Followers

Thursday, May 28, 2009

Bangunan Pasaraya Jaya runtuh, 1 maut, 6 masih tertimbus

PETALING JAYA: Bahagian lama bangunan empat tingkat Pasaraya Jaya di Seksyen 14 di sini runtuh pada jam 4.50 petang tadi, mengakibatkan seorang pekerja binaan maut manakala enam lagi tertimbus.

Pasukan penyelamat kini bertungkus lumus mencari mangsa yang tertimbus dan sehingga jam 7 petang tadi mereka menemui satu mayat mangsa.

Kira-kira 30 pekerja binaan sedang bertugas meroboh bangunan terbabit apabila ia tiba-tiba runtuh di luar kawalan.

SPM: Maksimum 10 subjek SPM mulai tahun depan

NILAI: Setiap pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 subjek maksimum mulai tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Serentak dengan itu, beliau berkata, beberapa perubahan akan dilakukan terhadap sistem pengredan SPM.

"Ia akan mempunyai banyak implikasi positif, satu yang pasti adalah guru akan berupaya memberi lebih tumpuan terhadap bilangan mata pelajaran utama dan guru juga akan lebih khusus," katanya selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan, Bandar Enstek hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkatam daripada setengah juta pelajar yang mengambil SPM sebelum ini, kira-kira 48,000 pelajar mengambil lebih daripada 10 subjek. - Bernama

Kementerian Penerangan waspada blog tonjol isu komunisme

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, akan sentiasa berwaspada terhadap blog atau pihak yang cuba menonjolkan isu komunisme tanpa mengambil kira latar belakang sejarah negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata pihaknya boleh bertindak mengikut garis panduan undang-undang komunikasi dan multimedia atas alasan blog berkenaan cuba menggembar-gembur dan memperdaya masyarakat ke arah komunisme.

"Kita bertindak di bawah undang-undang komunikasi dan multimedia tetapi kita suka untuk memberi amaran kepada mereka. Proses itu sedang kita laksanakan sekarang," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) kali kedua di Angkasapuri, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan yang tidak membenarkan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng kembali ke negara ini.

Ketika mengumumkan keputusan itu semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kepulangan Chin Peng jika dibenarkan hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada ahli keluarga mereka yang terkorban semasa era Darurat antara 1948 dan 1960.

Rais berkata, generasi muda perlu memahami sejarah komunisme dan perlu didedahkan secara meluas mengenai kedurjanaan komunis di negara ini pada suatu ketika dulu.

Katanya, melalui mata pelajaran sejarah, pelajar di sekolah serta institusi pengajian tinggi tidak didedahkan secara meluas dan mereka hanya mengetahui isu komunisme secara asasnya saja.

"Walaupun generasi muda mempunyai idealisme yang tinggi dalam hal-hal tertentu, soal kenegaraan kita penting, soal keluarga dan sejarah kita penting," katanya.

Kementerian juga, katanya, mengambil langkah untuk mengadakan pameran mengenai koleksi kedurjanaan komunis di Muzium Negara dalam masa terdekat.

Beliau berkata, semua agensi dan jabatan lain di bawah kementerian akan digesa supaya mengambil bahagian bagi membantu mendedahkan kekejaman komunis yang membunuh beribu-ribu rakyat Tanah Melayu pada ketika itu. - Bernama

Australia sedia kuarantin kapal 'selesema babi': Roxon

SYDNEY: Australia bersedia untuk mengambil tindakan mengkuarantin keseluruhan kapal persiaran yang membawa 2,000 penumpang bagi menghadkan penyebaran selesema babi, kata Menteri Kesihatannya, Nicola Roxon hari ini.

Ia susulan amaran yang diumumkan pakar terhadap jumlah kes selesema babi di Australia yang meningkat dengan pantas, epidemik yang boleh memberi kesan terhadap 25 peratus penduduk.

Beliau berkata, pihak berkuasa memantau dengan rapat kapal persiaran Pacific Dawn.

Kapal itu berlabuh di Queensland, menunggu keputusan ujian terhadap tiga anak kapalnya dan seorang penumpang yang disyaki membawa virus influenza A (H1N1).

Pacific Dawn sudah dipersalahkan berikutan peningkatan kes selesema babi di Australia selepas pihak berkuasa minggu lalu membenarkan 2,000 penumpang untuk turun di Sydney, walaupun disyaki tersebarnya selesema babi di atas kapal. - AFP

Korea Selatan, AS tingkatkan langkah berjaga-jaga selepas diancam Korea Utara

SEOUL: Tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga hari ini, selepas Korea Utara mengumumkan pembatalan perjanjian gencatan senjata yang sudah dilaksanakan di semenanjung itu lebih lima dekad.

“Pada jam 7.15 pagi tadi, Gabungan Perintah Tentera AS-Korea Selatan meningkatkan pemantauannya kepada satu tahap, menjadikannya peringkat kedua,” Kata Kementerian Pertahan Seoul dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Pengawasan terhadap Utara akan dipertingkatkan, dengan lebih pesawat dan anggota yang dikerahkan,” kata jurucakapnya, Won Tae-Jae.


