Followers

Sunday, August 8, 2010

Tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris hadapi era globalisasi: Tuanku Zara

IPOH: Sejajar dengan kemajuan sains dan teknologi serta arus globalisasi, tindakan segera perlu diambil untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat negara ini, titah Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim hari ini.
Baginda bertitah, bahawa dengan meningkatnya daya hubungan global, para pelajar khususnya dan rakyat Malaysia amnya, perlu menjadi komunikator yang berkesan, yang bukan sahaja fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, tetapi juga mampu menghayati kesusasteraannya.
"Penguasaan bahasa Inggeris amat penting bagi menjamin kejayaan seseorang individu, di samping memantapkan kedudukan ekonomi negara di peringkat global. Ia akan membolehkan kita mengambil bahagian dan berinteraksi secara berkesan di peringkat global," jelas baginda ketika bertitah pada majlis penyampaian sijil Ninth Cambridge English Speakers of Other Languages (ESOL) sempena sambutan Jubli Perak Institut Pembelajaran dan Latihan Ipoh di sini.
Pada majlis itu, Tuanku Zara juga menyampaikan sijil Cambridge ESOL kepada 121 pelajar.

Bahasa Inggeris sudah dan besar kemungkinan akan kekal sebagai bahasa perantaraan global serta menjadi bahasa perhubungan utama dalam bidang sains, perdagangan, hubungan antarabangsa dan budaya popular, titah baginda.

"Kita perlu sentiasa berwaspada untuk memastikan kita tidak terus ketinggalan seperti sekarang. Kita hidup pada era yang lebih mengutamakan penggunaan mesej secara ringkas dan tidak mementingkan penumpuan, yang boleh melemahkan penguasaan kita terhadap bahasa ini. Ketika dunia begitu sibuk dengan twitter dan SMS, kita perlu lebih beriltizam untuk meningkatkan kefasihan dan kecekapan kita dalam menggunakan bahasa Inggeris," titah baginda.

Tuanku Zara bertitah, guru dan sekolah perlu memainkan peranan penting untuk mewujudkan persekitaran di mana bahasa Inggeris ditutur dan difahami dengan baik.
Komunikasi yang baik bukan sahaja melibatkan nahu, perbendaharaan kata dan pembinaan ayat, tetapi juga kemampuan menyampaikan idea serta mesej dengan jelas, yang mampu memujuk dan secara penuh kreatif untuk membolehkan seseorang itu mempengaruhi dan memberi dorongan kepada orang lain, titah baginda.

"Ini bererti guru bahasa Inggeris sendiri perlu memiliki azam dan minat yang mendalam untuk meningkatkan kemahiran masing-masing dalam penggunaan bahasa itu agar mereka boleh menjadi model peranan yng berkesan untuk pelajar masing-masing," titah baginda.

Tuanku Zara menasihati ibu bapa supaya mengajar bahasa Inggeris kepada anak masing-masing sebelum mereka memulakan pendidikan formal kerana kajian menunjukkan bahawa kemampuan mempelajari sesuatu bahasa berada pada tahap optimumnya ketika seorang kanak-kanak berada dalam lingkungan usia lima tahun.

"Walaupun ibu bapa sendiri tidak boleh bertutur dalam bahasa itu, ini tidak seharusnya menyekat mereka daripada mendedahkan anak masing-masing kepada bahasa itu dengan menggunakan pelbagai cara – buku, muzik, program televisyen, filem, teater dan interaksi dengan mereka yang bertutur dalam bahasa Inggeris," titah baginda. - Bernama

Pengguna dinasihati berhati-hati tawaran SMS Ramadan

KANGAR: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sempena bulan Ramadan.

Beliau berkata, pengguna terutama golongan wanita mudah terpengaruh dengan tawaran melalui SMS seperti peraduan yang hadiahnya berbentuk wang tunai atau barangan untuk kegunaan bulan Ramadan atau Hari Raya Aidilfitri.
"Saya sendiri pernah ditawarkan hadiah wang tunai daripada sebuah syarikat minuman terkenal melalui sms sebanyak dua kali," katanya pada majlis penutup Bulan Pengguna Peringkat Negeri Perlis di Dataran Behor Mentalon dekat sini, hari ini.
Md Isa turut meningatkan pengguna berbelanja mengikut keperluan dan kemampuan bagi mengelak pembaziran.

