Followers

Friday, May 14, 2010

Sanusi Junid syor tubuh Bank Model Ekonomi Baru

KUALA LUMPUR: Bekas menteri Kabinet, Tan Sri Sanusi Junid mencadangkan penubuhan Bank Model Ekonomi Baru (BMEB) atau Bank 1Malaysia dengan modal sebanyak RM10 bilion yang bermatlamat untuk membasmi kemiskinan serta menyusun semula masyarakat tanpa mengira kaum.


Katanya BMEB boleh bertindak sebagai bank konvensional atau institusi kewangan Islam sepenuhnya atau menggabungkan kedua-duanya sekali.
"Ini ialah satu usaha untuk menggabungkan hasrat dan perjuangan yang belum selesai dengan aspirasi generasi masa kini yang mencabar dan membawa Malaysia yang bersatu ke arah kejayaan dalam menghadapi cabaran global yang sering bergolak," katanya.

Beliau berkata demikian di dalam kertas kerja mengenai modal dan kewangan
usahawan Melayu yang dibentangkannya pada Konvensyen Usahawan Melayu 2010
anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di sini hari ini.

Sumber modal tersebut, katanya, boleh diperolehi dari Petronas, Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Tabung Haji, zakat,
pelabur serta kerajaan pusat dan negeri.

Antara kegiatan bank berkenaan adalah untuk membiayai pendidikan, pinjaman perumahan, peniaga kecil, pelancongan, kesihatan, penanam padi, petani,
penternak dan nelayan, kraftangan, industri kampung, industri kecil dan
sederhana. - Bernama

Malaysia tewas 0-3 kepada China

KUALA LUMPUR: Malaysia tewas 0-3 kepada China pada perlawanan separuh akhir Piala Thomas di Stadium Putra, Kompleks Sukan Bukit Jalil, di sini malam ini.

Lin Dan mengalahkan Lee Chong Wei 21-17, 21-8 dalam permainan perseorangan pertama.

China menambah mata kedua apabila pasangannya Cai Yun/Fu Haifeng menewaskan pasangan negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, 21-15, 21-10.
Chen Jin memastikan kemenangan China apabila menewaskan Wong Choong Hann 21-17, 21-6 dalam permainan perseorangan kedua.

China akan bertemu Indonesia pada perlawanan akhir.

Kampus baharu UiTM dibina di Sook, Keningau dalam RMK-10


Kota kinabalu, Sebuah kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang baharu akan dibina di Sook, Keningau dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) khusus menjadikannya sebagai Hab Pendidikan Pedalaman untuk Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, kos pembinaan untuk kampus baharu itu akan ditanggung oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan tapaknya juga sudah pun dikenal pasti.
"Dianggarkan kosnya mencecah ratusan juta ringgit," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Sabah 2010 siri ke-21 di Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini. – Utusan

Jangan lupa sejarah 13 Mei 1969 – Tun Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 14 Mei – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sesiapa yang melupakan sejarah mungkin kembali mengulangi sejarah itu dan bakal berhadapan hukuman akibat kesilapan itu.
Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri itu meminta rakyat supaya tidak melupakan tragedi 13 Mei 1969 kerana jika itu berlaku, sejarah itu boleh berulang.
"Saya fikir kalau kita lupa sejarah kita, kita akan ulangi sejarah itu. Ada pepatah terkenal menyebut mereka yang lupa pengajaran daripada sejarah akan dihukum dengan mengulangi kesalahan mereka berulang kali.
"Itu keyakinan saya,” katanya pada sidang media penghantaran bantuan kemanusiaan oleh Perdana Global Peace Organisation (PGPO) di bangunan Yayasan Al-Bukhary di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kritikan Timbalan Pengerusi Biro Publisiti MCA, Loh Seng Kok yang mendakwa persetujuan Dr. Mahathir untuk menyertai Program Melayu Bangkit anjuran Institut Integriti Negeri Terengganu (IINT) bersama Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, yang dibatalkan semalam, seolah-olah merestui kempen perkauman.
Program itu ditangguhkan ke satu tarikh lain atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan termasuk aspek keselamatan.
Dr. Mahathir berkata, beliau tidak memandangnya dari sudut itu tetapi kesudiannya menyertai acara itu adalah untuk mengingatkan rakyat bahawa sekiranya isu itu tidak dikendalikan dengan cermat, tidak mustahil sejarah berdarah itu akan berulang.
"Itu saya tak taulah (dakwaan). Saya pergi ke sana bukan untuk mengadu domba antara pelbagai bangsa tapi saya mahu ingatkan mereka bahawa jika kita tidak mempedulikan masalah bangsa ini, kita akan mengulangi kesilapan kita. Jika (tidak dibatalkan), sudah tentu, saya pergi, tapi lepas itu saya akan digelar rasis,” katanya. – Bernama

