Followers

Thursday, September 23, 2010

Hospital biak nyamuk satu kesalahan serius: Liow

PUTRAJAYA: Penemuan kawasan pembiakan nyamuk di Hospital Pulau Pinang baru-baru ini adalah satu kesalahan yang amat serius, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
"Walaupun ia bukannya daripada jenis nyamuk Aedes tetapi kita tetap pandang serius kerana sepatutnya hospital menjadi contoh terbaik dalam usaha membanteras pembiakan nyamuk," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kementeriannya, di sini hari ini.
Liow berkata, kompaun sebanyak RM500 telahpun dikenakan terhadap hospital berkenaan dan amaran juga sudah diberikan kepada pengarah hospital itu serta tindakan selanjutnya akan dikenakan jika kesalahan berulang.
Kelmarin, akhbar melaporkan satu kawasan pembiakan nyamuk yang dikenal pasti sebagai nyamuk Culex ditemui di hospital tersebut dan semalam satu lagi kawasan pembiakan ditemui.

Pemeriksaan sedang dibuat untuk mengenal pasti sama ada ia nyamuk Aedes.

Mengenai peningkatan kes denggi di Kelantan sebanyak 119 peratus, Liow berkata arahan sudah dikeluarkan untuk menambah sejumlah 19 lagi pasukan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) serta-merta.

Selain itu, katanya, dalam usaha memastikan wabak denggi dapat dikawal, kontrak semua 1,000 petugas pasukan Combi yang ditempatkan di unit kesihatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara yang akan tamat hujung tahun ini disambung selama setahun lagi. - BERNAMA

Agong nasihat rakyat Malaysia di Kanada tingkatkan prestasi diri

TORONTO: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, menyeru rakyat Malaysia di Kanada supaya terus meningkatkan mentaliti serta prestasi diri seiring dengan kemajuan negara tersebut.

Titah Seri Paduka, keberangkatan baginda ke Universiti McGill di Montreal dan Universiti Guelph di sini telah dapat memberi gambaran yang jelas mengenai komitmen kerajaan Kanada dalam bidang pendidikan.
"Beta juga percaya bahawa negara ini mempunyai banyak potensi untuk bertambah maju di masa hadapan. Jesteru Beta menyeru rakyat Malaysia yang berada di sini dapat mengambil peluang untuk terus meningkatkan mentaliti serta prestasi diri ke tahap yang lebih tinggi seiring dengan kemajuan negara," titah baginda sempena majlis santapan malam bersama masyarakat Malaysia di Villa Malaysia di sini hari ini.
Tuanku Mizan berada di sini dalam rangka Lawatan Tugas Khas ke Kanada selama enam hari.

Baginda juga melahirkan rasa sukacita apabila difahamkan bahawa rakyat Malaysia yang berada di negara ini adalah terdiri dari kalangan kumpulan profesional, ahli perniagaan serta para penuntut di universiti serata Kanada.

Baginda juga mengingatkan rakyat Malaysia yang bermastautin di negara ini supaya sentiasa menjaga nama baik dan imej Malaysia dalam apa jua perkara yang mereka lakukan.

"Pada masa yang sama, beta berharap saudara dan saudari sekalian akan terus menghormati adat resam dan cara hidup masyarakat tempatan," titah baginda.
Terdahulu Tuanku Mizan sempat mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia di Kanada.

"Sesungguhnya beta serta seluruh anggota rombongan dari Malaysia berasa amat gembira kerana berpeluang untuk bertemu dengan saudara dan saudari sekalian pada bulan syawal yang mulia ini dan membolehkan beta mengetahui tentang hal-ehwal kebajikan dan keadaan rakyat Malaysia di sini, " titah baginda.

Baginda bertitah lawatan ke Kanada ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan baik dan kerjasama antara Malaysia dengan Kanada yang merupakan sebuah negara sahabat bagi Malaysia.

