Followers

Saturday, October 24, 2009

Yayasan IJN perlu dana RM3 juta setahun untuk golongan kurang mampu

KUALA LUMPUR: Yayasan Institut Jantung Negara memerlukan sekurang-kurangnya RM3 juta setiap tahun bagi menampung kos rawatan dan pembedahan bagi pesakit jantung kronik dari kalangan mereka yang kurang berkemampuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kutipan Derma, Datin Julini Mohd Ali, berkata dana itu diperlukan bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk menjalani kehidupan seperti manusia normal yang lain.

"Untuk 2009 yayasan ini berjaya memberi bantuan kepada 44 pesakit jantung kronik melibatkan pembiayaan berjumlah RM1 juta. Kami turut menyalurkan dana kepada kerja penyelidikan dan ujian klinikal yang dijalankan di IJN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan cek kepada dua pesakit jantung berlubang iaitu Siow Chee Siong, 14, dan Nur Aeinshah Kamarudin, 8, di IJN di sini hari ini.

Sementara itu bagi Siow yang menghidap jantung berlubang sejak berusia dua bulan, sumbangan RM18,000 itu dapat menampung sepenuhnya kos pembedahan yang akan dilakukan pada 21 November ini.

"Saya harap dapat menjalani aktiviti harian bersama kawan-kawan lain dan pergi ke sekolah seperti biasa selepas pembedahan nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

Siow dimaklumkan oleh IJN kira-kira seminggu lalu bahawa ada pihak yang sanggup membiayai kos pembedahannya.

Jumlah keseluruhan dana yang berjaya dikutip untuk pembedahan Siow dan Aeinshah ialah sebanyak RM38,000. - Bernama

Malaysia dilantik Timbalan Pengerusi Unesco

KUALA LUMPUR: Malaysia dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada mesyuarat Konvensyen Memelihara Kebudayaan dan Warisan Dunia Asli ke-17, di Paris, semalam.

Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Datuk Prof Emeritus Zuraina Majid, berkata Malaysia dilantik sebulat suara oleh lebih 180 negara anggota Unesco.

"Malaysia yang mewakili beberapa negara Asia Pasifik diberi penghormatan itu kerana aktif menyumbang dalam beberapa mesyuarat Unesco, selain beberapa tapak warisan dalam negara diiktiraf badan dunia itu sejak beberapa tahun lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zuraina berkata rakyat harus berbangga dengan pengiktirafan itu memandangkan Malaysia adalah sebuah negara kecil berbanding negara anggota lain di Asia Pasifik seperti Jepun, Thailand, Filipina, China, Indonesia dan Australia.

Beliau berkata konvensyen itu penting kerana ia antara lain membincangkan beberapa penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi mengangkat martabat warisan dunia selain untuk memilih 12 daripada 21 Ahli Jawatankuasa Warisan Dunia yang masih belum diisi. - Bernama

Malaysia lobi kekalkan kerusi pertubuhan maritim antarabangsa

PUTRAJAYA: Malaysia akan menggiatkan usaha melobi untuk mempertahankan kerusi bagi kategori C dalam Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang akan dipertandingkan pada 27 November nanti.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, berkata ini selaras dengan peranan dan penglibatan negara yang semakin menonjol dalam pertubuhan bertaraf dunia itu.

Beliau berkata kerusi berkenaan akan membuka peluang kepada Malaysia untuk menyatakan pendirian dan pendapat dalam industri maritim, sekali gus memberi ruang untuk negara mengukir lebih banyak kejayaan dalam sektor tersebut, khususnya di rantau Asean.

"Malaysia sudah mula melobi bagi mempertahankan kerusi di bawah kategori berkenaan dan berharap melalui penglibatan secara langsung dalam majlis IMO, ia akan mampu mempertahankan segala peraturan dan undang-undang yang dipersetujui bersama dan bukan tertakluk kepada kehendak negara-negara maju yang lebih besar dan berkuasa," katanya dalam sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Maritim 2009 peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Beliau berkata, pertandingan itu melibatkan tiga kategori dan Malaysia jatuh di bawah kategori C iaitu negara-negara yang mempunyai kepentingan maritim yang diagihkan mengikut kedudukan geografi atau kewilayahan.