Lembaga Pelaburan Qatar cadang labur AS$5b di Malaysia

PUTRAJAYA – Lembaga Pelaburan Qatar (QIA) bercadang melabur AS$5 bilion atau kira-kira RM16 bilion di Malaysia.
Satu memorandum persefahaman (MoU) antara QIA dan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) telah dimeterai hari ini.
Perjanjian MoU itu menyediakan rangka kerja untuk memudahkan kerjasama pelaburan antara kedua-dua entiti untuk meninjau, menilai dan melaksanakan peluang-peluang pelaburan di Malaysia.
"Ia termasuklah pelaburan dalam sektor tenaga dan pembangunan hartanah yang strategik di Lembah Klang,” kata QIA dan kenyataan bersama di sini.
Majlis memeterai perjanjian itu diadakan di pejabat Perdana Menteri di sini dengan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya dari Qatar, Sheikh Hamad Jassim.
Kenyataan itu juga berkata, satu Jawatankuasa Bersama akan dibentuk antara QIA dan 1MDB, untuk menilai aspek daya maju dan aspek-aspek komersial peluang pelbagai pelaburan yang lain, akan dipertimbangkan. – Bernama

Malaysia yakin kekal pertumbuhan tinggi: Mustapa

SINGAPURA: Malaysia yakin pertumbuhan tinggi ekonomi yang dicatatkan awal tahun ini boleh dikekalkan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, pelbagai sektor ekonomi seperti pembuatan dijangka terus mencatatkan prestasi baik tahun ini dan justeru itu boleh membantu mengekalkan momentum pertumbuhan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 10.1 peratus pada suku pertama 2010, jauh lebih baik berbanding 4.4 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2009.
Najib berkata, unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini kini disemak semula kepada 6 peratus daripada unjuran terdahulu antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus.

Pertumbuhan KDNK suku pertama itu adalah yang tertinggi dicatatkan dalam tempoh sepuluh tahun berbanding dengan 11.7 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2000.

Mustapa berkata, angka pertumbuhan itu "mengejutkan tetapi menggembirakan pasaran" dan "kami tahu kami boleh melakukan dengan baik" kerana semua sektor ekonomi mencatatkan prestasi baik.

"Bagaimanapun sesetengah orang masih meragui pencapaian Malaysia kerana mereka memberi alasan pelaburan di negara itu bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini masih rendah, berjumlah hanya RM5.2 bilion berbanding dengan RM32.6 bilion yang dicapai tahun lalu," katanya kepada anggota Foreign Correspondents' Association of Singapore di sini, hari ini.
Mustapa berada di sini sejak semalam untuk bertemu dengan pelabur Singapura dan asing yang berpangkalan di negara ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Persidangan Perniagaan Jerman Asia Pasifik Ke-12 yang membabitkan perbincangan panel antara lebih 700 ketua perniagaan utama Jerman dengan menteri perdagangan Asean.

Beliau berkata, Malaysia kini lebih menarik bagi pelabur asing kerana ia telah meliberalisasikan ekonominya dengan menghapuskan beberapa garis panduan pelaburan seperti keperluan 30 peratus saham Bumiputera dalam syarikat asing tahun lalu.

