Followers

Sunday, January 10, 2010

130 NGO Islam, Rela tawar kawal gereja

KUALA LUMPUR: Sebanyak 130 badan bukan kerajaan (NGO) bersama Ikatan Relawan Rakyat (Rela) hari ini menyatakan komitmen untuk menjadi "mata dan telinga" kerajaan dalam menangani sebarang ancaman ke atas rumah ibadat penganut agama Kristian.

Antara NGO yang terbabit dalam inisiatif sukarela itu ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Badan Tarbiah Sejagat (Batas), Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Pertubuhan Peribumi Semenanjung (Perkasa), Darussyifa, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Islamic Information and Services Foundation (IIS).

Setakat ini, inisiatif itu berjaya mengumpulkan seramai 60 sukarelawan bagi menjalankan pengawasan dan pemantauan di kawasan gereja sekitar Lembah Klang mulai hari ini.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, yang mewakili NGO terbabit berkata inisiatif itu diambil bagi membantu usaha kerajaan untuk memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara.

Dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata sukarelawan terbabit akan menghubungi Rela jika didapati ada sesuatu yang mencurigakan berlaku di kawasan gereja, yang kemudian akan melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Katanya, jumlah anggota sukarelawan akan ditambah tidak lama lagi bagi membolehkan keselamatan gereja di setiap negeri dan daerah diawasi.

Nadzim berkata, satu perbincangan secara menyeluruh akan diadakan bersama beberapa NGO bukan Islam esok bagi mendapatkan kerjasama mereka dalam memastikan keselamatan gereja.

Mengenai pengawasan di masjid, beliau berkata perkara itu akan turut diberi pertimbangan kerana ancaman bukan saja membabitkan gereja malah masjid.

Sementara itu, Pengarah Rela Selangor, Kol Khairi Mohd Alwee, berkata Rela bersedia memberi komitmen untuk mengawasi setiap gereja di sekitar Lembah Klang.

"Bagaimanapun kami turut meminta orang ramai agar sama-sama membantu menghubungi pihak kami jika didapati ada individu yang mencurigakan dan boleh memberi ancaman kepada gereja," katanya.

Orang ramai yang ingin melaporkan sebarang kejadian ancaman boleh menghubungi nombor 019-2333086 atau 019-3591000. - Bernama

Tun Fatimah tokoh pejuang berjasa: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini menyifatkan Tun Dr Fatimah Hashim, wanita pertama dilantik menganggotai jemaah menteri Malaysia yang meninggal dunia semalam, sebagai seorang tokoh pejuang yang banyak berjasa kepada negara, kerajaan dan Umno.

Perdana Menteri berkata, sebagai seorang Menteri yang menganggotai Kabinet awal negara selepas kemerdekaan, Allahyarhamah telah memberi sumbangan amat besar nilainya kepada kerajaan dan negara.

Katanya, Fatimah, 85, adalah seorang tokoh wanita unggul yang meletakkan asas dalam perjuangan wanita pada peringkat awal kemerdekaan negara ini.

"Oleh itu saya menganggap Allahyarhamah sebagai seorang tokoh pejuang, tokoh wanita dan tokoh dalam kerajaan yang begitu besar jasanya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri istiadat pengebumian Allahyarham di sini hari ini.

Allahyarhamah yang meninggal dunia di rumahnya pada 11.35 malam tadi kerana sakit tua, disemadikan dalam satu istiadat pengebumian negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, di sini pada jam 2.10 petang.

Allahyarhamah Fatimah yang meninggalkan enam orang anak, dikebumikan selepas solat Zuhur bersebelahan pusara suaminya - Tan Sri Abdul Kadir Yusoff iaitu bekas Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang dan Pembangunan Negara yang meninggal dunia pada April 1992.

Fatimah dilantik sebagai Menteri Kebajikan pada 20 Mei 1969 hingga 1 Mac 1973. Allahyarhamah menceburi arena politik pada 1947 dan memegang jawatan Ketua Pergerakan Kaum Ibu Umno, yang kini dikenali sebagai Pergerakan Wanita Umno, pada 11 September 1956 hingga Jun 1972.

Allahyarhamah juga pernah menyandang jawatan Naib Presiden Umno sebanyak tiga penggal mulai 1963 hingga 1967.

