Followers

Thursday, September 24, 2009

Ops Sikap: 15 terkorban hari ke-11, jumlah terkumpul 192

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 kematian dicatat pada hari ke-11 Ops Sikap ke-20 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula 13 September lalu kepada 192 mangsa.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Superintendan Rasdi Ramli, berkata daripada 15 kematian itu, 10 terdiri daripada pengguna motosikal, tiga pengguna kereta, seorang pengguna van dan seorang pejalan kaki.

Jalan bandaran mencatatkan kemalangan paling tinggi dengan 408 kes, diikuti jalan persekutuan (378 kes), jalan negeri (219 kes), lebuh raya (97 kes) dan jalan-jalan lain (69 kes) yang menjadikan jumlah kemalangan sebanyak 1,171 kes, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi semalam, sebanyak 10,373 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan trafik.

Ops Sikap ke-20 akan diteruskan sehingga Ahad ini, bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena sambutan Aidilfitri. - Bernama

H1N1: 192 pesakit baru dengan ILI, tiada kematian

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan melaporkan 192 pesakit baru dengan tanda-tanda influenza-like illness (ILI) dimasukkan ke hospital sehingga jam 9 pagi tadi, dan tiada kematian dicatatkan akibat wabak virus Influenza A (H1N1) sepanjang tempoh itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sejumlah 163 kes sudah didiscaj dan menjadikan baki kes ILI yang masih dirawat di 80 hospital termasuk 11 hospital swasta kepada 677 orang.

Beliau berkata, daripada jumlah yang dirawat, hanya 150 pesakit atau 22 peratus disahkan H1N1, hasil daripada ujian makmal.

katanya, daripada jumlah pesakit H1N1 yang dirawat, 25 kes (17 peratus) ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Dua kemasukan baru dan tiga kes sudah didiscaj hari ini.

“Tiada kematian H1N1 didaftarkan hari ini di Malaysia. Manakalan, di peringkat global pula, laporan terkini dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bertarikh 18 September 2009, memaklumkan bahawa jumlah kes H1N1 keseluruhan dunia melebihi 296,471 dengan kematian sekurang-kurangnya 3,486 kes,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman web kementerian di Putrajaya, hari ini.

Bagi 23 kes H1N1 (92 peratus) yang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko seperti kanak-kanak bawah 5 tahun dengan lapan kes, penyakit kronik (5), obesiti (5), penyakit respiratori kronik (3), hamil (1) dan warga emas ke atas 65 tahun (1).

Kenaikan gaji dapat rangsang pertumbuhan ekonomi: Tun Mahathir

BANTING: Ekonomi negara akan mampu berkembang dengan lebih pesat lagi jika ganjaran atau gaji pekerja di Malaysia dapat ditingkatkan supaya golongan ini dapat menyumbang dengan menambah produktiviti masing-masing, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita lihat pendapatan semua peringkat daripada pekerja sehinggalah yang lain amatlah rendah walaupun pengurus-pengurus GLC (syarikat berkaitan kerajaan) mendapat gaji yang besar tapi yang lain semua dapat gaji yang kecil," katanya ketika melawat limbungan kapal NGV Tech Sdn Bhd di Sijangkang dekat sini, hari ini.

Tanpa gaji yang lebih tinggi, negara tidak akan dapat mencapai pertumbuhan yang pesat, kata Dr Mahathir dan menambah, bahawa peningkatan gaji perlu seimbang dengan kerja yang dilakukan.

Beliau berkata, apabila produktiviti pekerja meningkat, syarikat akan mendapat keuntungan yang lebih dan majikan tentunya akan membalasnya dengan memberi pendapatan yang lebih kepada pekerja.

Pada masa sama, Dr Mahathir juga menuntut pekerja supaya mempunyai kesetiaan kepada syarikat masing-masing seperti pekerja di Jepun yang secara tidak langsung kesetiaan mereka menyumbang kepada kemajuan negara itu.

Dr Mahathir berkata, banyak pengimpal dari Malaysia kini "dipancing" syarikat dari Timur Tengah yang menawarkan gaji tiga hingga empat kali ganda daripada gaji mereka sekarang yang tidak mampu ditawarkan oleh majikan di negara ini.