Katanya, seseorang individu yang menggunakan hak mereka sebagai pengguna boleh mencorakkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan.

Sementara itu, pelbagai kegiatan sempena sambutan bertemakan "Kuasa Pegguna, I Suara" itu diadakan termasuk program Kepenggunaan Luar Bandar Bersama Masyarakat kawasan Guar Sanji membabitkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta. - Bernama

Kepulauan Langkawi diberi nafas baru dalam RMKe-10

LANGKAWI: Kepulauan Langkawi akan diberikan nafas baru dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) bagi mengembalikan semula kegemilangan pulau pelancongan ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob.

Beliau berkata, terdapat banyak pandangan yang menyatakan bahawa pulau lagenda ini sudah hilang daya penarik sejak beberapa tahun kebelakangan ini serta semakin suram.
“Sehubungan itu, kerajaan akan melakukan beberapa inisiatif untuk membangunkan pulau ini,” katanya selepas merasmikan seminar bertemakan Pembangunan Langkawi - Hala Tuju, di sini hari ini.
"Sepatutnya Langkawi jadi ‘niche product’ untuk sektor pelancongan. Kalau Thailand boleh berbangga dengan Pulau Phuket, Koh Samui dan Krabi manakala Indonesia ada Bali, Malaysia juga ada pulau yang menarik.

"Di Malaysia, Langkawi dilihat lebih terkenal," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sudah berbelanja banyak untuk membangunkan Langkawi dalam Rancangan Malaysia sebelum ini bagi mengembangkan ekonominya dan keadaan sekarang jauh lebih baik daripada tahun 90-an dengan banyak perubahan besar telah berlaku di Langkawi.

"Tetapi sebenarnya kerajaan belum berpuas hati. Kita sudah banyak belanja dan kena belanja sikit lagi untuk bangunkan Langkawi menjadi pulau yang ada daya tarikan maksimum.
"Yang penting sekali, kita kena sediakan ejen-ejen pelancongan yang berkemahiran kerana kita kena tumpukan kepada pelancong yang berbelanja tinggi," katanya.

Nor Mohamed berkata, terdapat cadangan untuk Malaysia terutama Langkawi mewujudkan akademi pelancongan bagi melatih tenaga kerja berkemahiran dalam bidang pelancongan.

"Selain itu kita kena selesaikan masalah yang nampak kecil tetapi mampu memberikan impak yang cukup besar. Sebagai contoh masalah kereta sewa.

"Ada pemilik kereta sewa kena membayar insurans RM6,000 setahun untuk sebuah kereta. Kita kena lihat isu pemain industri pelancongan di Langkawi," katanya.

Beliau berkata, ada juga cadangan untuk diwujudkan universiti di Langkawi selain menyediakan hospital yang lengkap terutama untuk kemudahan pelancong.

"Kita akan kaji cadangan itu. Pelancong perubatan juga penting, perkhidmatan perubatan kena bagus. Pelancong datang sini kalau sakit memerlukan hospital, kalau tak sempurna (hospital) susah nak tarik pelancong," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan menyediakan senarai projek untuk Langkawi dalam beberapa bulan lagi sebagai sebahagian rancangan untuk membangunkan Langkawi terutama dalam sektor pelancongan.

"Langkawi mempunyai banyak potensi tetapi tidak digunakan sepenuhnya. Banyak yang kita boleh majukan terutama keadaan alam semulajadinya yang sememangnya menarik," katanya.

Mengulas cadangan membina jambatan dari Pulau Langkawi ke Pulau Tuba, Nor Mohamed berkata, kerajaan akan meneliti kos dan kelebihan yang diperolehi jika jambatan sepanjang kira-kira lima kilometer itu dibina dan jika hasilnya lebih daripada kos, kerajaan tiada masalah untuk membinanya.

Kepulauan Langkawi memiliki 99 pulau tetapi hanya dua pulau yang diduduki iaitu Pulau Langkawi dan Pulau Tuba. - Bernama