Sebelum itu, jenazah Allahyarhamah disembahyangkan di Masjid Negara di sini dengan diimamkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Seramai lebih 200 sanak saudara dan kenalan hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, dan beberapa menteri Kabinet. - Bernama

Keadaan terkawal, jangan terpengaruh laporan internet: Hishammuddin

RAWANG: Beberapa lagi gereja termasuk yang terbaru di Miri, Sarawak, menjadi sasaran bom api tetapi keadaan adalah terkawal, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Keadaan adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu khuatir dan diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan laporan di internet serta melalui khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program motivasi pendidikan di bawah program Juara Rakyat di tapak ekspo Bukit Sentosa, Bukit Beruntung dekat sini, hari ini.

Ditanya sama ada rentetan kejadian itu ada kaitan dengan pihak ketiga, beliau berkata memang ada pihak tertentu yang cuba melakukannya, tetapi "sama ada ia berkisar kepada masyarakat setempat, itu akan saya maklumkan kemudian."

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima secara total laporan media asing dan internet mengenai insiden membakar gereja kerana berita yang dilaporkan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Hishammuddin berkata, terdapat segelintir media asing yang bukan saja memberi gambaran kurang tepat, tetapi menggembar-gemburkan kejadian itu seolah-olah keadaan di negara ini tidak terkawal.

Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan taklimat kepada perwakilan asing di negara ini bagi menerangkan kedudukan sebenar isu itu.

"Kita kena beri penjelasan kepada masyarakat luar negara kerana ada warga kita di luar sana yang mahu tahu perkembangan sebenar kerana isu ini sering digembar-gemburkan pihak-pihak tertentu, termasuklah apa yang diambil dari internet.

"Saya bimbang gambaran yang diberikan itu tidak tepat. Jadi KDN telah memanggil wakil daripada kedutaan dan saya sendiri akan berjumpa dengan duta-duta untuk menerangkan apa yang sebenarnya berlaku.

"Disebabkan mereka perlu memberi gambaran sebenar kejadian itu kepada kerajaan masing-masing, mereka perlu mendapat maklumat yang sahih daripada kerajaan," katanya.

Hishammuddin juga memberi ingatan kepada pihak yang cuba membabitkan Umno dan kerajaan dalam isu itu supaya menghentikan perbuatan itu dan memikirkan sebaik-baiknya kerana mereka akan dipertanggungjawabkan sekiranya sesuatu yang buruk berlaku.

"Tuduhan mengatakan Umno sebenarnya di belakang semua kejadian ini adalah satu fitnah yang amat dahsyat dan akhirnya orang akan tahu kerana kita telah mempunyai maklumat tertentu berhubung siapa yang terbabit," katanya. - Bernama

Projek RMK-9 di Kelantan tidak terjejas

BACHOK: Pelaksanaan projek pembangunan Kerajaan Persekutuan yang dirancang di Kelantan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tahun ini tidak terjejas dan perlu disiapkan sehingga akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata walaupun setiap agensi Kerajaan Persekutuan diarah supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah ia hanya membabitkan bidang pengurusan sahaja.

"Ini termasuk mengadakan kursus dan lawatan sambil belajar ke luar negeri," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian bantuan mangsa ribut di Dewan Haji Husin, Perupuk, di sini, hari ini.

Pada majlis itu seramai 138 mangsa, masing-masing menerima antara RM200 hingga RM350 bagi meringankan beban apabila banyak harta benda mereka rosak dalam banjir akhir tahun lalu yang melanda beberapa kawasan di Jajahan Bachok.

Dr Awang berkata, antara projek itu ialah pembinaan kampus induk Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Tangok di sini, hospital, pembinaan pangkalan perikanan di Kuala Kemasin dan sekolah-sekolah.

Beliau berkata, kontraktor yang gagal menyiapkan projek itu mengikut jadual sehingga melebihi tempoh yang panjang, kontrak mereka akan dibatalkan dan diberikan kepada kontraktor yang lebih berwibawa.

Mengenai banyak jalan kampung dan jambatan yang roboh dan rosak teruk disebabkan banjir bulan lalu sehingga menyukarkan penduduk berulang alik, beliau berkata kerajaan negeri yang diberi peluang 20 tahun memerintah Kelantan perlu bertanggung jawab membaikpulihnya.

"Kerajaan pusat hanya berperanan membantu kerajaan negeri dan pemimpin mereka mesti berusaha dan bertanggungjawab sepenuhnya," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak patut mengambil sikap "berpeluk tubuh" dan menyerahkan peranan itu kepada Kerajaan Pusat semata-mata sebagaimana yang diamalkan sebelum ini.