Terdahulu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada, Selwyn Das, dalam ucapannya menyeru kira-kira 20,000 rakyat Malaysia di Kanada agar dapat bersama-sama mengukuhkan dan meningkatkan imej Malaysia di dalam semua bidang terbabit khususnya dalam bidang pendidikan, perniagaan serta pelancongan.

Beliau juga mengingatkan semua rakyat Malaysia juga tidak sekali-kali melupakan tanah air dan sentiasa bersedia menyumbang kepada pembangunan negara melalui kepakaran, kemahiran dan pengalaman yang dipunyai oleh mereka khususnya bagi memastikan Gagasan 1Malaysia boleh direalisasikan.

"Pada masa sama, saya juga berharap rakyat Malaysia di Kanada akan sentiasa memberi sokongan dan kerjasama yang penuh kepada usaha-usaha Suruhanjaya Tinggi untuk mengukuhkan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Kanada," katanya.

Terdahulu hari ini, Tuanku Mizan melawat Universiti Guelph di mana baginda diberi taklimat mengenai kajian sains pemakanan dan pertanian termasuk inovasi Gen Biosteel, pertanian persis dan teknologi makanan melalui program NASA Life Support System (SALSA).

Baginda turut dibawa melawat projek rumah hijau Salsa, iaitu projek penyelidikan yang bertujuan mengkaji teknologi pertanian di angkasa lepas. - BERNAMA

Isu mualaf kembali ke agama asal isu terpencil: PERKIM

KUALA LUMPUR: Isu sebilangan golongan mualaf keluar daripada agama Islam merupakan isu terpencil dan kebanyakannya berpunca daripada kegagalan rumah tangga, kata Naib Yang Dipertua I, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Datuk Seri Shahidan Kassim.
Beliau berkata bagi mereka yang baru memeluk agama Islam bimbingan dan dorongan sangat penting dan sekiranya perceraian berlaku kebarangkalian mereka untuk kembali ke agama asal adalah tinggi.
Shahidan berkata perkara sebegini tidak akan berlaku sekiranya seseorang itu memeluk Islam secara sukarela dan bukan atas dasar perkahwinan.
"Orang yang kahwin itu kadang-kala dia sendiri pun tidak ambil kisah tentang agama Islam. Jadi, sebab itu kes-kes sebegini boleh berlaku. Tapi jika orang yang berkahwin dan menganggap perkahwinan itu satu tanggungjawab bila dia berkahwin dengan orang Islam maka masalah ini tidak akan terjadi.

"Bukan semua orang Islam yang berkahwin dengan bukan Islam, orang Islam yang sebenar-benarnya.

"Kadang-kadang orang Islam itu sendiri pun menjauhi agama... tidak mendekati agama, jadi benda-benda ini boleh berlaku," katanya kepada Bernama pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PERKIM di sini hari ini.

Naib Yang Dipertua II PERKIM, Prof Emeritus Datuk Ariffin Suhaimi berkata PERKIM tidak mempunyai kuasa daripada segi undang-undang bagi menyelesaikan isu itu.
Beliau berkata sebagai organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berperanan menyemarakkan usaha dakwah dan penyebaran syiar Islam, Perkim menyediakan khidmat kaunseling dan bimbingan bagi membantu saudara baru .

"PERKIM hanya sebagai badan dakwah. Perkim hanya berdakwah dan membantu mereka yang mahu memeluk Islam," katanya. - BERNAMA

Tahanan reman 5 suspek kes bunuh Sosilawati dilanjut 7 hari

KUALA LUMPUR: Tahanan reman lima suspek dalam kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, dilanjutkan reman selama tujuh hari sehingga 30 September ini.

Pendaftar Ahmad Shakib Ismail memperbenarkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Kelima-lima suspek yang memakai baju lokap oren, tiba di Pusat Tahanan Sementara, Balai Polis Bukit Jalil di sini pada jam 10.10 pagi tadi dengan menaiki lori polis diiringi dua Proton Waja polis dan kereta peronda polis.
Mereka meninggalkan perkarangan pusat tahanan itu pada jam 11.05 pagi.

