Followers

Tuesday, September 29, 2009

H1N1: Tunda hasrat tunaikan fardu haji

RIYADH 28 Sept. - Arab Saudi menggesa umat Islam yang tidak sihat seperti warga emas, yang sakit, wanita mengandung dan kanak-kanak supaya menunda hasrat mereka untuk melakukan ibadah haji ke Mekah sebagai usaha mengelakkan penularan berskala besar selesema babi (influenza A/ H1N1).

Sehingga kini, kira-kira 3,500 kes H1N1 telah disahkan di Arab Saudi yang kebanyakannya berjaya dirawat manakala 26 daripadanya disahkan meninggal dunia, menurut media tempatan.

Arab Saudi mengambil langkah-langkah khusus untuk mencegah wabak besar itu pada musim haji November ini di mana tiga juta jemaah haji daripada 160 buah negara dijangka berkumpul di Mekah selain turut mengerjakan umrah.

Antara langkah tersebut ialah, pemasangan 20 buah alat pengesan terma bagi memeriksa para jemaah di terminal lapangan terbang haji di bandar pelabuhan Laut Merah di Jeddah iaitu hentian pertama untuk para jemaah tiba di Arab Saudi.

Kakitangan perubatan di lapangan terbang itu akan dipertingkatkan kepada 20 peratus berbanding pada musim haji tahun lepas, iaitu menjadi 550 pakar perubatan termasuk para doktor, jururawat, juruteknik makmal dan ahli farmasi.

Pihak berkuasa akan menyediakan pusat kesihatan berdekatan lapangan terbang di Jeddah dan Madinah, kota suci kedua, yang boleh menampung sehingga 500 orang pesakit dalam satu-satu masa yang akan dihantar untuk menerima rawatan semasa tempoh kuarantin.

Kerajaan tersebut juga telah membuat tempahan kira-kira 10 juta dos vaksin H1N1 yang dijangka akan tiba pada bulan Oktober dan ia akan diwajibkan kepada semua jemaah haji yang tiba di Arab Saudi.

Arab Saudi turut meningkatkan stok Tamiflunya sehingga 20 peratus, dua kali melebihi daripada yang disyorkan oleh WHO untuk negara-negara lain, menurut pihak berkuasa Julai lalu.

Pihak berkuasa telah menangguhkan permulaan persekolahan tahu baru sehingga dua minggu untuk melatih kira-kira 66,000 orang guru mengenai kaedah mencegah penularan virus itu di sekolah. Kementerian turut akan mendapatkan lima juta dos vaksin H1N1 untuk golongan pelajar. - Reuters

Gempa sederhana landa Jepun

TOKYO: Gempa berukuran 5.9 magnitud menggegarkan kepulauan Ryukyu, tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa berlaku jam 4.22 pagi waktu tempatan (1922 GMT) berpusat di 199 kilometer (km) di utara Naha, lapor Agensi Penyelidilan Geologikal Amerika Syarikat.

Bagaimanapun tiada laporan segera mengenai kerosakan dan mangsa yang terbabit. - AFP

Jadikan 3 prinsip asas model ekonomi baru: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggariskan tiga prinsip penting untuk pertimbangan penggubal dasar dalam membentuk model ekonomi baru ke arah mencapai kemakmuran saksama yang berpanjangan.

Berucap pada Persidangan Perkhidmatan Awam ke-14 anjuran Intan di sini hari ini, Timbalan Perdana Menteri berkata, prinsip itu adalah asas pertumbuhan lebih meluas, asas keupayaan ekonomi yang lebih meluas dan pertumbuhan dari bawah.

"Saya berpendapat model baru ekonomi perlu diasaskan kepada pertumbuhan yang seimbang dan keadilan dalam agihan.

"Model ekonomi yang kita hendak bangunkan perlu memenuhi harapan semua rakyat malaysia.

"Ia harus menyatukan rakyat berbilang bangsa dan budaya untuk menjadi satu masyarakat yang padu," katanya.

Muhyiddin berkata prinsip pertumbuhan yang lebih meluas menekankan bahawa semua sektor ekonomi harus mendapat perhatian yang adil dan saksama dan tidak harus mengurangkan tumpuan kepada pembangunan luar bandar.

"Penggubal dasar mesti melihat pembangunan luar bandar sebagai satu kemajuan penting dalam ekonomi negara. Ini kerana kawasan luar bandar mempunyai keluasan tanah yang besar dan merupakan komponen ekonomi dan alam sekitar yang berdaya maju untuk mencapai pembangunan seimbang," katanya. - Bernama

Peningkatan jumlah maut bukan kegagalan Ops Sikap

KUALA LUMPUR: Peningkatan jumlah kematian dalam Ops Sikap ke-20, yang berakhir Ahad lalu, tidak menggambarkan kegagalan keseluruhan operasi itu sebaliknya ia dilihat dapat menyedarkan masyarakat tentang sikap sebenar pengguna jalan raya di negara ini.

