Followers

Monday, August 24, 2009

WHO gesa pertingkat persediaan hadapi H1N1

Banyak negara dilanda kes berganda setiap beberapa hari

BEIJING: Kes selesema babi global mengancam lebih banyak nyawa kerana ia akan tersebar dengan lebih pantas dalam tempoh beberapa bulan lagi dan pihak berkuasa di seluruh dunia perlu meningkatkan persediaan terhadap penyebaran virus H1N1, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Penyebaran virus itu di seluruh dunia akan meledak dalam masa terdekat dan kebanyakan negara akan dilanda kes selesema babi berganda setiap tiga hingga empat hari selama beberapa bulan sehingga mencapai kemuncaknya, kata Pengarah WHO bagi Pasifik Barat, Shin Young-soo, kelmarin.

"Pada satu tahap tertentu, kes jangkitan akan meledak. Kes jangkitan akan bertambah dan lebih banyak kematian akan dicatat," kata Shin di simposium pegawai dan pakar kesihatan di sini.

WHO mengisytiharkan selesema babi sebagai satu pandemik. Ia menjadi punca kematian hampir 1,800 orang di seluruh dunia, angka rasmi yang dicatat hingga minggu lalu.

Masyarakat dunia kini memberi tumpuan kepada cara pandemik itu meningkat di negara hemisfera selatan seperti Australia yang berada dalam musim sejuk dan selesema.

Bagaimanapun, ancaman terbesar adalah di negara membangun kerana penyebaran selesema babi begitu pantas sedangkan rantau itu kurang kelengkapan dan tidak mempunyai sistem kesihatan yang baik, kata Shin.

WHO sebelum ini menganggarkan sekurang-kurangnya dua bilion penduduk akan dijangkiti pada dua tahun akan datang, hampir satu pertiga daripada penduduk dunia.

Pihak berkuasa kesihatan dan pengeluar ubat sedang mencari jalan untuk mempercepatkan pengeluaran vaksin sebelum hemisfera utara memasuki musim selesema beberapa bulan akan datang. Vaksin berkenaan mungkin diperoleh antara September hingga Disember.

Delegasi simposium dari Bangladesh dan Myanmar merayu pemimpin dunia supaya membantu mereka mendapatkan vaksin itu supaya mampu dimiliki bagi negara miskin yang terancam sedangkan kebanyakan negara kaya sudah membuat tempahan awal.

"Bagi negara membangun, kami perlu menanganinya tanpa bantuan vaksin," kata Mya Oo, Timbalan Menteri Kesihatan Myanmar. Beliau meminta syarikat farmaseutikal mempertimbangkan menjual vaksin terbabit kepada negara miskin pada kadar yang lebih rendah. � AP

Pegawai kanan WHO yang ditugaskan menangani selesama, Keiji Fukuda berkata, agensi itu bekerja keras dalam isu terbabit dan menyedari bahawa dua pengeluar ubat berjanji untuk menderma sejumlah 150 juta dos vaksin kepada negara miskin menjelang akhir Oktober.

Tetapi, katanya, lebih banyak kajian diperlukan untuk menetapkan harga vaksin terbabit.

Shin berkata, kerajaan perlu bertindak pantas untuk mendidik masyarakat, menyediakan sistem kesihatan untuk menangani beberapa kes dan melindungi mereka yang lemah bagi menghalang lebih banyak kematian.

H1N1: Kementerian jumpa hospital, klinik swasta

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan mengadakan perjumpaan dan taklimat kepada semua hospital dan klinik swasta untuk memberikan garis panduan yang lebih jelas kepada mereka dalam mengendalikan rawatan dan kes Influenza A (H1N1).

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata garis panduan itu bagi menangani kekeliruan yang yang seringkali wujud di kalangan pengamal perubatan swasta dalam menangani kes-kes sedemikian.

Katanya, perjumpaan tersebut dijangka diadakan dalam minggu ini dan ia dijangka mampu membantu mereka menangani kes H1N1 dengan lebih cepat dan cekap.

"Selain memberikan rawatan dengan cepat dan cekap, kita juga berharap agar klinik dan hospital swasta ini mempunyai bekalan antiviral yang mencukupi untuk diberikan kepada pesakit yang menunjukkan simptom-simptom H1N1," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi taklimat H1N1 kepada media di sini hari ini.