Beliau berkata, Malaysia tidak lagi boleh bersaing di peringkat antarabangsa dengan kos buruh yang murah kerana ada di antara negara tertentu yang mempunyai kos buruh yang rendah tetapi memiliki produktiviti yang lebih tinggi di mana seorang pekerja boleh melakukan kerja yang dilakukan oleh dua tiga orang pekerja.

Mengenai NGV Tech, Dr Mahathir berkata, beliau yakin syarikat itu yang mampu membina pelbagai jenis bot dan menerima tempahan bukan saja dari negara Timur Tengah bahkan dari Eropah untuk kegunaan di pelantar minyak dan rondaan pantai, akan dapat membina kapal yang lebih besar satu hari nanti.

NGV Tech menerima 90 peratus tempahan bot dari pelanggan luar negara dan 10 peratus daripada tempahan tempatan.

Dr Mahathir berkata, jika dulu agak sukar untuk mengajak syarikat-syarikat pembina kapal dari Korea Selatan untuk beroperasi di Malaysia kerana mereka kurang berminat tetapi kini keadaan itu bakal berubah.

Pengerusi NGV Tech, Zulkifli Shariff dalam ucapannya, berkata syarikat itu kini dalam rundingan peringkat akhir untuk membeli 70 peratus saham sebuah syarikat membina kapal di Korea Selatan.

Dr Mahathir berkata, oleh itu syarikat-syarikat tempatan seperti Petronas seharusnya membantu syarikat tempatan seperti NGV Tech dengan menempah bot-bot untuk kegunaan mereka daripada syarikat itu.

Buat masa ini, tiada pesanan bot diterima dari Petronas tetapi NGV Tech menerima pesanan dari negara-negara Eropah, Arab Saudi dan Yaman.

Dr Mahathir berkata: "Saya yakin rakyat Malaysia mempunyai kebolehan dalam semua bidang. Hanya yang diperlukan ialah sokongan dan sokongan dari kerajaan amatlah penting walaupun kita tidak harus bergantung kepada kerajaan sepanjang masa."

Beliau berkata, ada di antara syarikat Malaysia yang mampu menghasilkan produk yang berkualiti tetapi terpaksa dieksport kerana tidak mendapat sambutan di dalam negara.

Sebagai contoh, Dr Mahathir berkata, ada syarikat kawannya dulu yang mampu menghasilkan pedang yang digunakan dalam istiadat Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, tetapi syarikat itu tidak mendapat tempahan daripada kedua-dua pasukan itu yang menempahnya daripada pembekal di Eropah.

Bagaimanapun, beliau berkata, kemudian didapati pembekal dari Eropah itu mendapatkan bekalan pedang berkenaan daripada syarikat rakannya yang kemudian dijual kepada kedua-dua pasukan tersebut pada harga yang lebih mahal sedangkan ia dapat dibeli dengan murah jika dibeli dari syarikat tempatan.

"Kita beli kerana nama syarikat asing. Kalau kita buat sendiri, kita tidak begitu yakin," kata Dr Mahathir lagi.

Oleh itu, beliau berkata, syarikat NGV Tech adalah satu contoh kepada syarikat-syarikat lain terutamanya yang diterajui orang Melayu bahawa kaum Bumiputera boleh mempunyai syarikat sendiri dan pekerja sendiri serta mampu mengeluarkan bot-bot yang canggih untuk memenuhi hasrat pelanggan, katanya.

NGV Tech yang beroperasi di tapak seluas 24 hektar di tepi Sungai Langat di sini dengan mempunyai 2,000 pekerja bagi menyiapkan 130 buah bot atau kapal yang bernilai lebih RM3.0 bilion. - Bernama

Thaksin ke-16 terkaya di Thailand

BANGKOK: Meskipun menjadi orang buruan, Perdana Menteri Thailand yang digulingkan, Thaksin Shinawatra, tetap tersenarai sebagai antara orang terkaya di Thailand, demikian menurut senarai terbaru Orang Terkaya Thailand Forbes Asia.

Thaksin kekal pada kedudukan ke-16 dengan kekayaan bernilai AS$390 juta, susut daripada $400 juta tahun lalu.

