Followers

Saturday, September 5, 2009

Kanak-kanak mangsa paling menderita


PENDUDUK menunaikan solat Jumaat di dalam Masjid Jami al-Muhtar yang runtuh selepas dilanda gempa bumi, kelmarin.

Gempa bumi musnahkan 87,000 rumah

CIANJUR: Kanak-kanak dilaporkan paling teruk terjejas dalam kejadian gempa bumi yang mengorbankan berpuluh nyawa di Jawa Barat, Rabu lalu.

Sekurang-kurangnya 63 orang disahkan maut dalam kejadian gempa bumi di bawah laut yang memusnahkan hampir 87,000 rumah di seluruh 12 daerah dan menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh.

Di kampung Cingkakaerng, wilayah Cianjur, tanah bukit yang runtuh menimbuskan kebanyakan rumah berhampiran.

Seorang petani, Robi Suryadi berkata bahawa 20 penduduk kampung ditemui mati dalam runtuhan terbabit manakala 40 yang lain dilaporkan hilang.

"Dua rumah keluarga saya ranap dan 11 ahli keluarga masih lagi hilang dan kami tahu empat daripada mereka sudah mati," katanya.

Bagaimanapun kanak- kanak di Cingkangkareng adalah paling teruk terjejas akibat gempa bumi berkenaan.

"Saya anggarkan sekurang-kurangnya 30 kanak-kanak di bawah usia 15 tahun masih lagi hilang," kata Robi Suryadi.

Ibu kepada Deni Demara meratapi kematian anaknya itu manakala bapanya kelihatan pengsan di sebuah bangku. � Agensi

Beberapa ketika sebelum itu, rangka anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun ditemui dalam runtuhan tanah runtuh berkenaaan.

Beliau adalah seorang daripada sekurang-kurangnya lima kanak-kanak lelaki yang terbunuh apabila batuan besar menghempap kiosk permainan Playstation di kampung Cingkangkareng itu.

Pada masa kini setiap kampung di Indonesia mempunyai kiosk berkenaan iaitu bilik gelap kecil di mana kebanyakan kanak-kanak lelaki membayar permainan mengikut jumlah jam yang menjadi perhatian terutama musim bulan Ramadan ini.

"Selepas pulang dari sekolah beliau dan rakannya ke tempat itu," kata sepupu Deni, Irman.

"Ibunya meminta untuk membuat salinan fotokopi sesuatu tetapi beliau akhirnya ke sana bersama rakan-rakannya dan tempat Playstation itu musnah." � Agensi

Pengalaman pilihan raya kecil lalu perlu dijadikan iktibar: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata semua pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu menjadikan pengalaman yang diperoleh pada pilihan raya kecil sebelum ini sebagai iktibar bagi melakukan yang terbaik pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan nanti.

"Kita dah ada banyak pengalaman dan pada kali ini, kerusi ini kerusi kita (Barisan Nasional), kerusi yang kita pertahankan, kita jadi juara bertahan dan kita akan buat segala-gala yang perlu untuk mencapai kejayaan.

"Saya berharap pengalaman pilihan raya kecil sebelum ini dijadikan sebagai iktibar kepada kita, kepada pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional tentang apa yang harus kita lakukan (untuk mencapai) yang terbaik," katanya selepas meninjau keadaan kuarters Jabatan Kerja Raya di Jalan Cheras di sini, hari ini.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata demikian ketika diminta mengulas harapan BN mempertahankan kerusi itu yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor, 54, semalam akibat jangkitan dalam darah.

Allahyarham Azman, yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum lalu dengan mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi. Azman mendapat 6,430 undi, manakala Ramli mendapat 4,097 undi.

Mengulas cadangan supaya bilangan perwakilan ke perhimpunan agung Umno ditambah sehingga 650,000 orang daripada 2,600 perwakilan pada masa ini, Najib berkata, terlalu awal baginya untuk memberi sebarang komen kerana perkara itu masih di peringkat cadangan dan belum dibincang di peringkat Majlis Tertinggi Umno.

"Kita (Majlis Tertinggi Umno) akan memutuskan cadangan yang terbaik untuk masa depan parti itu dan pada masa ini kita sedang mendapatkan ulasan, cadangan balas dan tinjauan secara lebih terperinci atas setiap cadangan yang hendak dilakukan bagi penambahbaikan parti itu," kata Presiden Umno itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan-cadangan yang diterima oleh Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan Umno yang diumumkan oleh pengerusinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga Naib Presiden Umno, semalam.

