Followers

Tuesday, October 20, 2009

Insentif tarik FDI antara inti pati Bajet 2010

KUALA LUMPUR: Insentif bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia dijangka menjadi antara inti pati Bajet 2010.

"Memang sudah menjadi tanggungjawab kami untuk menyediakan insentif-insentif perlu bagi menggalakkan FDI ke negara ini," kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir di sini, hari ini.

"Apapun, kita bersaing dengan negara lain, terutama di rantau ini, untuk meraih pelaburan. Saya tidak dapat mengumumkan mengenai insentif khusus dalam Bajet itu.

"Namun yang pasti kerajaan akan memastikan wujud kesinambungan dalam memastikan negara ini menjadi destinasi pelaburan yang kompetitif," katanya.

Mukhriz berkata, kerajaan komited dalam menggalakkan lebih banyak kemasukan FDI menerusi pengecualian cukai dan yang terbaru, liberalisasi 27 subsektor industri perkhidmatan.

"Mengenai insentif baru khusus dalam bajet yang akan dibentangkan Jumaat ini, ia bergantung besar terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Mengulas Dasar Automotif Nasional (NAP), beliau berkata, Kementerian itu dijangka mengumumkan butiran terperinci kajian semula industri itu tidak lama lagi.

"Kita mahukan keseimbangan antara import dan kereta keluaran tempatan, dan yang pasti, Proton yang menjadi tumpuan. Apapun, kami akan mengambil kira kepentingan semua pihak," katanya.

Mukhriz berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Proton adalah satu-satunya kereta yang mendapat status kereta nasional dalam kajian semula NAP itu.

Memandangkan ekonomi negara berkait langsung dengan dagangan dunia, beliau berkata, perlu ada peningkatan dalam industri automotif tempatan, supaya wujud keseimbangan.

"Bila ada kelembapan, kita mendapat impak langsung. Oleh itu, dengan meningkatkan industri automotif, kita boleh seimbangkan aktiviti dagangan kita," katanya. - Bernama

Projek binaan Jalan Sapulut-Kalabalakan tidak capai objektif

KUALA LUMPUR: Projek Pembinaan Jalan Sapulut-Kalabalakan didapati tidak mencapai objektifnya iaitu membina jalan bertar atau berturap yang menghubungkan pekan Sapulut di Keningau dengan Kalabalakan di Tawau, Sabah.

Sebaliknya, menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2008 yang dikeluarkan hari ini, hanya jalan "gravel" yang dibina dalam projek yang membabitkan peruntukan RM565 juta itu.

"Audit mendapati kerja penyiasatan tanah tidak dilaksanakan dengan sempurna mengakibatkan banyak bahan yang tidak sesuai seperti batang balak digunakan untuk membuat jalan oleh syarikat konsensi pembalakan tidak dapat dikesan.

"Hal ini menyebabkan perubahan skop kerja dengan tidak membina jalan berturap terpaksa dilakukan bagi memastikan kos projek tidak melebihi nilai kontrak yang dipersetujui," kata laporan itu.

Laporan itu juga berpendapat, pembinaan jalan di kawasan berkenaan adalah tidak praktikal kerana ia melalui jalan yang aktif dengan aktiviti pembalakan, membabitkan dua syarikat konsesi balak.

"Lori balak kerap menggunakan jalan itu, walaupun jalan basah, dengan muatan 42.54 tan sehingga 62.08 tan yang melebihi kapasiti reka bentuk jalan yang dibina, iaitu setakat 30 tan saja.

"Kekerapan lori balak menggunakan jalan itu juga adalah faktor yang melambatkan proses pembinaan dan menyebabkan kerosakan kepada jalan yang baru dibina seperti kerosakan terhadap "embankment", longkang serta cerun," kata laporan itu.

Selain itu, penyiasatan audit turut menemui kerosakan seperti lubang pada permukaan jalan, permukaan jalan mendap, bahu jalan ternaik, longkang rosak, perlindungan tebing sungai terhakis dan penahan tembok di sepanjang jalan itu akibat kualiti pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak memuaskan.

"Pada pandangan audit, Jabatan Kerja Raya (JKR) sepatutnya memastikan kerja penyiasatan tanah dijalankan dengan sempurna sebelum projek pembinaan jalan dimulakan," kata laporan itu.

Laporan Ketua Audit Negara itu, mengesyorkan supaya JKR memastikan kontraktor membaiki segera kerosakan itu bagi mengelakkan keadaan menjadi bertambah serius sehingga menjejaskan keselamatan pengguna.

Tahap pemantauan juga perlu ditingkatkan untuk memastikan kontraktor menjalankan kerja penyenggaraan yang berkualiti serta mengikut jadual dan syarat yang ditetapkan, selain memohon peruntukan kewangan yang mencukupi di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 untuk menyambung kerja penurapan aspal jalan, kata laporan itu. - Bernama

Kerajaan tidak kembali kepada dasar PPSMI - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi komitmen kerajaan untuk tidak kembali kepada dasar PPSMI.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini. - Utusan

SBY angkat sumpah Presiden Indonesia penggal kedua

JAKARTA: Susilo Bambang Yudhoyono, mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia hari ini, selepas memenangi jawatan itu untuk penggal kedua dengan berjanji menjana pertumbuhan ekonomi dan melaksanakan perubahan politik negara itu.

Presiden Indonesia mengangkat sumpah di depan al-Quran dalam satu majlis yang disiarkan menerusi televisyen ke seluruh kepulauan dengan 234 juta penduduk itu. - AP