Mustapa berkata, pada 10 Jun ini, kerajaan akan mengumumkan lebih banyak butiran terperinci Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan menjadikan ekonomi lebih rancak dan menggerakkannya ke arah pertumbuhan dua angka.

Mengenai persidangan dengan ketua perniagaan utama Jerman, Mustapa berkata para delegasi diberitahu bahawa mereka tidak sepatutnya hanya melihat kepada China dan India untuk berdagang kerana Asean masih relevan dan satu "kuasa yang perlu diambil kira", dan rantau Indo-China (membabitkan Kemboja, Myanmar, Laos dan Vietnam) kini berkembang sebagai peserta ekonomi serantau.

Mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA), beliau berkata Malaysia dan India sedang berunding untuk memuktamadkan FTA sebelum Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh, melawat Malaysia pada akhir tahun ini. - Bernama

Malaysia ketinggalan 0-1 kepada China

KUALA LUMPUR: Malaysia ketinggalan 0-1 kepada China pada perlawanan separuh akhir Piala Thomas yang sedang berlangsung di Stadium Putra, Kompleks Sukan Bukit Jalil, di sini malam ini.
Lee Chong Wei tewas 17-21, 8-21 kepada Lin Dan dalam permainan perseorangan pertama.

Kini, pasangan negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong berhadapan dengan pasangan China, Cai Yun/Fu Haifeng.
Perlawanan lain yang dijadualkan ialah antara Wong Choong Hann melawan Chen Jin; Mohd Zakry Abdul Latif/Hoon Thien How menentang Chen Xu/Guo Zhendong; dan Muhd Hafiz Hashim melawan Bao Chunlai.

10 lagi kes kluster ILI dikesan

PUTRAJAYA: Sebanyak 10 laporan kejadian kluster baru penyakit serupa influenza (ILI) dikesan di lapan negeri sehingga 8 pagi ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Negeri terbabit ialah Kelantan, Pahang, Terengganu, Sarawak, Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Katanya, sehingga 5.30 petang semalam, jumlah terkumpul kes ILI yang masih dirawat di hospital seluruh negara adalah sebanyak 661 kes dan dariapada jumlah itu, 77 kes disahkan positif Influenza A (H1N1).
"Bilangan kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 13 kes dengan sembilan daripadanya mempunyai faktor risiko," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, jumlah terkumpul kes H1N1 adalah 14,307.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan H1N1 boleh melayari laman webhttp://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/0300.

Bayi lelaki ditinggalkan di masjid

SUNGAI PETANI: Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di Masjid Al-Makmor, Sungai Lalang, di sini pada 5.20 pagi ini.
Ahli Jawatankuasa masjid berkenaan, Johari Bidin, 67, berkata beliau menemui bayi itu selepas terdengar suara tangisan bayi sebaik sahaja beliau menyalakan lampu di masjid itu untuk menunaikan solat subuh.

Katanya, beliau terus mencari arah bunyi tangisan itu dan menemui bayi berkenaan yang dibalut dengan tuala, ditinggalkan berhampiran dengan tangga untuk ke ruang solat wanita.
"Bayi itu diselimutkan dengan tuala dan terdapat banyak semut di badannya, ada juga kesan darah melekat di tuala dan kepala bayi itu juga masih basah," katanya ketika ditemui hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali ketika ditemui di sini mengesahkan kejadian dan berkata kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 317, Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kedah, Zulkipli Ramli, berkata bayi itu kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan pihaknya dimaklumkan bahawa bayi itu dalam keadaan sihat.

Katanya, bayi itu akan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas tamat rawatan. - Bernama

Jangan lupa sejarah 13 Mei: Tun Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sesiapa yang
melupakan sejarah mungkin kembali mengulangi sejarah itu dan bakal berhadapan
hukuman akibat kesilapan itu.

Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri itu meminta rakyat supaya tidak melupakan tragedi 13 Mei 1969 kerana jika itu berlaku, sejarah itu boleh
berulang.