Sementara itu, tahanan reman peguam dua beradik dan seorang rakan mereka dilanjut ke 25 September ini.

Sosilawati, 47, pengasas Nouvelle Visages; pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; perunding kewangan CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dipercayai diikat sebelum dipukul dan ditikam hingga mati sebelum mayat mereka dibakar, manakala abu mayat dibuang ke Sungai Panchau bagi menghapuskan bukti, 30 Ogos lalu.

Pembunuhan kejam Sosilawati: 8 suspek jalani ujian sperma

Polis menyiasat kemungkinan Sosilawati juga dirogol
KUALA LUMPUR: Lapan suspek lelaki yang disyaki terbabit dalam pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan kes kehilangan ahli perniagaan India, termasuk dua beradik peguam diambil sampel darah dan air mani bagi ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Difahamkan, sampel air mani diambil bagi menyiasat maklumat baru kemungkinan salah seorang mangsa turut dirogol.
Dalam pada itu, Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan kes pembunuhan berkenaan kepada polis kerana berpendapat siasatan lanjut perlu dijalankan.
Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah, berkata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sudah memberi beberapa arahan baru untuk disiasat polis.

Peguam Negara juga meminta polis menyiasat lanjut kes-kes lain yang mempunyai kaitan dengan suspek yang ditangkap (berhubung pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya).

Polis menyerahkan kertas siasatan mereka kepada Jabatan Peguam Negara pada 21 September lalu, dan Peguam Negara mendapati ada banyak lagi perlu dibuat siasatan lanjut. Kertas siasatan itu dikembalikan kepada polis pada hari sama, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin mengesahkan sudah menerima kembali kertas siasatan awal itu daripada Jabatan Peguam Negara dan menyifatkannya sebagai prosedur biasa bagi memperkukuhkan siasatan kes.
Sementara itu, difahamkan pengambilan sampel semua suspek itu adalah yang kedua selepas kali pertama, minggu lalu berikutan ada penemuan beberapa petunjuk baru dalam siasatan kes berkenaan.

Sumber memberitahu Berita Harian, proses itu sebahagian daripada prosedur standard operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), khusus untuk memperlengkapkan kertas siasatan kes berkenaan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.

Polis menemui beberapa bukti dan maklumat baru sepanjang proses siasatan, di mana penemuan itu memerlukan pengambilan sampel darah dan air mani suspek. Ini bertujuan melengkapkan kertas siasatan seperti diarahkan Peguam Negara, katanya.

Kelapan-lapan suspek lelaki terbabit, iaitu enam berkaitan kes pembunuhan Sosilawati dan dua lagi berhubung kehilangan ahli perniagaan India, Muthuraja Allal Kanthan tiba di Jabatan Patologi HKL kira-kira jam 3 petang, menaiki empat kenderaan berasingan dengan kawalan ketat pasukan khas yang mengendalikan kes itu.

Proses ini berlangsung selama dua jam sebelum suspek dihantar semula ke Pusat Tahanan Sementara di Bukit Jalil kira-kira jam 5 petang, katanya.

Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages, dibunuh kejam bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38, di sebuah ladang persendirian di Morib, Banting pada 30 Ogos lalu.

Semua mangsa dilaporkan diikat, dipukul dan ditikam sampai mati sebelum mayat dibakar serta abu mereka dibuang ke beberapa sungai berhampiran.

Berikutan itu, polis menahan lapan suspek berusia 19 hingga 41 tahun, termasuk dua wanita bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Turut ditahan dua suspek lelaki berusia 30 dan 34 tahun berhubung siasatan kes kehilangan saudagar batu permata, Muthuraja, 34, dari Chennai, India pada 18 Januari lalu, yang dipercayai turut mempunyai kaitan dengan kes Sosilawati.