Beliau digulingkan ketika rampasan kuasa pada 2006 dan disabitkan kesalahan tanpa beliau hadir di mahkamah dengan hukuman penjara selama dua tahun Oktober lalu kerana melanggar undang-undang percanggahan kepentingan, apabila bekas isterinya, membeli tanah daripada kerajaan.

"Lebih tiga juta rakyat Thailand menandatangani petisyen yang dipersembahkan kepada Raja Thailand memohon supaya beliau diampunkan," kata majalah itu hari ini, sambil menambah, bahawa Thaksin adalah antara 19 orang dalam senarai mereka yang menyaksikan penyusutan kekayaan masing-masing tahun ini.

Taikun minuman Chaleo Yoovidhya, 77, yang terkenal kerana turut mengasaskan minuman untuk tenaga, Red Bull, adalah orang terkaya Thailand bagi tiga kali berturut-turut, dengan nilai kekayaannya kekal sebanyak AS$4 bilion tahun ini.

Kedua ialah Dhanin Chearavanont, presiden konglomerat perniagaan tani, Charoen Pokphand Group, satu daripada syarikat makanan haiwan dan ayam itik terbesar di dunia.

Beliau meningkat dua anak tangga apabila kekayaannya melonjak berbilion dolar kepada AS$3 bilion.

Di tempat ketiga ialah keturunan pengasas Central Group, Tiang Chirathivat, termasuk keluarga tiga isterinya dan 25 anaknya, apabila kekayaan tergabung mereka meningkat sebanyak AS$100 juta kepada AS$2.9 bilion.

Taiku-taikun dalam perniagaan makanan dan pertanian juga menikmati pertambahan kekayaan masing-masing.

Antara mereka ialah taikun gula, Isara Vongkusolkit dari syarikat yang menduduki tempat kelapan (AS$900 juta) dan Nantha Chinthammit dari Khon Kaen Sugar Industry di tempat ke-18 (AS$360 juta) serta taikun makanan laut, Kraisorn Chansiri, di tempat ke-28 (AS$175 juta).

Bagaimanapun, Charoen Sirivadhanabhakdi dari Thai Beverage, yang menduduki tempat keempat menyaksikan kekayaannya susut kepada AS$2.8 bilion daripada AS$3.9 bilion tahun lalu.

Kekayaan tergabung 40 orang terkaya di Thailand juga tidak berubah, dan kekal pada AS$25 bilion, kata Forbes.

Menurutnya orang terkaya negara itu membuktikan mereka boleh berdaya tahan meskipun berlaku kelembapan ekonomi global dan ketidakstabilan politik bawaan sendiri yang menyaksikan lima Perdana Menteri mengambil alih tampuk kepimpinan dalam tempoh tiga tahun. - Bernama

Badminton Terbuka Jepun: Lee Chong Wei kecundang pada pusingan kedua

TOKYO: Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, tewas kepada pemain perseorangan Indonesia, Simon Santoso dalam kejohanan badminton Terbuka Jepun, hari ini.

Beliau yang terpaksa bergelut dengan kecederaan lama pada lutut kirinya, terpaksa bekerja keras dalam set yang terakhir dengan mengejar Santoso 19-19 daripada 5-12 sebelum akhirnya tunduk 19-21, 21-15, 21-19 pada pusingan kedua kejohanan itu.

Lee yang pernah menjuarai kejohanan itu pada 2007, bingkas meninggalkan gelanggang untuk mendapatkan rawatan tanpa bercakap kepada wartawan.

Bagi Santoso, ia adalah kemenangan terbesarnya sehingga kini, walaupun pernah ditewaskan Lee tiga kali ketika pemain negara itu menduduki tempat yang lebih bawah dalam senarai dunia. - AFP

Parti pakatan mempunyai haluan berbeza: Dr M

BANTING: Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini menyifatkan gabungan parti pembangkang sebagai satu pakatan tidak rasmi dengan setiap parti terbabit mempunyai haluan berbeza selepas pilihan raya umum lalu.

"Parti pembangkang bukanlah satu alternatif. Amat malang jika parti pembangkang menang dan membentuk kerajaan (Persekutuan)," katanya ketika diminta mengulas mengenai perbalahan dalaman di kalangan gabungan parti Pakatan di Selangor.