"Saya fikir kalau kita lupa sejarah kita, kita akan ulangi sejarah itu.
Ada pepatah terkenal menyebut mereka yang lupa pengajaran daripada sejarah akan
dihukum dengan mengulangi kesalahan mereka berulang kali.

"Itu keyakinan saya," katanya pada sidang media penghantaran bantuan kemanusiaan oleh Perdana Global Peace Organisation (PGPO) di bangunan Yayasan
Al-Bukhary di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kritikan Timbalan
Pengerusi Biro Publisiti MCA, Loh Seng Kok yang mendakwa persetujuan Dr Mahathir
untuk menyertai Program Melayu Bangkit anjuran Institut Integriti Negeri
Terengganu (IINT) bersama Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) di Stadium
Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, yang dibatalkan semalam, seolah-olah
merestui kempen perkauman.

Program itu ditangguhkan ke satu tarikh lain atas sebab-sebab yang tidak
dapat dielakkan termasuk aspek keselamatan.

Dr Mahathir berkata beliau tidak memandangnya dari sudut itu tetapi
kesudiannya menyertai acara itu adalah untuk mengingatkan rakyat bahawa
sekiranya isu itu tidak dikendalikan dengan cermat, tidak mustahil sejarah
berdarah itu akan berulang.

"Itu saya tak taulah (dakwaan). Saya pergi ke sana bukan untuk mengadu domba antara pelbagai bangsa tapi saya mahu ingatkan mereka bahawa jika kita tidak mempedulikan masalah bangsa ini, kita akan mengulangi kesilapan kita. Jika
(tidak dibatalkan), sudah tentu, saya pergi, tapi lepas itu saya akan digelar
rasis," katanya.

Dr Mahathir berkata sebagai orang yang melalui sendiri pengalaman tragedi 13
Mei itu, beliau hanya ingin berkongsi maklumat supaya mereka tidak melakukan
sesuatu yang boleh memberi kesan kepada orang lain.

"Saya lalui 13 Mei ini jadi saya tahu benar. Saya fikir saya dapat membantu menyesuaikan diri agar mereka tidak bertindak terburu-buru yang boleh
menyebabkan berulangnya satu lagi 13 Mei," katanya.

Justeru itu, Dr Mahathir berharap mana-mana pihak yang mencadangkan supaya
tragedi itu dilupakan, supaya kembali memperbetulkan tanggapan mereka mengenai
tarikh bersejarah itu.

"Idea agar kita patut melupakan 13 Mei bukan satu idea yang baik," katanya. - Bernama

Kerajaan kenal pasti bidang ekonomi baru untuk Bumiputera: PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mengenal pasti bidang ekonomi baru yang berpotensi menerusi Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) untuk pembabitan usahawan Bumiputera.
"Terdapat antara 12 dan 14 bidang yang telah dikenal pasti menerusi NKEA yang akan diumumkan tidak lama lagi," katanya dalam ucapan pada Konvensyen Usahawan Melayu 2010, di sini hari ini.

Pada konvensyen anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang bertema "NGO Force Ke 3 - Penjana Ekonomi Bangsa", Najib meminta usahawan Bumiputera supaya menceburi bidang yang berpotensi dan bukan yang sudah mempunyai terlalu ramai peserta.
Beliau juga menyentuh mengenai sikap usahawan Bumiputera yang suka menceburi bidang perniagaan pada waktu "senja".

"Kita masuk dalam bidang, dah nak waktu Maghrib. Dah nak pencen, nak masuk kelas F yang dah terlalu ramai. Terdapat 30,000 kontraktor Kelas F. Ikut per kapita, kita mempunyai paling banyak kontraktor Kelas F di seluruh dunia," katanya.

Katanya, peruntukan kerajaan terhad dan kerajaan hanya akan membantu syarikat yang berpotensi dan mempunyai kelebihan.

"Ini Abad ke 21 dan di era globalisasi, persaingan adalah terbuka. Kita tidak ada pilihan melainkan memperkukuhkan daya saing dan ubah pendekatan kita," katanya.
Perdana Menteri berkata, Model Baru Ekonomi juga mengiktirafkan syarikat berdasarkan merit dan yang mempunyai daya saing.