Kategori A melibatkan negara maju yang memiliki jumlah perdagangan maritim dalam bilangan yang besar manakala kategori B mencakupi negara-negara perkapalan, dan kedua-dua kategori itu masing-masing mempertandingkan 10 kerusi.

Ong berkata dalam usaha melobi kerusi berkenaan, mereka berpaksikan kepada peranan dan kewujudkan Malaysia sebagai sebuah pusat perdagangan terkemuka seawal kurun ke-15 dan ia masih berterusan sehingga ke hari ini.

"Malaysia adalah negara pesisiran dan disebabkan oleh lokasi itu Malaysia sejak dulu lagi merupakan negara perdagangan maritim yang giat. Adalah wajar Malaysia diberi peluang untuk memainkan peranan yang menonjol di sektor maritim antarabangsa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ong yang juga Presiden MCA berkata, perjanjian damai yang termeterai antara beliau dan bekas Timbalan Presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bermakna kedua-dua pihak perlu menggembleng tenaga untuk memantapkan kedudukan parti.

"Seperti kenyataan yang saya buat sebelum ini, ia bukan sekadar satu retorik dan bersandarkan kepada slogan semata-mata, tetapi ia memang menuju ke arah usaha mewujudkan perdamaian antara semua pihak terlibat. Kami (MCA) tak suka umumkan sesuatu sebelum ia berhasil," katanya. - Bernama

Cadangan EGM Pas mungkin ada hikmah: Zahid

KUALA LUMPUR: Cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar parti itu mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi membersihkan kumpulan prokerajaan perpaduan mungkin ada hikmah, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid bagaimanapun menganggap bahawa cadangan itu menunjukkan wujudnya masalah dalam Pas.

"Saya tidak berhajat untuk campur tangan dalam parti Pas tapi saya fikir doa mereka (Pas) telah dimakbulkan kerana sebelum ini mereka yang mendoakan agar Umno dan Barisan Nasional (BN) berpecah.

"Saya percaya doa yang tidak baik itu kembali kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kelab Kakitangan Awam Kementerian Pertahanan (Kakep) di sini hari ini.

Mursyidul Am Pas itu dalam blognya baru-baru ini mencadangkan agar parti itu mengadakan EGM bagi menentukan masa depan beberapa pemimpin parti berkenaan yang dikatakan bermasalah.

"Sebelum ini, Nik Abdul Aziz mengalu-alukan EGM MCA berikutan masalah dalaman parti itu. Jadi kali ini apa yang beliau sebut itu terkena pada batang hidung sendiri," katanya. - Bernama

Malaysia lobi kekalkan kerusi pertubuhan maritim antarabangsa

PUTRAJAYA: Malaysia akan menggiatkan usaha melobi untuk mempertahankan kerusi bagi kategori C dalam Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang akan dipertandingkan pada 27 November nanti.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, berkata ini selaras dengan peranan dan penglibatan negara yang semakin menonjol dalam pertubuhan bertaraf dunia itu.

Beliau berkata kerusi berkenaan akan membuka peluang kepada Malaysia untuk menyatakan pendirian dan pendapat dalam industri maritim, sekali gus memberi ruang untuk negara mengukir lebih banyak kejayaan dalam sektor tersebut, khususnya di rantau Asean.

"Malaysia sudah mula melobi bagi mempertahankan kerusi di bawah kategori berkenaan dan berharap melalui penglibatan secara langsung dalam majlis IMO, ia akan mampu mempertahankan segala peraturan dan undang-undang yang dipersetujui bersama dan bukan tertakluk kepada kehendak negara-negara maju yang lebih besar dan berkuasa," katanya dalam sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Maritim 2009 peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Beliau berkata, pertandingan itu melibatkan tiga kategori dan Malaysia jatuh di bawah kategori C iaitu negara-negara yang mempunyai kepentingan maritim yang diagihkan mengikut kedudukan geografi atau kewilayahan.