"Mereka tidak akan dapat mentadbir negara sebaliknya asyik berbalah sesama sendiri. Pas akan berbalah dengan DAP, DAP akan bertegang urat dengan Keadilan (Parti Keadilan Rakyat) dan seterusnya," katanya kepada pemeberita selepas melawat limbungan NGV Tech Sdn Bhd di Kampung Sijangkang dekat sini.

Mengenai sama ada inkuiri Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) terhadap dakwaan amalan rasuah menjejaskan Barisan Nasional (BN) Dr Mahathir berkata: "Mereka boleh menyiasat, jika Barisan (Nasional) melakukan sesuatu yang salah ia perlu didedahkan. Saya mengetahui mengenai satu siasatan dilakukan terhadap saya sama ada saya ada mengambil wang (secara salah) atau tidak tetapi mereka tidak menemui apa-apa."

Beliau berkata: "Jika mereka mengadakan siasatan bagi mengetahui sama ada pemimpin lepas telah melakukan kesilapan, ia adalah satu tidak yang betul."

Sebaliknya, kata bekas perdana menteri itu, apabila pemimpin sebelum ini melakukan kesalahan dan tiada tindakan dikenakan terhadap mereka sebaik bersara, kumpulan pemimpin yang baru akan beranggapan bahawa jika mereka melakukan kesalahan, tiada apa akan berlaku kepada mereka kerana ia akan disembunyikan.

Inkuiri Selcat turut menghendaki pegawai-pegawai daerah diminta menjelaskan bagaimana peruntukan RM500,000 terhadap setiap wakil rakyat dalam pentadbiran sebelum ini diagihkan dalam tempoh dua bulan pertama 2008 sebelum pilihan raya umum ke-12 pada Mac tahun lalu.

Mengenai pilihan raya kecil Bagan Pinang, Dr Mahathir menegaskan bahawa kualiti calon kerusi itu amat penting.

Ditanya sama ada beliau yakin BN mempunyai peluang cerah di Bagan Pinang, beliau berpendapat BN akan dapat mengekalkan kerusi itu jika meletakkan calon yang boleh diterima rakyat. - Bernama

Permintaan domestik tunjuk petanda jelas pemulihan: Dr Zeti

KUALA LUMPUR: Permintaan domestik Malaysia menunjukkan petanda jelas pemulihan hasil daripada pakej rangsangan fiskal dan dasar monetari yang dipermudahkan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz di sini, hari ini.

"Kita sudah melihat keadaan yang lebih buruk dan kini keadaan semakin bertambah baik tetapi sektor luaran perlu menunjukkan peningkatan yang lebih ketara dari segi permintaan luar.

"Bagaimanapun terdapat petanda jelas pemulihan dalam permintaan domestik yang mendapat faedah daripada pakej rangsangan fiskal dan dasar monetari yang dipermudahkan," katanya.

Zeti berkata demikian selepas menyampaikan ucap tama beliau di persidangan Sekolah Undang-Undang Kewangan dan Perbankan Bank Negara Malaysia - Bank-Bank Pusat Asia Tenggara 2009.

Apabila ditanya sama ada Malaysia mencatatkan pemulihan bentuk W, Zeti berkata, negara tidak mengalami sebarang kerapuhan kredit kerana institusi kewangan masih kekal kukuh dan terus menyediakan pembiayaan bagi perniagaan domestik.

Ketika menyatakan Malaysia tidak berdepan dengan sebarang krisis kewangan, Zeti menambah, hanya negara-negara dengan lebihan leveraj perlu mengurangkan keterhutangan mereka.

"Hanya sekiranya mereka menyusun semula sistem kewangan mereka, mereka boleh melihat sebarang petanda peningkatan dalam aktiviti penggunaan.

"Malahan mungkin terdapat pusingan kedua kesan ke atas sistem kewangan mereka memandangkan kegawatan ekonomi tetapi dalam kes Malaysia, kita tidak pernah menghadapi situasi itu kerana pertama sekali bank-bank kita mempunyai kedudukan kewangan yang sangat kukuh," katanya.

Apabila ditanya sama ada kadar faedah akan disemak semula, beliau berkata, ia berada pada tahap yang sesuai sekarang dan akan kekal begitu melainkan terdapat sebarang perubahan ketara.

Zeti berkata, persekitaran perniagaan sekarang dinamik dan dijangka bertambah baik lagi di masa hadapan.