Sebagai contoh, katanya, agensi seperti Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) hanya mencari syarikat yang layak untuk diperkukuhkan.

"Kalau ada syarikat Bumiputera yang ada potensi, kita tambah modal," katanya.

Najib berkata, peniaga bukan Bumiputera juga ingin membantu golongan Bumiputera tetapi mereka marah jika ekuiti mereka diambil begitu saja.

Beliau berkata, terdapat usahawan yang menerima ekuiti daripada bahagian 30 peratus yang dikhususkan untuk Bumiputera dalam syarikat dan menjualnya begitu saja.

"Peniaga bukan bumiputera akan membantu syarikat Bumiputera jika mereka berpotensi dan boleh dipercayai," katanya. - Bernama

Sasaran 2011 selesai masalah penduduk Sabah, Sarawak tanpa dokumen diri

SIBU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mensasarkan untuk menyelesaikan masalah penduduk tanpa dokumen pengenalan diri di Sabah dan Sarawak menjelang penghujung tahun depan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya tempoh dua tahun itu adalah untuk membolehkan pelbagai proses seperti pendaftaran permohonan dan semakan taraf kerakyatan dilaksanakan terlebih dahulu.

"Saya telah mengarahkan pegawai-pegawai Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) di Sabah dan Sarawak agar lebih proaktif, melalui program outreach dan Unit Khas Bergerak (UKB).

"Mereka akan turun padang ke luar bandar dan pedalaman untuk membantu
penduduk yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Ini adalag KPI
kementerian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Bertemu
Pelanggan KDN di sini hari ini.
Sebelum itu, Hishammuddin menyampaikan sijil kewarganegaraan kepada 14
penerima, sijil daftar lewat kelahiran (empat penerima), MyKad (lima penerima),
dan MyKid (lima penerima).

Dari Januari hingga April tahun ini, UKB JPN Sarawak menerima 1,770
permohonan untuk daftar lewat kelahiran dan 1,313 permohonan untuk daftar lewat
kad pengenalan.

Menurut perangkaan, seramai 25,254 penduduk di Sarawak masih tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang melibatkan penduduk tempatan yang tidak memohon dan penduduk warga asing yang telah lama menetap di Sarawak.

Hishammuddin berkata KDN telah menambah bilangan pegawai dan memanjangkan
masa waktu bekerja untuk mempercepatkan segala proses permohonan.

"Kementerian tidak mengetepikan sebarang syarat dan kelayakan yang
ditetapkan. Hal-hal yang berhubungkait dengan kenegaraaan adalah satu perkara
serius kerana ia melibatkan keselamatan negara dan kita tidak mahu ada yang
mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi keadaan," katanya. - Bernama

Najib mahu peniaga Bumiputera tingkatkan ilmu, reputasi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mahu usahawan Bumiputera melengkapkan diri dengan ilmu perniagaan dan keusahawanan di samping memperkukuhkan reputasi mereka dalam bidang itu.
Beliau berkata, tidak rugi untuk usahawan tempatan menambah ilmu pengetahuan termasuk dalam kedua-dua bidang itu yang kini sudahpun menjadi satu bidang pengajian di universiti.

"Kelemahan seperti ini bukan sahaja orang Melayu tetapi bukan Melayu pun ada kelemahan dalam bidang perniagaan kerana syarikat perniagaan keluarga pun kadang-kadang generasi kedua sudah lumpuh. Dan ada syarikat berkait kerajaan (GLC) pun sudah ada yang rugi besar.
"Maknanya bukan hanya individu, semua mesti melihat kepada kelemahan dari segi ilmu keusahawanan dan perniagaan. Tolong lengkapkan diri dalam bidang ini," katanya ketika merasmikan Konvensyen Usahawan Melayu 2010 anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di PWTC di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, untuk cemerlang dalam bidang perniagaan, seseorang usahawan harus mempunyai nilai yang baik dan murni sebagai faktor memperkukuhkan reputasi diri.