Kategori A melibatkan negara maju yang memiliki jumlah perdagangan maritim dalam bilangan yang besar manakala kategori B mencakupi negara-negara perkapalan, dan kedua-dua kategori itu masing-masing mempertandingkan 10 kerusi.

Ong berkata dalam usaha melobi kerusi berkenaan, mereka berpaksikan kepada peranan dan kewujudkan Malaysia sebagai sebuah pusat perdagangan terkemuka seawal kurun ke-15 dan ia masih berterusan sehingga ke hari ini.

"Malaysia adalah negara pesisiran dan disebabkan oleh lokasi itu Malaysia sejak dulu lagi merupakan negara perdagangan maritim yang giat. Adalah wajar Malaysia diberi peluang untuk memainkan peranan yang menonjol di sektor maritim antarabangsa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ong yang juga Presiden MCA berkata, perjanjian damai yang termeterai antara beliau dan bekas Timbalan Presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bermakna kedua-dua pihak perlu menggembleng tenaga untuk memantapkan kedudukan parti.

"Seperti kenyataan yang saya buat sebelum ini, ia bukan sekadar satu retorik dan bersandarkan kepada slogan semata-mata, tetapi ia memang menuju ke arah usaha mewujudkan perdamaian antara semua pihak terlibat. Kami (MCA) tak suka umumkan sesuatu sebelum ia berhasil," katanya. - Bernama

Sesebuah pemerintahan Islam perlu adil dalam semua perkara: Tun M

MELAKA: Sebuah pemerintahan yang cekap dan adil yang diterajui oleh orang Islam perlu bertunjangkan kepada nilai Islam iaitu adil dalam semua perkara, bersih daripada rasuah, menghormati undang-undang serta prihatin kepada semua kaum.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata justeru mendirikan pemerintahan yang baik apabila berkuasa amatlah penting untuk menentukan Islam berkembang dengan baik dan mereka yang bukan Islam tidak menjauhkan diri daripada orang Islam.

"Percayalah jika kita dapat dirikan pemerintahan seperti ini (nilai-nilai Islam), banyak manafaat akan diperoleh antaranya kefahaman tentang ajaran Islam akan meningkat di samping masyarakat lebih bersedia menerima saranan pemerintahan," katanya ketika berucap di mesyuarat agung tahunan kebangsaan ke-48, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman.

Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua Perkim sejak 2006, berkata apabila pemerintahan orang Islam dicemar dengan kebengisan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kurang kecekapan dan penindasan terhadap orang lain, maka persepsi orang lain terhadap agama Islam juga akan menjadi buruk.

"Hari ini tidak ada satu pun negara Islam yang boleh ditakrif sebagai negara maju di dunia ini. Sekali lagi ada yang berpendapat kemajuan negara Islam tidak penting.

"Tetapi kita tahu nasib buruk ramai negara Islam kerana mereka tidak maju. Mereka terpaksa mengemis, meminta-minta bantuan daripada orang lain dan akibatnya mereka sering ditekan oleh orang yang membantu mereka yang mungkin sebenarnya musuh mereka," katanya.

Sebaliknya, kata beliau, kemajuan negara Islam akan menjana penghormatan kepada Islam dan segala ajarannya sebagaimana berlaku pada zaman tamadun kegemilangan Islam.