"Ekonomi dijangka terus bertambah baik tetapi pada peringkat awal kami menjangkakan pertumbuhan yang sederhana. Pertumbuhan dijangka ketara tahun depan," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan membentangkan Bajet 2010 di Parlimen pada 23 Oktober 2009, dan beliau dijangka mengumumkan semakan semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini dan 2010.

Mengulas unjuran penguncupan ekonomi Malaysia sebanyak 3.1 peratus oleh Bank Pembangunan Asia, Zeti berkata, beliau yakin negara akan mencatatkan pertumbuhan positif pada suku keempat kerana permintaan luar dijangka bertambah baik dalam suku ketiga.

"Bagi tahun ini, penilaian kami adalah kita menjangkakan pertumbuhan positif selepas penurunan permintaan luar dan dalam perdagangan dunia," katanya. - Bernama

Sindiket dadah antarabangsa: Wanita terus digula-gulakan

KUALA LUMPUR: Mereka datang dari pelbagai negara dengan taktik dan kemahiran yang berbeza, sangat licik hingga pergerakan mereka kadang kala sukar dikesan.

Perniagaan dadah yang dijalankan dengan keuntungannya berlipat ganda, sehingga mereka sanggup melakukan apa saja termasuk menggunakan pas pelajar.

Sesetengahnya datang ke negara ini menyamar sebagai ahli perniagaan atau sebagai pelancong bagi memudahkan pergerakan aktiviti haram itu.

Warga asing ini terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah di bawah sindiket antarabangsa yang sentiasa berubah operasinya mengikut keadaan dan keperluan semasa.

Dasar terbuka Malaysia, globalisasi dan teknologi terkini di dunia membantu memudahkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa mengaktifkan rangkaian mereka.

Malaysia yang tidak terlepas daripada dibabitkan dalam aktiviti ini, menjadi transit atau rumah kepada penggunaan tempatan.

Hasil pemantauan Jabatan Narkotik Polis Diraja Malaysia, mendapati ramai daripada mereka yang terbabit ialah rakyat negara Afrika Selatan, Nigeria, Pakistan, Peru, India dan Iran yang memperdagangkan pelbagai jenis dadah.

Arah aliran terkini ialah menggunakan wanita sebagai orang perantaraan.

Bagi memancing mereka, lelaki yang bertubuh sasa, bergaya, pandai bermain kata-kata dan berlagak kaya seperti tinggal di kondominium mewah, menjadi "gula-gula" menjinakkan mangsa.

Kebiasaannya, wanita yang mudah cair dengan janji-janji manis dan kemewahan, menjadi sasaran sindiket ini untuk dijadikan kurier atau keldai dadah.

Bergerak dalam kumpulan kecil atau individu, warga Afrika Barat antara yang paling dominan dikesan menggunakan wanita untuk dijadikan teman wanita yang kemudian digunakan untuk menyeludup dan mengedar dadah.

Wanita yang dijadikan mangsa ini pada mulanya ditaburkan kemewahan dengan menyediakan tempat tinggal dan keperluan mahal lain termasuk dibawa melancong ke luar negara, habuan wang ringgit dan seks.

Pembabitan wanita tempatan sebagai kurier dadah antarabangsa telah menjadi isu nasional kepada Malaysia apabila ramai yang ditangkap dalam ke keadaan mereka terpedaya, di Amerika Selatan dan Eropah.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata pada 2007 seramai 127 wanita Malaysia ditahan di luar negara kerana memiliki dadah untuk tujuan pengedaran oleh sindiket yang menjadikan mereka keldai dadah ini.

Berikutan bimbang dengan senario ini, Jabatan Narkotik Bukit Aman, menubuhkan satu pasukan bertindak untuk menanganinya.

Pasukan ini bekerjasama dengan Interpol dan berkongsi maklumat dengan polis negara lain untuk mengesan dan mengekori lelaki-lelaki ini yang cuba merapati wanita tempatan.

Mereka ini akan diusir keluar dari Malaysia selepas ditahan dan diberi amaran, jika tiada dadah ditemui pada mereka untuk membolehkan mereka didakwa.

Tindakan serius polis itu menyebabkan jumlah rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara menunjukkan penurunan berganda pada tahun lalu kepada 54 orang.

