggunakan nombor unik ID dan nombor kad pengenalan atau MyKad serta kata laluan.

"Pemohon boleh mendapatkan nombor unik ID yang boleh dibeli dengan harga RM10.60 di mana-mana kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) atau melalui mesin ATM atau SMS (jarak) Banking (bagi pemegang akaun GIRO) di seluruh negara mulai 1 Februari 2010 sehingga tarikh tutup permohonan pada 30 Mac 2010.

"Pemohon dibenarkan membuat sekali permohonan dan tiga kali pengemaskinian sehingga tarikh tutup permohonan iaitu pada 30 Mac 2010," kata kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di talian 03-88835801 atau 03-88835802 atau emel ke www.upu.mohe.gov.my.

Sehubungan itu, kementerian menasihatkan pemohon lepasan SPM 2009 supaya mengemukakan permohonan pada fasa satu bagi meningkatkan kelancaran sekali gus dapat mengurangkan tempoh masa pemohon mengemukakan permohonan mereka pada fasa dua nanti. - Bernama

Sukan SEA: Akuatik, karate tutup kelemahan lain

VIENTIANE: Malaysia meraih 40 emas pada temasya Sukan SEA ke-25 yang berakhir di sini semalam, sekali gus melepasi sasaran maksimum 35 emas tetapi kontinjen Malaysia terus berharap kepada sukan tertentu untuk mencapai sasaran tersebut bagi menutup kelemahan sukan lain.

Bagi temasya dwi-tahunan di sini, yang berlangsung secara rasmi pada 9 Disember lalu, renang adalah penyumbang terbesar pingat emas selepas meraih sembilan emas, diikuti terjun (enam), karate (lima), olahraga (enam), pencak silat (empat), wushu (tiga), tinju (dua), badminton (dua) dan masing-masing sebutir emas bagi bola sepak lelaki, memanah dan taekwondo.

Pada edisi ke-24 di Korat, Thailand pada 2007, renang menyumbangkan tujuh emas, terjun (tujuh), karate (lapan) dan olahraga (tujuh).

Jelas, acara akuatik yang yang mempertandingkan acara renang dan terjun serta sukan karate adalah penyumbang utama kepada kutipan emas Malaysia.

Berdasar sasaran yang dibuat Majlis Sukan Negara (MSN), bagi edisi di Vientiane ini, akuatik disasarkan empat emas menerusi renang dan enam dari terjun, olahraga (tujuh) menembak (empat) karate (tiga).

Sasaran emas juga diletakkan kepada sukan memanah, wushu, pencak silat dan taekwondo.

Selepas berakhir semua acara di Vientiane, akuatik mendapat 15 emas, melebihi lima daripada yang disasarkan dan karate yang mendapat lima, lebih dua daripada sasaran, olahraga kurang satu emas dari yang disasarkan sementara menembak pulang tanpa sebarang emas.

Persoalannya berapa lama tempoh acara tersebut terus digunakan bagi menutup kelemahan sukan lain yang gagal menyumbangkan emas pada peringkat temasya terendah ini?

Kredit harus diberikan kepada sukan yang tidak disasarkan emas tetapi turut menyumbang bagi membolehkan kontinjen negara yang dianggotai 348 atlit dan 120 pegawai, yang diketuai Datuk Dr Ramlan Abd Aziz meraih 40 emas dari temasya ini.

Acara tersebut ialah silat yang menyumbangkan empat emas, wushu (tiga) dan tinju (dua).

Ada di kalangan jurulatih dan pengurus pasukan memberikan alasan bahawa pasukan lain menunjukkan peningkatan berbanding pasukan negara.

Apakah tidak cukup segala bantuan yang diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN)?

Atau bermaksud prestasi Malaysia tepu tetapi negara lain semakin meningkat?

Jika dilihat kepada carta kutipan pingat keseluruhan, negara yang dahulunya berada di tangga terbawah seperti Vietnam dan Laos, kini mampu mencapai kutipan emas yang membanggakan.

Vietnam contohnya muncul naib juara edisi di Vientiane selepas mengutip 83 emas, 75 perak dan 57 gangsa.

Negara tersebut kini muncul antara kuasa sukan baru di rantau ini selepas menganjurkan Sukan SEA pada 2003.