"Betapa pentingnya orang Islam berjaya dalam semua bidang, sosial, ekonomi, politik dan lain-lain sebagai satu daripada cara menarik perhatian, menambahkan kefahaman dan kehormatan, bahkan menawan hati orang bukan Islam untuk mengenali agama Islam dan kebaikannya," katanya. - Bernama

Kajian keberkesanan PLKN dibuat terhadap 60,000 bekas pelatih

KUALA LUMPUR: Satu kajian keberkesanan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) terhadap 60,000 bekas pelatih akan diadakan bagi mengenal pasti sejauh mana pelaksanaan program itu memberi kesan kepada mereka dan masyarakat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kajian itu akan dilaksanakan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) bermula 1 November ini selama sebulan, dengan seramai 5,000 kakitangan dan jurulatih PLKN serta kelab alumni program itu terbabit dalam kajian berkenaan.

"Kita akan memilih responden secara berstruktur dan mensasarkan seramai 60,000 peserta daripada 430,000 bekas peserta PLKN.

"Mereka akan diberi borang soal selidik dan penyelidik akan menemubual mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival Kelab Kakitangan Awam Kementerian Pertahanan (Kakep) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata kajian itu juga bertujuan mendapatkan pandangan masyarakat mengenai PLKN dalam usaha membantu JLKN merancang penambahbaikan modul-modul latihan PLKN.

Oleh itu, katanya JLKN akan menumpukan kepada kumpulan sasar iaitu bekas pelatih PLKN, ibu bapa dan penjaga bekas pelatih, majikan bekas pelatih, pusat pengajian tinggi, pusat pendidikan dan masyarakat umum bagi mencapai matlamat itu.

"Kita harap apabila kajian ini siap kelak, ia akan dikemukakan kepada jemaah menteri untuk mendapatkan pandangan mereka terhadap beberapa langkah lanjut," katanya.

Sementara itu, mengenai bajet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam bagi Kementerian Pertahanan, Ahmad Zahid berkata pihaknya akur dengan jumlah yang diperuntukan itu walaupun ia berkurangan berbanding bajet yang diumum tahun lalu.

"Ini adalah kerana situasi ekonomi tidak mengizinkan Kementerian Pertahanan untuk memperolehi bajet yang lebih namun penggantian aset dan penambahbaikan insfrastruktur dan kemudahan angkatan tentera tidak boleh dilambatkan," katanya. - Bernama

Asean mulakan rundingan dengan rakan dialog

HUA HIN (Thailand): Sepuluh negara anggota Asean menyambung kembali rundingan tahunan dengan empat rakan dialog utamanya di sini hari ini, dengan memberi tumpuan kepada pelbagai mekanisma untuk meningkatkan hubungan, meningkatkan perdagangan serantau dan kerjasama kewangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tiba di sini malam tadi selepas membentang Bajet 2010 di Dewan Rakyat, menyertai rakan sejawatannya dari lain-lain negara Asean untuk Retreat Pemimpin Asean di Hotel Dusit Thani.

Najib juga dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri Jepun yang baru Yukio Hatoyama dan Presiden Bank Pembangunan Asia Haruhiko Kuroda.

Pemimpin Asean itu akhirnya mengadakan mesyuarat dengan rakan dialog selepas ia ditangguhkan beberapa kali sebelum ini.

Sidang Kemuncak yang dirancang untuk diadakan dengan China, Jepun, Korea Selatan dan India, dan juga Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang turut membabitkan Australia dan New Zealand, tidak dapat diadakan pada Sidang Kemuncak Ke-14 Asean pada Februari lalu disebabkan oleh komitmen domestik negara-negera berkenaan.

EAS April lalu pula terpaksa dibatalkan apabila penunjuk perasaan anti kerajaan menyerbu venue mesyuarat di Pattaya, semasa pemimpin-pemimpin dari negara berkenaan sudah tiba untuk memulakan persidangan di tempat itu.

Perdana Menteri Thailand yang juga tuan rumah Sidang Kemuncak Asean ke-15 Abhisit Vejjajiva mengetuai lain-lain pemimpin Asean pada Sidang Kemuncak ke-12 Asean China, untuk berbincang dengan Perdana Menteri China Wen Jiabao.