"Tahun ini sehingga Mei, hanya 8 orang dikesan dijadikan keldai setelah polis semakin mudah mengenal pasti mereka yang terbabit melalui tangkapan yang dibuat," katanya baru-baru ini.

Tahun lalu, seramai 34 warga negara asing ditahan iaitu tujuh dari Nigeria, Peru (11), Afrika Selatan (3), India (10), China, Filipina dan Bolivia masing-masing seorang yang membabitkan rampasan heroin sebanyak 4 kilogram (kg) kokain 2 kg dan ketamin 18 kg.

Dari Januari hingga Jun 2009 pula, seramai 17 orang ditahan iaitu dua dari Singapura, Nigeria (6), Iran (1), Pakistan (3), Thailand (2), Indonesia (3). yang membabitkan rampasan 786 gram syabu dan 14.64 kg heroin.

Terbaru dari Jun hingga Ogos, tidak kurang 10 orang warga asing ditahan atas kesalahan menyeludup dan mengedar dadah, antaranya lima warga India dan Myanmar yang berumur antara 30 hingga 40 tahun kerana menyeludup dadah jenis ketamin pada 15 Ogos lepas dan penahanan seorang wanita warga negara Filipina yang dipercayai menjadi keldai dadah sindiket antarabangsa untuk membawa kokain dari Amerika Selatan pada 28 Ogos lalu.

Othman berkata, pemantauan secara dekat polis ini menyebabkan sindiket dadah itu mengubah strategi dengan mensasarkan wanita dari negara jiran seperti Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, dan Brunei.

Mengikut Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina, 111 wanita Filipina sudah ditahan kes berkaitan dadah di China, Hong Kong dan Macau pada 2008.

Angka itu menunjukkan pertambahan berlipat kali ganda berbanding hanya 16 orang ditahan pada 2007.

Modus operandi mereka ini sama iaitu mengambil dadah dari negara Amerika Selatan seperti Peru, Argentina dan Brazil untuk dibawa masuk ke dalam negara sebelum dibawa keluar menggunakan wanita-wanita berkenaan ke negara-negara jiran dan sekitar Asia.

Othman berkata, kebiasaannya dadah yang dibawa dari negara sebelah Amerika Selatan ialah jenis kokain dan bukan untuk pasaran tempatan kerana pengguna dadah di negara ini tidak mengambil dadah jenis itu.

Akibat kepanasan aktivitinya dikesan, sindiket itu mengubah strategi dengan menggunakan wanita Filipina untuk membawa keluar dadah terutama jenis heroin ke Ghoungzo, China, menggunakan transit ke Thailand, kemudian Kemboja dan Vietnam.

Selain warga Afrika, sindiket ini juga menggunakan lelaki dari negara seperti India, Pakistan dan Iran.

Othman berkata, dadah jenis ketamin ialah dadah yang biasa diseludup masuk oleh warga negara India ke Malaysia, Pakistan lebih kepada heroin dan syabu.

Dadah syabu yang dibawa masuk warga Iran ke Malaysia, kata Othman, lebih untuk pasaran luar negara terutama Jepun.

Pendekatan yang digunakan hampir sama iaitu memikat dan menjadikan wanita sebagai keldai mereka bagi menghantar bekalan ke negara luar.

Pelbagai taktik digunakan untuk membawa masuk dadah sama ada melalui udara, jalan laut mahupun darat.

Daripada tangkapan yang dilakukan polis mengenal pasti beberapa kaedah popular seperti “Body Packed" atau melekatkan dadah pada badan dan menelan dadah.

Othman berkata, keldai dadah ini pun sanggup menggadai nyawa mereka dengan menelan dadah yang cuba dikesan.

Menggunakan bagasi, adalah kaedah lama yang digunakan penyeludup, iaitu menyediakan satu ruang khas bagi menempatkan dadah itu.

Bagaimanapun, katanya, banyak kejayaan pihak berkuasa mengesan penyeludupan dadah menggunakan kaedah ini.