Najib juga berkata, sebarang cadangan mengenai pindaan itu perlu dibuat secara kolektif dan bukan dibuat secara peribadi.

"Jadi, biarlah proses itu berjalan dan saya bersikap terbuka dalam hal ini malah sayalah yang pertama mengesyorkan supaya Perlembagaan Umno ini dipinda, dirombak semula supaya Umno lebih demokratik dan telus.

"(Supaya) Umno dapat memberi keyakinan yang lebih bukan saja di kalangan ahlinya tetapi yang penting sekali, rakyat mesti lihat Umno ini sebagai parti yang menepati citarasa mereka," katanya.

Semalam, Hishammuddin berkata, kesemua maklum balas mengenai pindaan perlembagaan parti yang diterima daripada akar umbi akan dibawa kepada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno minggu depan sebelum dibawa kepada Majlis Tertinggi 11 September ini. - Bernama

30 pelajar perubatan Malaysia bantu mangsa gempa bumi Indonesia

KUALA LUMPUR: Sekumpulan 30 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar perubatan dari Malaysia yang menuntut di beberapa buah universiti di Indonesia sudah digerakkan bagi membantu mangsa gempa bumi yang berlaku di pulau Jawa pada Rabu lalu yang setakat ini mengorbankan lebih 60 orang dan mencederakan 400 yang lain.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata penubuhan pasukan sukarelawan itu atas inisiatif Kelab Umno Luar Negara dengan kerjasama Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Dalam satu kenyataan di sini, beliau berkata, pasukan itu yang diketuai Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Dr Junaidi Abu Bakar, sudah membuat persiapan kelengkapan serta barangan dan sudah mula bergerak ke kawasan bencana itu di Pengalengan Jawa barat, hari ini.

"Mereka akan memberikan bantuan makanan dan pakaian serta menyediakan juadah berbuka puasa kepada mangsa di kawasan terbabit selain membuat tinjauan dan penelitian bagi menentukan bantuan selanjutnya yang boleh dihulurkan kepada mangsa," katanya yang juga Pengerusi Kelab Umno Luar Negara.

Beliau berkata, program itu adalah sebagai pendedahan kepada pelajar berkenaan untuk memberi khidmat kesukarelawan kepada penduduk yang terbabit dengan bencana alam.

Menurut pihak berkuasa Indonesia, gempa bumi pada magnitud 7.3 skala Richter itu memusnahkan lebih 87,000 buah rumah. - Bernama

Amaran angin kencang, laut bergelora

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di kawasan utara perairan Selat Melaka dan perairan Sabah bermula hari ini sehingga Selasa.

Menurut kenyataan jabatan itu, angin kencang barat daya dengan kelajuan antara 40 kilometer (km) hingga 50km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Kedah, Perlis, Langkawi, Kudat dan pantai barat Sabah serta Labuan.

Menurut kenyataan itu lagi, keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada bot kecil serta aktiviti rekreasi dan sukan laut.

Selain itu angin kencang selaju 50km hingga 60km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter yang melanda utara Sabah berhampiran pulau Palawan Filipina, perairan Phuket, Thailand, Reef North, Condore dan Layang-Layang sejak Selasa lalu dijangka berlarutan sehingga Isnin ini. - Bernama

H1N1: Tiada kematian, 255 pesakit ILI baru dirawat

KUALA LUMPUR: Tiada kematian baru yang dilaporkan akibat jangkitan Influenza A(H1N1) hari ini, dengan jumlah kematian kekal 73 mangsa, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata, bagaimanapun, seramai 255 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa Influenza (ILI) dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, dan daripada 1,198 ILI yang dirawat di 111 hospital termasuk 14 hospital swasta, seramai 301 pesakit disahkan positif H1N1.

"Daripada 301 kes yang disahkan positif H1N1, 55 kes ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan sembilan kemasukan baru.

"Daripada 55 kes tersebut 38 (69 peratus) mempunyai faktor risiko seperti penyakit kronik (15), kanak-kanak bawah lima tahun (10), morbid obesiti (9), hamil/postnatal (2), warga emas (1) dan penyakit respiratori (1)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagi membolehkan Orang ramai mendapatkan perkembangan terkini berhubung H1N1, dail di talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300 setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang atau lawati laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my. - Bernama