Menurut para pegawai yang berkaitan, fokus mesyuarat dengan negara yang memiliki pembangunan ekonomi terpantas dunia dan rakan dagang yang penting itu, bertumpu kepada penubuhan Dana Asean-China Untuk Kerjasama Pelaburan, dan Kredit Komersial; di mana China bersetuju untuk memberi sumbangan US$10 bilion (US$1 = RM3.38) dan US$15 bilion masing-masing kepada inisiatif itu.

Pemimpin itu juga akan menandatangani tiga Memorandum Persefahaman mengenai penubuhan Pusat Asean-China, MoU mengenai Pengukuhan Kerjasama dalam bidang Standard, Peraturan Teknikal dan Penilaian Penyesuaian, serta MoU mengenai Kerjasama Bidang Harta Intelek.

Pemimpin-pemimpin Asean itu kemudiannya akan berpeluang menemui Yukio yang menghadiri Sidang Kemuncak Asean-Jepun buat pertama kali, di mana beliau dijangka memberi penerangan lebih lanjut mengenai rancangannya kepada negara-negara di Asia Timur untuk menubuhkan Komuniti Asia Timur.

Mesyuarat dengan Korea Selatan dijangka akan menyentuh mengenai kerjasama sserantau, antara lain berhubung inisiatif ''Low Carbon Green Growth''.

Sidang Kemuncak ke-tujuh Asia-India pula berlangsung dua bulan selepas kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Barang-barang Dagangan, yang membawa kepada semakan semula sasaran perdagangan dua hala kepada US$70 bilion pada tahun 2011. - Bernama

Dua menteri Kabinet dahului penerima darjah kebesaran Sultan Pahang

KUANTAN: Dua menteri Kabinet mendahului senarai 1,144 penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah ke-79, hari ini.

Seramai 13 penerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran "Datuk Seri".

Mereka ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui, Menteri Luar, Datuk Anifah Aman, Pengerusi Ranhill Berhad, Tan Sri Sallehuddin Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Zakaria Bahari, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Abu Bakar Abdullah, Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Datuk Ibrahim Jaapar.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Datuk Rodzali Daud, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad, Peguambela & Peguamcara Messrs Shafee & Co Datuk Muhammad Shafee Abdullah, Pengarah Eksekutif Public Bank Datuk Lee Kong Lam, Pengasas Universiti Lim Kok Wing Tan Sri Lim Kok Wing dan Pengerusi Eksekutif Putrana Oil Refinery Sdn Bhd Mohammad Saraei Faridoun.

Bagi Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran "Datuk", seramai tujuh penerima darjah berkenaan iaitu Cik Puan Bendahara Pahang Datuk Habibah Yusoff, Cik Puan Tengah Pahang Datin Sri Rohaya Abd Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Kamaruddin Siaraf, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datin Madinah Mohamad, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Roseley Khalid, Pengerusi Eksekutif Heitech Padu Bhd Datuk Mohd Hilmey Mohd Taib dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Wira Mohammed Noordin Ali.

Seramai 17 penerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang juga membawa gelaran "Datuk".

Mereka ialah Tengku Nurul Kamalia bt Tengku Besar Pahang Tengku Kamil Ismail, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Hakim Mahkamah Tinggi Jabatan Kehakiman Malaysia Datuk Suraya Othman, Ketua Pengarah Institut Kajian Antarabangsa dan Strategik (ISIS) Dr Mahani Zainal Abidin, Ketua Pengarah Penjara Malaysia Datuk Zulkifli Omar, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Dr Ibrahim Che Embong, Timbalan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Datuk Mazbar Abu Bakar, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pahang Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff.