Ketua Trafik Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Aziz Yusof, berkata walaupun kadar kematian dalam operasi berkenaan tidak dapat dikurangkan berbanding tempoh sama tahun lepas, purata kematian itu adalah 17.7 peratus yang sedikit rendah berbanding 17.8 peratus pada 2008.

Katanya purata kematian dalam operasi ini tidak banyak bezanya berbanding 2008 ekoran wujud pertambahan 800,000 kenderaan baru didaftarkan dan jumlah kenderaan menggunakan lebuh raya PLUS tahun ini meningkat sebanyak 500,000 kepada dua juta kenderaan berbanding 1.5 juta tahun lalu.

"Oleh itu, ia tidak boleh diukur pada statistik semata-mata tetapi kena tengok secara keseluruhannya.

"Peningkatan jumlah itu memberi gambaran kepada masyarakat kita bahawa inilah sikap sebenar segelintir pemandu Malaysia yang masih lagi tidak berubah sikap di jalan raya," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena penutupan Ops Sikap Ke-20 di sini, hari ini.

Dalam Ops Sikap ke-20, sebanyak 265 kematian dicatatkan berbanding 208 kematian pada 2008 manakala jumlah kemalangan bertambah sebanyak 1,339 kepada 17,335 berbanding 15,996 tahun lalu dan jumlah saman sebanyak 152,745 berbanding 124,581 tahun lalu.

Beliau berkata sikap pengguna jalan raya tidak mematuhi undang-undang masih tinggi dengan 80 peratus kes kemalangan maut yang dicatatkan berpunca daripada kecuaian pengguna itu sendiri.

"Kemalangan maut kebanyakannya berpunca kerana memandu laju sehingga menyebabkan mereka terbabas, tidak lepas memotong kenderaan dan memasuki laluan salah.

"Pengguna motosikal pula masih menjadi penyumbang kemalangan maut tertinggi iaitu 55.9 pertus dengan kematian 148 orang, manakala jalan persekutuan adalah laluan paling banyak berlaku kemalangan maut iaitu 43.6 peratus atau 105 kes daripada 241 jumlah keseluruhan kemalangan maut," katanya.

Abdul Aziz berkata usaha mengurangkan kemalangan jalan raya tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata sebaliknya meliputi pendidikan, kejuruteraan dan maklum balas kecemasan.

"Polis yang menjalankan penguatkuasaan tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan kesalahan menyumbang kepada kemalangan maut seperti memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan lorong kecemasan," katanya.

"Tujuan Ops Sikap ialah untuk mengubah sikap... jika pengguna masih tidak bersedia untuk berubah sikap, selagi itulah kita akan menyaksikan jumlah kemalangan maut yang terus meningkat walaupun pelbagai usaha dijalankan," katanya.

Abdul Aziz berkata PDRM menerima banyak maklum balas dan cadangan orang ramai yang memberi gambaran bahawa kesedaran masyarakat semakin meningkat dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan maut terutama pada musim perayaan.

"Kita akan melihat cadangan yang dikemukakan itu dan sekiranya bersesuaian kita akan laksanakan dalam usaha berterusan polis mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya," katanya. - Bernama

Fasa kedua sistem amaran awal tsunami siap akhir tahun

PUTRAJAYA: Fasa kedua Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) bagi memperluaskan pemantauan dan meningkatkan keupayaan analisis serta penghebahan awam mengenai bencana tsunami dijangka siap menjelang Disember tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili, berkata pelaksanaan fasa kedua itu yang bermula sejak April 2008, dilaksanakan melalui Jabatan Meteorologi Malaysia meliputi pembangunan tiga stesen seismik, 15 stesen pasang surut, 10 siren dan 14 kamera pantai.

"Keupayaan SAATNM turut diperkemaskan dengan pelaksanaan penyebaran maklumat tsunami melalui sistem SMS Gateway dan menggunakan telefon talian tetap bagi penyebaran maklumat melalui Sistem Amaran Talian Tetap," katanya ketika melancarkan Forum Risiko Gempa Bumi dan Tsunami di Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata sebahagian besar daripada sistem itu telah dipasang dan berfungsi.

Katanya kajian yang dijalankan oleh kementerian itu dengan agensi yang berkaitan menunjukkan kawasan berisiko tinggi untuk dilanda tsunami termasuk pantai Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak dan Selangor. - Bernama