"Kita mahukan peruntukan yang seimbang (antara kerajaan dan pusat) yang perlu disediakan bagi tujuan itu," katanya. - Bernama

Pakar bedah kelahiran Malaysia ditangkap di Sydney

MELBOURNE: Seorang pakar bedah neuro kelahiran Malaysia yang dituduh membekalkan dadah kepada seorang wanita yang didapati mati di pangsapurinya, ditangkap kerana melanggari syarat jamin polis.

Menurut akhbar Sydney Morning Herald, Suresh Surendranath Nair, 41, ditangkap kira-kira tengah malam kelmarin apabila detektif Kings Cross menyerbu pangsapurinya di Bondi, Sydney, Australia.

Penangkapan itu dilakukan setelah polis pengawasan mendakwa bekas pakar bedah itu yang menggunakan tiga pengiring teman sosial wanita selama dua jam setengah.

Sebagai sebahagian syarat jaminnya, Nair dilarang daripada menggunakan pekerja seks atau mengambil ubat terlarang.

Serbuan itu dilakukan seminggu selepas beliau keluar dari sebuah hospital swasta di mana dia menjalani rawatan sejak mengahadapi pertuduhan berkaitan kematian Suellen Domingues Zaupa, 22, di unitnya pada 21 November tahun lalu.

Nair yang sijil amalan perubatannya telah dibatalkan, dituduh membekalkan kokaine kepada Zaupa yang dilaporkan bekerja sebagai pelacur.

Bagaimanapun sahabat dan keluarganya menafikan bahawa dia adalah seorang pekerja seks.

Polis Kings Cross dipanggil ke pangsapuri Nair setelah mayat wanita itu yang kemudiannya disahkan sebagai teman pengiring sosial wanita Victoria McIntyre, ditemui di situ pada 16 Februari tahun lalu.

Kes itu ditetapkan didengar di hadapan seorang koroner. Tidak ada pertuduhan dikenakan berkaitan kematian McIntyre.

Majistret Kevin Maughan menolak jamin dan memerintahkan Nair dihadapkan di Central Local Court di Sydney esok.

Nair dijangka dihadapkan semula di Downing Centre Local Court pada 9 Feruarib atas tuduhan membekalkan dadah. - Bernama

Dua gereja, sekolah convent di Taiping dilempar bom api

TAIPING: Dua gereja dan satu sekolah dilempar dengan bom api tetapi semua bangunan berkenaan tidak terbakar dalam kejadian di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata hanya ada kesan hitam atau jelaga pada dinding luar kedua-dua gereja berkenaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent.

Katanya, siasatan awal polis mendapati ada dua botol dan dua kesan jelaga pada dinding Gereja All Saints di Jalan Taming Sari manakala satu botol pecah dan kesan jelaga pada dinding luar Gereja Saints Louis, Jalan Lumba Kuda.

Beliau berkata, tingkap SMK Convent di Jalan Convent pecah tetapi botol berisi minyak tidak pecah dan tiada kesan terbakar.

"Tidak berlaku kebakaran atau kerosakan pada semua bangunan itu. Jangan gempar dengan kejadian di Taiping ini dan jangan dengar khabar angin ataupun menyebarkan kejadian ini dengan cerita bukan-bukan.

"Keadaan terkawal. Jangan jadikan ini sebagai isu yang boleh menimbulkan rasa marah daripada pihak gereja kerana perbuatan ini bukan dilakukan oleh kumpulan ekstremis Islam atau oleh badan politik," katanya ketika dihubungi di sini, petang ini.

Zulkifli berkata, polis mengesyaki perbuatan berkenaan dilakukan individu yang mengambil kesempatan terhadap isu penggunaan kalimah Allah oleh majalah Herald-The Catholic Weekly dan kebakaran sebuah gereja di Lembah Kelang.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan terperinci dan Jabatan Forensik masih menganalisi botol kecil yang mengandungi cecair dan kain yang ditemui itu.

Beliau berkata, percubaan membakar gereja dan sekolah di Taiping adalah kes terpencil dan bukan isu besar.

Gempa magnitud 6.5 gegar pesisir utara California

SAN FRANCISCO: Gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Richter melanda pesisir utara California, kata Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Tiada laporan awal kerosakan atau kemalangan jiwa diterima berikutan gempa bumi di dasar laut sekitar 35 kilometer (km) ke timur laut Ferndale, California, pada kedalaman 16 km.

Pusat Amaran Tsunami Pantai Barat dan Alaska berkata tiada pemantauan atau amaran tsunami dikeluarkan. - Reuters