Panglima Markas 1 Divisyen Markas Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk Mazelan Kasap, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah, Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad, Setiausaha Politik Kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Ab. Hamid Mohd Nazahar, Pengarah Direktorat Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri Mohd Nazri Abd Karim, Pengarah Kampus Pahang Universiti Islam Antarabangsa Prof Dr Kamaruzaman Wan Su, Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara Tun Abd Majid Tun Hamzah, pesara Pegawai Kanan Polis Datuk Harun Md Idris dan Managing Partner B.Grimm & Co, Bangkok Thailand Encik Haraid Link.

Seramai 105 pula dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran "Datuk".

Antara penerima DIMP ialah Hakim Mahkamah Tinggi Temerloh, Akhtar Tahir, Pengarah Eksekutif Suasa Efektif (M) Sdn Bhd Tengku Taha Alfashini Tengku Abdul Murad Shah, Angota Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Tengku, Abdul Rahman Mohammad, Adun Mentakab, Chuah Boon Seong, Adun Tioman Mohd Johari Hussain, Adun Kerdau Zaharuddin Abu Kassim, Ketua Wanita Umno Bahagian Kuantan Senator Zaitun Mat, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Alwi Ibrahim, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Raslin Abu Bakar, Ketua Perangkaan, Jabatan Perangkaan Malaysia Wan Ramlah Wan Abd Raof, Pengarah Pertanian Negeri Pahang Kamariah Ismail, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser Hanafiah Abdul Talib, Pengarah Perikanan Pahang Mohamad Mat Saman, Pengarah Jabatan Bekalan Air Pahang, Mohd Zahari Md Isa.

Pengarah Eksekutif Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan Abdul Malek Md Noor, Pengarah Kebajikan Masyarakat Pahang, Shamsiah Hussin, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Pahang, Sutinah Sutan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Abdul Wahab Mat Yasin, Timbalan Ketua Polis Pahang Senior Asisten Komisioner 1 Datuk Sharifuddin Abdul Ghani, Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Prof Madya Khairil Annas Jusoh, Ketua Cawangan Khas Pahang Senior Asisten Komisioner II Riduan Hashim, Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Jailani Ngah, Setiausaha Sulit Kepada Perdana Menteri, Mohd Po''Ad Jelani, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Frederick John Fernandez, Ketua Wanita MCA Pahang, Lim Nget Yoon, Pengarang Berita The Star, Lourdes Joseph Charles dan Vice President Lim Kok Wing University Fajura Juffa Mohd Mustaffa Kamal.

Seramai 22 menerima Darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP), antaranya Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang Abdul Hamid Abu Bakar dan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Wazir Haron.

Bagi darjah Setia Mahkota Pahang (SMP), seramai 79 menerima darjah berkenaan, antaranya Timbalan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Zulkefli Salleh, Pengarah Audit Negeri Pahang Che Mohd Shukri Che Hassan, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang Mohammad Abdul Qahar Abd Aziz, Adun Kemayan Mohd Fadil Osman, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Dr Rahimah Ibrahim, Penggiat Seni Roslan Madun, Adun Jengka Wan Salman Wan Ismail dan penyanyi Mohd Nasir Wahab.

Bagi darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP), seramai 69 menerima darjah berkenaan, antaranya Pengarah Mara Pahang Ab. Halim Muda dan Ketua Unit Berita Sukan RTM, Khoo Cheng Chwee.

Bagi darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP), seramai 143 menerima darjah berkenaan, antaranya Ketua Pemuda Umno Pahang, Abu Jimi Samat, Pengarah Lembaga Muzium Pahang Ahmad Farid Ab Jalal, Pegawai Berita Bernama, Sharifah Nurliza Syed Mohammad dan Penerbit TV Unit Berita Sukan TV RTM, Tan Jock Ann.

Sementara itu, seramai 134 dianugerahkan Pingat Khidmat Cemerlang (PKC), Pingat Kelakuan Terpuji (PKT seramai 120 penerima) dan Pingat Jasa kebaktian (PJK) seramai 435 penerima. - Bernama

Tunku Mahkota Johor dahului senarai penerima darjah kebesaran Sarawak

KUCHING: Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar mengetuai senarai 808 penerima darjah kebesaran dan pingat negeri sempena ulang tahun hari jadi Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Muhammad Salahuddin Abang Barieng ke-88, hari ini.

