Followers

Sunday, June 7, 2009

Pelajar warga Australia disah positif H1N1

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan warga Australia berusia 15 tahun yang datang ke Malaysia bersama ibunya untuk menziarahi saudara mereka di sini disahkan positif Influenza A (H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataannya berkata, kes ketujuh sehingga jam 5 petang semalam itu, dikesan apabila pelajar perempuan terbabit didapati mempunyai suhu badan yang tinggi ketika saringan demam menggunakan alat pengimbas di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT)

"Mereka tiba di LCCT daripada Melbourne pada jam 7 pagi, 5 Jun lalu melalui penerbangan AirAsia X D7 2723 dan daripada pemeriksaan lanjut pasukan perubatan bertugas, pesakit memberitahu mengalami demam, batuk dan sakit tekak sehari sebelum ketibaan di sini.

"Pesakit dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 8.15 pagi dan dimasukkan ke wad khas pada jam 9.50 pagi. Beliau disahkan menghidap jangkitan H1N1 dan diberi rawatan antiviral kini dalam keadaan stabil," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, setakat ini, ibu pesakit tidak menunjukkan tanda jangkitan dan kini dikuarantin.

"Kami dimaklumkan pesawat AirAsia X D7 2723 membawa 258 penumpang dan pesakit duduk di kerusi 31A. Oleh itu, kementerian meminta semua penumpang pesawat terbabit terutama yang duduk di tiga baris hadapan, belakang, kiri dan kanan menghubungi kementerian melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 antara jam 8 pagi hingga 9 malam," katanya.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan kes keenam membabitkan pelajar berusia 28 tahun yang menaiki penerbangan Malaysia MH091 dari New York dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7 pagi Rabu lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, sehingga jam 8 pagi semalam, jumlah terkumpul kes H1N1 yang dilaporkan ke WHO adalah 22,092 kes dengan 125 kematian daripada 69 negara iaitu pertambahan sebanyak 2,274 kes dan 8 kematian dari hari sebelumnya.

0 comments: