Followers

Tuesday, November 17, 2009

Golongan miskin tidak akan terpinggir bawah program Subur

ROME 17 Nov. — Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak akan meminggirkan golongan miskin yang layak mendapat subsidi beras kerana faedah itu akan tetap diberikan kepada mereka.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, pemberian subsidi menggunakan sistem kupon di bawah program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur) itu, akan dilaksanakan secara berperingkat mulai bulan depan, bagi memastikan bantuan kepada golongan berkenaan mencapai matlamatnya.

"Bagi mereka yang telah mendaftar nama (daripada E-Kasih), mungkin mengambil masa sedikit untuk kita proses untuk diberikan kupon subsidi beras ini,” katanya kepada pemberita selepas menganjurkan majlis makan malam untuk delegasi Malaysia, sempena Sidang Kemuncak Keselamatan Makanan Dunia di sini, Isnin malam.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai delegasi Malaysia pada sidang itu yang berlangsung selama tiga hari, mulai Isnin.

Dua hari lepas, Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin meminta kementerian berkenaan menangguhkan cadangan pemberian subsidi beras kepada golongan miskin pada bulan depan kepada suatu tarikh lain untuk memberi peluang lebih ramai rakyat mendapat faedah. - Bernama

Pusat Inovasi Negara dilancarkan tahun depan: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak, berkata Pusat Inovasi Negara, yang turut dikenali sebagai MyNIC, akan dilancarkan menjelang akhir suku pertama tahun depan.

Perdana Menteri berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini sedang melaksanakan kajian komprehensif mengenai pelaksanaan MyNIC dan ini akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.

"Fokus MyNIC ialah untuk melakukan inovasi secara menyeluruh, bukan saja di dalam bidang bioteknologi malah juga di dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), animasi serta pertanian dan industri yang lain," katanya pada sidang media selepas pelancaran rasmi Persidangan dan Pameran BioMalaysia 2009 di sini, hari ini.

Najib berkata, penekanannya perlu diberikan kepada modal dan kandungan intelek.

"Ini, saya yakin, akan menambah baik sistem ekologi yang kondusif bagi pembangunan industri itu yang kini kian berkembang," katanya.

Cadangan penubuhan MyNIC diusulkan pada mesyuarat Majlis Inovasi Kebangsaan ke-empat baru-baru ini. - Bernama

Projek Taman Industri Minyak, Gas dan Maritim Tanjong Agas siap 2011

KUANTAN: Kerja-kerja membina infrastruktur jalan dan teknikal bagi projek Taman Industri Minyak, Gas dan Maritim Tanjong Agas, di Pekan dijangka siap sepenuhnya pada awal 2011.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub, berkata sehingga pertengahan bulan lalu, jalan sepanjang lapan kilometer sudah dibersihkan dan kemajuan fizikal kini di tahap dua peratus.

"Pelaksanaan kerja-kerja membina jalan dan kerja teknikal berkaitan akan mengambil masa selama 16 bulan keseluruhannya," katanya ketika menjawab soalan Leong Ngah Ngah (DAP-Triang) pada persidangan ketiga penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-12 (sesi bajet 2010) di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini

Menurut Adnan, beberapa pelabur yang memeterai Perjanjian Pajakan dan Perjanjian Persefahaman bagi menempatkan pelaburan mereka di kawasan itu kini masih di peringkat kajian dalam persediaan untuk menempatkan projek mereka dan menunggu sehingga kemudahan jalan masuk, jambatan, sistem perparitan dan utiliti berkaitan siap.

Katanya, pelabur yang terbabit adalah syarikat Vantech Dockyard Sdn Bhd, Syarikat Usetech Marine (M) Sdn Bhd, Bitara Abadi Sdn Bhd, Core Competencies Sdn Bhd, Damini Corporation Sdn Bhd dan Competent Selections Sdn Bhd.

Menjawab soalan tambahan Leong sama ada diwujudkan satu badan bersekutu untuk memantau keseluruhan perjalanan projek terbabit, Adnan berkata, kerajaan negeri buat masa ini tidak bercadang menubuhkan sebarang badan pemantauan kerana Perbadanan Kerajaan Negeri Pahang telah diberi tanggungjawab untuk memantau semua perjalanan projek itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan, Datuk Ir Mohd Soffi Abdul Razak, berkata subsidi bekalan air sudah diberikan kerajaan negeri kepada rakyat Pahang sejak tahun 1982 cuma ia tidak dinyatakan dalam bil.

"Bagaimanapun, subsidi itu sudah dipaparkan pada bil mulai Ogos 2009 untuk memaklumkan kepada rakyat perbelanjaan yang ditanggung kerajaan dalam memberikan bekalan air bersih sekali gus memberi kesedaran kepada mereka supaya berhemah menggunakan air," katanya ketika menjawab soalan Choong Siew Onn (DAP-Tras). - Bernama

Pelaksanaan sistem subsidi bahan api disasarkan Mei 2010

PUTRAJAYA: Kerajaan mensasarkan Mei tahun depan bagi pelaksanaan sistem subsidi bahan api, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Husni berkata, struktur sistem subsidi dijangka siap menjelang April.

"Sebilangan besar pemilik kenderaan bermotor kemungkinan besar berhak mendapat subsidi itu," katanya selepas menghadiri Hari Inovasi, Integriti dan ICT kementerian itu.

Menurutnya lagi, adalah dijangka sistem subsidi bahan api itu akan membolehkan kerajaan berjimat besar.

"Kita akan juga mengambil kira sasaran kerajaan di dalam memastikan kebajikan rakyat, serta pembangunan ekonomi negara ini," katanya.

Katanya, ada kemungkinan mereka yang berpendapatan tinggi serta pelancong tidak akan layak mendapat subsidi itu.

"Kita sedang mengkaji kriteria bagi menerima subsidi, melalui saiz kenderaan bermotor masing-masing, sebagai satu penanda aras," katanya. - Bernama

Hujan lebat diramal hingga Khamis

KUALA LUMPUR: Jabatan Metereologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran kemungkinan banjir akan berlaku di kawasan-kawasan rendah berdekatan tebing sungai di Kelantan, Terengganu dan Pahang berikutan hujan sekejap-sekejap yang kadang kala lebat sejak semalam yang dijangka berlarutan sehingga Khamis ini.

Dalam kenyataan hari ini, jabatan itu menyatakan hujan lebat peringkat kuning, iaitu kemungkinan berlaku hujan monsun, dijangka berlaku dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

Kawasan terbabit ialah di Tumpat, Kota Bahru, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang di Kelantan; Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu; serta Kuantan, Jerantut, Pekan, Rompin dan Maran di Pahang.

Keadaan sama turut diramalkan di Perak Utara iaitu di daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar, Larut, Matang dan Kerian serta Kedah mulai malam ini sehingga Khamis.

Hujan lebat peringkat Kuning juga dijangka melanda kawasan Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Kudat, Kota Merudu dan Pitas di Sabah mulai hari ini hingga esok.

Jabatan itu turut meramalkan angin kencang dan laut bergelora akan berlaku di kawasan Condore, Samui (Kelantan dan Terengganu) Reef North, Layang-layang, Palawan dan Utara Sabah mulai hari ini hingga Ahad dan berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Menurut jabatan itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu dan Pahang juga terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut mulai esok hingga Jumaat ini. - Bernama

Terengganu perkenal peperiksaan online

KUALA TERENGGANU: Mulai pertengahan tahun depan, murid darjah enam di seluruh Terengganu akan menduduki peperiksaan secara dalam talian (online) selepas semua murid di negeri itu memperolehi e-Book yang dibekalkan kerajaan negeri.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, berkata murid terbabit akan menduduki peperiksaan bulanan, peperiksaan penggal selain latihan tubi secara online bagi meningkatkan kecemerlangan mereka dalam pelajaran.

"Guru-guru akan menyediakan soalan untuk mereka sebagai latihan melalui e-Book yang diberikan kepada kira-kira 23,000 murid darjah lima tahun ini dengan peruntukan kira-kira RM23 juta," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan e-Book kepada sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam di sini hari ini.

Seramai 503 pelajar termasuk 22 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (pendengaran) turut menerima e-Book berkenaan.

Ahmad berkata, 10 pelajar yang berjaya mendapat keputusan ujian bulanan terbaik secara online di setiap sekolah akan diberikan hadiah sebagai galakan.

Sementara itu, Ahmad berkata pelajar Terengganu yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok, tidak perlu bimbang jika banjir melanda di negeri itu kerana kerajaan telah membuat persiapan sejak awal lagi.

"Banjir berlaku setiap tahun di Terengganu dan bagi pelajar yang menduduki SPM, kita memang dah sedia pusat peperiksaan yang baru untuk mereka jika banjir," katanya.

Sebanyak 197 pusat peperiksaaan SPM disediakan di seluruh Terengganu dan 90 buah pusat penempatan pelajar diwujudkan jika berlaku banjir. - Bernama

GLC digesa guna bahasa Melayu dalam urusan rasmi

KUALA LUMPUR: Agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya termasuk dalam mesyuarat lembaga pengarahnya.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata arahan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi sudah dikeluarkan tetapi tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Israel beri amaran tawan kawasan Tebing Barat

BAITULMAQDIS: Israel memberi amaran kepada rakyat Palestin bahawa dengan mengisytihar sebuah negara tanpa memeterai perjanjan damai akan menjurus Israel bertindak balas, termasuk menawan lebih banyak kawasan Tebing Barat.

"Jika rakyat Palestin mengambil tindaan secara bersendirian, Israel patut menimbang...meluluskan undang-undang untuk menawan beberapa penempatan," Menteri Alam Sekitar, Gilad Erdan, sekutu rapat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, memberitahu Radio Israel.

Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, enggan menyatakan tindakan yang akan diambil Israel.

Bagaimanapun, beliau berkata: "Sudah jelas sebarang langkah sedemikian oleh Palestin tidak akan berlalu tanpa tindak balas Israel."