Baginda menerima anugerah Datuk Patinggi Bintang Kenyalang (DP), yang membawa gelaran Datuk Patinggi.

Allahyarham isteri Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Datuk Amar Puan Sri Laila Taib juga dianugerahkan gelaran Datuk Patinggi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Pengerusi Yayasan Sarawak Datuk Seri Adenan Satem menerima anugerah Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA), yang membawa gelaran Datuk Amar.

Tiga penerima anugerah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran Datuk Seri, ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan dan Pembangunan Bandar Sarawak Datuk Michael Manyin Jawong dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Pembantu Menteri bagi Komunikasi dan Pembangunan Infrastruktur Negeri Bolhassan Di, Pembantu Menteri bagi Pelancongan dan Pembangunan Bandar Negeri Hamden Ahmad dan Sarawak Anglican Bishop Right Reverend Bolly Lapok adalah penerima anugerah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK), yang membawa gelaran "Datuk".

Tujuh orang menerima Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS), yang membawa gelaran Datu ialah Pengarah Unit Pembangunan Sumber Manusia di Jabatan Ketua Menteri Sarudu Hoklai, penduduk bahagian Betong Romie Sigan Daniel, kerani Majlis Mesyuarat Kabinet Negeri Masbah Ariffin, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak Abu Bakar Mat, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) Mohidin Ishak, Pengarah Jabatan Pelajaran Sarawak Dr Julaihi Bujang dan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Sarawak Takun Sunggah.

Isteri kepada Menteri Kemudahan Awam Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datin Amar Dayang Morliah Awang Daud adalah antara lapan penerima anugerah Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS), yang membawa gelaran Dato.

Yang lain ialah Penasihat HWS Properties Sdn Sdn William Wei How Sieng, penyanyi veteran Sarbanun Abdul Kadir Marican, Presiden Persatuan Orang Ulu Sarawak Dr Abu Bakar Abdullah @ Tom Belarek, Mohamad Ramji Alli dari Suruhanjaya Pilihan Raya, ahli perniagaan Bujang Tun Admad Zaidi Adruce, pastor Rev. Dr Su Chii Ann dan Paul Teo Choo Tee.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Jelaing Mersat, Datuk Bandar Bandaraya Kuching Utara Abang Mohamad Atei Abang Medaan dan Datuk Bandar Bandaraya Kuching Selatan James Chan Khay Syn adalah di antara mereka yang menerima Johan Bintang Sarawak (JBS).

Yang lain ialah anggota Exco Saberkas Mohd Amin Hassan, Mohamed Ali Mohamed Sheriff, Jantan Besi, Abang Amir Abang Latip dan Dayang Madinah Tun Abang Openg manakala 10 yang lain termasuk Pemangku Timbalan Peguam Negara Sarawak Francis Johen Adam dan Setiausaha Tetap Kemudahan Awam Negeri Ubaidillah Abdul Latip ialah di antara penerima Johan Bintang Kenyalang (JBK).

Sementara itu, Ketua Biro Bernama Sarawak Caroline Anne Ranyed Jackson, yang juga Pengerusi Persatuan Wartawan Komanwel Sarawak, pula menerima Ahli Bintang Sarawak (ABS). - Bernama

Syor insentif khas kepada swasta buka kelas prasekolah: Muhyiddin

MUAR: Kerajaan akan menyediakan skim insentif khas bagi menggalakkan lebih banyak pihak swasta menganjurkan kelas prasekolah khususnya di luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengenal pasti bentuk galakan yang perlu disediakan itu dan keputusan mengenainya akan diumumkan tidak lama lagi.

