Followers

Wednesday, October 13, 2010

Pahang mungkin isytihar lombong pasir kawasan larangan

TEMERLOH: Kawasan mengorek pasir di sepanjang sungai Pahang berkemungkinan diisytiharkan sebagai kawasan larangan kepada orang ramai untuk sebarang kegiatan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata cadangan itu akan dikemukakan pada mesyuarat mingguan Exco minggu depan.
Beliau berkata, tindakan itu perlu kerana kawasan mengorek pasir di sepanjang sungai Pahang dan beberapa sungai di negeri itu sangat bahaya kerana paras airnya dan mempunyai banyak kawasan pasir jerlus.
"Saya akan membawa perkara ini kepada mesyuarat mingguan Exco supaya satu larangan akan dikuatkuasakan bagi mengelakkan kejadian mati lemas berlaku di kawasan mengorek pasir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan mengorek pasir dekat Kampung Buntut Pulau di sini semalam di mana berlaku kejadian lemas membabitkan seorang pemandu lori ketika menangkap ikan di situ pada petang kelmarin.

Mohd Sharkar berkata, kebanyakan kejadian mati lemas di daerah Temerloh berlaku di kawasan mengorek pasir di mana orang ramai suka menangkap ikan di kawasan terbabit.

Katanya, antara cadangan yang akan dikemukakan adalah supaya mengkaji keperluan pengawal keselamatan bertugas 24 jam di kawasan operasi untuk menghalang orang ramai atau penduduk tempatan memasuki kawasan bahaya itu.
Beliau juga menggesa pemilik pam pasir di negeri itu mengambil inisiatif sendiri dengan meletakkan papan tanda amaran dilarang masuk ke kawasan berkenaan.

"Tindakan itu perlu kerana dengan adanya papan tanda seumpama itu sekurang-kurangnya akan menjadi peringatan kepada orang ramai daripada menceroboh kawasan tersebut," kata Mohd Sharkar. - BERNAMA

8 lokasi dikaji untuk loji janakuasa nuklear

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah mengenal pasti lapan lokasi di Semenanjung Malaysia untuk membina loji janakuasa nuklear pertama negara yang dijangka beroperasi menjelang 2021.
Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Datuk Dr Daud Mohamad, berkata lokasi itu bagaimanapun masih lagi dalam kajian untuk dipilih sebagai lokasi sesuai yang memenuhi kriteria sebelum diumumkan oleh kerajaan.
"Antara kriteria yang mesti ada untuk membina loji janakuasa nuklear ini ialah kita memerlukan kawasan yang berhampiran dengan sumber air, mempunyai struktur tanah yang berbatu keras dan kawasan yang tidak mudah banjir.
"Jika ada penduduk di kawasan yang dipilih itu, mereka harus berpindah manakala kawasan yang sudah dibangunkan pula kita perlu pindahkan tetapi kosnya sangat mahal.

"Apa-apa pun segala keputusan akhir akan dibuat oleh kerajaan dan dijangka ditetapkan dalam tahun 2012," katanya selepas merasmikan Simposium Pengurusan Kualiti 2010 di sini, hari ini.

Mengulas aspek keselamatan loji janakuasa nuklear itu, Daud berkata, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang kerana pelbagai proses penambahbaikan telah dilakukan mengikut peredaran teknologi pada masa kini.

Menurutnya, pihak agensi turut mengadakan pelbagai program untuk menghebahkan maklumat kepada orang ramai mengenai kebaikan dan keburukan pembinaan loji janakuasa itu.
Beliau berkata, semua pihak termasuk Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli politik termasuk pembangkang, dan pihak swasta boleh memberi pandangan mengenai pembinaan pusat janakuasa itu.

"Kita perlukan maklum balas daripada mereka, jadi adalah penting untuk mereka tahu mengenainya (loji janakuasa nuklear) sebelum keputusan dibuat," katanya.

Mengenai simposium itu, Daud berkata, ia menyentuh tentang budaya kualiti dan pengurusan pengetahuan, penanda aras kualiti dan penjenamaan, perkhidmatan pelanggan, standard dan akreditasi, pengurusan kualiti menyeluruh, penambahbaikan kualiti berterusan dan persaingan pasaran.

