Followers

Thursday, May 6, 2010

Pelatih PLKN ke Tingkatan 6 diberi pelepasan seminggu awal

KUALA LUMPUR: Semua pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan 2 Siri 7/2010 yang mendapat tawaran memasuki Tingkatan 6 Bawah akan diberi pelepasan seminggu lebih awal dari tarikh tamat latihan.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata pelepasan itu bagi memberi keselesaan kepada pelatih membuat persiapan bagi memasuki Tingkatan 6 bawah.
"Pelatih yang akan memasuki Tingkatan 6 Bawah dibenarkan keluar dari kem pada 5 Jun 2010 dan dianggap tamat latihan PLKN dan diberi sijil penyertaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pelatih perlu memaklumkan kepada komandan kem PLKN masing-masing bagi tujuan pengesahan menjalani latihan untuk dimaklumkan kepada pihak sekolah berkenaan.

Katanya, ini bertujuan supaya tempat yang diperuntukkan kepada pelatih PLKN tidak diberikan kepada pemohon lain.

Kementerian Pelajaran Malaysia memutuskan pelatih PLKN perlu mendaftarkan diri di sekolah mereka ditempatkan sebaik sahaja tamat latihan. - Bernama

Politeknik dinaik taraf universiti


SIBU - Kementerian Pengajian Tinggi menyasarkan semua politeknik di negara ini dinaik taraf menjadi universiti politeknik pada tahun 2015 bagi meneruskan kecemerlangan institusi kemahiran itu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, buat masa ini pihaknya dalam perancangan untuk memastikan institusi kemahiran itu mampu menawarkan diploma, diploma lanjutan, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana sehinggalah kepada Doktor Falsafah (Ph.D).
''Sekarang ini politeknik hanya menawarkan diploma sahaja. Apabila mereka sudah tamat pengajian, mereka terpaksa melanjutkan pengajian ke universiti.
''Perancangan kita ialah kita mahu mereka ini meneruskan pengajian dari diploma sehingga ke doktor falsafah. Negara memerlukan siswazah yang mempunyai kemahiran yang tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kemasukan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sibu, Robert Lau Hui Yew.
Pada majlis itu, Mohamed Khaled menyerahkan surat tawaran kepada 211 orang lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dari Sibu yang mendapat tawaran ke politeknik dan 190 orang yang mendapat tempat ke IPTA.
Selain itu, beliau menyerahkan pendahuluan pinjaman PTPTN sebanyak RM1,500 untuk persediaan ke IPTA dan politeknik kepada anak-anak yang pendapatan keluarganya kurang daripada RM3,000 sebulan.
Mohamed Khaled berkata, selain menaik taraf politeknik, turut mendapat perhatian ialah cadangan menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa untuk mereka yang mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama di IPTA dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
''Cadangan ini akan dilakukan pada tahun ini dan kita menjangkakan tiga peratus mahasiswa IPTA dan IPTS akan mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama yang membabitkan pinjaman bernilai RM70 juta setahun," katanya.
Sementara itu, pada majlis berasingan, beliau berkata, pengumuman kerajaan untuk menaik taraf Kolej Laila Taib (KLT) sebagai universiti kolej menjelang tahun 2012 tidak seharusnya dijadikan isu pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu tidak lama lagi.
''Adalah bernasib malang jika ada pihak cuba menggunakan isu menaik taraf KLT menjadi universiti kolej sebagai isu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu,'' ujar beliau.
Katanya lagi, sekiranya perkara itu turut dijadikan isu dan pertikaian, maka tiada lagi sebarang perkara yang boleh dikongsikan bersama untuk memajukan Sibu.
Mengenai dengan KLT itu pula, Mohamed Khaled berkata, kementerian tidak mempunyai sebarang masalah untuk menaiktarafkan KLT sebagai universiti, malah menjangkakan ia mungkin boleh dilakukan lebih awal daripada sasaran tahun 2012.
Mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) antara KLT dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di kolej tersebut hari ini, beliau memberitahu, MoU berkenaan bagi membolehkan lulusan KLT menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di Unimas.
KLT diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wong Kee Yew, manakala Unimas pula oleh Naib Canselornya, Prof Dr. Khairuddin Ab.Hamid.