Beliau turut meminta media tidak bergantung kepada statistik kes untuk membuat laporan berhubung situasi terkini H1N1 kerana ia tidak menggambarkan keadaan sebenar.

"Bilangan kes yang dilaporkan setiap hari tidak menggambarkan keadaan sebenar dan boleh mencetuskan kekeliruan di kalangan masyarakat," katanya. - Bernama

H1N1; Wanita berusia 38 tahun korban terbaru

PUTRAJAYA: Seorang wanita berusia 38 tahun menjadi korban terbaru virus H1N1 sekaligus menjadikan jumlah kematian akibat virus itu di negara ini meningkat kepada 69 orang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata mangsa sebelum ini mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 13 Ogos selepas menghidapi demam dan batuk selama dua hari.

Katanya, daripada ujian segera yang dijalankan, mangsa turut didapati positif Influenza A dan diberikan rawatan simptomatik tanpa melibatkan rawatan antiviral Tamiflu.

"Lima hari selepas menerima rawatan untuk Influenza A, pesakit mendapatkan rawatan di hospital swasta pada 20 Ogos selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba dan 'cyanosis'.

"Mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan diberikan rawatan Tamiflu, namun disahkan meninggal dunia pada 20 Ogos akibat pneumonia dan keputusan swab tekak pada 20 Ogos mengesahkan mangsa positif H1N1," katanya selepas taklimat media di sini.

Liow berkata, 1,455 pesakit penyakit seperti influenza (ILI) sedang dirawat di 85 buah hospital, termasuk empat hospital swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, hanya 285 pesakit disahkan menghidap H1N1, dengan 39 daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk dua kemasukan baru.

"Daripada 39 kes itu, 33 kes membabitkan pesakit yang berisiko iaitu penyakit kronik, obesiti, diabetes, kanak-kanak/bayi, penyakit respiratori kronik, postnatal dan Sindrom Down," katanya. - Bernama

Bekalan antiviral untuk H1N1 mencukupi

KUALA LUMPUR: Bekalan ubat antiviral untuk rawatan Influenza A (H1N1) adalah mencukupi bagi menampung keperluan pesakit di semua hospital dan klinik kerajaan mahupun swasta, kata Naib Presiden Pertubuhan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI), Leonard Ariff Abdul Shatar.

Beliau berkata, bekalan ubatan antiviral itu termasuk antiviral Tamiflu yang sering digunakan untuk merawat influenza itu juga mencukupi.

"Kami rasa tidak akan berlaku kekurangan, saya rasa bekalan pengeluar tempatan dan bekalan stok kerajaan adalah mencukupi untuk merawat pesakit di negara ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdapat tiga syarikat yang membekalkan antiviral Tamilflu bagi menampung keperluan pasaran tempatan iaitu Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM), Royce Pharma Manufacturing Sdn Bhd dan Ranbaxy (M) Sdn Bhd.

Mengenai langkah yang diambil kerajaan untuk menangani penularan wabak itu, Leonard Ariff berkata beliau amat berpuas hati kerana kerajaan sudah bersedia lebih awal termasuk mengadakan stok bekalan antiviral sejak tiga tahun lepas.

Datuk Dr Rahman Ismail, Pengarah Urusan Alriz Sdn Bhd, sebuah syarikat pembekal ubat-ubatan, berkata menerusi Kempen Klinik Cegah dan Rawat H1N1 yang dilancarkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini, klinik dan hospital swasta yang berdaftar bagi program itu akan mendapat bekalan antiviral secepat mungkin untuk membolehkan rawatan segera diberikan kepadap pesakit.

Kempen itu adalah usaha sama antara Alriz Sdn Bhd dan Ranbaxy Malaysia Sdn Bhd yang menawarkan harga antiviral oseltamivir tidak melebihi RM80 sekotak berbanding RM180 sekotak pada kebiasaannya.

Rahman berkata, bagi kawasan Lembah Klang penghantaran bekalan boleh dilakukan dalam tempoh 24 jam manakala kawasan lain di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, bekalan akan diperoleh dalam tempoh seminggu.

Setakat ini, sebanyak 147 klinik dan hospital swasta di seluruh negara telah berdaftar untuk program itu.

"Saya menganggarkan sepanjang minggu ini, sebanyak 1,000 klinik dan hospital swasta akan berdaftar di bawah Kempen Klinik Cegah dan Rawat H1N1 ini," katanya. - Bernama