Korea Utara mengumumkan semalam bahawa pihaknya akan membatalkan perjanjian gencatan senjata yang mengakhiri perang Korea pada 1950 hingga 1953, dan memberi amaran pihaknya akan melancarkan serangan ketenteraan di Selatan, dua hari selepas ujian bom atom keduanya. - AFP

Pelajar UiTM tangguh pengajian trauma dicabul

SHAH ALAM: Seorang pelajar perempuan trauma sehingga terpaksa menangguhkan pembelajaran untuk sementara selepas mendakwa seorang lelaki cuba merogolnya ketika dalam bilik mandi sebuah asrama di Universiti Teknologi Mara (UiTM), November lalu.

Malah, pelajar tahun dua kursus Pengurusan Hotel dan Pelancongan itu dikatakan terpaksa mendapatkan rawatan dari pakar psikiatri kerana terganggu dengan kejadian itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, 28 November lalu, pelajar berkenaan mendakwa cuba dirogol seorang lelaki berbogel ketika mandi di tingkat dua Asrama Seroja iaitu asrama yang dikhaskan untuk pelajar perempuan.

Mengikut laporan polis yang dibuat mangsa selepas kejadian, suspek meniru suara perempuan dan menyuruh mangsa membuka pintu bilik mandi.

Bagaimanapun, keengganan mangsa berbuat demikian memaksa suspek menendang pintu menyebabkannya terjatuh dalam keadaan bogel sebelum diterkam suspek.

Mangsa berumur 21 tahun itu mendakwa, suspek sempat memasukkan jari ke dalam kemaluannya menyebabkan dia menjerit dan meronta untuk melepaskan diri.

Katanya, suspek mengugut supaya dia tidak membuat bising tetapi mangsa terus melawan dan berjaya melepaskan diri sebelum terjatuh di koridor.

Mangsa berkata, suspek yang ketakutan terus melarikan diri menggunakan tangga dan seorang saksi ternampak suspek lari dengan hanya memakai seluar pendek dan coli hitam.

Mengikut laporan mangsa, suspek mungkin menyamar sebagai pelajar perempuan untuk menyelinap masuk ke asrama itu.

Berikutan itu, mangsa diberikan cuti dan dibenar menangguhkan pengajian untuk sementara sehingga pulih daripada trauma.

Bagaimanapun keluarga mangsa yang tidak berpuas hati dengan kejadian itu bertindak memfailkan saman terhadap UiTM atas dakwaan cuai dan bersikap sambil lewa dalam menyiasat kejadian itu.

Mangsa memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin, menerusi peguamnya, Mohamed Hanifa Maidin.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang UiTM, Dr Aidar Dziyauddin ketika dihubungi berkata, beliau belum menerima saman daripada mangsa.

"Saya perlu meneliti butiran saman itu sebelum boleh memberi sebarang komen," katanya.

Korea Utara ancam kapal Korea Selatan, AS

SEOUL: Korea Utara mengancam serangan ketenteraan terhadap kapal Amerika Syarikat dan Korea Selatan serta meninggalkan perjanjian damai 1953 yang menghentikan Perang Korea.

Ancaman itu berikutan keputusan Seoul untuk menyertai lebih 90 negara dalam menahan dan memeriksa kapal yang disyaki membawa senjata yang diharamkan, sekali gus meningkat kemungkinan pertempuran laut di pesisir pantai barat semenanjung itu.

Setiausaha Negara AS, Hillary Rodham Clinton, menyatakan Korea Utara berhadapan tindakan akibat ujian senjata nuklear dan peluru berpandu dan mengutuk ancaman itu sebagai satu provokasi.

Beliau juga menyatakan komitmen AS terhadap perjanjian untuk mempertahankan Korea Sekatan dan Jepun yang dalam jarak sasaran peluru berpandu Korea Utara.

Kuasa utama dunia mengesyorkan perluasan sekatan PBB terhadap Korea Utara sebagai tindak balas terhadap ujian nuklear serta langkah menguatkuasakan larangan itu dan pemeriksaan terhadap kapal ke negara berkenaan. - AP

Barcelona benam United

ROME: Barcelona menyingkirkan Manchester United sebagai juara Eropah dengan kemenangan bergaya 2-0 pada final Liga Juara-Juara di Stadio Olimpico pagi ini.

Penyerang Samuel Eto membuka jaringan pada minit ke-10 apabila beliau memotong Nemanja Vidic dari sebelah kanan dan menolak bola rendah melepasi penjaga gol United, Edwin van der Sar.

Xavi meledakkan tendangan percuma ke tiang gol pada permulaan separuh masa kedua sebelum Lionel Messi memastikan kemenangan dengan tandukan cantik hasil hantaran Xavi pada minit ke-70.

Kemenangan itu adalah yang ketiga untuk Barcelona dalam persaingan kelab perdana Eropah selepas kejuaraan pada 1992 dan 2006 dan melengkapkan tiga kejayaan musim ini selepas menjuarai La Liga dan King’s Cup. - Reuters