Followers

Friday, November 6, 2009

Najib lawat Sabah esok

KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan rasmi ke Sabah selama dua hari mulai esok.

Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dijadual merasmikan tiga mesyuarat parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah sepanjang lawatan itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata sejurus tiba petang esok, Najib akan merasmikan Kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) di salah sebuah hotel di sini.

"Esoknya Perdana Menteri akan menghadiri Kongres Parti Liberal Demokratik (LDP) di 1Borneo, dekat sini sebelum menghadiri majlis makan tengah hari bersama pemimpin Umno Sabah, katanya kepada pemberita selepas melancarkan identiti korporat baru RHB Islamic Bank cawangan Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Musa berkata, pada sebelah petang, Najib dijadual merasmikan konvensyen Nasional Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) di Dewan Pusat Kebudayaan Penampang sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur. - Bernama

Strategi, langkah Bajet 2010 mesti ikut jadual: Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan menetapkan tugasan dan tanggungjawab serta jangka masa pelaksanaan semua strategi dan langkah Bajet 2010 kepada kementerian dan agensi untuk memastikannya dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

Perdana Menteri berkata, ini bagi memastikan semua langkah dapat dilaksanakan demi faedah dan manfaat rakyat.

"Tindakan susulan akan diambil untuk memastikan semua objektif dicapai dalam masa yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan akhbar sempena mesyuarat tindakan susulan Bajet 2010 di sini.

Najib berkata, Unit Pengurusan Projek (PMU) Kementerian Kewangan akan memantau pelaksanaan semua langkah bajet 2010 dalam memastikan ianya berjalan degan lancar dan berkesan.

Perdana Menteri berkata, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri yang mempunyai cawangan di negeri dan daerah akan bertindak sebagai penyelaras.