Followers

Wednesday, August 18, 2010

Ekonomi Malaysia berkembang 8.9 peratus suku kedua 2010

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 8.9 peratus dalam suku kedua 2010 dipacu permintaan domestik dan luaran yang kukuh.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi enam bulan pertama tahun ini mencatat pertumbuhan pada kadar 9.5 peratus, selepas mencatat pertumbuhan 10.1 peratus pada suku pertama tahun ini.
Pencapaian itu mencerminkan ekonomi Malaysia dalam landasan kukuh untuk mencatat pertumbuhan tinggi melebihi 6.0 peratus bagi keseluruhan tahun ini.
Kesan krisis kewangan global 2008-2009 menyaksikan ekonomi Malaysia menguncup sepanjang sembilan bulan pertama tahun lalu, sebelum kembali pulih dengan mencatat pertumbuhan 4.5 peratus pada suku keempat 2009.

Selangor lancar kempen anti-zina 30 Ogos

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menerusi Jawatankuasa Generasi Idaman Selangor (GeMS) akan melancarkan kempen anti-zina sebagai satu daripada usaha untuk membendung kes buang bayi.
Pengerusi jawatankuasa tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Sumber Manusia Selangor, Dr Halimah Ali, berkata kempen itu akan dilancarkan sempena program untuk menangani gejala sosial pada 30 Ogos ini di I-City, Seksyen 7 di sini yang dijangka dihadiri 3,000 belia.
"Program ini juga sempena sambutan kemerdekaan negara dan akan dimulakan dengan Solat Isyak dan Tarawih berjemaah selain beberapa aktiviti kesenian dan persembahan artis jemputan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata program itu bertujuan mengingatkan remaja supaya tidak lalai dan terjebak dalam gejala sosial termasuk sehingga terlanjur melakukan zina dan membuang bayi.

Dr Halimah berkata, semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), aktivis sosial, Jabatan Pelajaran Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pertubuhan belia dan pihak sekolah juga akan terbabit secara langsung dalam menangani isu gejala sosial itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob Sapari, berkata lapan penternak lembu di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diarah berpindah ke ladang ternakan baru di Sungai Nilam, Hulu Selangor.

Beliau berkata, keputusan itu diambil bagi mengatasi masalah ternakan yang berkeliaran serta ditempatkan di lokasi yang tidak sesuai seperti berhampiran kediaman, kolej dan di bawah jambatan.
"Kerajaan negeri memperuntukan tanah seluas 32.4 hektar di Sungai Nilam dengan kemudahan infrastruktur lengkap bagi menampung kira-kira 500 ekor lembu milik kumpulan penternak itu. Penternak hanya perlu membina kandang di kawasan tanah berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pihak PBT terbabit akan mengeluarkan notis kepada penternak berkenaan dalam masa terdekat ini. - BERNAMA

Bayi lelaki ditinggalkan di depan rumah polis

KUALA TERENGGANU: Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditinggalkan di depan pintu pagar rumah seorang anggota polis di Kampung Batin, di sini malam tadi.

L/Kpl Marzuki Hamid, 44, berkata bayi lelaki seberat 3.03 kilogram itu ditemui anaknya Hafiyana, 19, jam 10.15 malam dalam keadaan berbogel dan ditinggalkan di atas rumput tanpa sebarang alas.
Marzuki yang bertugas di Ibupejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berkata, ketika itu beliau dan anggota keluarga yang lain keluar dan hanya Hafiyana ada di rumah.
"Hafiyana ternampak bayi itu ketika ingin keluar untuk membeli barang di kedai tidak jauh dari rumah. Sebaik ternampak bayi itu, dia bawa masuk ke dalam rumah dan menyelimut bayi itu dengan tuala sebelum menghubungi saya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Marzuki berkata, sebaik mendapat panggilan daripada anaknya, beliau segera pulang ke rumah dan menghantar bayi yang mempunyai cukup sifat itu ke hospital.

Beliau berkata, bayi itu langsung tidak menangis ketika ditemui dan sepanjang perjalanan ketika dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supt K Manorahan, ketika ditemui pemberita berkata bayi itu dipercayai baru sahaja ditinggalkan di rumah anggota polis berkenaan.
"Kami percaya ia ditinggalkan dalam tempoh tidak sampai sejam kerana ketika anggota polis itu keluar rumah selepas jam 9 malam, bayi itu belum ada di situ," katanya.

Beliau berkata, polis sedang mengesan ibu bayi berkenaan dan individu yang dipercayai meninggalkannya di situ dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Manoharan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pembuangan bayi itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pegawai Perlindungan Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mohd Abdan Ishak, berkata buat sementara bayi itu akan dijaga oleh jabatan itu sebelum mahkamah menentukan institusi mana bayi itu akan ditempatkan. - BERNAMA

Pasangan pelajar ditahan kes buang janin di Hospital Melaka

MELAKA: Sepasang kekasih pelajar institusi pengajian tinggi di sini ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembuangan janin ke dalam sebuah tong sampah di wad kecemasan Hospital Melaka, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata seorang daripada mereka ditahan di sebuah rumah di Batu Berendam manakala seorang lagi di sebuah wad di Hospital Melaka petang semalam.
"Kedua-duanya kini ditahan reman sehingga 21 Ogos ini dan kes mereka sedang disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat secara sulit," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mohd Adnan berkata, mengikut aduan diterima, wanita terbabit datang ke wad kecemasan Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan kira-kira jam 4 petang.

Katanya, pegawai perubatan yang memeriksa wanita itu kemudian mendapati beliau baru melahirkan anak.

"Ketika ditanya oleh pegawai perubatan itu, wanita berkenaan memaklumkan sudah bersalin di dalam sebuah tandas di hospital berkenaan. Bagaimanapun beliau membuang janin berusia lima bulan itu ke dalam tong sampah berhampiran wad kecemasan," katanya.

Mohd Adnan berkata, sepasukan polis yang dikejarkan ke situ bagi mencari mayat janin dipercayai lelaki itu, bagaimanapun gagal menemuinya sehinggalah kira-kira jam 1.50 tengahari tadi.

Dadah: Lelaki rakyat Malaysia ditahan di lapangan terbang Filipina

MANILA: Seorang lelaki warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila di sini, hari ini selepas pemeriksaan kastam mendapati 14 kilogram dadah 'methamphetamin' tersorok di dalam begnya.
Seorang lagi penumpang pesawat sama dari Bangkok bagaimanapun berjaya melepasi pihak berkuasa selepas melihat rakyat Malaysia itu ditahan pegawai kastam Filipina, kata Jose Angel Honrado, pengurus besar Lembaga Lapangan Terbang Antarabangsa Manila.
“Teori kami ialah, wujud dua suspek. Bila seorang daripada mereka ditahan, rakannnya melarikan diri," katanya.
“Jumlah dadah yang dibawa terlalu besar. Ia seolah-olah seseorang sedang menunggunya di Manila," katanya.

Pihak berkuasa kini sedang mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai suspek terbabit dengan melihat semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV). - AP