Muhyiddin berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Kerjaya di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Isteri PM dahului senarai penerima darjah kebesaran Sabah

KOTA KINABALU: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mendahului senarai 687 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena sambutan ulang tahun Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah ke-63, hari ini.

Beliau adalah antara lima penerima Darjah Kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran 'Datuk Seri Panglima'.

Empat penerima SPDK lagi ialah Pengerusi Institut Pembangunan Sabah Datuk Clarence Bongkos Malakun, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Presiden Persatuan Pengilang Sabah Datuk Wong Khen Thau dan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Datuk Dr Kamaruzzaman Ampon.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Azizah Mohd Dun pula mengetuai senarai 52 penerima anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran 'Datuk'.

Turut menerima anugerah PGDK ialah isteri bekas Ketua Menteri Sabah, Datin Raya Erom.

Penerima PGDK yang lain ialah Ketua Pergerakan Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Datin Jamilah Sulaiman, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Bolkiah Ismail, Ahli Parlimen Tenom Raime Unggi, Ahli Parlimen Kunak Nilwan Kabang, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Herbert Timbon Lagadan, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Johnny Mositun, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datin Asnimar Sukardi, Panglima 5 Briged Brig Jen Masrani Paiman, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Negeri Micheal Emban dan Pengarah Universiti Teknologi Mara Cawangan Sabah Prof Madya Dr Worran Kabul.

Turut menerima PGDK ialah Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamaruzaman Ahmad, Amri Suratman, Balwant Singh Kler, Dom Ami Hussain, Goh Wak Kheng, Gordon Leong Vui Cheung, Md Idrus Ismail, Kangkawang Panglima Kulang, Dr Jayaram A/L N.S. Menon, John Daukum Polos, Jihek Basanu, Kong Kok Kwah, K. Zainal Abidin A. Jalil, Peter Lee Khun Choi, Misri Barham, Mohd Kamil Kassim, Margaret Fung, Madlis Aziz, Micheal John Steel, Philip Lasimbang, Rohana Mahmood, Henry Tee, Teo Ching Ping, David Wong, Wahid Norbinsha, Aloysius Tan Shu Hing, Chua Ching Wah, Hiew Syn Kiong, Khalid Mohamad, Lai Kim Loi, Lee Nyuk Kheng, Leong Den Choi, Pang Ah Foh, Yap Yun Fook, Datin Noami Chong, Ag Buhtaman Ag Mahmun, Lu Chu Kwong, Dr Allan Mathews, Abu Bakar Yahya dan Hamzah Zakaria.

Pada tahun ini, seramai 13 orang menerima Jaksa Pendamai iaitu Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Dr Oh Ei Sun, Anggota Dewan Undangan Negeri Elopura Au Kam Wah, Ketua Penerangan Umno Penampang Noraini Idris, Chew Kok Woh, Isaac Pang Su Kiun, Datuk Ir. John Chee Shi Tong, Mohd Hafarizam Harun, Prof Khairil Jusoh, Pg Saifudin Pg Tahir, Robert Munang, Datuk Tang Yung Hui, Alexandra Chin dan Datuk Richard Koh Kin Lip.

Sementara itu, seramai 64 orang menerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) antaranya Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Pang Yuk Ming, Adun Kuamut Masiung Banah, Adun Matunggong Sarapin Magana, Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri Sabah Afeiza Khan, Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri Sabah Zainudin Aman dan Ketua Umno Beluran James Ratip.

Beberapa pengamal media turut menerima anugerah Ahli Darjah Kinabalu (ADK), antaranya Ketua Biro Bernama Newmond Tibin, Pengawal Sabah V FM Parini Powiro dan Jurufoto Ketua Menteri Sabah Asmat Yahya.

Pengamal media yang menerima Bintang Setia Kinabalu (BSK) ialah Pegawai Penerangan, Ukim Buandi.

Seramai 105 orang menerima ADK, 158 penerima BSK, 218 penerima Bintang Kinabalu dan 72 orang menerima Sijil Kehormat. - Bernama