Followers

Monday, November 16, 2009

Along guna laman web sosial ugut mangsa

KUALA LUMPUR: Along kini menggunakan laman web sosial percuma popular, Facebook, untuk mengugut dan memalukan peminjam yang gagal menjelas hutang.

Ketua Jabatan Aduan dan Khidmat Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata cara itu diguna bagi menakutkan mangsa dengan menyiarkan identiti mangsa seperti gambar, maklumat peribadi dan jumlah hutang yang tidak dijelaskan.

"Sebelum ini, mereka menggunakan cat dan poster tetapi kini mereka meletakkan maklumat mengenai peminjam di dalam laman web sosial mereka sendiri," katanya kepada pemberita di ibu pejabatnya di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini, hari ini.

Dalam kes terbaru ini, seorang pekerja kedai aksesori kereta diugut supaya menjelaskan bayaran menerusi laman web berkenaan.

Beliau berkata, Along turut meletakkan gambar dan memberi amaran supaya menjelaskan bayaran.

Mangsa yang berumur 25 tahun dan berasal dari Batu 9, Cheras itu meminjam RM1,000 September lalu tetapi dipaksa menjelaskan bunga tambahan sebanyak RM80,000.

Bimbang akan ugutan yang semakin banyak diterima dan menjadi-jadi, satu laporan polis dibuat peminjam itu Jumaat lalu di Balai Polis Daerah Kajang. - Bernama

Anwar cabar kerajaan bukti beliau ada berbilion ringgit

Anwar cabar kerajaan bukti beliau ada berbilion ringgit

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mencabar kerajaan supaya menyiasat semua akaun miliknya bagi membuktikan beliau mempunyai sumber kewangan meragukan sehingga mencecah beberapa bilion ringgit.

Beliau berkata, bahawa sebelum inipun akaunnya telah disiasat tetapi tidak ada apa yang dibutikan.

"Sebaliknya media yang dikuasai oleh kerajaan telah berterusan menyebar fitnah bahawa saya mempunyai RM3 bilion dalam akaun hasil daripada akuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid," katanya di Dewan Rakyat ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 di peringkat jawatankuasa hari ini.

Berhubung akuan berkanun Abdul Murad itu, Anwar berkata Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 1998 telah menjalankan siasatan tetapi telah ditutup oleh kerajaan pada masa itu.

Abdul Murad dalam akuan berkanunnya antara lain mendedahkan, Anwar yang juga bekas menteri kewangan, mengawal 20 akaun induk yang diuruskan oleh kroni-kroninya membabitkan aset, saham dan wang bernilai lebih RM3 bilion. - Bernama

Projek bekalan elektrik di Sabah, Sarawak telus: Shafie

SEMPORNA: Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menafikan tuduhan bahawa pelaksanaan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Sabah dan Sarawak tidak telus.

Beliau menjelaskan proses pelaksanaan projek BELB di kedua-dua negeri berkenaan, termasuk tawaran kontrak kepada syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek itu, dibuat mengikut semua prosedur sedia ada.

"Saya sudah perjelaskan di Parlimen bahawa tuduhan pihak tertentu yang tidak bertangungjawab ini hanya cuba untuk memesongkan fakta dan pemikiran rakyat. Kita tahu bahawa kelulusan yang diberikan oleh Kementerian Kewangan dikeluarkan sejak 2008 lagi.

"Daripada kelulusan itu, kita cuma menokok tambah dari segi penambahan syarikat yang terbabit (melaksanakan projek). Kalau dahulu hanya empat syarikat terbabit, sekarang ini sembilan syarikat.

"Kita nak pastikan syarikat yang terbabit ini tidak membolot semua kerja di peringkat negeri Sabah: dia juga buat jalan, dia juga buat (bekalan) air, dia juga buat kelapa sawit, pelancongan dan berbagai-bagai lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama rakyat di sini hari ini.

Beliau mengulas tuduhan pihak tertentu kononnya berlaku ketidak telusan dalam urusan pelaksanaan projek BELB di Sabah dan Sarawak termasuk dakwaan kononnya kontrak cuma diberikan kepada kroni tertentu.

Menurutnya langkah menambah bilangan syarikat yang ditawarkan kontrak projek BELB di Sabah dan Sarawak adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan pelaksanaannya mencapai sasaran iaitu dapat dinikmati rakyat seperti yang digariskan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Yang dikatakan ada penyelewengan, itu tidak benar. Yang memutuskan ialah Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, kementerian saya, membabitkan ramai pihak yang tidak melibatkan saya pun," katanya.

Shafie berkata, beliau tidak menolak kemungkinan tuduhan tidak berasas yang dilontarkan kepadanya dibuat oleh pihak yang tidak mendapat kontrak atau ada motif politik untuk menjatuhkan sesiapa. - Bernama

Kerajaan selamat RM40 juta sebulan dengan Subur

JITRA: Kerajaan boleh menyelamatkan kira-kira RM40 juta sebulan melalui penggunaan sistem kupon di bawah program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur) bulan depan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom, berkata mekanisme penggunaan kupon ini dapat mencegah ketirisan berlaku yang bermula di kilang apabila beras Super Tempatan 15 peratus (ST15) ditukar menjadi ST10.

"Ketirisan ini bermakna matlamat kerajaan membantu golongan miskin tidak tercapai kerana cuma kira-kira 20 peratus sahaja yang mendapat beras ST15," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan bangunan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah bagi Parlimen Kubang Pasu/Padang Terap/Jerlun di Taman Mahsuri.

Mohd Johari yang juga pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah berkata, perkara itu berlaku apabila beras ST15 ditukar "baju" menjadi ST10.

