Followers

Tuesday, July 21, 2009

Wanita Mesir positif H1N1 meninggal ketika Umrah

KAHERAH: Seorang wanita Mesir meninggal dunia akibat selesema babi selepas jatuh sakit ketika melakukan ibadat umrah di Makkah, kata pegawai Kementerian Kesihatan kelmarin.

Wanita berkenaan yang memang menghidapi penyakit jantung, berlepas ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah pada awal bulan ini, dan kemudian mempunyai simptom selesema babi pada 11 Julai lalu.

Beliau dirawat di Arab Saudi tapi tidak pulih, dan kemudian kembali ke Mesir atas permintaan suaminya. Wanita itu berusia 20-an.

"Hasil kajian mengesahkannya positif H1N1. Beliau meninggal dunia semalam," kata Amr Kandeel, ketua bahagian kawalan penyakit berjangkit Kementerian Kesihatan.

Kematian wanita itu adalah kes pertama warga Mesir yang terkorban akibat virus berkenaan.

Virus H1N1 dikesan pada 130 orang di Mesir, termasuk 10 kes terbaru yang dilaporkan kelmarin, kata agensi berita kerajaan, MENA.

Kira-kira tiga juta jemaah dari 160 negara dijangka mengunjungi Makkah bagi mengerjakan ibadat Haji, yang bermula November depan.

Virus H1N1 kini dikesan menjangkiti puluhan ribu orang di seluruh dunia, dan mengorbankan lebih 340 orang, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sementara itu di HANOI, seorang pegawai berkata sebuah sekolah di selatan Vietnam ditutup selepas 26 guru dan pelajar diuji positif dijangkiti selesema babi.

Tuong Nguyen Su, ketua kakitangan di sekolah tinggi Ngo Thoi Nheim di bandaraya Ho Chi Minh, berkata 24 pelajar dan dua guru dihidapi virus berkenaan. - Reuters/AP

Sabah & Sarawak: Kompleks pendaratan ikan perlu tapak sesuai

KUNAK: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersedia pada bila-bila masa membina kompleks pendaratan ikan dilengkapi peralatan moden di Kunak dan kawasan lain di negeri ini tetapi memerlukan kerjasama kerajaan negeri menyediakan tapak.


LKIM menyediakan peruntukan RM7.5 juta untuk membina kompleks berkenaan di beberapa kawasan utama pendaratan ikan di seluruh Sabah tetapi belum mampu melaksanakannya berikutan ketiadaan tanah yang dimiliki kerajaan negeri.

Sehubungan itu, LKIM meminta Pengerusi Persatuan Nelayan (PNK) di seluruh Sabah bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) masing-masing untuk membantu organisasi itu mendapatkan tapak daripada kerajaan negeri.

Pengerusinya, Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata LKIM memang sedar mengenai ketiadaan walau satu pun kompleks pendaratan ikan sempurna di Sabah berbanding di Semenanjung dan sentiasa berusaha menyediakan kemudahan itu dengan kunci utamanya adalah penyediaan tapak oleh kerajaan negeri.

"Saya meminta PNK bekerjasama dengan Pejabat Daerah, Ahli Parlimen dan Adun di kawasan masing-masing untuk membantu LKIM mendapatkan tapak berkenaan daripada kerajaan negeri.

"LKIM mendapat peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan tetapi pelaksanaan pembinaan kompleks pendaratan ikan tertakluk kepada tanah disediakan kerajaan negeri kerana LKIM sendiri tidak memiliki tanah di pinggir pantai," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar ini pada 13 Julai lalu mengenai kesengsaraan ahli PNK Kunak mendaratkan ikan di Kampung Pangkalan, berikutan ketiadaan kompleks pendaratan ikan atau jeti yang benar-benar memenuhi keperluan itu.

Industri perikanan yang berkembang pesat di Kunak khususnya dan Pantai Timur Sabah amnya, seolah-olah tidak disokong dengan penyediaan jeti sempurna bagi membolehkan nelayan mendaratkan ikan, ketam, sotong dan pelbagai hasil laut yang lain dengan menggunakan peralatan lebih baik seperti kren pengangkat ikan, alat timbang lebih komprehensif dan kawasan menjual ikan kepada pemborong.

Kesukaran nelayan di Kunak untuk mendaratkan hasil laut semakin membebankan selepas jeti LKIM diperbuat daripada kayu di Pasar Ikan Kunak, runtuh pada April lalu, sekali gus menyebabkan nelayan tidak mempunyai pilihan, selain terpaksa menggunakan tebing konkrit milik Majlis Daerah Kunak di Kampung Pangkalan untuk mendaratkan hasil tangkapan.

Sehubungan itu, Pengerusi PNK Kunak, Asiah Hamid merayu LKIM menyediakan kompleks pendaratan ikan berbanding yang sedia ada, bukan setakat untuk memudahkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan, malah memajukan industri perikanan.

