Followers

Saturday, August 21, 2010

Proses awal loji nuklear pertama Iran di Bushehr bermula

BUSHEHR (Iran): Juruteknik sedang memulakan proses mengalihkan bahan api Uranium daripada kawasan simpanan ke reaktor loji tenaga nuklear Iran yang pertama, hari ini.

Demikian menurut jurucakap syarikat yang menggendalikan nuklear dari Russia, sebentar tadi.
"Permulaan fizikal bagi peringkat awal sudah bermula," kata jurucakap Rosatom, Sergei Novikov di loji yang dibina Russia berdekatan Bushehr, selatan Iran. - Reuters

Isu OKU perlu diserapkan dalam program pembangunan arus perdana: Rosmah

PEKAN: Sebarang isu dan permasalahan mengenai golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) perlu diserapkan dalam program pembangunan arus perdana sekiranya masyarakat benar-benar mahu mendapatkan hasil berkesan dalam usaha untuk mengubah nasib golongan itu.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata ia kerana golongan OKU perlu diberi lebih ruang untuk memainkan peranan secara lebih menyeluruh dan saksama supaya mereka dapat mencapai potensi maksimum sebagai anggota masyarakat yang mampu menyumbang ke arah pencapaian matlamat serta wawasan negara.
"Sehubungan itu, saya menyeru badan-badan bukan kerajaan serta warga korporat untuk terus memberi kerjasama kepada pihak kerajaan melalui kementerian serta agensi-agensi berkaitan sama ada dalam bentuk kewangan atau kepakaran bagi membantu membina golongan OKU yang mampu menyumbang kepada kemakmuran negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri Program Semai Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) Kepada Golongan OKU di Mydin Wholesale Emporium Pekan di sini, hari ini.

Rosmah turut menyeru kepada semua masyarakat terutamanya golongan muda dan berpendidikan tinggi supaya tampil menawarkan diri membantu dalam membangunkan masyarakat OKU supaya sama-sama dapat menikmati kemakmuran dan kesejahteraan negara.

"Mungkin ramai di kalangan kita yang terlupa bahawa golongan OKU adalah sebahagian daripada komponen yang membentuk masyarakat di mana mereka mempunyai hak yang sama rata dari segi pendidikan, perkhidmatan kesihatan, pekerjaan dan aktiviti-aktiviti sosial bagi membantu mereka meningkatkan kualiti hidup masing-masing sama seperti orang lain," katanya.

Pada majlis itu, Rosmah yang juga Yang Dipertua BAKTI menyampaikan sumbangan hari raya daripada pihak Mydin Wholesale berupa duit raya, pakaian dan kuih kepada 329 warga OKU dari 13 pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) daerah Pekan, Bera dan Rompin.
Rosmah berkata, Program Semai Bakti adalah program khusus untuk menyalurkan khidmat bakti kepada golongan OKU di negara ini.

Katanya, sejak mula diasaskan, program berkenaan telah menyumbang kepada pembangunan golongan OKU melalui pelbagai aktiviti sosial untuk membantu meningkatkan keupayaan diri golongan itu.

Antara aktiviti yang telah dijalankan termasuk penganjuran pelbagai kursus untuk penyelia dan petugas pusat PDK serta pemimpin komuniti setempat, membaik pulih prasarana PDK dan meningkatkan mutu kemudahan latihan serta pemulihan PDK. - Bernama