"Di sini dah untung 60 sen. Bila ditukar lagi baju menjadi ST5 untung menjadi lebih RM1 sekilogram. Ini antara punca beras ST15 tiada di pasaran. Sebab itu kerajaan memutuskan mekanisme kupon digunakan," katanya.

Mulai 1 Disember ini, lebih 200,000 keluarga di seluruh negara bakal menikmati Subur yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini.

Melalui Subur golongan miskin, miskin tegar termasuk Orang Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak mendapatkan baucar untuk ditukarkan bagi mendapatkan atau membeli beras terutamanya beras ST15.

Golongan miskin tegar akan mendapat baucar bernilai RM24 yang membolehkan mereka mendapat sekampit beras 10kg bernilai RM24 dan dengan tiga baucar bernilai RM24 diberi dalam sebulan, mereka akan mendapat 30kg beras secara percuma. - Bernama

Risda akan dikembang ke Sabah

SEMPORNA: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan mengembangkan aktivitinya ke Sabah bagi membantu pekebun kecil getah di negeri itu, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Shafie berkata, melalui langkah itu, penduduk yang memiliki tanah tetapi tidak cukup modal dan kemahiran dapat dibantu memajukan tanah mereka.

"Perkara ini sudahpun dipanjangkan kepada pihak kerajaan negeri malah saya telah pun menemui Datuk Yahya Husin (Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah) mengenainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama rakyat di sini hari ini.

Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, pada mesyuarat Kabinet lalu yang mempelawa Risda mengembangkan aktivitinya di negeri itu.

Katanya, kehadiran Risda di Sabah cuma sebagai pelengkap kepada aktiviti Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) iaitu agensi kerajaan negeri berkaitan industri getah di Sabah.

"Pengembangan aktiviti Risda ke Sabah juga tidak akan menjejaskan bantuan tahunan kerajaan persekutuan kepada agensi kerajaan negeri berkenaan," katanya. - Bernama

Iran kutuk usaha AS rampas masjid

TEHRAN: Iran hari ini mengutuk tindakan Amerika Syarikat untuk merampas empat masjid dan sebuah bangunan pencakar langit di New York daripada badan amal Islam yang disyaki mempunyai kaitan dengan negara itu.

Speaker Parliamen Iran, Ali Larijani, berkata tindakan itu menunjukkan slogan Presiden Barack Obama untuk berubah adalah pembohongan dan beliau tiada bezanya dengan bekas Presiden, George W Bush.

“Pelanjutan kekangan terhadap Iran untuk setahun lagi oleh Presiden Amerika dan pembekuan akaun dan aset Yayasan Alavi di Amerika amat memalukan.

"Selepas setahun dengan ucapan dan slogan yang kosong, sikap dan tindak tanduk presiden ini tiada bezanya dengan presiden lalu," katanya kepada Parlimen Iran.

Dalam apa yang mungkin menjadi rampasan terbesar antikeaganasan dalam sejarah AS, pendakwaraya mengemukakan aduan awam di mahkamah persekutuan terhadap Yayasan Alavi untuk merampas aset bernilai lebih AS$500 juta.

Aset itu termasuk akaun bank, pusat Islam yang terdiri daripada sekolah dan masjid di New York, Maryland, California dan Houston; lebih 100 ekar tanah di Virginia; dan menara pejabat 36 tingkat di Manhattan. - AP

Apec tegas untuk pulihkan ekonomi dunia: Najib

SINGAPURA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Asia Pasifik (AELM) telah melahirkan satu ketetapan yang tegas dan konkrit dalam usahanya untuk memulihkan ekonomi dunia.

Perdana Menteri berkata, pemimpin 21 ekonomi Asia Pasifik itu dengan tegas menolak sebarang langkah ke arah perlindungan perdagangan, dan mahukan rundingan Pusingan Doha dimuktamadkan menjelang akhir tahun depan.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat itu di sini, Najib berkata mereka juga bersetuju untuk menyelaraskan tindakan dalam usaha membangunkan ekonomi serantau supaya lebih mampan, inklusif dan seimbang.

Katanya, mereka juga mahu melihat rantau ini mempunyai pembangunan yang seimbang, terbuka, mempunyai jaringan keselamatan sosial, kemajuan dalam perusahaan kecil dan sederhana serta boleh dinikmati secara adil dan saksama oleh penduduk serantau.

"Turut disentuh dalam mesyuarat AELM itu ialah soal perubahan iklim kerana ia ada kaitan dengan malapetaka yang boleh berlaku pada bila-bila masa dan bagi menghadapinya semua ekonomi itu bersetuju untuk membantu dalam sebarang operasi bantuan bencana," katanya.

Mengenai usaha menyatukan ekonomi rantau ini, Najib berkata pemimpin Asia Pasifik akan meneruskan usaha untuk membawa ekonomi masing-masing ke arah itu.

Malah, katanya, sekarang pun sudah ada inisiatif oleh satu kumpulan baru dipanggil Perkongsian Trans Pasifik (TPP) yang hendak meluaskan lagi kawasan perdagangan bebas.

TPP adalah satu kerjasama antara Brunei, Singapura, Chile serta New Zealand dan mula mendapat minat Amerika Syarikat, Australia, Peru dan Vietnam.

Perdana Menteri berkata, disebabkan semakin banyak kumpulan serupa itu seperti Asean, Asean+3, Asean+6 dan kini TPP, maka usaha hendaklah dilakukan bagi menyelaraskan peranan mereka ke arah satu matlamat utama meluaskan kawasan perdagangan bebas.

Mesyuarat santai itu yang berlangsung sejak semalam dipengerusikan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. - Bernama