Menjadi tradisi Sukan SEA, negara yang menjadi tuan rumah selalunya menjadi juara keseluruhan dan sebelum tahun 2000, negara yang bersaing menjadi juara keseluruhan ialah Thailand dan Indonesia.

Tetapi kini, arah aliran tersebut sudah berubah.

Walaupun Thailand tetap unggul namun saingan untuk menduduki tangga kedua dan ketiga kini terbuka antara Vietnam, Malaysia, Filipina dan Singapura.

Bagi edisi ke-25 di sini, Malaysia menduduki tangga keempat selepas mengutip 40 emas, 40 perak dan 59 gangsa.

Thailand selaku juara bertahan daripada edisi di Korat pada 2007 terus mengekalkan kejuaraan dengan mengutip 86 emas, 83 perak dan 97 gangsa diikuti Vietnam (83, 75, 57) dan Indonesia (43, 53, 74).

Tuan rumah Laos pula berada di tangga ketujuh, di belakang Singapura dan Filipina, dengan mengumpul 33 emas, 25 perak dan 52 gangsa.

Temasya Sukan SEA ke-26 akan diadakan di Indonesia pada 2011 dan mempertandingkan 37 sukan termasuk sukan lasak seperti memanjat tembok, roller blade dan sukan terbaru dalam sejarah temasya, kempo (sejenis seni mempertahankan diri dari Jepun yang menggunakan pedang buluh. - Bernama

Umno tuntut jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang

GEORGETOWN: Umno Pulau Pinang menuntut supaya jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri diserahkan kepada parti itu bagi memantapkan kedudukan BN di peringkat negeri.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, malam tadi.

Sejak dulu hingga sekarang, jawatan itu dipegang oleh pemimpin Gerakan dan ketika ini, jawatan itu disandang oleh Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Bercakap pada sidang media selepas mempegerusikan mesyuarat itu, Ahmad Zahid berkata, berikutan keputusan itu, Umno Pulau Pinang meminta Pengerusi Dewan Tertinggi BN, Datuk Seri Najib Razak, menimbangkan tuntutan berkenaan.

"Umno Pulau Pinang meminta Pengerusi Dewan Tertinggi BN supaya jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang diserahkan kepada Umno.

"Biar Umno selaras BN Pulau Pinang supaya lebih berkesan membantu parti komponen di negeri ini," katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden Umno berkata, permintaan itu adalah wajar memandangkan Umno kini mempunyai 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan dua Ahli Parlimen berbanding parti komponen lain yang tidak wakil rakyat di negeri ini.

Parti komponen lain iaitu Gerakan, MCA dan MIC tidak mempunyai sebarang kerusi sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen kerana kalah semua kerusi pada pilihan raya umum lalu.

"Permintaan ini adalah wajar kerana kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada Umno Pulau Pinang. Permintaan ini munasabah dan rakan parti komponen lain mungkin menyokong.

"Umno bukan setakat hanya berhajat untuk mengambil alih jawatan itu semata-mata, tetapi bagi memantapkan BN negeri. Ia bukan soal kepentingan personaliti tetapi demi kebaikan BN," katanya.

Ditanya adakah Umno berbincang dengan parti komponen lain mengenai hasrat itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan, berkata pihak tidak perlu berbuat demikian.

Mesyuarat itu juga membuat keputusan memohon supaya Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, turut memberi perkenan pelantikan barisan ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) yang bukan saja membabitkan wakil pakatan pembangkang.

Sehubungan itu, Adun daripada Umno Pulau Pinang akan menghadap Seri Paduka bagi menyatakan pendirian berkenaan dalam masa terdekat.

Tauliah barisan ahli Maipp termasuk Yang Dipertuanya, Shabudin Yahaya iaitu Adun Permatang Berangan daripada Umno akan tamat akhir bulan ini.

Mesyuarat itu turut membuat keputusan supaya jabatan dan agensi Kerajaan Pusat melaksanakan projek yang memberi keuntungan kepada orang Melayu yang mula kelihatan terpinggir supaya mereka tidak terus ketinggalan.

Mesyuarat juga mengalu-alukan keputusan Majlis Tertinggi Umno (MT) yang menarik balik hukuman penggantungan ke atas bekas Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.

"Kami menyerahkan kepada Umno Bahagian Bukit Bendera untuk mengambil langkah tertentu bagi memberi peluang kepada Ahmad melakukan tugas yang bersesuaian," katanya.