Indeks jenayah suku tahun pertama turun 15.35 peratus

KUALA LUMPUR: Indeks jenayah di seluruh negara bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini menunjukkan penurunan hasil inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata bagi tempoh itu indeks jenayah turun sebanyak 15.35 peratus, manakala jenayah jalanan pula menurun 38.7 peratus, berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Dari segi angka bagi indeks jenayah untuk tempoh Januari hingga April tahun 2010 terdapat sebanyak 59,661 kes berbanding 70,481 kes bagi tempoh yang sama tahun 2009, di mana penurunan sebanyak 10,820 kes.
"Bagi kes jenayah jalanan pula bagi tempoh Januari hingga April 2010 terdapat 8,209 kes berbanding 13,391 bagi tempoh yang sama tahun 2009 dan ini bermakna penurunan sebanyak 5,182 kes," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan keberkesanan program Rakan Cop terhadap pengurangan kadar jenayah di negara ini dan peratusan pengurangan jenayah melalui program ini berbanding keahliannya.

Abu Seman berkata, sejak penubuhan program Rakan Cop pada 2004, seramai 336,363 orang telah mendaftar sebagai ahli di seluruh negara.

Katanya, sehingga kini sejumlah 1.7 juta maklumat berkaitan jenayah dan ketenteraman awam telah disalurkan oleh ahli-ahlinya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
"Rakan Cop ini adalah salah satu daripada inisiatif di bawah NKRA untuk mengurangkan indeks kadar jenayah sebanyak lima peratus dan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang akhir tahun 2010.

"Semua inisiatif termasuk Rakan Cop sama ada yang telah, sedang dan akan dilaksanakan adalah saling berkaitan dan secara kolektifnya menyumbang kepada pengurangan jenayah, katanya. - Bernama

1,441 rakyat Malaysia ditahan di 59 negara

KUALA LUMPUR: Sehingga semalam, terdapat 1,441 orang rakyat Malaysia yang ditahan di penjara di 59 negara atas pelbagai kesalahan, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Lee Chee Leong.

"Pecahan mengikut jenis kesalahan atas kesalahan dadah 733 orang, kes dokumen palsu dan kad kredit 243 orang, masalah imigrasi 72 orang, perdagangan manusia 40 orang.
"Jenayah perdagangan 93 orang, mencuri 74 orang, membunuh 17, penipuan 47 orang dan kesalahan-kesalahan lain 122 orang," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Saripah Aminah Syed Mohamed yang ingin tahu jenis kesalahan yang dituduh terhadap rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara.

Lee juga berkata, terdapat 98 orang rakyat negara ini yang ditahan di luar negara dan masih menunggu tarikh perbicaraan.

Katanya, antara usaha yang dilakukan kerajaan bagi membantu mereka adalah dengan mengadakan lawatan konsular ke pusat tahanan bagi memastikan mereka mendapat layanan yang baik dan adil.

"Kerajaan juga membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan agar mempercepatkan perbicaraan kes mereka," katanya.
Lee berkata, rakyat Malaysia yang ingin keluar negara sentiasa diingatkan agar berkelakuan baik dan berwaspada agar tidak terpedaya serta menjadi mangsa penipuan sindiket tertentu. - Bernama

H1N1: 57 kes baru dikesan

PUTRAJAYA: Sebanyak 57 kes baru Influenza A (H1N1) dikesan di seluruh negara sehingga 5.30 petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kes itu 13,889.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, bagaimanapun berkata tiada laporan kematian terbaru akibat penyakit itu dan bilangan kematian disebabkan H1N1 kekal 82 orang.
Beliau berkata, sehingga 8 pagi ini, 13 laporan kejadian kluster penyakit serupa influenza (ILI) dilaporkan berlaku di Perak, Johor, Kelantan, Selangor, Sarawak, Negeri Sembilan dan Terengganu.
"Jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad di seluruh negara adalah sebanyak 632 kes. Daripada jumlah itu, 76 kes telah disahkan positif H1N1.

"Bilangan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sembilan kes dengan enam daripadanya mempunyai faktor risiko," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail mengingatkan orang ramai bahawa penularan jangkitan H1N1 terus aktif dalam komuniti dan menasihatkan mereka yang mengalami gejala ILI supaya segera mendapatkan pemeriksaan perubatan di klinik berhampiran.

Beliau juga menggesa masyarakat agar terus berwaspada dan mengamalkan langkah pencegahan terhadap penyakit itu. - Bernama