Followers

Wednesday, March 10, 2010

Gagal tangani 'Firaun Kecil' akan akhiri riwayat PKR: Zulkefli

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, yang dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabtu lalu berkata riwayat parti itu akan berakhir pada bila-bila masa jika kumpulan 'firaun kecil' dalam PKR gagal ditangani.

Beliau yang membayangkan seorang lagi individu berkualiti akan meninggalkan PKR tidak lama lagi berkata, isu sebenar bukan bilangan pemimpin yang berbuat demikian tetapi kualiti mereka.

"Bukan bilangan, tetapi kualiti mereka yang keluar parti. Anda boleh lihat orang seperti Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) dan bekas Setiausaha Agung parti, Datuk Salahuddin Hashim...mereka ini adalah orang-orang yang sangat rapat dengan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tahap integriti mereka tidak boleh dipersoalkan.

"Maksud saya di sini orang yang berkualiti meninggalkan parti, kita tidak mahu kuantiti tetapi kualiti. Saya beri jaminan pada anda, seorang lagi insan berkualiti akan keluar parti tidak lama lagi," katanya semasa temubual secara lintas langsung NST, di sini hari ini.

Zulkifli juga berkata beliau akan menjadi wakil rakyat Bebas di Parlimen.

Zulkifli, seorang peguam, dipanggil lembaga disiplin parti bagi menjawab isu laporan polis yang dibuatnya terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dari Pas yang juga sekutu PKR, berhubung penggunaan kalimah Allah.

Beliau bagaimanapun bertindak keluar daripada perbicaraan selepas enggan diadili oleh anggota panel bukan Islam. Pada 6 Mac lalu beliau dipecat daripada PKR.

Sebelum itu beliau pernah mendakwa ada kumpulan ''firaun kecil'' dalam PKR berusaha memastikannya dipecat daripada parti.

Zulkifli berkata beliau juga telah meminta penyokongnya untuk menganjurkan ''roadshow'' bagi menjelaskan kedudukannya kepada pengundi dan masyarakat di kawasan Kulim-Bandar Bharu.

"Setakat ini saya telah menerima sokongan menggalakkan terutama daripada pemimpin kanan dan ulama dari Pas dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Ditanya mengenai masa depan karier politiknya, peguam dan anggota Parlimen yang lantang bersuara itu berkata beliau mungkin menyertai NGO sebagai platform politiknya.

Zulkifli berkata selepas pemecatannya banyak parti politik datang kepadanya termasuk Umno, PAS dan beberapa NGO, tetapi beliau belum membuat keputusan mengenai langkah seterusnya, termasuk sama ada akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang. - Bernama

Gempa di Chile: Palang Merah rayu lebih banyak bantuan

SANTIAGO: Palang Merah Antarabangsa semalam merayu supaya usaha menghantar bantuan kemanusiaan digandakan bagi meringankan kesulitan mangsa gempa bumi yang kini kebanyakannya hilang tempat tinggal.

Sejumlah AS$12.9 juta diperlukan lagi selepas tragedi gempa kuat 27 Februari lalu, yang turut menyebabkan tsunami melanda di bahagian tengah Chile.

Dana itu dijangka mampu memberi bantuan lebih komprehensif kepada mangsa yang terlalu ramai, menurut Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC) dalam kenyataannya semalam.

Wang berkenaan akan disalurkan terus kepada agensi perkhidmatan kesihatan, selain bantuan dari segi tempat perlindungan, keperluan air minuman dan sistem pembuangan najis untuk tempoh setahun.

Setiausaha Agung IFRC, Bekele Geleta, yang kini berada di Santiago berkata, menerusi perbincangannya dengan Presiden, Michelle Bachelet dan pegawai tempatan, keperluan tempat perlindungan adalah paling utama, terutama menjelang musim tengkujuh serta musim sejuk, tidak lama lagi.

"Kami memerlukan masa lebih sebulan lagi untuk membina semula hospital yang rosak.

"Untuk sementara, keperluan asas penduduk dan mangsa gempa perlu diutamakan terlebih dulu," katanya.

Setakat ini, lebih 500,000 rumah musnah atau rosak akibat gempa kuat serta dihanyutkan tsunami. - AFP

Surat untuk PM terus dapat sambutan

IPOH: Menjelang tarikh tutup Pertandingan Menulis Surat kepada Perdana Menteri pada 19 Mac ini, Pos Malaysia Berhad menerima lebih 3,500 pucuk warkah daripada pelajar di 30 sekolah di negeri ini, hari ini.

Ketua Operasi Pos Perak, Muhyddin Jaffar, berkata surat-surat itu diterima dari sekolah-sekolah di dua daerah iaitu Ulu Perak dan Kinta.

"Kutipan dari sekolah di daerah-daerah lain di negeri itu akan dibuat minggu depan," katanya pada majlis ringkas penyerahan surat kepada Pos Malaysia di Sek Men Keb Tarcisian Convent, di sini.

Pertandingan itu yang dianjurkan bersama Pos Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Kebudayaan, dan Kementerian Pelajaran dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 29 Disember lalu.

Setakat ini pertandingan yang terbuka kepada pelajar berusia dari tujuh tahun hingga 17 tahun itu telah menerima lebih 60,000 surat, dan Pos Malaysia mensasarkan jumlah itu meningkat kepada 100,000 apabila pertandingan berakhir.

Enam surat terbaik akan memenangi hadiah-hadiah menarik dalam bentuk wang tunai, kamera digital, baucer pembelian buku dan koleksi setem dengan pemenang utama akan menerima komputer riba.

Sementara itu, Ketua Sektor Pembangunan dan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Perak Zulkurnaini Hussin yang turut hadir pada majlis itu berkata kerjasama dan inisiatif dari pihak sekolah memainkan peranan penting dalam menggalakkan pelajar menyertai pertandingan berkenaan.

Seorang pelajar, Nur Ain Azuri, 17, yang menyertai pertandingan itu berkata dia berasa bangga dapat menyumbangkan idea dalam aspek pembangunan, sosial dan perpaduan kaum. - Bernama