Tanpa menetap jangka waktu, pegawai Palestin berkata mereka bercadang ke Majlis Keselamatan PBB dalam usaha mendapatkan sokongan antarabangsa untuk negara merdeka di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. - Reuters

70 peratus rakyat AS sifatkan China ancaman ekonomi

WASHINGTON: Majoriti rakyat Amerika Syarikat (AS) menyifatkan kebangkitan China adalah satu ancaman ekonomi, angka yang ditunjukkan dalam satu undian semalam, dan ketika Barack Obama mengambil pendekatan untuk meningkatkan hubungan antara dua negara dalam lawatan pertamanya ke Beijing dan Shanghai sebagai presiden.

Lebih 70 peratus soalan dalam undian CNN berkata, mereka (rakyat AS) memberi pertimbangan gergasi Asia itu sebagai ancaman ekonomi, manakala hanya 28 peratus tidak bersetuju dengan soalan itu.

Dua pertiga daripada peserta berkata, mereka berpendapat China adalah sumber daripada pertandingan yang tidak adil terhadap syarikat AS, manakala hanya suku melihat China secara positif dengan menawarkan potensi pasaran yang besar kepada barangan AS. - AFP

Taun di Terengganu belum reda

KUALA TERENGGANU: Penyakit taun yang dikesan di Terengganu dua minggu lalu masih belum reda walaupun langkah-langkah pencegahan secara agresif diambil sejak ia mula dikesan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nordiyanah Hassan, berkata terdapat peningkatan kes dilaporkan sejak dua tiga hari lalu, namun ia masih dalam keadaan sederhana dan terkawal.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar kes taun setakat ini

Pada 10 November lalu, seorang pesakit dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit itu dan 11 lagi didapati positif menghidap sakit taun masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Dr Nordiyanah berkata, pihaknya kini sedang membuat pemantauan terhadap kedai makanan dan akan diarah tutup jika didapati ada makanan yang tercemar.

"Jika makanan yang disajikan di kedai-kedai didapati tercemar, kebersihan tidak memuaskan, kita arah tutup walaupun ia tidak ada kaitan dengan penyakit taun," katanya.

Dr Nordiyanah turut mengesahkan laporan terdapat beberapa buah kedai di sekitar daerah ini telah diarahkan tutup tetapi enggan mendedahkan menyebut jumlah terbabit.

Beliau berkata, pihaknya mengambil langkah-langkah pencegahan yang agresif seperti menasihat orang ramai supaya mengelak membeli air batu dan makanan tercemar bagi mencegah penyakit itu daripada merebak.

"Kami bimbang jika banjir berlaku kerana penyakit ini akan cepat merebak melalui air banjir yang bercampur dengan najis," katanya. - Bernama

Seramai 55,635 calon duduki STPM Rabu ini

KUALA LUMPUR: Seramai 55,635 calon akan menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di 758 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai 18 November hingga 10 Disember depan.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Malaysia (MPM), seramai 48,774 calon adalah daripada sekolah kerajaan, 1,632 calon sekolah swasta, 4,768 calon persendirian individu, 457 calon sekolah kerajaan negeri dan empat calon Sekolah Integriti.

Jika berlaku sebarang bencana alam, seperti banjir atau tanah runtuh dan calon mendapati sukar untuk sampai ke pusat peperiksaan, calon dinasihati ke pusat peperiksaan berdekatan dan melaporkan kepada diri kepada Ketua Pengawas di pusat peperiksaan itu untuk menduduki peperiksaan pada hari berkenaan.

Bagi calon yang menghidap atau disyaki menghidap wabak Influenza A (H1N1), calon hendaklah menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah untuk mendapatkan bantuan sewajarnya bagi menduduki peperiksaan.

Menurut kenyataan itu, bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika peperiksaan sedang berlangsung, MPM membuka bilik gerakan yang beroperasi mulai jam 7.30 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Jumaat.

Bilik gerakan itu boleh dihubungi di 03-61302666/ 61352035/ 61352390/ 61352316.

Sementara itu, calon turut dinasihati supaya sentiasa membawa kad pengenalan dan Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC1 atau LPKC2) sepanjang peperiksaan berlangsung.

Calon yang masih tidak menerima atau kehilangan laporan pendaftaran itu boleh melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my untuk mendapatkan dan mencetak butiran pendaftaran mereka. - Bernama

Anwar tak tahu sangat soal ekonomi: Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak tahu sangat mengenai ekonomi.

"Bercakap memang pandai tetapi pasal ekonomi dia tak tahu," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai pelantikan Anwar sebagai penasihat ekonomi kerajaan Selangor dengan bayaran elaun simbolik RM1 sebulan.

Dr Mahathir berkata, Anwar semasa menjadi Menteri Kewangan ketika berlaku krisis kewangan, telah menerima pakai pendekatan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang memburukkan lagi keadaan di negara ini.

Mengenai bayaran elaun RM1 kepada Anwar, beliau berkata: "Jika kita bayar RM1, maka nilai yang kita dapat adalah RM1." - Bernama