Seramai 120 peserta dari agensi-agensi kerajaan, NGO dan swasta menghadiri simposium dua hari itu. - BERNAMA

Lebih 40,000 lepasan STPM ditawarkan ke IPTA

KUALA LUMPUR: Seramai 40,506 pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf telah ditawarkan tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi akademik 2010/2011.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata daripada jumlah itu, seramai 28,633 adalah calon Bumiputera manakala kaum Cina (9,569 calon) dan India/lain-lain (2,304 calon).
"Pengambilan pelajar itu dilakukan mengikut sistem meritokrasi berasaskan markah akademik sepenuhnya dan bukan lagi berasaskan sistem kuota mengikut kaum," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan M Manogaran (DAP-Telok Intan) di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Mohamed Khaled juga memaklumkan bahawa bilangan tempat yang ditawarkan mengikut kaum bagi program kritikal di IPTA bagi sesi akademik 2010/2011 adalah seperti berikut:

i. Undang-undang: Bumiputera (59.47 peratus), Cina (31.23 peratus), India (9.3 peratus)
ii. Perubatan: Bumiputera (52.18 peratus), Cina (39.98 peratus), India (8.84 peratus)
iii. Farmasi: Bumiputera (51.92 peratus), Cina (44.6 peratus), India (3.48 peratus)
iv. Perakaunan: Bumiputera (49.31 peratus), Cina (46.33 peratus), India (4.36 peratus)
v. Kejuruteraan Kimia: Bumiputera (71.47 peratus), Cina (22.49 peratus), India (6.04 peratus) - BERNAMA

Kes Sosilawati: Dua peguam suspek utama tiba di mahkamah jam 8.30 pagi

BANTING: Dua peguam yang mewakili dua peguam adik beradik yang menjadi suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain tiba di Mahkamah Majistret Telok Datuk, pagi ini.
Amer Hamzah Arshad dan Ravi Nekoo tiba kira-kira jam 8.30 pagi yang dijangka bagi mewakili dua anak guamnnya bersama dua suspek lain yang dilaporkan akan didakwa di mahkamah hari ini.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan di bawah seksyen mana dua peguam adik beradik itu akan didakwa.
itu arrived at the Telok Datuk Magistrate Court at about 8.30am.

Kes Sosilawati: 4 suspek utama tiba di mahkamah

BANTING: Dua peguam adik beradik yang menjadi suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain tiba di Mahkamah Majistret Telok Datuk, pagi ini.

Mereka tiba bersama dua lagi suspek, kiara-kira jam 8.50 pagi tadi sebelum memasuki mahkamah.
Peguam kedua-dua adik beradik peguam berkenaan, Amer Hamzah Arshad dan Ravi Nekoo tiba sebelum itu kira-kira jam 8.30 pagi.
Bagaimanapun, setakat ini tidak dapat dipastikan di bawah seksyen mana dua peguam adik beradik dan dua lagi suspek itu akan didakwa.

N Pathmababhan dan tiga yang lain dituduh bunuh Sosilawati

BANTING: Peguam, N Pathmababhan dan tiga yang lain dituduh di Mahkamah Majistret di sini, sebentar tadi atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.
Keempat-empat mereka termasuk T. Thilaiyalagan, R. Matan and R. Kathavarayan menghadapi tuduhan bersama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati
Keempat-empat mereka mengangguk menyatakan mereka faham selepas pertuduhan itu dibacakan dihadapan Magistret Hurman Hussain.
Pertuduhan terhadap Pathmababhan, 42, dibacakan dalam Bahasa Melayu manakala pertubuhan terhadap tiga yang lain dibacakan dalam Bahasa Tamil.

Mereka dituduh membunuh Sosilawati, 47, dan tiga yang lain - pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shansudin, 44; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pegawai bank CIMB, Norhisham Mohammad, 38.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, di sini antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes berkenaan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Ishak Mohamad Yusof, Idham Abdul Ghani dan Saiful Edris Zainuddin.

Tuanku Mizan anugerah biasiswa kepada 12 penerima

KUALA LUMPUR: Tuanku Mizan Zainal Abidin, hari ini berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong kepada 12 graduan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) di universiti tempatan dan luar negara, pada satu majlis di Dewan Kecil, Istana Negara di sini.
Enam penerima PhD ialah Nur Tantiyana Ali Othman, 25, yang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia di Universiti Nihon, Tokyo; Nurul Shazini Ramli, 23, dalam bidang Sains Pemakanan di Universiti Putra Malaysia; Hong Siaw Swin, 25, bidang Sains Komputer di Universiti Putra Malaysia; Mohd Syukri Yahya, 29, bidang kejuruteraan mekanikal di Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat; Mohd Faidz Mohamad Shahimin, 24, bidang mikrobiologi persekitaran di Universiti Alberta, Kanada, dan Mohd Firdaus Abd Wahab, 28, dalam bidang bionanoteknologi di Universiti Oxford, United Kingdom.
Enam penerima biasiswa di peringkat sarjana ialah Meor Amer Reza Meor Hazizi, 28, yang mengikuti pengajian kejuruteraan biomedikal di Kolej Imperial, London; Tan Kang Ming, 22, dalam bidang kejuruteraan kimia di Universiti Cambridge, United Kingdom; Nurliyana Rusli, 23, bidang rekaan kebandaran di Universiti Melbourne, Australia; Aishah Najiah Dahnel, 24, kejuruteraan sistem pembuatan di Universiti Warwick, United Kingdom; Wan Nur Firdaus Wan Hassan, 23, bidang kejuruteraan awam geoteknik di Universiti Teknologi Malaysia; dan Nor Hasnida Nor Sukri, 23, bidang sains rekaan di Universiti Sydney, Australia.
Biasiswa itu, yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 2006 menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam, diberikan kepada warga Malaysia yang cemerlang dalam akademik, selain menghasilkan karya kreatif dan inovasi serta mendapat tempat di universiti terkemuka di dalam dan luar negara.