"Kalau bank tengok kita masuk sahaja pintu, sudah boleh dipercayai...kalau kita ini seorang ahli perniagaan yang boleh dipercaya, saya percaya banyak pihak yang ingin membantu kita," katanya.

Secara peribadi Najib berkata, beliau juga suka menilai keikhlasan, kesungguhan dan ketekunan seseorang yang ditemuinya sebelum membantu mereka.
"Saya tahu pada diri saya kalau orang masuk pintu pejabat saya, itu yang saya tengok dulu. Dia ni boleh percaya ke tak boleh percaya, boleh harap ke tak boleh harap," katanya.

Pada masa ini, katanya, kebanyakan usahawan tempatan gemar menceburi bidang yang sudah banyak diterokai menyebabkan berlakunya "kesesakan" dalam bidang perniagaan berkenaan.

"Inilah kelemahan orang Melayu, suka masuk bidang yang orang kata dah dekat senja. Sekarang kita ada 30,000 kontraktor Kelas F, per kapita Malaysia teramai kontraktor Kelas F di seluruh dunia," katanya sambil menjelaskan bahawa keadaan itu menyebabkan timbul masalah dalam pengagihan kontrak dan peruntukan.

Najib juga meminta masyarakat, khususnya anggota DPMM, supaya mengemukakan kepada kerajaan sekiranya mempunyai kaedah atau model yang lebih baik dalam pelaksanaan Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan kerajaan.

Najib berkata, walaupun MBE mengekalkan matlamat yang sama dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), namun beberapa aspek telah disusun semula bagi memastikan ia adil kepada semua pihak.

"Mungkin yang menjadi pertikaian dan perbezaan pendapat ialah kaedah yang digunakan dan model pelaksanaannya, sama ada ianya berkesan, dalam erti kata ia adil kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera. Itu sahaja yang memerlukan 'fine tuning' (diperkemaskan)," katanya. - Bernama

India bongkar taktik baru seludup ketamine ke Malaysia

CHENNAI: Satu lagi helah untuk menyeludup dadah jenis ketamine ke Malaysia dengan menyembunyikan bahan itu di dalam mesin menjual ais krim terbongkar di Lapangan Terbang Chennai, berikutan penahanan seorang penganggur lelaki warga India.
Berdasarkan maklumat awam, Unit Risikan Udara Kastam Chennai yang mengawasi penumpang ke Malaysia, mengecam seorang seorang suspek yang membawa satu bungkusan besar memasuki lapangan terbang itu.

Seorang mata-mata gelap menahan Mani Viyakumar, berusia 32 tahun, dan semasa soal siasat suspek yang gementar itu mendedahkan bahawa dia membawa bahan narkotik ke Malaysia.
Pegawai kastam kemudian meleraikan mesin menjual ais krim itu dan menemui sejumlah 14.79 kilogram ketamine disembunyikan di dalamnya.

"Dadah itu disembunyikan dengan teliti di ruang kosong mesin ais krim dibawa Mani yang kononnya untuk dijual di luar negara. Penumpang itu ditahan kerana keadaannya mencurigakan," kata Pesuruhjaya Kastam (Lapangan Terbang dan Karggo Udara), R Periasamy, dalam satu kenyataan.

Pegawai Kastam menganggarkan dadah itu, yang lebih dikenali sebagai "dadah pesta" boleh mencecah nilai RM1 juta di pasaran antarabangsa.

Dadah jenis ketamine hidroklorik yang sering digunakan sebagai ubat penenang haiwan, sangat mudah diperoleh di India dan banyak diseludup ke negara Asia Tenggara kerana permintaan tinggi dan harga jualan yang mahal.
Antara 2008 dan 2009, kira-kira 123 kg ketamine dirampas di lapangan terbang Chennai sahaja.

Berikutan pemeriksaan ketat di lapangan terbang dan pelabuhan di selatan negara itu, penyeludup kini menggunakan laluan lain seperti lapangan terbang Cochin, Hyderabad dan Coimbatore. - Bernama