Asiah dilaporkan berkata, 769 ahli PNK Kunak merayu LKIM membantu menyediakan jeti berkenaan berikutan jeti sedia ada yang kecil dan tidak kukuh, tidak mampu menampung bot laut dalam, bot besar dan kecil serta perahu yang membawa hasil tangkapan.

Sabah & Sarawak: 14 sekolah perintis e-masyarakat

KENINGAU: Sebanyak 10 sekolah rendah dan empat sekolah menengah di daerah ini akan menjadi perintis pembelajaran dengan menggunakan khidmat e-masyarakat melalui laman web rasmi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Liawan, Datuk Sairin Karno bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar.

e-masyarakat mengandungi bahan pembelajaran dan bank soalan untuk sekolah berkenaan, selain menyediakan peluang untuk anggota masyarakat membuat aduan mengenai masalah mereka dan menyampaikan maklumat mengenai kawasan masing-masing.

Berucap pada majlis pelancaran e-masyarakat, Sairin berkata, laman web itu bertujuan membantu memajukan kawasan pedalaman, khususnya dalam bidang pendidikan sejajar konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Sebagai permulaan, hanya 14 sekolah dipilih dan ia akan diperluas ke sekolah lain. Saya percaya, usaha ini akan meningkatkan kualiti pelajaran di daerah ini," katanya.

Sabah & Sarawak: Kempen kumpul buku terpakai

KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Cawangan Sabah akan melancarkan program mengumpul buku terpakai untuk diedarkan kepada perpustakaan di luar bandar bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar.

Yang Dipertuanya, Awang Buhtamam Awang Mahmun, berkata selain menanam budaya membaca di kalangan anggota masyarakat di luar bandar, ia juga bertujuan membantu mereka memahami secara lebih mendalam mengenai pelbagai perkara melalui sifat gemar membaca.

"Ia adalah satu daripada program amal kami. Bukan semua aktiviti kami berkaitan perniagaan. Buku berkenaan akan diagihkan hujung tahun ini," katanya pada majlis makan malam bersama media, di Hotel Pacific Sutera, di sini malam kelmarin.

Hadir sama, Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan. Awang Buhtamam turut menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada Persatuan Wartawan Sabah (SJA).

Gerhana mahatari separa di Malaysia esok

KUALA LUMPUR: Gerhana matahari separa akan dapat dilihat di Malaysia secara minimum pagi esok.

Gerhana matahari separa itu, yang amat sukar dicerap dengan mata kasar, akan berlaku jam 8.23 pagi dan berakhir 9.48 pagi.

"Bagaimanapun hanya lebih kurang 17.8 peratus sahaja kawasan permukaan matahari akan ditutupi oleh bulan semasa gerhana separa itu berlaku," kata Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa (UPSA) ANGKASA, Mhd Fairos Asillam, dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kawasan Utara Semenanjung Malaysia adalah kawasan yang terbaik untuk mencerap gerhana matahari separa itu.

Dalam abad ini, penduduk Malaysia akan dapat menikmati Gerhana Matahari Separa pada 15 Januari 2010, 9 Mac 2016 dan 26 Disember 2019, katanya.

Kejadian gerhana itu berikutan berlakunya fenomena gerhana matahari penuh, yang merupakan gerhana matahari terpanjang di abad ini.

Fenomena astronomi yang juga akan berlaku esok akan dapat disaksikan oleh penduduk Bumi di mana laluan gerhana itu meliputi hampir separuh kawasan Bumi.

Mhd Fairos berkata bayangan umbra bulan (bahagian bayang yang sangat gelap) akan mula memasuki laluannya di India dan seterusnya akan melalui Nepal, Bangladesh, Bhutan, Myanmar dan China.

Apabila laluan gerhana itu melepasi benua Asia, ia akan melalui Pulau Ryukyu di Jepun dan melalui Lautan Pasifik dengan masa maksimum semasa gerhana penuh mencapai 6 minit 39 saat, katanya.

Mhd Fairos berkata ANGKASA akan menghantar tiga orang pegawai untuk membuat penyelidikan dan pengambilan data dan imej gerhana (fotografi dan videografi) semasa berlakunya fenomena gerhana matahari itu di Jinshan, Shanghai, China.

Ini kerana mengikut statistik, cuaca dan litupan awan di China lebih baik berbanding dengan kawasan lain.

Selain daripada ANGKASA, beberapa kumpulan daripada Malaysia akan turut menyertai Ekspedisi Gerhana di beberapa kawasan di China antaranya Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Persatuan Falak Syarie Malaysia, Stargazer Scientific dan Falak Online, katanya.

Rakyat Malaysia boleh bersama-sama menyertai dan menikmati Gerhana Matahari Penuh itu esok dengan melayari laman web yang membuat siaran langsung secara webcasting seperti www.exploratorium.edu/eclipse/2009/index.html, www.saros.org/index.html, www.live-eclipse.org dan www.eclipse-tv.com. - Bernama