Penerima termuda, Nurul Shazini, berkata pemberian biasiswa itu mendorongnya untuk meneruskan kajian dalam mencari penawar penyakit kencing manis.

"Biasiswa ini umpama harapan rakyat Malaysia kepada saya bagi mencari penawar kepada penyakit diabetis," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Mohd Syukri Yahya, yang juga pensyarah Universiti Tenaga Nasional di Bangi, pula berazam untuk berbakti kepada negara dalam bidang nuklear sebaik tamat pengajiannya di MIT. - BERNAMA

16 Disember sebutan semula kes pembunuhan Sosilawati

KENDERAAN yang membawa orang kena tuduh (OKT) kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain dekat Ladang Gadong, keluar dari mahkamah Majistret Telok Datok sambil dikawal ketat anggota keselamatan. - Foto Rosdan Wahid
KENDERAAN yang membawa orang kena tuduh (OKT) kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain dekat Ladang Gadong, keluar dari mahkamah Majistret Telok Datok sambil dikawal ketat anggota keselamatan. - Foto Rosdan Wahid
BANTING: Mahkamah Majistret di sini, menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain bagi pendakwaan mengemukakan laporan kimia.

Peguam, N Pathmababhan dan tiga yang lain didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pagi ini, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shansudin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38.
Tiada pengakuan di rekodkan, sebaliknya keempat-empat mereka, Pathmababhan, T Thilaiyalagan, 19 tahun, R Matan, 20 tahun, dan R Kathavarayan, 30 tahun mengangguk menyatakan mereka faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Pertuduhan terhadap Pathmanabhan, 41, dibacakan dalam bahasa Melayu manakala pertuduhan terhadap tiga yang lain dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan
Majistret Hurman Hussain.

Tiga lagi tertuduh, Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan, dipercayai pekerja tertuduh pertama.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan, membunuh Sosilawati dan tiga mangsa lain antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, pada 30 Ogos 2010.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lot no. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Terdahulu, tertuduh dibawa masuk ke mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi dan mereka dibawa masuk ke kamar Mahkamah Majistret pada jam 8.59 pagi.

Keadaan di perkarangan Mahkamah Majistret Telok Datok juga menjadi tumpuan penduduk setempat dan petugas media yang sudah menunggu sejak sebelum jam 7 pagi.

Pekarangan mahkamah itu juga dikawal ketat oleh anggota polis.

Penyokong Kelantan mati akibat sesak nafas

KUALA LUMPUR: Seorang penyokong pasukan Kelantan mati dipercayai akibat sesak nafas ketika bersesak keluar dari Stadium Shah Alam selepas tamat perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia antara Selangor dan Kelantan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin, berkata mangsa yang dikenali sebagai Che Karma Sulaiman, 39, dari Bachok dan bekerja sebagai pegawai keselamatan, telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang untuk pemeriksaan lanjut.
Beliau berkata mangsa yang duduk di Aras 5 stadium berkenaan, ditemui pasukan paramedik ketika mula mengalami sesak nafas, bagaimanapun mengatakan dia okay ketika ditanya mengenai keadaannya.
"Menurut rakannya, si mati pada mulanya mengalami sesak nafas ketika perlawanan berlangsung, namun, ketika ditanya sama ada okay atau tidak, dia kata okay.

"Namun keadaan mangsa semakin teruk ketika mahu keluar dari stadium selepas tamat perlawanan dan dia rebah ketika menghampiri gerai menjual cenderamata sebelum meninggal dunia," katanya kepada Bernama.

Ketika itu, berlaku sedikit kekecohan di luar stadium sejurus tamat perlawanan selepas penyokong kedua-dua pasukan melakukan provokasi terhadap lawan masing-masing, namun berjaya disuraikan oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
Noor Azam berkata setakat ini, polis belum menerima sebarang laporan mengenai angkara vandalism terhadap kereta.
Sementara itu, beliau berkata seorang penyokong Selangor cedera di kepala dipercayai dibaling dengan objek.

Katanya, mangsa kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah.

Pada perlawanan suku akhir pertama itu, tuan rumah terikat tanpa jaringan dengan Kelantan, dan perlawanan suku akhir kedua akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke 1V di Kota Bharu, Sabtu ini. - BERNAMA

10 murid SK Gunung, Alor Setar cedera lantai kelas runtuh

ALOR SETAR Kira-kira 10 murid cedera apabila lantai sebuah kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung, dekat sini, runtuh akibat tanah mendap, jam 11 pagi tadi.
Murid yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk rawatan.