Followers

Thursday, February 25, 2010

Gempa bumi lemah di Lahad Datu awal pagi tadi

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi lemah berukuran 3.1 pada skala Richter berlaku di Lahad Datu, Sabah awal pagi ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Jabatan itu dalam satu kenyataannya berkata, susulan gempa bumi pada latitud 5.3 Utara dan longitud 118.2 Timur, gegaran kecil berkemungkinan dirasai di sekitar Lahad Datu.

Jabatan itu berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan tersebut. - Bernama

Pyongyang ancam serang jika Seoul terus latihan tentera

SEOUL: Korea Utara hari ini mengancam akan melakukan serangan jika Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan meneruskan latihan ketenteraan bersama bulan depan.

Seorang jurucakap tentera darat memberi amaran itu dalam satu kenyataan yang disiarkan media rasmi Pyongyang.

Beliau berkata, tentera Korea Utara bersedia untuk "memusnahkan tanpa belas ihsan" musuhnya dan mungkin akan menggunakan senjata nuklear.

Amaran itu dikeluarkan beberapa jam selepas wakil khas Presiden Barack Obama tiba di Seoul dari Beijing untuk memulakan rundingan perlucutan senjata nuklear.

Latihan ketenteraan bersama AS-Korea Selatan akan bermula 8 Mac depan. - AP

92.55 peratus calon STPM 2009 lulus penuh

KUALA LUMPUR: Kira-kira 92.55 peratus daripada 48,446 pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) tahun lalu lulus penuh, menurut pengumuman yang dibuat Majlis Peperiksaan Malaysia, hari ini. - Bernama

IMF salur pinjaman AS$3.6 billion kepada Iraq

WASHINGTON: Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) semalam meluluskan dana pinjaman berjumlah AS$3.6 billion (RM13.68 billion) kepada Iraq untuk membantu pembangunan semula negara bekas perang itu.

Lembaga Eksekutif IMF meluluskan pinjaman itu kepada Iraq untuk menyelamatkan imbangan pemnbyaran yang diperlukan negara itu selepas ekonominya merudum berikutan kejatuhan harga minyak pada 2009.

Buat permulaan, kira-kira AS$455 juta akan disalurkan terlebih dahulu kepada pihak berkuasa Iraq.

Penurunan harga minyak mentah tahun lalu menyaksikan Iraq yang banyak bergantung kepada hasil eksport minyak, mengalami defisit lebih 20 peratus, demikian dijelaskan ketua misi IMF ke Iraq, Ron van Rooden. - AFP

Keganasan biologi adalah ancaman sebenar: Interpol

NEW DELHI: Interpol memberi peringatan bahawa keganasan biologi adalah ancaman sebenar yang tidak boleh diketepikan dan menggesa semua kerajaan untuk memasukkannya di dalam strategi menangani keganasan di negara masing-masing.

Sebenarnya, agensi polis di peringkat global sudah mengambil langkah proaktif dengan melatih pegawai dari Asia dan Pasifik Selatan bagi menyediakan mereka menangkis sebarang serangan keganasan biologi.

"Kumpulan pengganas bercakap mengenai usaha membangunkan keupayaan penggunaan senjata biologi. Ada bukti mengenai kumpulan pengganas individu menguji dan menggunakan senjata biologi, dan peningkatan kemajuan sains biologi menyediakan pelbagai peluang bagi orang sedemikian," kata pengerusi jawatankuasa kumpulan pemandu keganasan biologi Interpol, John Abbot.

Menurut laman web Interpol, kira-kira 16 negara dari dua rantau menghadiri program "Melatih pelatih" di Wellington, New Zealand minggu lalu, bagi membiasakan diri dengan keselamatan biologi.

Terbaru dalam keganasan biologi ialah serangan antraks di mana lima rakyat Amerika terbunuh dan hampir 17 orang jatuh sakit di Amerika Syarikat pada 2001.

Insiden lain ialah pada 1995 apabila kumpulan ajaran sesat Aum Shinrikyo di Jepun menggunakan gas Sarin bagi melancarkan serangan ke atas orang awam di stesen kereta api bawah tanah di Tokyo yang mengorbankan 12 orang.

Keganasan biologi wujud dalam bentuk pelepasan ejen biologikal seperti bakteria, toksin atau virus yang boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia.

"Pencegahan program keganasan biologi ialah mengenai menyokong dan membantu negara-negara agar lebih bersedia bagi mencegah keganasan biologi, untuk membangunkan pelan nasional masing-masing," katanya. - Bernama

5 ditahan sebar khabar angin gempa bumi di China

BEIJING: Lima orang ditahan kerana menyebarkan khabar angin akan berlaku gempa bumi yang menyebabkan panik di seluruh utara China, lapor agensi berita Xinhua.

Puluhan ribu penduduk yang ketakutan bertindak melarikan diri ke tempat terbuka hujung minggu lalu selepas khabar angin akan berlaku gempa bumi tersebar di wilayah Shanxi.

Amaran gempa bumi akan berlaku itu disebarkan menerusi telefon manakala sebilangan penududuk kampung yang ketakutan menggunakan sistem pengumuman awam untuk mengarahkan orang ramai keluar daripada rumah masing-masing.

Lima yang ditahan itu yang sebilangan besar adalah pekerja pendatang dalam usia 20-an, mengaku menyebarkan khabar angin itu menerusi forum internet dan khidmat pesanan ringkas.

Mereka diperintahkan ditahan selama lima hingga 10 hari dan didenda 500 yuan (AS$74) setiap seorang. - AP

Ekonomi kembang 4.5 peratus suku keempat 2009

PUTRAJAYA: Ekonomi negara berkembang pada kadar 4.5 dalam suku keempat 2009, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, prestasi itu mengatasi jangkaan umum penganalisis iaitu antara 3 hingga 3.5 peratus.

"Susulan itu, kadar pertumbuhan keseluruhan 2009 adalah negatif 1.7 peratus," katanya selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Felda, Felcra dan Risda di sini hari ini.

Namun, Najib yang juga Menteri Kewangan yakin ekonomi negara mampu berkembang lima peratus tahun ini.

Beliau berkata, pertumbuhan itu disokong peningkatan aktiviti perniagaan berikutan pemulihan ekonomi global dan kesan pelaksanaan pakej rangsangan.

"Angka itu lebih tinggi dari unjuran rasmi 3 peratus," katanya.

Ekonomi negara mampu berkembang 5 peratus: Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak yakin ekonomi negara mampu berkembang 5 peratus tahun ini dengan disokong peningkatan aktiviti perniagaan ekoran pemulihan ekonomi global serta kesan pelaksanaan pakej rangsangan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, angka itu lebih tinggi daripada unjuran rasmi 3 peratus.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Felda, Felcra dan Risda di sini, sebentar tadi.