Antara taktik lain ialah menggunakan sabun mandi yang ditebuk untuk dimasukkan dadah, bingkai gambar, komputer riba dan yang terbaru kaedah menggunakan baju yang direndam ke dalam cairan dadah. - Bernama

Bagi Malaysia isu Pendet, Pulau Jemur selesai

BANDUNG: Isu tuduhan kononnya Malaysia mengambil tarian Pendet dan Pulau Jemur Indonesia untuk tujuan promosi pelancongan, yang terbukti tidak berasas dan sama sekali tidak tepat, sudah dianggap selesai dengan penjelasan bukan saja oleh kerajaan Malaysia tetapi juga oleh pemerintah Indonesia sendiri.

Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Indonesia, Raja Reza Raja Zaib Shah, berkata dengan itu, hampir 6,000 pelajar Malaysia di 13 kampus terakreditasi di seluruh negara 17,000 pulau ini tidak lagi perlu khuatir atau terbawa-bawa dengan sentimen anti-Malaysia sekalipun terus dipancing oleh media massa Indonesia.

"Bagi kita dan untuk semua pelajar di sini, kedua-dua isu ini sudah kita tutup buku sepenuhnya dan tidak perlu dilayani lagi.

"Ini kerana tuduhan-tuduhan itu tidak benar lantaran Malaysia tidak pernah mendakwa tarian Pendet yang berasal dari Bali milik kita," katanya pada sambutan Aidilfitri dengan lebih 200 pelajar perubatan Universiti Padjajaran di sini, malam tadi.

Katanya, dalam kes Pulau Jemur pula seperti dijelaskan oleh Menteri Luar Indonesia Hassan Wirajuda dan juga Menteri Luar Malaysia Datuk Anifah Aman, terdapat tiga pulau bernama Pulau Jemur, termasuk satu milik Malaysia di perairan Selangor, yang menggunakan nama yang sama.

Beliau berkata, seperti dijelaskan oleh Hassan pada sidang media bersama dengan Anifah di Jakarta pada Khamis lalu, media massa Indonesia terbukti tidak memeriksa terlebih dulu fakta dan kebenaran sebelum menuliskan berita berkaitan yang mengakibatkan tercetusnya rasa anti-Malaysia di kalangan segelintir rakyat tempatan.

Sehubungan itu, Raja Reza yang juga Ketua Canseri di kedutaan, menasihatkan pelajar supaya menumpukan perhatian penuh kepada pelajaran dan hidup bermasyarakat dengan baik bukan saja sebagai duta kecil Malaysia tetapi juga wakil persahabatan Malaysia dengan Indonesia.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Dr Junaidi Abu Bakar pula, berkata pelajar Malaysia setakat ini menunjukkan tahap kematangan yang tinggi apabila mereka tidak memberi reaksi keras terhadap laporan negatif media massa Indonesia, sebaliknya menerimanya dengan tenang sambil memberi penjelasan kepada rakan-rakan sekuliah.

"Majoriti rakyat Indonesia yang rasional memandang tinggi ketenangan rakyat Malaysia dalam menghadapi tuduhan-tuduhan itu yang akhirnya ternyata tidak benar.

“Namun, seperti yang dijelaskan oleh Anifah, semua pihak pun hairan apa tujuan media massa tempatan tidak mahu menerima penjelasan dan fakta yang tepat," katanya.

Pada majlis itu, pelajar Malaysia khususnya pelajar tahun pertama, mengadakan pelbagai pertunjukan kebudayaan dengan rakan-rakan berbilang kaum yang turut memeriahkan sambutan hari raya. - Bernama

Ops Sikap: 15 terkorban hari ke-11, jumlah terkumpul 192

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 kematian dicatat pada hari ke-11 Ops Sikap ke-20 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula 13 September lalu kepada 192 mangsa.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Superintendan Rasdi Ramli, berkata daripada 15 kematian itu, 10 terdiri daripada pengguna motosikal, tiga pengguna kereta, seorang pengguna van dan seorang pejalan kaki.

Jalan bandaran mencatatkan kemalangan paling tinggi dengan 408 kes, diikuti jalan persekutuan (378 kes), jalan negeri (219 kes), lebuh raya (97 kes) dan jalan-jalan lain (69 kes) yang menjadikan jumlah kemalangan sebanyak 1,171 kes, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi semalam, sebanyak 10,373 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan trafik.

Ops Sikap ke-20 akan diteruskan sehingga Ahad ini, bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena sambutan Aidilfitri. - Bernama